TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Thursday, April 30, 2015

Cuit-cuit sikit .... "Tumpang rumah boleh"...

Kisah yang seterusnya nak saya cuit hasil bersembang dengan rakan-rakan tengahari tadi adalah dilema bila ada rakan lama yang nak datang bercuti ke Cameron Highlands tapi nak menumpang di rumahnya..


Selalunya kawan yang telepon ini datang nak bercuti dengan keluarga kecilnya dan ingin menumpang kerana nak menjimatkan belanja.

Namun ada yang telepon saat akhir kerana tidak mendapat penginapan di sini selepas datang tanpa perancangan awal yang baik.

Maka ayat pertanyaan yang biasanya dikeluarkan untuk menumpang di rumah kawan yang ada di Cameron Highlands. 

Kawan Cameron ni pula memang akan serba salah. 

Serba salah pertama adalah rumah mereka sempit terutamanya yang menginap di rumah kakitangan yang rata-ratanya agak bersenibina lama seperti cikgu dan kuarters JKR yang lain. 

Malah di apartment yang disewa mereka juga sangat kecil terutamanya yang mendiami  Flet Jasar, Royal Lily dan juga Carnation Park.

Jadi sudah sempit dengan ahli keluarga masing-masing nak pula menumpangkan orang luar di rumah. Di manakah keselesaaan mereka kelak?

Keduanya serba salah mereka adalah hubungan sesama keluarga mereka sendiri yang mungkin si isteri akan muncung dan anak-anak sendiri tidak selesa. Yang kenal kawan yang nak menumpang dia seorang sahaja tetapi perlu pula melibatkan mereka yang lain pula. 

Ketiganya tujuan anda adalah bercuti, maka layanan masih perlu diberikan kepada tetamu di hujung minggu yang mana merupakan hari rehat bagi pasangan yang bekerja serta anak-anak yang rehat dari jadual persekolahan. Anda bercuti sakan, mereka yang tertekan.

Keempatnya adalah soal penjagaan aurat terutamanya bagi si isteri dan juga anak-anak gadis mereka yang terpaksa berhimpit di rumah yang kecil. Maka suasana ini memang tidak selesa dan menjadikan rumahku bukan lagi syurgaku ketika itu.

Ini sekadar beberapa rasa serba salah mereka bilamana ada yang nak menumpang. Malah tahukah anda, ada diantara mereka yang akan menyewa apartment lain yang berdekatan dengan rumah mereka jika menerima kunjungan dari ahli keluarga mereka sendiri kerana faktor rumah yang sempit dan keselesaaan ahli keluarga mereka itu nanti.

Tetapi jangan pula anda nanti mengharapkan mereka akan menyewa apartment lain untuk anda bilamana anda meminta untuk menumpang.

Anda datang untuk bercuti. Pastinya anda telah membuat perancangan rapi dan bajet perbelanjaan yang mencukupi khasnya dengan penginapan. Rancangkanlah sebaik mungkin untuk semua keperluan anda bercuti di sini dan jangan mengharapkan sesuatu yang percuma untuk anda nikmati kerana ada hati yang gundah gulana ketika itu nanti.

Fikir-fikirkan ya....

Cuit-cuit aje seterusnya adalah mengenai "jadi tourist guide boleh?".... juga dari sembang-sembang dengan kawan-kawan tadi ...  
  

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock