Catatan kedua mengenai Jalan Tapah ke Cameron Highlands ini adalah mengenai satu lagi tempat yang menarik untuk disinggahi oleh pengunjung iaitu Lata Iskandar.
Terletak lebih kurang 24 km dari Tapah atau 35 minit pemanduan, lokasi air terjun ini mudah dikunjungi kerana terletak bersebelahan jalan.
Namun antara yang menyulitkan adalah ruang letak kenderaan yang amat terhad serta berada di sebelah laluan yang sibuk dan selekoh merbahaya.
Berdasarkan permerhatian saya ini bukanlah halangan kepada pengunjung untuk singgah dan berehat seketika selepas mengharungi laluan berselekoh samada mahu naik ataupun turun dari Cameron Highlands.
Selain itu terdapat juga gerai jualan seperti makanan, buah-buahan dan peralatan hasil kraftangan seperti ukiran, tongkat, tudung salji, sumpit serta pelbagai lagi.
Malah jika kena pada musimnya terdapat juga jualan hasil hutan oleh penduduk Orang Asli seperti petai, rebung mentah, akar kayu serta pelbagai lagi khazanah hutan.
Bercerita mengenai Lata Iskandar ini, terdapat sebuah lata atau air terjun sekitar 20 meter hingga 40 meter yang menuruni permukaan batu dan terdapat sebuah kolam yang tidak begitu dalam dibawahnya untuk bermandi manda.
Alurnya bawahnya pula amat cetek dan jernih serta amat bersesuaian untuk kanak-kanak mandi manda.
Kemudahan laluan mendaki untuk ke puncaknya juga tersedia dengan terbinanya tangga berpagar untuk ke bahagian atas.
Namun utamakan keselamatan anda jika berada di bahagian alur atas ini kerana permukaan batunya mungkin licin dan jika tergelincior kebawah pasti bukanya satu pengalaman yang anda inginkan jika berada di sini.
Manakala terdapat beberapa pondok rehat dengan pemandangan yang cantik dan terus ke air terjunnya.
Kawasan Lata Iskandar ini berhampiran dengan penempatan Orang Asli dan tidak hairanlah jika anda dapat melihat kelibat Orang Asli mundur mandir di kawasan sekitarnya.
Berhati-hati meniti batu batu di sini...
No comments:
Post a Comment