TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Showing posts with label kelapa sawit. Show all posts
Showing posts with label kelapa sawit. Show all posts

Tuesday, July 17, 2012

Felda : Menjadi peneroka ...


Aku membaca beberapa artikel mengenai Felda dan peneroka. Aku membaca coretan dari Facebook yang berkaitan dengan Felda.

Aku membaca kisah Politik mengenai Felda dan semua diceritakan mengenai Felda baik yang baik ataupun buruk.

Ada yang memuji dan ramai juga mengeji. Ada yang kata-kata dari kalangan peneroka dan generasinya dan ada yang tiada kaitan sejarah dan hubungannya.

Entah siapa yang betul dan siapa yang salah. Siapa hero dan siapa penjenayah.


Penempatan Felda - gambar pinjam
Namun, aku mempunyai kisah yang lain untuk dikongsi. Kisah dari pengalaman ingat-ingat lupa aku mengenai melapor diri sebagai peneroka cuma bukan pengalaman ayah dan mak aku kerana semasa melapor diri ke Felda Kumai, aku masih dalam umur bulan lagi bukannya tahun.

Pengalaman melapor diri ini adalah kisah benar yang di antara 'ingat-ingat lupa' aku mengenai Keluarga Pak Cik aku pada tahun 1985 kalau tak silap aku.

Mungkin bagi generasi kedua Felda yang lebih berusia mengingati bagaimana pengalaman keluarga mereka melapor diri dan mungkin boleh bertanya mengenainya daripada orang tua masing-masing.

Dari Kampung ke Tanah Rancangan:

Ayah aku merupakan anak sulong dari keluarganya dan mempunyai 3 adik yakni Mak Lang Endon, Pak Cik Nor dan Chu Ani. Ayah mula merantau keluar dari Kuala Sungai Rambutan, Sungai Bayor, Selama Perak sejak berkahwin dan melata perginya sebagai buruh binaan samada di Melaka, Bentong, Kuala Lumpur sebelum mendapat peluang tawaran sebagai peneroka Felda di Felda Kumai, Triang Pahang.

Pada penghujung tahun 1979, ayah membawa keluarga kami yang ketika itu, mak, Kak Lina, Piza-abang dan Eda-kakak serta aku yang baru berusia sekitar 6 bulan ketika itu.

Manakala Pak Cik Nor mempunyai 4 orang anak iaitu 3 lelaki dan seorang lelaki. Yang perempuan melebihi umur aku ketika itu.

Kesulitan hidup di Kampung di Selama Perak memang agak terpancar kerana sumber hanyalah menoreh getah dan bersawah malah terpaksa berkongsi dengan adik-adik yang lain.


Ayah yang selalu balik ke kampung bersama kami setiap tahun akhirnya tekad membawa pak cik sekeluarga ke Felda Kumai untuk kehidupan yang lebih baik pada masa yang sama memohon penempatan Felda.

Hidup di Felda bersama kami nampaknya lebih baik biarpun rumah kami kecil untuk menampung dua keluarga.

Akhirnya ayah membina kedai di kawasan perniagaan dan pak cik sekeluarga berpindah ke sana. Anak-anaknya bersekolah sama seperti kami dan menjalani kehidupan sebagai anak Felda yang lain.

Sinar bercahaya cerah menjelang tahun 1985 atau 1986 bilamana Pak Cik mendapat tawaran penempatan peneroka Felda iaitu di Keratong 8 Muadzam Shah iaitu sejauh 120 km jauhnya dari Felda kami.

Aku tak pasti apa perasaan mereka sekeluarga tetapi bagi aku melihat kegembiraan ayah yang berusaha mendapatkan penempatan untuk adiknya itu jelas terpancar.  Aku pasti ayah aku yakin dengan kehidupan di Felda biarpun perit pada awalnya.

Beliaulah yang ke sana sini membawa Pak Cik Nor bertemu pihak yang berkenaan. Dari Temerloh, ke Bentong dan ke Kuantan untuk memohon penempatan di FELDA.

Melapor Diri:

Tok Wan dijemput dari Selama Perak untuk sama-sama menghantar keluarga pak cik melapor diri. Malah bukan sekadar keluarga mereka tetapi turut serta kami sekeluarga.

Aku teringat ketika itu kereta ayah 'Datsun Tonggek' penuh sendat dengan keluarga besar kami bersama sebuah lagi 'Datsun Tonggek' yang dimiliki dan dipandu oleh jiran kami Pak Ngah Lan  manakala Pak Cik Nor menaiki motor bersama Pak Cik Zaitong, juga merupakan jiran tetangga kami di Felda Kumai.

Melalui Kerayong ke Felda Serting untuk ke Jalan Segamat terasa amat jauh kerana kali pertama melaluinya. Malah motor mereka rosak dipertengahan jalan memaksa kami melencong seketika ke sebuah ladang getah untuk dibaiki.

Hampir tengahari, barulah kami sampai ke Pejabat Felda Keratong 8 dan kami yang kecil ini hanya menanti di luar manakala urusan melapor diri diuruskan oleh Ayah, Pak Cik  dan juga Arwah Tok wan.

Aku difahamkan taklimat ringkas diberikan mengenai cara hidup di Felda sebelum undian rumah dilakukan. Ayah dan rakan-rakan jiran tetangga, Pak Ngah Lan dan Pak Cik Zaitong yang sudah berpengalaman membantu adiknya segala keperluan.

Akhirnya kami bergerak mengikuti motor kakitangan Felda tadi ke rumah yang telah diundi oleh Pak Cik. Melalui jalan tanah merah adalah situasi biasa cuma melewati kawasan rumah-rumah yang sudah dan belum berpenghuni dengan rumput dan lalang di bahagian laman depan dan belakang.

Rumah Felda Asal- gambar pinjam
Kami tiba di rumah baru yang bakal dihuni oleh keluarga Pak Cik Nor. Biarpun kedudukan di atas bukit dan halaman depan dan belakang penuh belukar lalang, kami semuanya begitu gembira dan sangat bersyukur menjejaki tangga rumah yang bernombor 300 di blok 13 itu.

Pada masa yang sama jiran-jiran tetangga yang lebih awal menghuni di sekitarnya mula datang dan meraikan kedatangan keluarga jiran yang baru. Rata-rata berusia 30 an dan datang dari pelbagai ceruk di Malaysia. Bersalaman dan mengucapkan selamat datang seraya berkenalan nama dan asalnya.

Arwah Tok Wan membaca doa kesyukuran di tangga rumah dalam kepenatan mendaki bukit serta menabur beras kunyit sebagai simbolik acara membuka rumah mengikut adat. Pintu rumah dibuka dan kami masuk ke dalamnya dengan gembira.

Susun atur rumah sama seperti rumah felda yang lain. Berasaskan papan dan kayu dengan satu bilik, ruang tamu, dapur dan bilik mandi. Manakala tandas jauh kebelakang. Bekalan air ketika itu masih tiada dan pastinya bekalan elektrik jauh sekali.

Kedudukan rumah pak cik di atas puncak bukit memberikan pemandangan yang amat jelas mengenai penempatan rumah Felda di Keratong 8 ini. Sambil mengemas ruang rumah, bekalan nasi dibuka dan menjamu selera sesama ahli keluarga di rumah yang baru.

Kami pulang lewat petang dengan meninggalkan keluarga pak cik di rumah mereka yang baru serta tempat yang baru. Kami meninggalkan mereka dengan lalang dan belukar yang hanya direntas sebagai laluannya untuk ke rumah tetapi percaya ianya juga simbolik merentas kehidupan baru yang lebih menjanjikan nasib yang lebih baik.

Arwah Tok Wan dalam kepenatan juga tak henti-henti mengucapkan rasa syukur.

Sebagai abang, ayah selalu membawa kami melawat keluarga pak cik di Keratong. Kunjungan kedua kami menyaksikan laman rumah terang benderang tanpa sehelai lalang tinggal.

Bekalan air diperolehi dari kawasan paya dibelakang rumah yang dikandar pulang oleh Pak Cik setiap pagi dan petang.

Kunjungan kami yang ketiga pula membawa keratan-keratan pokok bunga seperti pokok puding untuk ditanam. Lebih menarik, keratan pokok bunga ini disumbangkan juga oleh jiran tetangga di blok 13 Felda Kumai. Keratan pokok bunga bukan hanya untuk Pak Cik sekeluarga tetapi juga dikongsi jiran tetangga mereka agar ruang laman yang kosong akan terhias indah dengan tanaman bunga.

Kunjungan kami seterusnya kadangkala bersama jiran-jiran yang ingin melihat sendiri rumah baru dan penempatan felda di Keratong 8 serta berjumpa semula keluarga Pak Cik yang pernah bersama mereka suatu ketika dahulu.

Perubahan demi perubahan aku dapat lihat bagi keluarga Pak Cik.

Alhamdulillah .. syukur....

Monday, October 24, 2011

23 panel peguam GWGF bantu selesai aduan peneroka


FELDA
SHAH ALAM 24 Okt. – Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) melantik 23 panel peguam yang terdiri daripada anak-anak peneroka bagi membantu menyelesaikan aduan peneroka di 317 tanah rancangan Felda secara percuma.

Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berkata, khidmat peguam di bawah program ”Skuad Peguamku” dapat membantu peneroka terutama dalam proses timbang tara berkenaan isu peratusan kadar perahan sawit.

Katanya, GWGF melalui Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) sehingga kini telah menerima 2,297 aduan daripada peneroka Felda, di mana 400 daripada aduan tersebut adalah berkaitan gred buah sawit.

Rozali berkata, jalan tengah kepada isu peratusan kadar perahan sawit itu agar tidak dikemukakan ke mahkamah adalah dengan membawa kes berkenaan kepada Majlis Timbang Tara yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

"Proses timbang tara bermula apabila Felda membuat kajian dan berbincang dengan wakil peneroka yang mengadu dan diwakili Skuad Peguamku,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

"Jika persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak, maka kes dianggap selesai dan jika tiada persetujuan perkara ini akan diangkat ke Mahkamah Timbang Tara,” katanya. – Bernama

Saturday, May 7, 2011

Kelapa Sawit

(Perakuan : Isi kandungan artikel ini adalah pendapat dan pengalaman peribadi saya selaku penulis dan sedikit catatan yang diambil daripada internet. Saya menasihati isi kandungan ini tidak digunakan semula samada sebagai rujukan untuk sebarang kertas kerja, pembentangan ataupun kajian)
Sebahagian daripada anda adalah anak Peneroka Felda. Tak lari dari kenyataan bahawake banyakan daripada generasi muda adalah lahir dari kehidupan selepas zaman susah di Felda yang mungkin masih berbekas dalam ingatan genereasi pertengahan 30 an. Tak mungkin terlupa juga liku-liku kehidupan ketika itu adalah berkisar dengan kepayahan, keperitan , kesusahan (Bagi lapisan generasi yang berusia) atau kesenangan, kemewahan dan keselesaan bagi generasi muda.

Kalau nak cerita mengenai FELDA rasanya eloklah pada catatan yang lain dan rasanya untuk kali ini aku sekadar nak kongsi dan mencungkil sesuatu yang mungkin sudah kita terlupa atau tidak memandangnya lagi iaitu KELAPA SAWIT – seumpama emas hidup kepada peneroka.

Bagi mereka yang Felda masing-masing mengusahakan getah, maaflah , aku tak ada pengalaman langsung dengan getah sebab Felda Kumai , tempat aku dan abang serta kakak aku dibesarkan dan adik-adik aku dilahirkan adalah berasaskan tanaman kelapa sawit.

Sedikit ingin berkongsi mengenai kelapa sawit berasaskan pemahaman dan pengalaman walaupun sekadar 7 tahun suatu ketika bergelar Penolong Pengurus Ladang di sebuah syarikat perladangan cukup ternama yang kini hanya tinggal nama.

Sejarah Kelapa Sawit di Malaysia:

Industri sawit di Malaysia dan Indonesia bermula apabila empat anak benih dari Afrika ditanam di Taman Botani Bogor, Indonesia pada tahun 1848. Benih ini kemudian mula ditanam ditepi-tepi jalan sebagai tanaman hiasan di Deli Sumatera pada 1870an and di Rantau Panjang, Kuala Selangor (Berdekatan BatangBerjuntai atau Bestari Jaya) pada tahun 1911-1912.

Pada tahun 1917, kelapa sawit mula ditanam di Malaysia adalah di Ladang Tennamaran, Kuala Selangor oleh Sime Darby. Maka selepas itu, iainya mula ditanam secara meluas di Malaysia dan menjadi pasangan kepada tanaman getah ketika itu.

Kemudian ianya berkembang secara industri di Malaysia termasuklah dengan penubuhan Felda pada awal 50 an yang juga membantu mengembangkan industri ini dengan pantasnya.

Perihal Kelapa Sawit:

Kelapa sawit terdapat dua spesis iaitu Arecaceae atau pun famili Palma. Spesis yang pertama dikenali juga sebagai kelapa sawit Afrika atau Elaeis guineensis berasal dari Afrika Barat di antara Angola dan gambia. Manakala spesis kedua adalah kelapa sawit Amerika , Elais Oleifera berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan .

Namun di Malaysia kita lebih sinonim dengan kelapa sawit Afrika ekoran persamaan climate atau persekitaran tanaman.

Bagi varieti benih, pada awalnya benih Dura Deli ditanam namun ianya tidak menjadi begitu popular ekoran struktur buahnya yang bertempurung tebal tetapi isinya nipis. Manakala benih kedua iaitu pisifera pula bersifat mandul iaitu bunga betina yang akan gugur sebelum matang namun mempunyai struktur isi yang tebal dan bertempurung kecil.

Kacukan kedua-dua ini iaitu Dura x Pisifera merupakan satu penemuan varieti yang akhirnya mengubah wajah industri kelapa sawit. Hasilnya Tenera dan digunakan sebagai varieti utama dalam perladangan termasuklah Felda dan ini seringkali dinamakan penemuan 'gold bullet' dalam industri ini.

Pokok kelapa sawit adalah terkategori dalam kelas monokotiledon yang tidak berupaya mendebunga sendiri. Pada awal penanaman, setiap bunga induk kelapa sawit perlu didebungakan secara manual. Namun pada awal 1970, kita menemui 'silver bullet' iaitu sejenis kumbang berasal dari Afrika yang mampu mendebungakan kelapa sawit tanpa menjejaskan pokok kelapa sawit. Ini ternyata memberi satu langkahan besar kepada industri ini sekali lagi. Bayangkan , tanpa penemuan ini, maka industri kelapa sawit pasti tidak berdaya saing kerana memerlukan tanaga buruh untuk pendebungaan.

Kelapa sawit ditanam melalui biji benih dari baka yang telah ditetapkan atau dipilih. Benih ini akan disemai di dalam tapak semaian selama tempoh 11 -14 bulan mengikut saiz. Selepas itu, ianya akan dipindahkan ke plot utama. Pada awalnya, kebanyakan ladang-ladang memilih jarak tanaman 30 kaki x 30 kaki secara segitiga atau 136 pokok setiap hektar tanaman.. Namun kini selepas kajian, jarak 29 kaki x 29 kaki segitiga atau 148 pokok setiap hektar tanaman mampu memberikan hasil yang lebih kompetitif.

Pada peringkat awal, pokok yang ditanam biasanya akan melalui tempoh pra matang iaitu sehingga tempoh 24 bulan hingga 36 bulan sebelum mulai dituai. Sepanjang tempoh ini, biasanya kita akan menumpukan sepenuh perhatian dan ibarat menjaga 'bayi' selalu diungkapkan bagi memastikan pokok subur dan mengalami pertumbuhan yang sempurna.

Selepas tempoh pra matang ini, apabila pokok mulai dituai ianya akan terus dituai sehingga mengalami pernurunan hasil dan ketidaksesuaian kos penjagaan. Biasanya pokok matang akan dituai sehingga berumur 25 tahun hingga 30 tahun bergantung kepada faktor ini.

Sedikit petikan yang agak menarik dari sumber internet:

Pokok yang matang mempunyai satu batang pokok yang tunggal dan tumbuh sehingga

20 meter tingginya. Daunnya merupakan daun majmuk yang anak-anak daunnya tersusun lurus pada kedua-dua belah tulang daun utama seolah-olah bulu dan mencapai 3 hingga 5 meter panjangnya. Pokok yang muda menghasilkan lebih kurang 30 daun setiap tahun,

dengan pokok yang matang yang melebihi 10 tahun menghasilkan lebih kurang 20 daun.

Bunganya berbentuk rumpun yang padat. Setiap bunganya kecil sahaja, dengan tiga sepaldan tiga kelopak. Buahnya memakan 5 hingga 6 bulan untuk masak dari masa pendebungaan. Ia terdiri daripada lapisan luar yang berisi dan berminyak (perikarp), dengan biji tunggal (isirung) yang juga kaya dengan minyak. Berbanding dengan saudaranya, kelapa, kelapa sawit tidak menghasilkan tunas susur. Pembiakannya adalah melalui penyemaian biji-biji.


(Petikan dari salah satu sumber internet)

Pada umur 7 hingga 20 tahun selalunya dianggap tempoh matang terbaik dari segi penghasilan buah tanda segar (BTS ) atau fresh fruit bunch (FFB). Anggaran hasil perhektar tanaman biasanya mencecah 16-23 tan bagi penjagaan yang sederhana dan jika segalanya dijaga dengan baik , ianya boleh mencecah 30 tan setahun manakala kadar perahan minyak dianggarkan sekitar 4 hingga 6.25 tan sehektar.

Secara matematiknya mudah, setiap bulan anggaran hasil ladang jika diambil pada paras 20 tan setahun setiap 10 ekar atau 4 hektar , setiap keluarga akan memperolehi 80 tan setahun atau 6.6 tan sebulan atau 3.3 tan setiap hasil tuaian. Jika harga satu tan buah tandan segar pada

paras RM 400, maka pendapatan sebulan dalam anggaran RM 2,640. Namun ia juga bergantung dengan anggaran kadar perahan minyak daripada formula selepas pengredan.

Penjagaan semasa tempoh ini biasanya melibatkan penjagaan ladang seperti semak samun, pengairan dan pembajaan. Penyakit bagi tanaman kelapa sawit tidaklah terlalu besar jumlahnya manakala bagi pembajaan adalah menjadi keutamaan.

Sebenarnya baja ditentukan melalui analisa yang dilakukan oleh agronomi melalui dua sampel iaitu tanah dan juga sampel daun. Sampel daun biasanya lebih popular dan dipilih berdasarkan daun ke 17 bagi setiap pokok matang. Daun 17 ? Letih kalau nak diterangkan disini dan aku pun bukanlah agronomi.

Mungkin bagi anak Felda, masih yang teringat bagaimana membantu ibu bapa secara bergotong royong mencabut anak pokok dan membersihkan ladang. Malah mungkin ada yang membantu meracun atau menebas anak kayu.

Bila masa membaja, biasanya dua kali setahun dan pastinya baja urea iaitu baja 'garam kasar' menjadi jolokan ganti nama masih teringat. Baja urea sebenarnya kaya dengan unsur N yang membantu pertumbuhan pokok khasnya daun. Manakala jika masih teringat baja MOP atau merah adalah mengalakkan pertumbuhan buah tandan.

Tidak lupa juga barangkali ada yang membantu mengutip buah relai sawit lalu menyusun pelepah divantara lorong dan bagi anak lelaki biasanya akan menolak tandan sawit ke 'platform' di tepi jalan menggunakan kereta sorong. Tandan panjang kemudian dipotong. Tujuannya untuk mengelakkan serapan perahan minyak di kilang nanti.

Bagi yang bukan anak Felda, mungkin pengalaman ini tidak dirasai. Suasana gotong royong dimana setiap blok telah ditetapkan waktu tuaian atau lebih dikenali dengan 'Potong Buah'. Maka berduyun-duyunlah dan berbondong-bondonglah mak ayah membawa anak-anak mereka untuk membantu ketika ini. Malah bila semuanya melakukan perkara yang sama, maka kelihatan meriah pula walaupun sekadar di dalam ladang kelapa sawit. Bilamana penat atau tengahari tiba , maka dibuka pula bekalan makanan dan kelihatan seperti berkelah dibawah pokok kelapa sawit. Sekali lagi suasana bertambah meriah.

Namun bukan semuanya indah. Mungkin ada anak-anak peneroka yang masih terasa keperitan hidup bilamana dunia mengalami kejatuhan harga kelapa sawit sekitar tahun 1984-1988. Ketika itu pendapatan bulanan di Ayah ada yang sekadar RM 2 malah ada yang berhutang selepas potongan hutang Bayaran kembali dibuat oleh Felda.

Minyak Kelapa Sawit

Sebenarnya keutamaan hasil adalah bergantung kepada kadar perahan minyak atau oil extraction ratio (OER). Ianya bergantung kepada varieti pokok yang ditanam, kualiti buah masak sempurna dan proses selepas tuaian serta kerberkesanan sistem pemprosesan di kilang-kilang sawit. Kita mungkin selalu dengar dengan buah hitam, mengkal dan buah busuk. Sebenarnya telah terdapat standard khas yang ditetapkan oleh Lembaga Kelapa Sawit (MPOB) dalam pengredan dan kualiti.

Untuk mendapat minyak kelapa sawit ianya akan dihasilkan daripada proses pemprosesan minyak di Kilang kelapa sawit.Mungkin ada yang berminat untuk mengetahui bahagian ini. Aku sebenarnya tidaklah arif tetapi berdasarkan pengalaman suatu ketika dahulu mungkin dapat aku kongsi sedikit.

Buah yang dihantar ke Kilang akan melalui proses pengredan dan hanya buah tandan segar dan masak akan diterima atau sistem penalti akan dikenakan. Tandan yang panjang akan dipotong untuk mengelakkan menyerap minyak.

Dari ramp atau platform, buah akan dimasukan ke dalam streilizer cages yang direka khusus untuk mengukusan atau dipanggil strelizer. Ianya kemudian akan dimasukan kedalam sterlizer untuk menempuhi proses pengukusan pada suhu yang amat panas sekitar 90 minit. Hasilnya , tandan buah yang telah dikukus.

Kemudian ianya melalui beberapa proses seperti sehinggalah menghasilkan Minyak sawit mentah atau Crude Palm Oil .

Letih jugak nak ingat bab proses di Kilang sebab bukan bidang aku . Jadi, untuk tidak menyusahkan anda atau membolehkan anda mendapat maklumat yanglebih tepat , rujuk kepada diagram yang disertakan ini, Lebih mudah dan ringkas untuk difahami.

Sebenarnya dari tandan kelapa sawit, kita juga mendapat minyak isirong melalui kernal yang terdapat didalam buah relai. Biasanya minyak isirong digunakan sebagai bahan dalam pemprosesan makanan.

Penutup:

Sebenarnya , kelapa sawit merupakan salah satu tanaman yang amat berjasa kepada kita selain daripada getah. Malah sebagai pengeluar sawit yang terbesar ( Mungkin Indonesia telah memintas), tidaklah datang secara mudahjka tanpa kualiti pengurusan yang terbaik disokong dengan kajian demi kajian untuk memantapkan industri ini. Sehingga hari ini Malaysia adalah peneraju kepada industri sawit dunia.

Di negara asal kelapa sawit, ianya masih mundur kerana mungkin ketidakstabilan keamanan dan mutu pengurusan yang lemah .

Sebagai anak peneroka Felda, aku sentiasa berbangga dengan kejayaan industri sawit ini.

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock