TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, May 14, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Indah Khabar dari rupa...

Kisah seterusnya mengenai keluhan pelancong ke Cameron Highlands saya petik dari UTUSAN MALAYSIA yang menyiarkan keluhan pelancong tempatan yang berkunjung ke sini sekitar Jan 2011.
 
Saya membaca di surat khabar tersebut dan teringat pula untuk mencarinya kembali pagi ini untuk dikongsikan di sini
 
Saya mengakui ada kebenaran keluhan beliau ini dan jika dilihat kepada kemusnahan alam sekitar untuk aktiviti pertanian, agak tiada kawalan biarpun pelbagai peraturan diwujudkan namun penguatkuasaan dan tangan-tangan ghaib yang tidak perlu saya kongsikan di sini mencelah.
 
Cuma kepada anda yang ingin ke Cameron Highlands, saya mencadangkan anda membuat sedikit carian maklumat sebagai persediaan dan perancangan perjalanan anda seperti laluan yang akan ditempuhi dan aktiviti yang boleh menambah nilai percutian anda di sini.
 
Luangkan sedikit masa untuk merancang pasti lebih berbaloi...
 
 
CUTI sekolahan baru-baru ini saya dan keluarga melawat ke Cameron Highlands selepas lebih 16 tahun tidak berkunjung ke sana.
 
Itupun kerana memenuhi permintaan anak-anak kerana semasa dibawa bersama lebih 16 tahun dahulu mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa.
 
Bagaimanapun, percutian kali ini yang diharap akan menjadi kenangan manis buat mereka menjadi sebaliknya gara-gara indah khabar dari rupa tentang Cameron Highlands.
 
Segalanya bermula sebaik sahaja kami mula menuju puncak Cameron Highlands dari Ipoh. Anak-anak saya bertanya adakah ini keadaan Cameron Highlands apabila melihat keadaan jalan yang berdebu hasil aktiviti kuari di situ.
 
Mula menjejakkan kaki di kawasan tanah tinggi kami disajikan dengan pandangan bukit-bukit serta lereng yang digondol dengan begitu luas untuk aktiviti pertanian. Kami singgah ke kebun sayur dan menyaksikan aktiviti pertanian dijalankan secara tidak sistematik dan menjejaskan alam sekitar.
 
Kami teruskan perjalanan dan mula merasai kesejukan udara Cameron Highlands lalu menutup pendingin hawa dan membuka tingkap kereta. Malangnya udara sejuk dan segar yang kami hirup hanya seketika apabila tiba-tiba kami terhidu bau busuk yang amat sangat.
 
Kami tercari-cari punca datangnya bau tersebut dan amat terkejut apabila mendapati terdapat tapak pelupusan sampah betul-betul terletak di tepi jalan utama.
 
Melewati pekan-pekan kecil yang terdapat di Cameron Highlands mengingatkan kami kepada pekan-pekan kecil di Indonesia yang tidak teratur dan menyakitkan mata. Bangunan kedai termasuk kedai ‘hardware’ serta rumah kediaman didirikan sesuka hati di mana sahaja termasuk di tebing dan amat dekat dengan jalan.
 
Tanpa mempedulikan hal itu agar tidak menjejaskan mood percutian, kami terus melawat tempat-tempat menarik di Cameron Highlands berpandukan senarai yang terdapat dalam peta Cameron Highlands. Malangnya kami dapati kebanyakan tempat yang kami lawati tidak seindah dan menarik seperti dalam peta.
 
Setelah menginap satu malam di sebuah hotel empat bintang dengan sewa bilik yang mahal tetapi tidak mempunyai apa-apa keunikan, kami meninggalkan Cameron Highlands dan ingin balik melalui Tapah. Namun sekali lagi kami bernasib malang kerana disebabkan oleh keadaan papan tanda yang mengelirukan di Ringlet, kami telah termasuk ke jalan menuju Betau, Pahang.
 
Melengkapkan pengalaman pahit percutian kami di Cameron Highlands ialah sepanjang perjalanan tersesat menuju Betau, langsung tiada papan tanda yang membantu malah tempat untuk berhenti rehat dan membuang air juga langsung tidak disediakan.
 
Kepada semua yang berkenaan dan mempunyai bidang kuasa untuk melakukan sesuatu, bertindaklah sekarang sebelum terlambat. . .
 
Pelancong Kecewa
Selangor Darul Ehsan

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock