TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Showing posts with label melayu. Show all posts
Showing posts with label melayu. Show all posts

Tuesday, June 19, 2012

Catatan Perjalanan : Jalan-Jalan di Melaka..Masjid Kampung Hulu

Selepas mengunjungi Masjid Kampung Kling, saya menuju pula ke sebuah lagi Masjid yang popular malah dikatakan paling tua di Negeri Melaka iaitu Masjid Kampung Hulu.

Dari Jalan Tukang Emas saya melewati pula Jalan Bunga Raya untuk ke yang tertua di bina di Melaka  yang dikatakan dibina sekitar 1702-1728 Jalan Kampung Hulu, Banda Hilir.
Masjid ini terletak dihadapan barisan kedai-kedai milik peniaga Cina dan yang paling popular adalah Supermarket Tong Hup yang dikatakan murah baranganya dan tidak hairanlah jika ianya kelihatan sibuk di waktu siang.
Berbeza dengan Masjid Kampung Kling, masjid ini lebih luas kawasan halamannya dan mempunyai ruang letak kereta yang luas.


Namun terlihat sedikit persamaan dengan senibina Masjid Kampung Kling dan masjid-masjid yang lain di Melaka iaitu tiga paras bumbung yang berbeza dan juga menara seakan-akan pagoda.

Kelainan seni bina masjid lama di negeri ini jika dibandingkan dengan masjid di negeri-negeri lain adalah terletak pada tiga lapisan bumbungnya yang diperbuat daripada tanah liat dan sebuah menara batu yang berbentuk seperti kubu, namun sebenarnya berfungsi sebagai tempat laungan azan.


Masjid-masjid lama di negeri ini juga mempunyai empat tiang seri yang menjadi pendokong kepada bumbung dan lantai masjid.
Mereka percaya bahawa lapisan paling atas bumbung masjid bererti `iman manusia kepada tuhan’, lapisan kedua, `hubungan manusia dengan manusia’ dan ketiga membawa maksud `alam semula jadi yang menghubungkan manusia dengan Pencipta’.

Dikatakan mendapat pembiayaan oleh Belanda dan diketuai pembinaanya oleh Datuk Samsudin bin Arom yang merupakan seorang pendagang dari negara China.


Malah kalau mengikut Utusan Malaysia ianya merupakan dibina kerana niat selepas terselamat dari peristiwa kapalnya karam. Malah segelintir masyarakat tempatan mengelarkan masjid ini sebagai Masjid Niat.
Itu berkenaan dengan sejarah tetapi yang berikutnya adalah berkenaan pemerhatian saya ke masjid ini. Biarpun hari Jumaat, saya dimaklumkan giliran sembahyang jumaat minggu itu adalah Masjid Kampung Kling namun saya melihat masjid ini masih meriah dengan kunjungan pelawat dan warga tempatan.
  
Antara yang mungkin sedikit culas kepada saya ialah aktiviti mengambil air kolah masjid ini untuk dijampikan oleh seorang 'ustaz' (barangkali) dibahagian luar masjid.


Menurut sisipan Utusan Malaysia, penduduk sekitarnya mempercayainya air kolah masjid ini mujarab untuk merawat sakit-sakit badan dan sebagainya. Wallahualam.
Banyak kisah di sebalik sejarah mengenai masjid ini akan dapat anda perolehi jika kita ringan lidah bersembang dengan penduduk setempat yang menjadikan masjid ini sebagai tempat rehat.


Tak sesat dan rugi jika bertanya dan bermesra dengan mereka malah anda akan dapat mengetahui kisah yang juga ... apakah kisahnya itu? cubalahh...

Wednesday, June 15, 2011

Melayu oh Melayu ..siri 4

Aku membaca siri catatan Ustaz Ridhuan berkenaan Kiasu yang seringkali dikaitkan dengan semangat tidak mahu kalah di kalangan dalam diri masyarakat Kaum Cina. Ianya bukannya satu bentuk fahaman mahupun amalan keagamaan tetapi lebih kepada nilai jati diri yang terdapat dalam masyarakat kaum ini.

Melihat secara sebaliknya, sikap ini sebenarnya dimiliki oleh semua kaum di dunia tetapi hanya dinilai dengan pelbagai tahap kekiasuan masing-masing.

Perlukah  kita sikap kiasu ini. Pastinya ada panduan hidup yang jelas untuk menjadi ultra kiasu...

Melayu mesti ‘kiasu’ untuk berjaya

Melayu mesti ‘kiasu’ untuk berjaya.
SAYA amat tertarik dengan syarahan Profesor Diraja Ungku Aziz, di Universiti Malaya minggu lalu. Beliau menyarankan orang Melayu supaya mempunyai sikap ‘kiasu’ untuk berjaya seperti mana amalan orang Cina.

Kiasu adalah perkataan Hokkien (Cina) bermaksud takut kalah. Kiasu boleh diaplikasikan dalam berbagai keadaan aspek hidup. Takut kalah dalam sebarang persaingan atau pertandingan atau peperangan. Dalam konteks ini, sudah tentu persaingan dan pertandingan yang sihat dalam perkara kebaikan. Dalam konteks Melayu, kiasu dengan bangsa lain dan mahu hidup gagah, dipandang hebat di bumi sendiri.

Sebenarnya, budaya hidup orang Melayu telah lama tersemat dengan sikap kiasu sejak mereka menerima Islam 600 tahun lalu. Terbukti, orang Melayu pernah berjaya mentadbir dan menguruskan negara sendiri iaitu kerajaan Melayu Islam Melaka sehingga terkenal seantero dunia, termasuk menjadi tarikan kerajaan negara China.

Tamadun Melayu pernah mengalami pasang surut. Melayu pernah hidup mewah dan pernah hidup susah. Pernah tinggal di bandar dan tidak kurang di kampung-kampung, pernah berniaga dan pernah mengusahakan hasil tani.

Pengalaman yang dilalui telah menjadikan mereka mempunyai semangat kental. Kita jangan lupa, siapa yang mengusir penjajah keluar kalau bukan orang Melayu. Inilah sikap kiasu. Takut kalah di bumi sendiri. Takut dijajah di bumi sendiri.

Inilah perkara yang cuba dibawa oleh Ungku Aziz. Tamadun Melayu Islam menjadi hebat juga disebabkan oleh ilmu. Kekuatan ilmu ini yang telah mencorakkan sikap Melayu untuk berdaya saing. Kekuatan ilmu telah menjadi orang Melayu mahu berfikir lebih jauh ke hadapan. Mereka tidak mengambil jalan singkat, tetapi sentiasa berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Penjajah demi penjajah datang, akhirnya berjaya mereka halau.

Cuma hari ini, mereka mulai lupa jerit pahit tok nenek moyang mereka. Mereka menjadi manusia yang malas berfikir, tetapi mahu hidup mewah. Akhirnya mencari jalan pintas.

Semangat kepahlawanan telah hilang. Semangat bendahara dan hulubalang telah lunyai. Mereka hanya berbangga menjadi ‘tuan’ negara ini. Mereka sudah lupa bagaimana ‘ketuanan’ itu wujud sebelum ini.

Budaya berfikir sudah tidak wujud lagi seperti sabda nabi, berfikir seminit lebih baik daripada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat. Berfikir adalah proses yang paling tinggi dalam pembelajaran. Ada yang suka membaca tetapi tidak mahu berfikir. Sekadar membaca tidak cukup kerana membaca tanpa berfikir tidak akan memberikan kesan. Inilah konsep generasi ulul albab yang diperbahaskan dengan panjang lebar dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Sebenarnya kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh telah lama mempelopori istilah ini. Saya sering kali ke sana memberikan penerangan mengenai istilah ulul albab. Sebenarnya istilah-istilah dalam al-Quran, penuh dengan semangat kiasu. Cuma kita sahaja yang tidak mahu mencungkilnya.

Selain istilah ulul albab, ada satu lagi istilah yang membawa makna mengalahi kiasu ialah ulil absar, orang yang memiliki pandangan atau wawasan.

Dalam konteks ini, orang yang memiliki pandangan atau wawasan yang jauh ke hadapan. Orang yang memiliki fikiran dan wawasan jauh ke hadapan akan tetap kiasu.

Kalau kita bandingkan dengan orang Cina di negara kita, sejak awal-awal lagi mereka kiasu. Takut kalah di bumi orang. Takut merempat di bumi orang.

Sebab itu istilah Cina seberang laut, berbeza dengan Cina di tanah besar. Cina seberang laut, boleh dikatakan lebih berjaya daripada orang Cina di negeri China. Cina seberang laut mempunyai semangat kiasu luar biasa sehingga dapat membentuk sebuah negara sendiri iaitu Singapura yang asalnya sebuah negara Melayu. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Kerana mereka percaya kepada ‘satu Cina’ walaupun terdapat berbagai kumpulan atau istilah Cina, mereka tetap kiasu. Ke mana pun mereka pergi, mereka tetap Cina walaupun apa juga nama, kumpulan, bahasa, dan ideologi.

Berbeza dengan orang Melayu. Semua yakin bahawa Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Hanya ada ‘satu Melayu’ iaitu mereka yang beragama Islam. Tetapi Melayu Islam ini dipecah-pecahkan mengikut semangat kedaerahan, kumpulan, bahasa, parti politik dan ideologi. Tidak pada orang Cina, walaupun kita lihat di kalangan orang Cina itu sendiri ada berbagai-bagai agama seperti Buddha, Confucius, Toaism, Kristian dan Islam (ini tidak termasuk kelainan bahasa, dialek dan sebagainya) tetapi mereka berpegang kepada semangat ‘satu Cina’.

Sebenarnya, orang Melayu lebih mudah, sebab mereka hanya ada satu, ‘Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu’ iaitu Melayu Islam. Jika mereka mempunyai pemikiran dan wawasan berjuang atas nama ‘satu Islam’ maka banyak masalah yang boleh diselesaikan.
Satu Islam untuk semua manusia, tak kira apa bangsa sekalipun. Kita hanya ada satu kiasu. Tetapi semangat satu kiasu tidak tertonjol kerana kita membesar-besar perbezaan, lebih-lebih lagi perbezaan pendapat dan latar belakang politik. 

Tuesday, June 14, 2011

Melayu oh Melayu ..siri 3

Transformasi pemikiran Melayu

Sabtu 12 Mac 2011, saya dijemput untuk menjadi panel bercakap mengenai Agenda Transformasi Ekonomi Melayu Islam anjuran Majlis Perundingan Melayu. Dalam kalangan peserta, mungkin hanya saya seorang sahaja yang bukan Melayu, tetapi mungkin Melayu mengikut perlembagaan. Saya amat tertarik dengan pembentangan Tan Sri Mohd Ali Hashim, bekas Ketua Eksekutif Johor Corp. mengenai wakaf korporat.

Umum mengetahui bahawa Ali Hashim adalah tokoh yang banyak berjasa, terutama kepada negeri Johor khususnya, Malaysia amnya, tidak ketinggalan peringkat antarabangsa. Visi dan misinya cukup jelas. Sumbangan beliau dalam membangunkan ekonomi Melayu Islam, perlu dijadikan teladan. Dirinya sendiri tidak sekaya orang lain yang mendapat peluang menerajui syarikat kerajaan seperti ini. Beliau layak digelar tokoh pejuang pembangunan ekonomi Islam melalui jihadnya menyedarkan umat Islam akan kepentingan ekonomi dan bisnes.

Saya yakin jika orang lain yang menerajui perbadanan ekonomi negeri yang begitu besar dan kaya, belum tentu dapat melepasi godaan dan ujian wang dan harta. Namun, tidak kepada Ali Hashim. Slogan jihad bisnesnya tidak pernah layu, walaupun jawatannya telah dilayukan. Adalah amat diharapkan anak didiknya di Johor Corp akan mewarisi perjuangan beliau dengan agenda jihad bisnes meningkatkan ekonomi umat Islam.

Bila disebut jihad, maka ia tidak dipisahkan dengan tuntutan Islam. Justeru, umat Islam mestilah serius dan bersungguh-sungguh dalam kerja laksana berada di medan perang. Begitu juga dengan agenda transformasi ekonomi Melayu Islam sedang rancak diperkatakan. Orang Melayu Islam mesti menjadikan agenda transformasi ekonomi ini sebagai satu jihad, jika mahu membela nasib anak bangsa di bumi sendiri.

Kenapa jihad itu penting? Kerana jihad itu adalah makam yang begitu tinggi apabila menilai pengorbanan insan yang bernama Muslim kepada Penciptanya. Jihad berkait rapat dengan keseriusan hidup Muslim yang ingin berkorban untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT atau mardhotillah dalam mengimarahkan bumi ini.

Di sinilah kita dapat lihat keunikan Ali Hashim. Beliau begitu berani melakukan transformasi dengan mengambil pendekatan Islam dalam membangunkan tradisi korporat, pelaburan, pembangunan dana dan wakaf. Jika orang lain, mereka mungkin rasa takut sedikit. Almaklumlah pendekatan Islam selalu dipersepsikan sebagai kuno, konservatif dan selangkah ke belakang.

Pendekatan Islam ini dikaitkan dengan imej segelintir orang agama yang bergelar ustaz dan ustazah yang tidak dapat menunjukkan contoh yang baik. Lebih menyedihkan ada yang berusaha mendapat publisiti murahan. Ilmu yang tidak sedalam mana, digunakan untuk untuk memukau orang ramai melalui kepetahan bercakap dan menggunakan lawak-lawak bodoh dan cerita rekaan yang tidak masuk akal. Tujuannya tidak lain agar orang ramai terpengaruh dengan cerita-cerita yang dibawa. Golongan ini tidak sedar akan implikasi akibat tindakan tersebut.

Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga, tindakan sebegini akan menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam. Sukar untuk kita menarik kepercayaan orang ramai tentang dinamika Islam. Sebut sahaja Islam, dalam pemikiran mereka, Islam ini jumud, tidak progresif, suka cerita-cerita tidak masuk akal dan sebagainya. Lebih meloyakan lagi apabila ada seorang ustazah baru-baru ini mengaitkan valentine day atau hari kekasih dengan amalan agama Kristian. Berdua-duan atau coupling lelaki perempuan tanpa nikah dikatakan sumber ajaran tersebut.

Kenyataan ini sudah tentu menyimpang dari landasan ilmu kehidupan manusia beragama, tidak kira apa jua agama anutannya. Kenyataan sebeginilah saya fikir menjadikan orang bukan Islam, termasuk orang Islam keliru dengan pendekatan Islam. Maka tidak hairan jika ada yang tidak yakin bahawa pendekatan Islam itulah yang terbaik. Termasuk dalam memperkatakan pengurusan dan pentadbiran ekonomi Islam seperti isu wakaf.

Kadangkala saya merasa pelik, kenapa kita memandang rendah pada pendekatan Islam atau cara Islam menangani sesuatu permasahanan. Kita terhegeh-hegeh melihat pendekatan barat. Pada mereka, pendekatan baratlah atau mungkin juga timur yang terbaik. Wal hal, pendekatan Islam yang menjadi darah dagingnya tidak pernah dikaji. Sedangkan, pendekatan Islam pernah menjadi altenatif dan berjaya. Zaman kemuncak keagungan Islam telah membuktikannya.

Golongan yang taksub dengan pendekatan barat ini tidak pernah terfikir bahawa Islam pernah menyumbang kepada perkembangan tamadun dunia. Mereka tidak sedar, apa yang disumbang oleh barat hari ini, adalah hasil daripada sumbangan Islam terdahulu. Cuma pendekatan tersebut telah dimatikan oleh orientalis barat.

Dalam Islam, perniagaan bukan hanya dibangunkan untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi tetapi juga melakukan kebajikan kepada rakyat dan membina kesejahteraan negara. Islam amat mementingkan muafakat, rasa kepunyaan dan rasa kekitaan sehingga transformasi ekonominya bukan hanya memberikan manfaat kepada orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam.

Namun, sifat ini mula hilang daripada diri kita, seolah-olah nilai-nilai Islam sudah tercabut. Sedangkan di barat, jutawan muda seperti Mark Zuckerberg (pengasas facebook), Bill Gates, Warren Buffet dan sebagainya, menjihadkan sebahagian daripada harta mereka untuk kepentingan awan dan orang ramai. Kita tidak bersikap sedemikian, pantang kaya sedikit, mulalah kawin dua, tiga dan empat. Jika sudah melebihi empat, sanggup ceraikan yang lama.

Lebih menyedihkan lagi, kedengaran ada yang sanggup menggunakan helikopter untuk bertemu kekasihnya. Hidup nafsu-nafsi. Wang ditaburkan dan dibazirkan. Berlagak tidak tentu pasal. Sama ada perbuatan tersebut salah atau tidak, nilaikanlah sendiri.

Inilah bentuk pemikiran Melayu Islam yang mesti diubah apabila bercakap soal transformasi ekonomi Melayu Islam. Jika tidak, cakaplah sampai bebuih-buihpun, hasilnya tetap sama. Balik semula kepada perangai lama. Transformasi ekonomi tidak seiring dengan transformasi cara berfikir dan cara bertindak.

Pendekatan jihad bisnes dan wakaf pada saya adalah transformasi yang mesti dilakukan segera. Meletakkan kepentingan Melayu Islam secara keseluruhan berbanding kepentingan diri atau kepentingan lain. Ura-ura Johor Corp untuk menjual Kulim Berhad, melihat kepentingan KFC (Kentucky Fried Chicken) hendaklah dihentikan. Tindakan ini bukanlah cara untuk melangsaikan hutang Johor Corp kerana ia melibat kepentingan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.

Jika berlaku juga penjualan syarikat ini, kita meminta dan merayu agar syarikat kerajaan (GLC) seperti Petronas, Tabung Haji, PNB dan sebagainya dalam membeli kepentingan syarikat tersebut.

Yusuf al-Qaradawi menggariskan beberapa perkara untuk mentransformasikan pemikiran umat Islam. Antaranya, mendahulukan perkara yang pasti berbanding yang masih ragu-ragu. Kedua, mendahulukan perkara yang besar berbanding yang kecil. Ketiga, mendahulukan kepentingan umat (Islam) berbanding diri. Keempat, mendahulukan kepentingan berpanjangan berbanding kepentingan sementara. Kelima, mendahulukan kepentingan utama berbanding kepentingan yang rasmi (protokol), dan akhirnya, mendahulukan kepentingan masa depan berbanding masa kini.

Kesemua transformasi yang digariskan oleh Yusuf al-Qaradawi ini mesti diberikan perhatian oleh umat Islam hari ini jika mereka benar-benar mahu melakukan agenda perubahan. Transformasi tidak akan berlaku jika tidak disertai dengan cara berfikir dan tindakan. Apa gunanya bangunan bertingkat-tingkat jika maksiat tumbuh macam kulat. Apa gunakan pendapatan rakyat meningkat, jika umat Islam terlalu mengejar dunia sehingga melupakan akhirat. Apapun transformasi yang dilakukan, pendekatan berimbang atau wasatiyyah mesti diambil kira.

Yang pasti, umat Islam mesti boleh bersaing dan tidak boleh ketinggalan. Apapun yang berlaku, kepentingan masa depan mesti diambil kira. Jika tidak, Melayu Islam pasti menyesal suatu hari nanti.

Ingatlah, Allah melimpah ruahkan kekayaan di bumi Melayu. Sumber yang sedia ada sudah cukup untuk membangunkan orang Melayu untuk menjadi bangsa hebat. Jangan biarkan Melayu terus melayu. Anak-anak muda mesti dibangunkan mindanya.

Jika Melayu Islam diberi pilihan, manakah lebih afdal dan lebih banyak pahalanya, kaya tetapi bersyukur atau menjadi orang miskin tetapi bersabar? Dalam kata lain, menjadi orang kaya tetapi tidak bersyukur atau menjadi orang miskin tetapi bersabar? Pada para ulamak, kaya tetapi bersyukur itu adalah lebih utama. Namun, untuk menjadi kaya tetapi mahu bersyukur bukanlah sesuatu yang mudah, seperti mana firman Allah SWT, …dan sedikit sekali dari hamba-hamba Ku yang berterima kasih (surah Saba’: 13)

Semua ini menjadikan saya teringat kepada kejayaan May Kay Ash, jutawan kosmetik di Amerika. Apabila ditanya resepi kejayaan, jawapannya adalah ikut susunan prioriti iaitu letakkan Tuhan di tempat pertama, keluarga di tempat kedua dan ketiga adalah syarikat Kosmetik Mary Kay. Transformasi sebegini katanya membawa berkat kepada syarikatnya. Justeru, sudah tentu dalam transformasi ekonomi Melayu, agenda Islam tidak boleh dilupakan. Agenda Islam itu tidak dapat lari daripada jihad bisnes dan wakaf korporat.

Kadangkala saya amat jelik dengan segelintir Melayu Islam yang mula naik tocang dan lupa diri apabila terasa diri pandai sedikit atau kaya sedikit atau mempunyai kuasa sedikit. Segelintir golongan ini mahu menunjuk pandai sehingga tergadai jati diri. Terlalu bertolak ansur, sehingga akhirnya ditolak secara beransur-ansur. Akibatnya, jati diri, maruah dan hak umat Islam menjadi semakin hancur.

Melayu oh Melaayu ..siri 2

Antara yang gemar aku baca adalah tulisan Ustaz Ridhuan Tee yang sememang cukup terkenal dengan coretan mengenai kedudukan dan kekuatan dari celah celah kekalutan bangsa Melayu dan kebangkitan bangsanya sendiri. Melihat dari kaca mata biasa, beliau boleh dianggap melawan norma bangsanya dan kalau istilah derhaka digunakan, rasanya bangsa telah lama memberi label dan gerakan tersebut kepada beliau.

Namun kalau dilihat dari segi semangat beliau mempertahankan bangsa MELAYU, aku terselit rasa bangga dan terharu. Bukan sedikit cacian,kejian malahan ugutan beliau terima demi kata-kata dan tulisan beliau itu. Untuk siri ini aku akan cuba memetik catatan beliau mengenai Melayu yang menjadi pilihan minda aku untuk dikongsi selebihnya anda boleh ke http://ridhuantee.blogspot.com/ untuk coretan menarik beliau.

Coretan pertama aku pilih beliau menulis bagaimana kita perlu belajar akan kepupusan bangsa yang terdahulu... dan adakah bangsa MELAYU akan mengjadi kesinambungan senarai tersebut kelak...

Tepuk dada tanya selera.. kita yang mencorak masa depan kita ...
"ibarat seorang abang menegur adik atau ibu dan anak menegur anak, juga dikatakan salah, makalah salahlah aku ...  dan kalaulah  aku seorang Melayu, menegur bangsaku yang juga Melayu dikatakan rasis, maka rasislah aku dan aku tak akan menyesal kerana aku tidak mahu kesal di akhir kelak"

Ambil pengajaran bangsa yang pupus

Sinar Harian 12 Jun 2011

Saya melihat generasi bangsa Melayu hari ini agak begitu complacent dengan kata-kata Hang Tuah, “Tak Melayu hilang di dunia”. Benarkah Melayu tidak akan hilang dengan melihat realiti hari ini? Perlu diingat bahawa tidak ada jaminan sesuatu bangsa dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatannya hingga akhir zaman, hanya kerana mereka adalah peribumi yang mewarisi tanah pusaka nenek moyang. Jika kita mudah lupa, tidak bersedia, tidak bertegas dan engkar kepada perintah Allah, maka tunggulah harinya.

Realiti yang sedang berlaku di depan mata kepada umat Islam di Palestin dan orang Melayu Singapura amat menghibakan. Peribumi merempat di bumi sendiri dan tidak tahu ke mana nasibnya selepas itu. Apakah kita tidak mengambil pengajaran? Walaupun belum pupus, tetapi tanda-tanda kepupusan sudah semakin nyata akibat perpecahan yang tidak berkesudahan.

Tidak perlulah dinukilkan apa yang telah terjadi kepada kaum Lut, kaum ‘Add, penduduk Madyan, kaum Tsamud, Firaun, Qarun dan Haman yang telah dibinasakan oleh Allah. Jika sampai terjadi, generasi hari ini bakal dikutuk dan disumpah oleh generasi akan datang atas keegoan dan keangkuhannya.

Ingatlah, sudah banyak umat yang terusir dari tanah air, malah tidak sedikit yang telah hilang di dunia. Mereka yang berhak mewarisi bumi pusaka tidak semestinya bumiputera, tetapi sesiapa sahaja Allah akan gantikan jika sesuatu bangsa itu tidak bersyukur dan beriman. Mereka yang kekal di bumi sendiri adalah mereka yang beramal soleh dan tidak mengkhianati Allah. Begitulah ketetapan Ilahi sejak dahulu, kini, dan selama-lamanya;

"Dan sesungguhnya telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis di dalam) Lauh Al-Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang soleh" (Al-Anbiya: 105).

Sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu bangsa hancur disebabkan oleh mereka mudah lupa, rosak akhlaknya dan perpecahan yang tidak berkesudahan. Lebih malang jika Islam telah tercabut dalam dirinya. Allah yang berkuasa menjadikan, Allah juga berkuasa untuk menghapuskan.

“Maka tiap-tiap (mereka itu) Kami binasakan disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya angin ribut, hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang dibinasakan dengan letusan yang menggempakan bumi, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka yang Kami tenggelamkan di laut, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiayai mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Al-Ankabut: 40)

Berdasarkan ayat ini, Allah telah menurunkan empat jenis azab yang telah ditimpakan ke atas umat terdahulu yang sebelum ini hebat dan gagah perkasa. Namun tiba-tiba, dengan sekelip mata hilang di dunia. Kepupusan yang berlaku bukan disebabkan Allah mahu menganiaya mereka, tetapi akibat dosa-dosa dan kezaliman mereka sendiri.

Justeru, sudah sampai masanya kita membuat muhasabah diri sendiri, apakah selama ini kita semakin tunduk dan sujud kepada Yang Maha Esa atau sebaliknya banyak melakukan kemungkaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh umat terdahulu? Firman Allah SWT lagi:

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai yang mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain.” (Al-An'am: 6)

Kekuatan dan kehebatan, kekuasaan dan kestabilan sama sekali bukan jaminan untuk terus kekal dan unggul. Sekelip mata boleh menjadi padang jarak padang terkukur jika Allah mengkehendakinya. Hancurnya kaum ‘Add dan kaum Tsamud, tenggelamnya Firaun dan Haman, serta punahnya Qarun ditelan bumi, tidak pernah ditangisi sebagai suatu tragedi. Satu bangsa boleh ada dan boleh tiada, satu generasi boleh datang dan pergi. Dunia tidak pernah rugi. Setiap yang pergi, pasti ada pengganti yang lebih baik.

Namun, manusia selalu leka apabila mendapat kuasa. Mereka lupa bahawa kuasa adalah milik Allah. Manusia hanyalah pemegang amanah. Justeru, manusia mesti tunduk dan sujud kepadaNya. Manusia tidak boleh bermarajalela dan bertindak sewenang-wenangnya, seolah-olah dunia ini ‘ana yang punya’. Rakyat adalah hamba dan abdinya. Penguasa seperti ini biasanya tidak akan kekal lama. Apa yang berlaku di Mesir dan negara-negara Arab yang lain, sudah jelas menunjukkan bahawa seisi alam ini adalah milik Allah dan manusia hanya meminjam buat sementara. Amanah ini hendaklah dipikul dengan ikhlas dan diserahkan kepada Pencipta.

Manusia yang terpedaya dengan kuasa itulah yang dibinasakan Allah dengan cara-cara yang dikendakiNya. Ada yang dihancurkan melalui bencana yang menimpa secara tiba-tiba seperti Tsunami. Tidak kurang yang dibinasakan dengan perpecahan sesama mereka. Ada yang musnah melalui proses yang memakan masa seperti serangan wabak penyakit, krisis ekonomi, krisis alam sekitar dan sebagainya lagi.

Kesimpulannya, nasib suatu bangsa sangat bergantung kepada kualiti diri yang dicirikan oleh khidmat dan manfaat. Suatu bangsa layak untuk terus hadir di dunia selama kehadirannya bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat. Hakikat inilah yang tersirat di sebalik ungkapan simbolik oleh Allah SWT yang bermaksud:

"...Adapun buih itu, akan hilang sebagai (bahan) yang tidak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan. (ar-Ra'd: 17).

Rasulullah SAW turut mengingatkan perkara yang sama, akan tiba satu zaman yang mana umat Islam akan dikerumuni oleh semua bangsa di seluruh dunia, seperti mereka ingin memakan hidangan makanan. Sahabat bertanya “adakah umat islam sedikit pada waktu itu”. Rasulullah menjawab” Tidak,bahkan kamu banyak seperti buih di waktu banjir. Tetapi Allah telah mencabut rasa gerun dihati musuh-musuh kamu terhadap kamu dan Allah mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu”. Sahabat bertanya “Apakah wahan itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab “cintakan dunia dan takutkan mati”.”

Kiasan buih di sini adalah lambang kualiti sesuatu bangsa. Kosong tanpa isi walaupun membukit tingginya. Mudah pecah dan hilang. Persoalannya, adakah kita akan menjadi seperti buih? Mampukah kata-kata “Tak Melayu hilang di dunia dipertahankan, jika langkah-langkah sewajarnya tidak diambil untuk menyelamatkan Melayu? Justeru, untuk terus kekal relevan di nusantara ini, Melayu mesti bersatu atas asas Islam, bersedia menyumbang, mempunyai visi dan misi, idealisme dan iltizam.

Umat Islam tidak boleh duduk berdiam diri sahaja, dengan melihat sahaja apa yang berlaku. Lupakanlah perbezaan latar belakang, bangsa, ideologi dan parti politik buat selama-lamanya. Kita semua perlu menjadi penyumbang. Masa bermain-main sudah tamat. Sekarang adalah masa bekerja dan memikirkan masa depan umat Islam secara keseluruhan.

Ingatlah! Orang orang kafir sentiasa merancang untuk memusnahkan Islam. Tanpa putusa asa, mereka sentiasa mengkaji setiap kelemahan umat Islam. Strategi ini tidak pernah berhenti kerana ia adalah senjata yang paling berkesan. Menunggu masa sahaja untuk menggunakan senjata itu sepenuhnya. Hari ini senjata tersebut telahpun digunakan. Mungkin kita buat-buat tidak berapa perasan. Situasi yang dihadapi oleh umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuhnya.

Bertambah menyedihkan apabila umat Islam sendiri mengecam sesama sendiri, seolah-olah sudah tidak wujud persaudaraan lagi. Sedangkan Allah SWT sentiasa mengingatkan bahawa semua orang Mukmin itu bersaudara, tidak kira apa jua bangsa dan warna kulitnya.

Sejarah telah membuktikan, telah menjadi sunnatullah, generasi bangsa yang sudah tidak dapat diharapkan akan dibinasakan Allah. Mereka segera digantikan oleh generasi lain yang lebih baik, yang watak dan kualiti begitu jauh berbeza dengan sebelumnya.

Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka(Surah al-Kahfi: 59).

Dalam surah at-Taubah ayat 38-39, Allah SWT memberikan ancaman kepada mereka yang sudah tidak mahu berjuang, mereka yang lalai dengan kesenangan hidup, terpedaya dengan habuan keduniaan yang bersifat sementara dan tidak seberapa. Sedangkan semua tahu bahawa kebahagiaan akhirat yang kekal abadi. Jangan sampai Allah SWT gantikan kita dengan orang lain disebabkan oleh kelalaian dan kecuaian sendiri.

Sedarlah wahai umatku, kesenangan dan kemewahan duniawi dapat membunuh idealisme dan melumpuhkan daya juang, jika tidak diseimbangkan dengan kepentingan ukhrawi. Bangsa yang telah hanyut dan terlalu obses dengan kebendaan hanya akan melunturkan dan mematikan perjuangan, adalah bangsa yang segera akan hilang di dunia. Saya tidak bertujuan untuk menakut-nakutkan kita sebagai umat Islam, kerana saya bukan penulis upahan yang mendapat jutaan ringgit seperti yang didakwa. Saya hanya seorang ahli akademik yang imbuhan gajinya tidak seberapa. Tetapi saya sentiasa beringat dengan ancaman Allan SWT yang bermaksud:

"Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan ditukarnya (kamu) dengan kaum yang lain,..."(Surah at-Taubah: 39).

Yakinlah umatku, tanda-tanda bangsa pupus sudah semakin jelas dan menghampiri. Jika benar-benar berlaku pertembungan sesama umat Islam seperti yang dirancangkan pada 9 Julai ini sehingga berlaku tumpah darah, maka itulah adalah satu malapetaka yang dirancang. Memang, seolah-olah nampak ada orang bukan Islam bersama.

Persoalannya, adakah mereka akan meneruskan rancangan ini jika umat Islam tidak bersama mereka? Kita jangan terperangkap. Jangan nanti yang bertempur adalah kalangan yang berkulit sawo matang. Yang lain akan lari bertempiaran.

Saya berpendirian, menyokong tidak, menentangpun tidak, kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi. Rakyat ada hak untuk bersuara melalui pelbagai saluran yang telah dibenarkan dan disediakan. Bukan hanya dengan berhimpunan melalui pelbagai nama.

Apa yang penting jangan sampai berlaku pertempuran, jika ditakdirkan perhimpunan tersebut masih mahu diteruskan. Ada yang beranggapan bahawa itu adalah perhimpunan aman, tetapi adakah sesiapa boleh pastikan ia akan terus aman. Kita tidak tahu provokasi yang akan dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga boleh menyebabkan berlaku sesuatu di luar kawalan. Namun, saya tidak nampak rakyat Malaysia akan bertindak seperti apa yang berlaku di seperti di Mesir, Tunisia dan Syria kerana gaya dan cara hidup kita berbeza.

Kenyataannya, apa jua yang cuba dilakukan oleh Pas dan Umno terus berlaku pertembungan. Titik pertemuan semakin jauh. Titik perbezaan semakin meluas. Apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang terus dibangkang, apa yang dilakukan kerajaan juga dibangkang. Kenapa tidak, jika baik, disokong, jika mungkar ditentang. Yang hak tetap hak, yang batil tetap batil. Ambillah pengajaran bangsa-bangsa yang telah pupus.

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock