TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, December 23, 2014

ULTRAS MALAYA @ Final Piala AFF Suzuki 2014

Saya sebenarnya tidak pernah melihat sendiri pasukan penyokong ULTRAS MALAYA yang sememangnya terkenal dengan sokongan mereka kepada pasukan Bolasepak kebangsaan kita, Harimau Malaya.


Saya kadang-kala agak seronok melihat aksi mereka memberi sokongan namun kadang kala agak jengkel dengan sikap mereka ketika melontarkan kutukan dan kritikan kepada pasukan kebangsaan ini. 

Namun peluang menyertai mereka tanpa dirancang pada perlawanan akhir piala Suzuki AFF yang lalu mengubah sedikit persepsi saya kepada pasukan ULTRA MALAYA ini.

Saya ke final piala yang menjadi rebutan di Asia Tenggara ini tanpa perancangan rapi. Segalanya sekadar ikut kaki sahaja dan berseorangan. 

Dan kerana stadium yang penuh dengan penonton saya menyelitkan diri dalam kelompok penonton yang berbaju hitam yang tanpa henti menyanyi, bersorak dan melakukan aksi yang amat tersusun dan bersemangat. 

Dan mereka adalah ULTRAS MALAYA.

Dari awal perlawanan, mereka menyanyi sorakan dengan penuh semangat. 




Tersusun dan pelbagai formasi sorakan. 

Saya menjangkakan sekitar lebih 15 hingga 20 ribu penyokong yang bernaung di bawah nama ULTRAS MALAYA ini ketika malam final ini.

Rata-ratanya memakai baju berwarna hitam dan membawa mafla HARIMAU MALAYA.

Ahli-ahlinya adalah barisan pemuda dan juga pemudi yang penuh bersemangat malah terdapat juga kelompok keluarga yang mempunyai anak remaja turut sama dalam pasukan ini. 

Saya melihat ada pasukan ini yang datang dari pasukan sorakan negeri sekitar seperti negeri Sembilan, Selangor dan Perak berdasarkan baju yang mereka pakai.

Kekaguman saya mengenai mereka adalah keseragaman dan kesepakatan mereka melakukan segalanya.

Mana mungkin pada perkiraan saya jika mereka berlatih terlebih dahulu kerana untuk berkumpul sebegini bukan mudah. 

Bila saya membaca laman we mereka baru saya tahu mereka mengelarkan ahli pasukan yang menyokong ini sebagai Komrad dan lokasi mereka berkumpul dipanggil Curva di sudut stadium.

Saya dalam menonton aksi di padang dari barisan belakang 'komrad" sebenarnya asyik melihat gerakan demi gerakan formasi sorakan barisan 'komrad' ini. 

Mereka senada baik menyanyikan lagu sorakan atau pun melakukan gaya formasi sorakan. 

Saya suka melihat keseiringan sehati sejiwa yang lahir dari perlbagai gerakan ini. 

Semua diketuai oleh seorang ketua iaitu COPA sahaja di bahagian tengah bawah sudut ini dan beliau memakai baju hitam dan bertopi merah dan berdiri di atas pentas kecil. 



Dan dari laman mereka, ianya digelar CAPO dan kalau anda membaca dari Berita Harian kalau tak silap saya, CAPO LEKIR merupakan Ketua ULTRAS MALAYA (betulkan fakta saya ini jika tersalah) menulis dalam ruangan khas sempena dengan Piala Suzuki AFF 2014 kali ini. 

Beliau sebenarnya dibantu dengan barisan CURVA CREW yang berbaju kuning di setiap aras. 

Curva Crew ini berperanan memimpin Komrad setiap CURVA yang berada di aras mereka dengan gerakan yang diminta oleh CAPO LEKIR dan merekalah yang menaikan semangat setiap KOMRAD di CURVA untuk terus menyanyi dan bersorak. 



Paling menarik perhatian saya ialah formasi sorakan "Anak Malaysia" (saya namakannya ) di mana CAPO LEKIR melakukan nyanyian tanpa beat drumline mengenai Saya anak Malaysia dan beliau membuat sahutan cabaran dari penjuru ke penjuru silih berganti dan ianya berlangsung hampir 20 minit dan tamat dengan jaringan Indra Putra Mahyudin.

Semasa waktu rehat, mereka hanya berhenti pada 5 minit terakhir sahaja sebelum sambung bersorak sebaik sahaja pasukan kembali masuk ke padang dan CAPO memulakan dengan teriakan  yang cukup bersemangat ala Kung Fu Hustle iaitu "Ooooo MALAYSIA" sambil mengangkat kain Mafla Harimau Malaya berulang kali ... penuh bersemangat.... 


Percaya atau tidak setiap nyanyian dan laungan sorakan yang dibuat oleh Ultras Malaya disahut oleh baki 90 ribu penyokong Malaysia secara spontan dengan gerakan yang sama dan nyanyian lagu "Kau Kebanggaanku" selama lebih 10 minit sehingga jaringan Safiq Rahim mengempitakan seluruh stadium ... 


Ooo Malaysia kita bersaudara, 
Ooo Malaysia satukan jiwa mu..
Selamanya Harimau Malaya
Selagi kita bernyawa
Ooo Malaysia Kau Kebanggaanku 

Saya ketika melihat kembali formasi sorakan ketika lagu ini terdapat lebih 12 gerakan tangan yang berbeza termasuklah melambaikan mafla.

Biarpun penamat kejohanan ini tidak seperti yang kita inginkan iaitu menjadi juara, namun persembahan skuad kebangsaan malam itu menunjukan mereka telah memberikan yanag terbaik namun rezeki berpihak kepada pasukan Thailand.

Tiada erti kekecewaan yang mendalam ditunjukan kepada penonton dan skuad kebangsaan dan kali ini saya lebih kagum kerana peristiwa membaya pyro atau suar tidak berlaku dan tiada detuman mercun dari pihak Ultra Malaya. 

Suasana di stadium sebenarnya mungkin tidak dapat dilihat oleh mereka yang menonton di kaca televisyen. 

Detik Shukor Adan berjalan keseorangan berhampiran penjuru padang sambil bertepuk tangan sebagai tanda penghargaan kepada penyokong kemudian menunjukan pula tanda memohon maaf meruntun hati penyokong Ultras Malaya. 

Capo kemudian memulakan nyanyian lagu Warisan daripada Sudirman sebagai menzahirkan betapa mereka memahami kesukaran dan emosi daripada Shukor Adan setelah berusaha sehabis baik untuk mencapai kemenangan. 


Di sini lahirnya sebuah cinta, 
Yang murni abadi sejati 
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan 

Pada masa saya turut menyanyikan lagu Warisan ini, saya melihat beberapa Ultras Malaya Wanita menitiskan air mata mereka sambil fromasi komrad Ultras menyanyi sambil memegang bahu rakan di sebelah sebagai tanda kesepakatan berduka. 

Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
ke mana harus ku bawakan 
ke mana harus ku semaikan 
Cinta ini .....

Malah ada komrad yang tidak jauh dari saya menepuk-nepuk dadanya tanda sedih ketika korus lagu berulang kali. 
Betapa
Di bumi ini ku melangkah
Ke utara selatan timur dan barat 
ku Jejaki 

Aku bukan lah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang 
Walau dengan cara sendiri 
Demi Cinta ini 
Saya juga turut merasai kehibaan tersebut.. 


Ku ingin kotakan seribu janji
sepanjang kedewasaan ini 
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung Warisan 

Malah melihat kebanggaan dan terima kasih dari Pihak Polis yang sangat menghargai sokongan yang sangat mengagumkan.

Ketua Polis Cheras itu kelihatan dari jauh berjalan dengan mengangkat dua tangganya dan bertepuk tangan dan sentiasa mengucapkan ucapan terima kasih kepad pasukan Ultras Malaya kerana memberikan sokongan dan kerjasama yang sangat baik pada malam itu. 

Ternyata tanpa suar dan mercun ULTRAS MALAYA tetap hebat malah sangat hebat pada malam final.

Pendek kata, kesempatan saya bersama dengan Ultras Malaya berjaya menepis sangkaan buruk atau negatif saya kepada mereka. 

Mereka membuktikan dengan aksi sehati sejiwa demi negara.

Saya memetik kata-kata mereka :
"Kecintaan kita terhadap apapun membuatkan kita menyanjungnya. Demikian dengan kecintaan kita terhadap Malaysia, ramai yang membuat penyataan "Hidup Mati Seorang Malaysia:, "Tanah Tumpahnya Darahku" bahkan penyataan yang lebih ekstrim adalah " Hingga ke titisan darah terakhir..."

Di manakah kita dalam menzahirkan kecintaan kepada negara dari perpekstif Bola Sepak ini.
Mana kamu !! (Mana Kamu!!)
Malaysiaku !! (Malaysiaku!!)
Di mana pun kamu , kami ada selalu, 
Berikanlah !!! (Berikanlah !!)
Kemenangan (Kemenangan!!) 
Berikanlah kami sebuah kebanggaan

Mana kamu Malaysiaku
Di Mana pun kamu , kami ada slalu
Berikanlah Kemenangan
Berikanlah kami sebuah kebanggaan... 

Syabas ULTRAS MALAYA.. 
anda telah berjanji ...  sokongan tak berbelah bahagi
anda mengotakan ... anda membuktikan ... 

Untuk mengatakan saya telah menjadi sebahagian dari ULTRAS MALAYA kerana berada bersama mereka pada malam final yang lalu adalah terlalu hebat dan ibaratnya "jauh api dari panggang' kerana kesanggupan dan pengorbanan saya belum terbukti. 


Ianya perlu hadir di saat Harimau Malaya jatuh dan bangun bersama kembali. Bukan hanya ketika saat mereka di puncak...

Dan kepada anda, sebelum anda berani dan ingin melabelkan anda sebagai ULTRAS MALAYA, ianya tidak akan terbukti dengan sekadar "berselfie" dengan mafla semata tetapi tanpa menghadirkan jiwamu ..

Sehati Sejiwa..

Cuba anda baca "Surat Terbuka Untuk Copa Lekir" dari salah seorang yang mengikuti UltraS Malaya bukan hanya dirinya, tetapi keluarganya juga.. 

Anda akan memahami betapa Ultras Malaya ini bukan sekadar bergambar dengan mafla semata ..

Ianya menuntut lebih dari itu ... Klik

Layarilah laman mereka di http://ultrasmalaya.net/ ..klik 

bersambung .... saya akan cuba berkongsikan lirik lagu dan barangkali klip video Ultras Malaya ketika di stadium. Koleksi rakaman telepon saya malam final tidak begitu memberangsangkan kerana terganggu dengan sorakan setiap kali pemain Malaysia mendapat peluang... 

Monday, December 22, 2014

Perlawanan Akhir Piala Suzuki AFF 2014

Malam penentuan final Piala Suzuki AFF 2014 yang dinantikan dengan penuh debaran berakhir dengan kisah yang tidak kita mahupun. 

Namun bagi penyokong Harimau Malaya, saya merasakan mereka telah melakukan yang terbaik untuk berjuang ke minit terakhir dan jelas resamnya sama, hanya yang terbaik akan berhak dinobatkan sebagai juara. 

Kisah malam itu menjadi milik pasukan Thailand yang lebih bernasib baik biarpun ditinggalkan 3 jaringan sekaligus memadamkan kelebihan 2 jaringan awal mereka di bumi sendiri dalam perlawanan akhir pertama terdahulu. 

Saya sempat menghadirkan diri ke Stadium Bukit Jalil dengan harapan yang sama seperti penyokong yang lain namun niat saya, jika melihat kebangkitan pasukan Harimau Malaya pun sudah memadai. 

Saya bergerak dari Cameron Highlands ke KLIA sawal pagi untuk urusan penghantaran pulang pekerja asing saya. 

Sebaik selesai urusan tersebut saya bergegas menggunakan Lebuhraya PLUS dan seperti dijangka untuk melepasi Plaza Tol Sungai Besi saya sudah tersangkut dalam kesesakan sejauh 2 km lebih sebelum bersambungan selepas plaza tol. 

Mencari tempat meletak kereta juga antara cabaran kerana kali ini pasukan Trafik tidak membenarkan di sepanjang laluan ke Bukit Jalil sebagaimana perlawanan bola yang terdahulu. 

Malah ada kereta yang sedang diangkut oleh trak penunda kerana engkar arahan Trafik yang telah meletakkan kon-kon keselamatan di sepanjang laluan ini. 

Saya berpatah balik ke laluan Sungai Besi dan menghala ke TPM yang dikhaskan untuk meletak kereta namun jarak berjalan kaki ke stadium memelebihi 3 km. 

Tak apa saya sanggup!!

Tiba di perkarangan Stadium Hoki, laungan lagu keramat Negaraku sedang berkumandang dengan suara nyanyian penyokong begitu bersemangat. 

Saya sendiri bersemangat dan mulai mencari sesuatu di perkarangan Stesen LRT. "Tiket Masuk". 

Saya tidak bertiket dari awal kerana sekadar pasrah untuk mendapatkan tiket di Stadium biarpun dimaklumkan tiada baki tiket untuk dijual. 

Dan menjadi seperti kebiasaan, ulat tiket pula bersepah di perkarangan stadium. Terlalu mudah untuk menemui mereka kerana mereka melambai-lambaikan tiket kepada penyokong yang tiba. 

Saya sebenarnya boleh membeli tiket dengan lebih awal pada malam sebelumnya kerana mendapat tawaran tiket dari rakan whatsaap namun kaedah pembayaran melalui bank in terlebih dahulu dan bertemu di kawasan stadium tidak begitu menyakinkan saya. 

Pertama, penjualnya tidak begitu saya kenali kerana diperkenalkan oleh seorang lagi kawan dan kaeadah pengambilan tiket di stadium agak sukar jika mengharapkan talian telepon kerana pengalaman yang lalu kesesakan talian telepon sentiasa berlaku kerana jumlah pengguna yang sangat ramai. 

Harga yang ditawarkan adalah RM 60 sekeping, lebih RM 10 dari harga biasa. Tiada masalah bagi harga tiket. 

Saya membuat keputusan untuk membeli sahaja tiket di stadium dengan ulat tiket dan akhirnya saya membeli sekeping tiket dengan harga RM 30 ringgit sahaja ketika stadium kuat bergema dengan dengan laungan dan sorakan yang kemudiannya dari skrin besar di luar stadium menunjukan Safiq Rahim sedang diraikan dengan gol pertama.

Di perkarangan luar stadium disediakan skrin besar untuk penonton luar yang tidak masuk ke dalam kerana tiket ataupun sememangnya berhajat berada di luar sahaja. 

Saya kira ini langkah bijak kerana mereka boleh melihat perlawanan bolasepak dengan suasana yang sama meriah di dalam staidum dan mengurangkan keinginan mereka masuk ke dalam stadium yang telah penuh.  

Saya bergegas masuk ke dalam stadium dan di pintu masuk stadium saya sedikit terperanjat kerana dari media masa mengatakan akan terdapat dua lapisan pemeriksaan keselamatan. 

Hanya pemeriksaan penjaga tiket di pintu masuk sahaja yang saya lalui dan langsung tiada pemeriksaan keselamatan dari angggota keselamatan. 

Saya melihat seorang anggota Rela sedang menghalang seorang penonton membawa masuk air mineral di pintu kedua.

Di dalam stadium kelihatan ramai penyokong mundar mandir. Ada yang naik ke bahagian atas dan ramai pula yang turun. 

Rupa-rupanya terlalu sesak dan tidak boleh masuk langsung ke dalam ruang menonton.


  
Penuh ! Padat ! Sesak ! 

Saya bimbang dengan jumlah penonton yang saya kira melebihi jumlah kapasiti yang dibenarkan. 

Dengan anak-anak kecil yang masih didukung sehinggalah ke warga emas masih berusaha untuk masuk ke ruangan menonton. 

Termasuk juga adalah penonton wanita yang cuma memasuki kawasan yang sukar dimasuki ini dan saya sangat bimbang jika berlaku rempuhan dari luar kawasan stadium kerana sudah ramai yang sedang berasak-asakan untuk memasuki kawan menonton. 

Terdapat beberapa anggota keselamatan yang meminta penonton beredar mencari laluan masuk yang lain tetapi tidak diendahkan kerana mereka sudah mencuba pintu masuk yang lain sebelum itu.  

Yang hampa dan gagal menyelit beredar mencari pintu lain termasuklah saya juga tetapi masih hampa kerana tidak dapat masuk juga ke dalam stadium melalui lebih dari 4 pintu yang lain. 

Saya melihat segenap ruang yang ada seperti dibelakang kaunter peniaga yang mempunyai sedikit ruang menonton biarpun dilapisi jaring juga dipenuhi penyokong. 

Malah ruang kecil di antara dinding tandas yang mempunyai sedikit ruang untuk melihat kawasan padang juga dijadikan lokasi untuk menonton biarpun bau tandas jelas terasa!!!! 

Di ruang Tangga yang hanya nampak sebahagian padang kawasan pemainan pasukan Malaysia juga dipenuhi biarpun tidak dapat melihat aksi menyerang pasukan Malaysia ke kawasan Thailand. 


Akhirnya saya turun semula ke bawah dan alhamdulilah, saya dapat melihat aksi seterusnya pada minit ke 28 melalui celahan penonton yang lain dan kali ini lokasinya betul-betul dibelakang pasukan ULTRA MALAYA. 

Saya menonton tanpa banyak kerenah. Sama dengan penonton yang lain yang terpaksa membongkok sedikit untuk melihat aksi pemain kerana terdapat papan skrin bahagian atas pandangan kami. 

Minit ke 46, bergema sekali lagi penyokong dengan gol jaringan Indra Putra Mahyudin.  

Semasa rehat, saya berperluang menyelitkan diri di dalam kelompok penyokong ULTRA MALAYA yang akhirnya saya sendiri menjadi ULTRA MALAYA. 

Insyallah akan saya kongsikan dalam catatan khas mengenai ULTRA MALAYA.. sedetik bersama mereka. 

Perlawanan akhir Piala Suzuki berakhir dengan keputusan yang menyedihkan kita walaupun mendahului dengan jaringan sepakan percuma Safiq Rahim yang cantik menewaskan Kawin, penjaga gol Thailand.


Namun sesuatu yang positif berlaku. 

Suasana di kalangan penonton di Stadium yang rata-ratanya penyokong pasukan kebangsaan langsung tidak menyalahkan pasukan sebaliknya kukuh dan terus menyokong. 

Tiada desakan, tiada kutukan, tiada luahan kekecewaan serta rusuhan kepada kekalahan tersebut. 

Semuanya positif kerana mereka telah melihat sendiri bagaimana setiap pemain beraksi dengan penuh semangat dan berjuang ketitisan peluh terakhir untuk mencapai kejayaan namun jelas rezeki kali ini bukan milik mereka dan kita. 

Permainan yang menarik dengan usaha dan gerakan yang bertali arus untuk mencari ruang kejayaan dari awal perlawanan yang membolehkan pasukan Harimau Malaya mendahului perlawanan serta agregat. 

Namun pasukan Thailand pada masa yang sama juga turut berusaha gigih dan mereka membuktikan kegigihan mereka lebih berjaya. 

Namun di sebalik kisah perlawanan akhir saya sedikit ingin menegur kepada penyokong dan peniaga yang hadir di Stadium.

Soal kebersihan langsung tidak diambil peduli dengan sampah sarap bebas dibuang dan dilonggokkan merata-rata di segenap penjuru perkarangan stadium.

Melihat timbunan sampah yang merata-rata cukup memberui gambaran mentaliti penyokong kita dan sikap peniaga yang juga menimbunkan sampah mereka lebih mengecewakan selepas mengaut keuntungan dari 100,000 ribu penyokong. 

Sangat menghampakan dan ianya menambah luka kekalahan perlawanan akhir ini. 

TAHNIAH HARIMAU MALAYA... 

Saya akan berkongsikan catatan saya seterusnya mengenai penyokong ULTRA MALAYA yang telah berjaya menerbitkan rasa kagum dan hormat saya kepada perjuangan dan pengorbanan mereka demi menyokong pasukan HARIMAU MALAYA.

Projek Tebatan Banjir di Lembah Bertam

RM 31 Juta diperuntukan untuk projek tebatan banjir di Bertam Valley melibatkan laluan sungai sejauh 1.7 km daripada 20 km sungai sedia ada. 

RM 200,000 diperuntukan untuk pengukuhan Sungai Ringlet yang melalui kawasan penempatan Kg Baru Ringlet.

RM 40 Juta lagi di mohon untuk kerja-kerja tambahan.


Puncanya kerakusan penjenayah alam sekitar yang membuka kebun haram sepanjang huluan Sungai Telom dan Sungai Ringlet. 

Yang tidak membuka secara haram, keadah pembukaan tanah yang tidak menepati peratusan dan panduan sedia ada memyumbang kepada tiada kawalan baik hakisan ataupun mendapan dari kawasan mereka. Ini bukan kepada pekebun semata-mata tetapi juga kepada pengusaha pembinaan yang sedia ada. 

Disumbangkan pula dengan pengutkuasaan yang lemah dan tidak tegas dan kalaulah ada yang mengatakan ada unsur rasuah di kalangan mereka, jangan salahkan tanggapan sebegitu kerana kelemahan yang terjelma didepan mata jelas terbayang sepanjang masa.

Jom kita tengok apa yang terangkum dalam "Projek Tebatan Banjir di Lembah Bertam" ini:

Dari Berita Harian.
  1. Pembinaan alur sungai yang lebih besar dan berstruktur tetap bagi menampung aliran air sedia ada, semasa hujan dan jika berlaku perlepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar 
  2. Melibatkan laluan Sungai Bertam sepanjang 1.7 km yang dilebarkan dari 6 meter kepada 30 meter berbanding hanya 1.5 meter ketika ini. 
  3. Jika berlaku perlepasa air dari empangan, ianya mampu menahan aliran air sedalam 2.5 meter berbanding kemampuan sebenar 4 meter.   
  4. Situasi sekarang jika hujan biasa akan naik pada paras 1 meter manakala jika hujan lebat paras air akan naik ke paras 1.5 meter. 
  5. Jika siap kelak lebar Sungai Bertam adalah 40 meter termasuk rizab sungai.
  6. Lebar Aliran Sungai Bertam pula 30 meter yang lengkap dengan benteng penahan tebing di kedua-dua belah sungai.
  7. Alur air di dasar dengan benteng konkrit  setinggi 1.5 meter adalah 6 meter.
  8. Alur Sungai di bahagian tebing adalah pada kelebaran 14 meter dan setinggi 5 meter ke paras benteng penahan.
  9. Melibatkan pengambilan tanah bergeran seluas 0.6 Hektar dengan bayaran pampasan sejumlah RM 1 juta kepada 5 pemilik. 
  10. Tidak melibatkan baki aliran Sungai Bertam yang mempunyai kepanjangan sebenar 20 km sehingga ke Daerah Kuala Lipis. 
RM 31 juta khas untuk projek ini. 


Friday, December 19, 2014

Jumlah Pekerja Asing di Cameron Highlands



KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen akan melancarkan operasi besar-besaran bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Cameron Highlands dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Bahagian Kawalan, Datuk Sakib Kusmi berkata operasi itu akan melibatkan agensi penguatkuasa antaranya Pejabat Daerah Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan beberapa agensi penguatkuasa lain.

Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan risikan dan memantau perkembangan di kawasan tanah tinggi itu.

"Sejak Ops Gempak Ahad lepas yang menahan seramai 181 PATI, keadaan di sana menjadi lengang dan tidak ramai pekerja asing kelihatan di premis perniagaan dan kawasan pertanian yang diteroka secara haram oleh majikan yang menggunakan tenaga kerja warga asing," katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau menyifatkan laporan media mengenai kebanjiran kira-kira 30,000 warga asing di Cameron Highlands sebagai tidak masuk akal.

"Laporan itu sukar dipercayai tanpa sumber maklumat tepat. Bilangan pekerja asing di Cameron Highlands yang diluluskan setakat ini berjumlah 11,016 orang.

"Daripada jumlah itu seramai 6,057 adalah warga Bangladesh yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti pertanian (5,990 orang), perladangan (13 orang) manakala sektor pembinaan dan perkhidmatan berjumlah 54 orang," kata Sakib.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan wujud aktiviti membabitkan sindiket ejen pekerja asing yang membawa masuk warga asing.

Katanya semasa Ops 'Gempak dan Mesra' Ahad lepas, pihak imigresen mendapati hampir keseluruhan pekerja asing meninggalkan Cameron Highlands terutama yang bekerja di kawasan pertanian dan perladangan

"Saya percaya pekerja asing itu diuruskan sindiket yang membantu mengeluarkan mereka dari Cameron Highlands dengan begitu cepat," katanya.

Mengenai tempat persembunyian PATI di Cameron Highlands, Sakib menjelaskan kehadiran pihak berkuasa dapat dikesan Pati dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka dimaklumkan lebih awal oleh majikan atau ejen mereka.

"Pihak imigresen percaya majikan menyediakan tempat tinggal sementara untuk Pati di sekitar kawasan berkenaan ketika pihak imigresen melakukan operasi menangkap Pati baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, ACP Wan Zahari Wan Busu berkata pihaknya akan turut membuat operasi menangkap Pati dalam masa terdekat.

"Kawasan panas yang dikesan setakat ini adalah di sekitar kawasan Ringlet dan beberapa kawasan berhampiran," katanya.

Ahad lepas, sebanyak 181 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Gempak dan Mesra yang pertama kali dijalankan di tujuh lokasi iaitu Ringlet, Lembah Bertam, Tanah Rata, Brinchang, Kampung Raja, Tringkap dan Kuala Terla dengan melibatkan 369 pegawai dan anggota imigresen.

-- BERNAMA 

Jumlah pelancong ke Cameron Highlands menurun 30 peratus


KUANTAN: Jumlah kehadiran pelancong ke Cameron Highlands menurun hampir 30 peratus sejak kes tanah runtuh berlaku di Lembah Bertam sehingga mengorbankan lima nyawa pada 5 Nov lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ditambah lagi dengan liputan meluas media mengenai kebanjiran pendatang tanpa izin di kawasan peranginan itu, tempahan bilik di hotel dan inap desa di tanah tinggi itu turut menurun hampir 50 peratus.

"Kita difahamkan oleh pemain industri pelancongan di Cameron Highlands bahawa jumlah kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara telah berkurangan sejak kejadian tanah runtuh tersebut.

"Ramai beranggapan Cameron Highlands tidak lagi selamat dikunjungi sedangkan kawasan peranginan itu sangat selamat kerana kejadian tanah runtuh itu hanya melibatkan Lembah Bertam sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar dewan selepas Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang kali ke-13 di sini Isnin.

Katanya, mengikut statistik jumlah kehadiran pelancong ke kawasan tanah tinggi itu pada tahun lepas 728,121 orang, manakala sejak Januari hingga Jun lepas sebanyak 328,813 pelancong.

Dalam masa sama, Mohd Sharkar turut melahirkan rasa kecewa dengan laporan segelintir media Cina tempatan yang tersalah petik kenyataan Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang dikatakan mendakwa kawasan Cameron Highlands itu tidak selamat.

Katanya, keadaan itu menjejaskan pemain industri pelancongan bukan sahaja hotel tetapi juga peniaga sayur dan kraftangan, peniaga gerai makan serta peniaga kecil lain.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri dengan kerjasama agensi pelancongan akan mengambil langkah proaktif dengan mengatur lebih banyak program pelancongan di Cameron Highlands pada tahun depan untuk memulihkan dan menarik kembali pelancong berkunjung ke kawasan itu.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memohon kepada kerajaan pusat untuk melebarkan lagi laluan menghala ke Cameron Highlands dari Tapah bagi keselesaan pengunjung.
Terdahulu semasa persidangan itu, Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) mengajukan soalan kepada Mohd Sharkar sama ada benar Cameron Highlands tidak selamat untuk dikunjungi seperti laporan akhbar Cina tempatan.

"Saya ada ditanya wartawan mengenai laporan sebuah akhbar yang memetik kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (Mohamed Nazri) yang menyatakan bahawa Cameron Highlands tidak selamat.

"Saya terus menghubunginya dan beliau menafikan laporan itu. Beliau (Nazri) menyatakan kepada saya adalah tidak masuk akal untuknya membuat kenyataan seperti itu," katanya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ketika mencelah bagi menjawab soalan tambahan Leong pula turut menafikan laporan akhbar yang mendakwa 30,000 pendatang asing bekerja di tanah tinggi itu.

"Berdasarkan maklumat kita ada seramai 11,000 pekerja asing yang berdaftar secara sah bekerja di Cameron Highlands manakala 2,000 pekerja adalah pendatang asing tanpa izin (Pati)," katanya. - Bernama

Thursday, December 18, 2014

Empangan Jelai ... sehingga 18 December 2014

Minggu lalu saya pergi ke Raub untuk meraikan kenduri kahwin rakan isteri saya dan kami melalui Jalan Lembah Bertam ke Sungai Koyan. 

Dan kami singgah sebentar di pinggir jalan untuk melihat sendiri pembinaan Empangan Jelai yang memasuki tahun kedua kalau tidak silap saya di pinggir laluan ini. 


Saya pernah berkongsikan catatan awal mengenai empangan ini dahulu. 

Pemerhatian saya, sudah banyak kemajuan projek pembinaan ini termasuklah pembinaan terowong yang dalam perkiraan saya sekitar 5 saluran termasuk saluran intake power. 

Tujuan pembinaan Empangan Jelai ini akan mempunyai keupayaan penjanaan tenaga sehingga 372 kilowatt.

Jom Kita lihat fakta mengenai empangan ini seperti yang pernah dikongsikan oleh Pengerusi TNB sendiri suatu ketika dahulu. 


Kos pembinaan adalah sekitar RM 2.15 billion.

Keupayaan kapasiti empangan ini mampu menjana 372 megawatt tenaga bagi memenuhi keperluan elektrik pada waktu puncak. (Kalau tak silap saya di kain rentang yang dipasang dibeberapa lokasi pembinaan menyatakan 382 megawatt ; atau saya tersilap ingat).

Dijangka akan mulai beroperasi pada Disember 2015 iaitu kalau ikut kiraan adalah 12 bulan dari tarikh catatan ini dibuat.

Pembinaan meliputi beberapa kompenan utama yang telah melibatkan dua fasa yang bermula Oktober tahun lalu.:

Pembinaan dua terowong pengalihan air sepanjang 8.4 km dan 7.5 km yang berfungsi menyalurkan air mentah secara aliran graviti dari Sungai Telom dan Sungai Lemoi ke kawasan takungan. 



Satu unit empangan yang dikenali sebagai Empangan Susu berkeluasan 124 hektar di mana kerja penakungan air dijangka bermula pada Oktober 2015 beserta sebuah Stesen Janakuasa bawah tanah.


Terowong Tenaga


Lapangan Suis beserta bangunan kawalan.


Laluan masuk dari Kampung Susu ke kawasan Empangan dan kompleks tenaga. 



Perasmian Majlis Pecah Tanah pembinaan projek empangan ini disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. 

Tiga perkampungan Masyarakat Orang Asli iaitu Kampung Susu, Kampung Sg Tiat dan Kampung Pinang akan terlibat dan akan dipindahkan ke penempatan semula yang dibina khusus untuk penduduk yang terlibat dengan kemudahan awam yang lengkap.


Manakala 14 buah kampung Orang Asli terlibat dengan pengambilan tanah adat dan kawasan pertanian dengan pemberian pampasan sehingga RM 100 ribu mengikut kadar Taksiran dan Penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan harta di Bawah Kementerian Kewangan. 


Di hilirnya, terdapat tiga penempatan semula Orang Asli yang mana kampung asal mereka terlibat dalam kawasan empangan mulai dibina.

Selebihnya anda lihat sendiri beberapa keping gambar yang saya kongsikan dibawah.


   


Jika nak tahu lebih lanjut mengenai Empangan Jelai ini, tanyalah pihak yang berkenaan dan jangan pula emailkan kepada saya nombor perhubungan mereka kelak. 

(Khasnya kepada adik-adik dari IPT).

Lokasi empangan ini hanya terletak bersebelahan laluan Pos Betau - Lembah Bertam mulai dari 2 km dari sempadan JKR Daerah Cameron Highlands dan Kuala Lipis.   

Wednesday, December 17, 2014

Operasi Gading2 ... @ Cameron Highlands

Operasi Gading 2 kini bermula semalam untuk mengempur kebun yang dibuka secara haram di sekitar Cameron Highlands. 

Sumber Gambar: UTUSAN Online
CAMERON HIGHLANDS, 16 Dis (Bernama) -- Walaupun operasi menggempur tanah pertanian yang dibuka secara haram di sini telah diuar-uarkan melalui notis, pengumuman dan kenyataan akhbar namun ada peneroka haram yang masih mahu berunding dengan pihak berkuasa.


Komander Operasi Bersepadu Cameron Highlands ACP Mohd Shaharuddin Baharom berkata ketika pihaknya mahu menjalankan pembersihan kebun haram dan meroboh struktur binaan serta aset, peneroka terlibat berjumpa mereka untuk berunding.

"Sebelum ini ada yang mendakwa tugas kami sebagai 'hangat-hangat tahi ayam', kami sebagai 'wayang kulit' sahaja. Jangan datang kepada kami untuk berunding, kami tidak ada hak untuk adakan perundingan. Kami datang untuk laksanakan arahan," katanya ketika ditemui pemberita ketika pelaksanaan Ops Gading fasa kedua di kebun bunga haram di Blue Valley di sini.

"Kami datang (ke kebun haram) bukan untuk berunding tetapi untuk laksanakan arahan pembersihan dan perobohan aset di kebun haram. Kalau nak beruding, berundinglah dengan pihak lain," katanya.

Mohd Shaharuddin berkata operasi menggempur kebun yang dibuka secara haram sini diteruskan lagi melalui 'Ops Gading' fasa kedua selama seminggu bermula Selasa.

Beliau berkata seluas hampir 20 hektar kebun bunga, sayur-sayuran dan buah-buahan dibersihkan di tiga kawasan iaitu di Kampung Raja, Tringkap dan Blue Valley Selasa.

"Semua struktur binaan dan aset di kebun haram tersebut juga dirobohkan. Kebun berkenaan dikesan telah beroperasi lebih daripada setahun. Kita meroboh secara serentak di ketiga-tiga kawasan berkenaan. Operasi ini digerakkan seperti arahan Kabinet dan inilah yang kita lakukan," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan membersihkan dan merobohkan seluruh kebun-kebun haram di seluruh Cameron Highlands sepanjang pelaksanaan Ops Gading.

Katanya, terdapat sebuah kebun haram seluas 28 hektar yang berada di pendalaman Cameron Highlands juga akan digempur dalam masa terdekat namun pihaknya masih membuat penandaan.

"Ops Gading fasa dua ini akan berjalan sehingga hujung minggu dan berharap ia berjalan lancar dengan bekalan jentera berat. Kalau sempat dan cuaca baik, kebun seluas 28 hektar tersebut juga kita akan bersih dan robohkan dalam minggu ini," katanya.

Mohd Shaharuddin berkata sebanyak 17 hektar kebun haram telah digempur dalam Ops Gading fasa satu sebelum ini dan dianggarkan terdapat 7,000 hektar kebun haram di seluruh Cameron Highlands mengikut data Agensi Remote Sensing Malaysia.

Bagaimanapun, pihaknya tidak boleh menggempur dan merobohkan kebun haram berkenaan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mengambil kira pengiraan serta penandaan dengan teliti supaya kebun yang mendapat lesen secara sah tidak terjejas melalui operasi berkenaan, katanya.

"Kita mendapat nasihat dan panduan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (Malaysia) dan Jabatan Peguam Negara mengenai tatacara melaksanakan operasi berkenaan. Kita juga perlu pastikan tanah-tanah yang dimiliki secara sah," katanya.

Ops Gading fasa dua diketuai oleh Majlis Keselamatan Negara yang digerakkan secara bersepadu membabitkan 532 anggota dari 16 agensi termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan, Rela, pasukan polis dan tentera.

--Sumber :  BERNAMA

Projek Tebatan Banjir di Lembah Bertam

Seperti yang diwar-warkan mengenai projek tabatan banjir di Lembah Bertam bagi memastikan adanya sistem tebatan banjir di kawasan penempatan ini, saya melihat kerja-kerja yang dimaksudkan sudah dimulakan. 



Kompenan kepada sistem ini kalau dilihat dari mata kasar adalah pembinaan alur sungai berkonkrit termasuk tebingnya. Lebarnya sekitar 6 meter dan kedalamannya kalau mengikut kata si pekerja di sana sekitar 1.6 meter dalam. 

Di kedua-dua sisi tebing akan dibina benteng penahan air jika berlaku limpahan air sungai kelak.

Kos pembinaan diumumkan oleh Menteri Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands sekitar RM 40 juta di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran.



5 Pemilik tanah bergeran diberikan pampasan berjumlah RM 1 juta untuk tujuan pengambilan tanah bagi pembinaan projek tebatan banjir ini. 

Manakala baki struktur yang dibina di atas tanah Lesen Pendudukan Sementara atau LPS diambil alih tanpa sebarang pampasan selaras dengan peruntukan sedia ada yang telah menyatakan syarat tersebut seawal pemohonan LPS. 


Namun seperti biasa, sebahagian pengguna tanah di bawah LPS ini masih menyuarakan tuntutan pampasan diatas pengambilan tanah biarpun jelas tahu dan diberitahu berulang kali syarat LPS tersebut.

Apa-apapun , projek tebatan banjir ini perlu dipantau keberkesanannya kerana tanpa pemuliharaan semula tebing simpanan sungai di huluan sungai ini dan bahagian lain di Cameron Highlands ianya tidak akan dapat menampung kejayaan sepenuhnya projek ini. 


Pos Kawalan Keselamatan di pintu masuk Cameron Highlands

Bagi mereka yang datang ke ke Cameron Highlands pasti akan melalui pos kawalan keselamatan yang kini diaktifkan di semua laluan masuk ke Cameron Highlands. 

Pos Kawalan di Pos Mensoon bagi laluan Jalan Sungai Koyan.

Tujuannya adalah untuk mengawal pergerakan masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin berikutan operasi membanteras mereka kini sedang giat dijalankan di seluruh Cameron Highlands. 

Lokasinya sekitar Pos Mensoon dari laluan Sungai Koyan, sempadan Ringlet melalui Jalan Pahang ke Tapah, di sempadan Perak dan Pahang bagi laluan Simpang Pulai. 

Manakala laluan dari Lojing saya tidak pasti kerana tidak melalui kawasan ini dalam tempoh sebulan dua ini. Namun saya mengjangkakan ada juga pos kawalan di sana. 

Mungkin anda boleh kongsikan. 

Adakah Cameron Highlands selamat untuk dikunjungi dari sudut keselamatan? 

Pastinya lebih selamat kerana lebih kawalan keselamatan di sini. 

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock