TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, August 20, 2018

Jalan Tapah ke Cameron Highlands


Jika anda memilih perjalanan ke Cameron Highlands melalui laluan Tapah, saya ucapkan selamat menikmati 45 km yang penuh bersejarah.

Jalan ini siap dibina pada 14 November 1930 oleh syarikat dari Australia dengan kos 3 juta ringgit dan dinamakan Jalan Persekutuan 59.

Jalan ini memang penuh  berliku dengan selekoh pendek yang sempit. Yang tak biasa dengan selekoh akan muntah. 

Tiada pemandangan dan hentian yang istimewa kecuali Lata Iskandar di batu 12 kalau tak silap. Namun jika anda mencari  tersirat, laluan ini amat istimewa kerana terdapat puluhan  penempatan  orang asli. 

Yang istimewanya, jika anda datang ketika musim buah-buahan akan terdapat banyak gerai jualan di sepanjang jalan antaranya durian yang memang banyak. Begitu juga dengan petai yang berkualiti tinggi. Malah terdapat buah-buah hutan yang juga dijual mengikut musim. Unik untuk dicuba dan dirasai.

Cuma sedikit nasihat jika ingin membeli, usahlah tawar menawar hingga keterlaluan  kerana mereka berniaga bukan untuk  menyaingi  kehebatan kereta anda gunakan itu  serta bukan pula berniatkan untuk sama menyewa  bilik  hotel mahal sama seperti anda bila tiba di Cameron Highlands kelak. Mereka hanya mencari rezeki bermusim sahaja.

Namun saya lebih suka melihat melihat mereka keluar dari  dusun dengan bakul  buluh yang penuh dengan buah durian, berkumpul dan membersihkan buah durian sambil menunggu kedatangan peraih.

Jika bernasib baik saya suka melihat bagaimana gigihnya  mereka memikul ikatan petai baik si lelaki atau perempuan . Cuma tak berkesempatan nak berhenti  mengambil gambar detik tersebut sebab selalunya mengejar waktu.

Juga di hujung minggu kelihatan keluarga kecil  berjalan menuju  ke sungai membawa galah  dan serkup untuk  menangkap rama-rama untuk dijual. 

Waktu malam pula kelibat lelaki dewasa  bersama sumpit  memburu haiwan sepanjang laluan.

Bagi anda jika melalui Jalan Tapah, usah menderu lajunya. Santaikan  pemanduan anda demi penumpang yang  lain. Buka tingkap dan nikmati angin segar hutan simpan  yang dilalui. 

Namun jangan pula terlalu perlahan  sehingga  menggangu trafik. Berikan laluan  kenderaan dibelakang  yang mempunyai urusan segera dan  penting. Juga utamakan keselamatan jika mahu berhenti.

Jika  singgah di perkampungan asli, usah hanya berikan senyuman tetapi gembirakan  anak-anak kecil dengan hadiah jajan tanda meraikan mereka. 

Jadikan perjalanan anda sesuatu yang terisi dengan kenangan yang tidak anda temui  ditempat lain. 

Selamat mendaki  Jalan Tapah.....

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock