TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, June 30, 2014

Menjejaki kisah "Thompson Trail"

Saya memetik kembali catatan yang saya telah muat naik di laman
cameronriders.blogspot.com (klik SINI)
mengenai usaha untuk menganjur  
"Cameron Highlands Thompson Trail MTB Jamboree 2014"
pada 6 September 2014 ini.
 
**************************************************************************************************

Cabaran Kayuhan di Thompson Trail akan bertandang lagi mengisi tradisi penganjuran Cameron Riders seperti tahun-tahun sebelum ini.

Namun berapa ramai peserta yang pernah menyertai kayuhan Thompson Trail ini yang mengetahui asal usul mengapa nama "Thompson" digunakan dalam setiap edisi penganjuran.
Siapa yang tahu apakah kisah di sebalik namanya ini?

Adakah ada kisah misteri yang menyelubungi akan pemilik nama Thompson ini?.

Ayuh kita selusuri sedikit catatan sejarah... kembali ke tahun 1967 di Cameron Highlands.

Kisahnya bermula bilamana seorang saudagar sutera yang jutawan iaitu Jim Thompson datang ke Cameron Highland pada Mac 1967.

Beliau datang ke Cameron Highlands di atas undangan majlis perkahwinan anak salah seorang sahabat perniagaannya di samping menyambut ulang tahun hari lahirnya.

Sedikit latar belakang mengenai Jim Thomspon dengan nama penuhnya adalah James Harrison Wilsom Thompson yang dilahirkan di Greenville, Delaware, Amerika Syarikat pada 21 Mac 1906.

Jim Thompson amat terkenal di Asia sebagai ahli perniagaan melibatkan industri tekstil di mana beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menghidupkan semula industri sutera di Thailand.

Malah di Thailand masih terdapat sebuah muzium mengenai sumbangannya kepada industri sutera di negara itu dengan pengiktirafan sebagai Tokoh Industri Tekstil.

Namun terdapat versi kisah sisi lain kehidupannya yang hangat diperkatakan.

Antaranya rahsia yang mengatakan beliau mempunyai pelbagai latar belakang yang tersirat dan penuh rahsia seperti sebagai seorang Agen CIA.
Pada tarikh 26 Mac 1967, Jim Thompson dikatakan hilang dan tidak pulang ke Banglo Moonlight rakannya yang merupakan seorang warga Singapura.


Lokasi banglo tersebut terletak di antara Pekan Tanah Rata dan Brinchang di mana terdapat beberapa denai (trail) hutan di kawasan sekitarnya.
Kali terakhir beliau dilihat adalah ketika mula mahu melalui salah satu laluan denai di bahagian belakang banglo rakannya itu selepas majlis di sebuah gereja berdekatan sebelum disedari hilang dan tidak dapat dikesan.

Gerakan mencari dan menyelamat Jim Thompson digerakkan oleh pihak berkuasa dan dikatakan mencipta sejarah sebagai misi mencari dan menyelamat yang terbesar di Malaysia yang pernah dijalankan oleh pihak berkuasa ketika itu !.

Seluruh laluan denai yang dipercayai dilalui oleh Jim Thompson dijejaki termasuklah denai-denai baharu dan juga pelusuk hutan yang lain digeledah, namun tiada kesan atau pun peninggalan yang dapat membawa kepada penemuan semula Jim Thompson biarpun kawasan pencarian diperluaskan ke bahagian yang lain.

Misterinya berkekalan sehingga hari ini dan masih tidak dapat dirungkai kehilangan dan apatah lagi penemuannya biarpun pelbagai teori dicadangkan dan menjadi bualan.

Antaranya kisah-kisah mistik yang mengatakan beliau telah diculik ke alam lain.

Kisah yang lain adalah beliau di culik oleh penganas komunis namun tiada tuntutan tebusan dilaporkan.

Kisah atau teori yang lebih panas adalah beliau cuba melenyapkan identitinya dengan kehilangan ataupun pengistiharan kematian sebagai salah satu strategi oleh pihak CIA ke atas agennya ini.

Malah kehilangan Jim Thompson dikatakan adalah untuk kali kedua berlaku dan ini menguatkan lagi teori kehilangan beliau.

Terdapat beberapa buah buku yang telah ditulis mengenai kisah misteri kehilangannya.

Maka mengambil peristiwa ini, beberapa laluan denai misi pencariannya dinamakan sebagai Thompson Trail dan kerana sejarah misi mencari dan menyelamat Jim Thompson.

Kepada pihak penganjur pula kisah ini diambil sebagai salah satu tarikan kepada aktiviti kayuhan lasak ini dengan turut dinamakan sebagai "Cameron Highlands Thompson Trail".

Mana tahu, ketika anda berkayuh nanti di antara laluan Thompson Trail ini, anda berjaya menemuinya...

Misteri yang bakal terungkai .. barangkali....

Sunday, June 29, 2014

CHTT MTB JAMBORE 2014 : Kategori Peserta

Saya memetik kembali catatan yang saya telah muat naik di laman
cameronriders.blogspot.com (klik SINI)
mengenai usaha mereka   untuk menganjurkan

"Cameron Highlands Thompson Trail MTB Jamboree 2014"

pada 6 September 2014 ini.
 
*****************************************************************************

Untuk Edisi Penganjuran Cameron Highlands Thompson Trail MTB Jamboree 2014 ini terdapat 4 katergori penyertaan ditawarkan.
 
Apa yang perlu anda lakukan, ingat semula tarikh lahir anda dan mula menghitung usia anda pada tarikh Jambori CHTT MTB ini diadakan dan segera mendaftarkan penyertaan anda sebaik pendaftaran mulai dibuka pada 1 July 2014 ini.
 

 
Dan pastinya, anda tahu jantina anda terlebih dahulu....

 
Sebarang pertanyaan boleh diajukan di ruangan ulasan atau hantarkan email ke alamat email : CameronRiders2014@yahoo.com .
 

Saturday, June 28, 2014

Jersey Cameron Highlands Thompson TRAIL Jamboree MTB 2013

Untuk setiap penyertaan CHTT 2014, setiap peserta akan mendapat sehelai jersey berkualiti tinggi dan bercorak istimewa.

Untuk edisi kali ini "Buah Strawberi" yang banyak ditanam dan khusus di Cameron Highlands menjadi ikon latar reka bentuk  jersey dengan kualiti MFG.


Pastinya akan menjadi salah satu koleksi jersey istimewa anda kelak.

Anda hanya perlu mendaftar dan memilik saiz baju jersey anda dengan panduan ukuran yang diberikan.


Sebaik bayaran pendaftaran CCTH 2014 dibuat dan kemudian disahkan penerimaan oleh pihak penganjur, jersey ini secara maya telah menjadi milik anda. 

Manakala di hari pendaftaran, pastikan ianya menjadi milik anda sepenuhnya selepas mendaftar.

Mudah kan ? ... 


Friday, June 27, 2014

CAMERON HIGHLANDS THOMPSON TRAIL MTB JAMBOREE 2014

Dipetik dari catatan saya di cameronriders2014.blogspot.com, sebagai salah satu sumbangan dalam mempromosikan acara yang dianjurkan oleh rakan-rakan 'riders' dari Cameron Highlands... 

Sesuatu yang tidak boleh anda lepaskan..  

Assalamualaikum dan salam sejahtera:
Dengan sukacitanya dan rendah hati, 
CAMERON RIDERS 
dengan ini mengumumkan cabaran kayuhan tahunan 

CAMERON HIGHLANDS THOMPSON TRAIL MTB JAMBOREE 2014 

akan diadakan berstatuskan
"JAMBOREE"
Tarikh : 6 SEPTEMBER 2014


Pendaftaran boleh dibuat mulai 1 Julai 2014 samada berkumpulan ataupun individu. 

Borang Pendaftaran samada berbentuk online dan salinan akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat dengan maklumat saluran pembayaran yang lengkap.

Adakah anda bersedia.....? 

Klik SINI untuk ke laman Cameron Riders untuk info yang lebih terkini dan lengkap.

Thursday, June 5, 2014

Cameron Highlands: Mossy Forest 2014

Ini sekadar update mengenai Mossy Forest yang pertama kali saya kunjungi semula untuk tahun 2014.


Dalam catatan yang terdahulu saya berkongsikan kisah 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Kali ini membawa anak kecil saya ke sana di hujung dan kali ini kami tidak sekeluarga sahaja kerana rakan dari Egpyt turut bersama sekeluarga.

Cuma kami ke sana selepas ke Tea Centre di Ladang Teh Sungei Palas dan Puncak Gunung Brinchang dan selepas hujan.


Yang ralatnya seawal pintu masuk adalah longgokan sampah yang bertaburan di sekitar pondok rehat dan menunggu.

Malu terasa dengan rakan Arab saya yang juga berstatus "Pelancong Asing" .
Memanjat tangga di permulaan laluan berkayu Mossy Forest agak perlu berhati-hati kerana selepas hujan sememangnya agak licin.


Namun lebih licin di laluan yang terlindung selepas pendakian di tangga laluan masuk ini.

Ini kerana permukaan yang juga terdapat lumut lebih menyebabkan ianya licin selepas hujan.

Lebih terasa adalah suasana yang berkabus di sepanjang laluan ini menjadikan lebih menarik di kala anda kadang kala berada di Negeri Perak atau Negeri Pahang atau di pertengahan sempadan kedua-dua negeri ini ketika di sini..


Yang menarik seperti biasa adalah tumbuhan berlumut yang membaluti pokok-pokok yang renek di sepanjang laluan.


Tumbuhan berlumut juga kelihatan lebih hijau kerana suasana yang lebih lembab dalam tempoh beberapa bulan sebelum ini.


Dalam salah satu catatan saya mengenai Mossy Forest, saya pernah mencadangkan anda memilih waktu-waktu sebegini untuk melihat lumut-lumut yang lebih menghijau warnanya berbanding kekuningan di kala musim panas. 

Kami tidak bebas untuk berjalan pantas kerana membawa anak kecil yang perlu lebih berhati-hati meniti titian kayu ini baik ketika mendaki apatah lagi ketika menuruni tangga.


Payung juga perlu dibawa kerana adakalanya di pertengahan laluan, ianya kembali hujan namun kami agak beruntung kerana sekadar renyai-renyai berbanding lebat sebelumnya. 

Tiga pondok rehat menjadi pilihan kami untuk berlindung dari hujan. Namun seperti sudah menjadi kebiasaan, sampah-sampah dibuang begitu sahaja di lantai oleh pengunjung terdahulu.


Tolong lebih prihatin wahai pengunjung ke Mossy Forest.

Anda sedang dan telah menikmati pemandangan kelas dunia yang unik.

Pihak Jabatan Perhutanan telah bertungkus lumus menyediakan prasarana pejalan kaki yang amat selesa ini untuk memberi peluang kepada semua orang baik yang muda ataupun tua menikmati pemandangan dan keunikan hutan lumut di puncak 2000 meter dari paras laut tanpa perlu lasak mendaki.

Namun nampaknya benar kata pepatah, diberi madu , tuba dibalas...


Ataupun lebih tepat mungkin barangkali pihak kerajaan tersilap kira kerana memberi "bunga kepada monyet".

Masakan monyet-monyet tidak berekor ini mampu menilai dan menghargai keindahan peluang yang diberikan.

Akibatnya bunga yang cantik bukan dihargai sebaliknya lunyai digengam dan diramas lalu dicampak ke tepi.  

Rendahnya mentaliti manusia seperti itu ,.... maka monyet adalah gelaran yang layak buat mereka.

Beberapa kali, kami bertembung dengan sekumpulan pendaki Gunung Irau yang menuruni laluan ini selepas mendaki dan bermalam di puncaknya pada hari sebelumnya.



Saya masih berhutang niat untuk mendaki Gunung Irau ini dari tahun 2012. Harap-harap dapat dilaksanakan sebelum puasa. Insyallah.

Apapun untuk kunjungan kali ini ke Mossy Forest dengan membawa rakan luar memang berbaloi untuk mereka menikmati alam yang 360 darjah berbeza dari lanskap muka bumi mereka.



Keindahan dan keunikkan mossy forest ini perlu di ketengahkan dan menjadi pilihan untuk perlancongan alam secara santai.

Jika anak saya seusia 4 dan 6 tahun serta anak teman saya juga berusia 4 tahun bersama ibunya yang tetap berjubah dan berpurdah menikmati sepenuhnya keindahan Mossy Forest ini, saya rasa ianya bukanlah halangan kepada anda untuk sama-sama menikmatinya juga.



Di beberapa bahagian laluan ke Puncak Gunung Brinchang terdapat beberapa spot menarik untuk melihat keunikan Mossy Forest yang lebih asli zahirnya tanpa laluan pejalan kaki.

Namun sedikit cabaran perlu dihadapi dan Insyaallah saya kongsikan dalam kunjungan saya kelak...

Koleksi gamabar kami di sini ..klik

Wednesday, June 4, 2014

mrkumai.blogspot.com @ facebook

mrkumai.blogspot.com kadang-kala agak lama tidak menulis catatan di laman blogspot ini kerana kekangan masa.
 
 
Namun selalunya saya berkongsikan kisah dan gambar atau berita mengenai  Cameron Highlands di Facebook mrkumai.blogspot.com terlebih dahulu sebelum memuatkan semula di laman blog ini dalam bentuk catatan pula.
 
Jadi, untuk perkongsian lebih cepat, anda jadilah rakan
 
facebook mrkumai.blogspot.com
 

Cameron Highlands ..di kala cuti sekolah Bulan 6 ...

Cuti sekolah datang lagi dari minggu lepas dan kali ini 17 hari menanti dan boleh menjadi pilihan anda..
 
 
Yang bertanya, apakah yang istimewa kali ini. Saya sukar untuk menjawab.
 
Pertama saya rasa tiada keistimewaan yang diadakan atau dirancang sempena cuti sekolah kali ini malah mungkin yang lepas-lepas juga. 
 
Suasana di pasar malam diu Brinchang  masih sama dan hanya bertambah jumlah gerai. 
 
Manakala di Tanah Rata seperti biasa bazar cuti sekolah kembali di tapak depan arked makanan baharu namun masih menyajikan jualan barangan yang sama.
 
 
Di kawasan-kawasan startegik yang lain masih sama.
 
Masih tidak berubah adalah kesesakan jalan raya di sepanjang laluan utama di sini yang berbentuk laluan tunggal. Agak terhad laluan alternatif yang boleh digunakan untuk mengelakan kesesakan.
 
Juga tidak berubah adalah dengan ladang teh yang masih terhampar hijau  dan juga kebun strawberi masak meranum di pasuannya.
 
Tiada hotel baharu dibuka baik yang kecil mahupun yang besar.
 
Jadi apa yang ada... terimalah seadanya...
 
 
Saya pelik juga, sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 ni memang suram di Cameron Highlands.
 
Mungkin pihak Tourism Board Malaysia mahupun Pahang mengenepikan lokasi tanah tinggi ini dari kalendar pelancongan mereka.
 
Mungkin pada pandangan mereka tiada istimewanya daerah tanah tinggi ini.
 
Atau mereka berpendapat tanpa sebarang promosi dan acara khas, pelancong tempatan masih lagi akan terhegeh-hegeh mendaki kawasan perlancongan ini.
 
Jadi tiada acara khas yang perlu dianjurkan ataupun terlintas untuk dianjurkan.  
 
Tiada pula sambutan perlancongan diadakan sepanjang pengetahuan saya dan kalaulah ada saya tidak menyedari ataupun lebih kepada program syok sendiri mereka.
 
Jadi berbalik kepada persoalan tadi apa yang istimewa kali ini? Tiada .
 
Cuma sedikit pengubat luka jika ada yang kecewa, cuaca ketika ini mungkin boleh merawatnya.
 
Sedikit sejuk dengan hujan secara berkala dan kadang kala kabus datang melanda.
 
 
Oh ya, lupa minggu lepas katanya dua tiga hari Pekan Brinchang menghadapi gangguan bekalan elektrik malah ada yang bergelap selama dua malam... bercandlelight dinner sakan la anda..
 
Juga sedikit gangguan bekalan air semasa tiada bekalan elektrik sedikit menjadikan pengalaman yang mungkin anda tidak inginkan....
 
Jadi selamat bercuti.

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock