TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, December 19, 2014

Jumlah pelancong ke Cameron Highlands menurun 30 peratus


KUANTAN: Jumlah kehadiran pelancong ke Cameron Highlands menurun hampir 30 peratus sejak kes tanah runtuh berlaku di Lembah Bertam sehingga mengorbankan lima nyawa pada 5 Nov lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ditambah lagi dengan liputan meluas media mengenai kebanjiran pendatang tanpa izin di kawasan peranginan itu, tempahan bilik di hotel dan inap desa di tanah tinggi itu turut menurun hampir 50 peratus.

"Kita difahamkan oleh pemain industri pelancongan di Cameron Highlands bahawa jumlah kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara telah berkurangan sejak kejadian tanah runtuh tersebut.

"Ramai beranggapan Cameron Highlands tidak lagi selamat dikunjungi sedangkan kawasan peranginan itu sangat selamat kerana kejadian tanah runtuh itu hanya melibatkan Lembah Bertam sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar dewan selepas Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang kali ke-13 di sini Isnin.

Katanya, mengikut statistik jumlah kehadiran pelancong ke kawasan tanah tinggi itu pada tahun lepas 728,121 orang, manakala sejak Januari hingga Jun lepas sebanyak 328,813 pelancong.

Dalam masa sama, Mohd Sharkar turut melahirkan rasa kecewa dengan laporan segelintir media Cina tempatan yang tersalah petik kenyataan Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang dikatakan mendakwa kawasan Cameron Highlands itu tidak selamat.

Katanya, keadaan itu menjejaskan pemain industri pelancongan bukan sahaja hotel tetapi juga peniaga sayur dan kraftangan, peniaga gerai makan serta peniaga kecil lain.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri dengan kerjasama agensi pelancongan akan mengambil langkah proaktif dengan mengatur lebih banyak program pelancongan di Cameron Highlands pada tahun depan untuk memulihkan dan menarik kembali pelancong berkunjung ke kawasan itu.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memohon kepada kerajaan pusat untuk melebarkan lagi laluan menghala ke Cameron Highlands dari Tapah bagi keselesaan pengunjung.
Terdahulu semasa persidangan itu, Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) mengajukan soalan kepada Mohd Sharkar sama ada benar Cameron Highlands tidak selamat untuk dikunjungi seperti laporan akhbar Cina tempatan.

"Saya ada ditanya wartawan mengenai laporan sebuah akhbar yang memetik kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (Mohamed Nazri) yang menyatakan bahawa Cameron Highlands tidak selamat.

"Saya terus menghubunginya dan beliau menafikan laporan itu. Beliau (Nazri) menyatakan kepada saya adalah tidak masuk akal untuknya membuat kenyataan seperti itu," katanya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ketika mencelah bagi menjawab soalan tambahan Leong pula turut menafikan laporan akhbar yang mendakwa 30,000 pendatang asing bekerja di tanah tinggi itu.

"Berdasarkan maklumat kita ada seramai 11,000 pekerja asing yang berdaftar secara sah bekerja di Cameron Highlands manakala 2,000 pekerja adalah pendatang asing tanpa izin (Pati)," katanya. - Bernama

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock