TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, August 29, 2018

Pahlawan Mat Kilau


Saya sekadar nak kongsikan kisah menarik Pahlawan Mat Kilau dan bonusnya yang saya dapat adalah gambarnya dalam bentuk warna berbanding dengan gambar hitam putih yang sama lihat dahulu.

Sumber Facebook salah seorang rakan. 

Bukan senang nak jumpa gambar Mat Kilau dalam bentuk warna. Ni nak kongsikan pada semua .

Al-Fatihah untuk pejuang negara Tanah Melayu .

Sejarah Ringkas Mat Kilau, Pahlawan Melayu Terbilang
Pahlawan Mat Kilau menceritakan pengalaman beliau

PAHLAWAN terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan. Anak kelahiran Kampung Kendondong Pulau Tawar, Jerantut itu adalah anak kepada orang besar Pahang, Imam Rasu yang turut dikenali sebagai Tok Gajah. Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik. 

Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman. Kesan daripada itu, bermula siri tentangan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah. Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum. Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.

Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan. Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu. Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu. 

Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan. Bagaimana pun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja. Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.

Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam". The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu. 

Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha anaknya Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Kendondong, Pulau Tawar. 

Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid dii Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. 

Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh. Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun.

Inilah dia kulit depan Kitab Mat Kilau. Kitab ini disusun dan dipunyai oleh Mat Kilau pada masa Mat Kilau dalam buruan penjajahan Inggeris kitab tersebut diserahkan di bawah jagaan Mat Saman Kelantan kerana Mat Kilau ketika itu sentiasa pindah dari satu tempat ke satu tempat untuk melarikan diri dari tangkapan penjajah Inggeris sehinggalah putus hubungan mereka. 

Akhirnya kitab tersebut diserahkan kepada Sultan Ismail bin Sultan Muhamad oleh Mat Saman kemudian diserahkan pula kepada Yang Teramat Mulia Tengku Bongsu Kelantan yang kemudiannya diserahkan pula kepada Datuk Haji Nik Muhamad yang pada masa itu menjadi Datuk Perdana Menteri Kelantan. 

Selain dari menjadi Perdana Menteri Kelantan, Haji Nik Muhamad ialah pengarang Kitab Peti Rahsia sebuah kitab mengenai ilmu-ilmu kebal yang diterbitkan di negeri Kelantan. Dari Haji Nik Muhamad inilah kitab ini diserahkan kepada Ustaz Wan Alam bin Wan Hasan satu-satunya murid kepada Datuk Nik Muhamad yang telah menamatkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam ketiga-ketiga buah kitab kepunyaan Mat Kilau dan yang mengamalkannya sehingga sekarang yang kemudiannya telah diamanahkan kepadanya supaya menyimpan kitab-kitab tersebut kitab ini telah ditulis oleh Datuk Haji Nik Muhamad yang pada masa itu menjadi Datuk Perdana Menteri Kelantan yang sultanya ialah Sultan Ismail. Beliau jugalah yang telah menangkap pahlawan Tuk Janggut Pasir Putih Kelantan waktu ia menentang kerajaan Kelantan kerana tidak mahu membayar cukai yang ditetapkan oleh kerajaan beliau telah juga mengharamkan polis bangsa Singh berkhidmat di negeri Kelantan

Antara rahsia kepahlawanan yang terkandung dalam Kitab Mat Kilau yang menjadi rahsia sehingga ke hari ini. Cucu amat berbangga kerana masih bersama meneruskan perjuangan Mat Kilau bagi menghalau dasar dan peninggalan British di bumi Pahang Darul Makmur ini

Pahlawan Mat Kilau bergambar dengan pembesar dan pahlawan Melayu ketika mudanya

Gambar Pahlawan Mat Kilau bersama-sama rakan seperjuangan Mat Kelantan suatu di temukan oleh jawatankuasa di rumah cucunya batu 5, kuantan

Pahlawan Mat Kilau sedang diusung oleh orang ramai selepas berita beliau muncul tersebar ke seluruh negara

Pahlawan Mat Kilau sedang diusung oleh orang ramai selepas berita beliau muncul tersebar ke seluruh negara

Pahlawan Mat Kilau ditemuramahi selepas berita beliau muncul tersebar ke seluruh negara

Di sinilah tempat pahlawan Mat Kilau tinggal semenjak berita tersiar di laman akhbar-akhbar tempatan yang menyatakan bahawa Mat Siam itu ialah Mat Kilau

Pahlawan Mat Kilau Mandi Air Embun

Pahlawan Mat Kilau sedang sakit sambil saudara mara membaca Yassin di tepi beliau

Pahlawan Mat Kilau kelihatan terbaring di katilnya waktu ia sedang sakit tenat di rumah cucunya dekat Kampung Kambing, Batu 5, Jalan Gambang Kuantan

Inilah Masjid Lama Pulau Tawar yang menjadi tempat pengisytiharan Mat Kilau pada tahun 1969 dulu. Di sini juga jenazah Mat Kilau disembahyangkan selepas beliau disahkan meninggal dunia. Kini masjid ini tinggal kenangan di kampung Cucu

Al Fatihah.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock