Saya ada menulis dalam beberapa catatan yang terdahulu mengenai aktiviti bersukan dan juga mencari sisi yang berbeza dengan cara berbasikal.
Untuk catatan ini dan mungkin dalam catatan yang lain, saya akan cuba untuk berkongsikan cadangan berbasikal bukit yang mungkin boleh anda lakukan jika berada di sini .
Namun, saya kena akui seawal catatan ini, untuk menulis dari kacamata pengalaman saya sendiri adalah agak susah kerana aktiviti berbasikal untuk diri saya agak terbatas kerana kekurangan waktu dan juga upaya untuk menjelajah ke sana sini dengan berbasikal.
Jadi saya akan mengambil juga pandangan dan pengalaman serta pengamatan saya dan rakan-rakan yang aktif berbasikal bukit ini.
Kisah pertama, saya kongsikan untuk mereka yang inginkan santai berkayuh di sekitar Pekan Tanah Rata.
Ini berdasarkan cadangan saya semata...pengalaman berbasikal sendirian di hujung minggu ..
Saya selalunya akan cuba memulakan kayuhan awal untuk sekitar Tanah Rata.
Sebaiknya 7 pagi dengan menjadikan perjalanan dari Apartment saya di tengah bandar Tanah Rata ini menghala ke laluan ke Ringlet ...
Dan selalunya saya akan berbasikal seorang diri kerana ada agenda yang saya akan isi di hujung kayuhan ini nanti .... selebihnya lebih bebas untuk berhenti dan mengambil gambar; salah satu hobi dan kegemaran utama saya...
Hentian pertama saya selalunya Taman Menara Jam yang terletak di kawasan laluan masuk pekan Tanah Rata. Biasanya saya akan memulakan senaman ringan selepas sedikit kayuhan warm up di rumah.
Menarik di sini adalah bangunan menara jam dan juga latar " Selamat Datang ke Tanah Rata Cameron Highlands" yang boleh menjadi lokasi bergambar.
Sebelum itu bagi anda yang inginkan melihat bangunan lama seawal 1935, bolehlah anda memasuki kawasan Sekolah Kebangsaan Convent Tanah Rata yang juga boleh menjadi lokasi mengambil gambar.
Seterusnya saya akan melalui laluan ke Ringlet yang menuruni bukit sebelum memasuki kembali ke kawasan Taman Royal Lily yang sedikit mendaki untuk kembali ke pekan Tanah Rata. Selalunya lelah saya bermula di sini....
Sampai di Pekan Tanah Rata, saya selalunya akan ke Stesen Mardi di Persiaran Dayang Endah dan biasanya saya akan meminta izin untuk memasuki secara percuma kerana sekadar untuk melalui kawasannya sahaja.
Di Stesen Mardi terdapat banyak lokasi yang boleh singgah untuk bergambar. Antara bangunan utama Stesen Mardi itu sendiri yang bercirikan senibina tudor moden dan jika bernasib baik, kabus tebal yang membungkusnya pasti menambah nilai gambar anda.
Singgah juga di kawasan tanaman mereka di bahagian laman belakang sebelum anda singgah pula di Kilang Teh pertama di Malaysia yang dibina pada tahun 1924 dan masih beroperasi untuk memproses daun teh dari ladang teh Mardi secara berkala untuk demonstrasi kepada pelancong.
Dari kilang teh, anda boleh mendaki pula puncak pandang di atas kawasan tanaman teh untuk melihat keseluruhan Stesen ini.
Menuruninya pula anda boleh singgah di kawasan Taman Enggerisnya untuk bergambar sekali lagi dan jangan lupa pula untuk bergambar juga di kawasan Menara Jam yang berlatarkan catatan suhu semasa sebagai bukti suhu ketika di sini..
Cabaran seterusnya adalah pendakian ke Taman Puncak Arabella yang terletak berhampiran. Memang mencabar laluan pendakian ini namun jika anda ingin melihat pemandangan penuh stesen Mardi dan juga melihat Ladang Teh Boh Habu, di puncak Taman ini boleh melihatnya.
Selalunya saya akan skip laluan ini kerana saya akan mengelilingi kawasan padang bola sebelum ke kawasan Parit Fall melalui trek Jungle Walk no 6.
Berhati-hati kerana laluan permukaan trek ini kadangkala licin apatah lagi di waktu pagi.
Sampai di Parit Fall, selalunya saya akan santai seketika dan berehat.
Jika sudah berjanji dengan isteri dan anak-anak, selalunya di sini kami akan bertemu bersarapan secara 'tapau' dan berkelah seketika.
Tetapi selalunya anak saya akan meminta untuk bersarapan di Kem Sungai Pauh.
Jadi laluan tambahan selalunya saya akan memasuki kawasan Kampung Taman Sedia dan melalui kawasan kiosk-kiosk strawberry sebelum menggunakan Jambatan Gantung ke Pejabat Perhutanan Daerah yang terletaknya juga Kem Sungai Pauh.
Selain laluan ini, saya juga pernah melalui Jungle Walk 6 yang juga boleh menghubungkan Parit Fall dan juga Pejabat Hutan.
Cuma saya selalunya mengelakkan laluan ini sawal pagi kerana permukaan laluan yang licin dek embun serta perlu mengangkat basikal di beberapa lokasi yang bertangga.
Di Kem Sungai Pauh, sementara menantikan isteri dan anak-anak untuk bersarapan, selalunya saya akan menjengah sedikit laluan Jungle Walk no 4.
Namun kini terlalu banyak pokok yang tumbang di laluan ini menjadikan 'basikal naik kita" lebih kerap di laluan ini.
Selebihnya berehat dan berbual dengan pelancong yang memilih untuk berkhemah di sini sementara menunggu keluarga kecil saya tiba.
Antaranya pasangan Mark dan Claire dari London yang telah menghabiskan setahun 4 bulan di atas basikal mereka.
Insyallah, saya kongsikan kisah ringkas mereka dalam catatan yang lain.
Juga akan saya kongsikan kisah mengenai Kem Sungai Pauh terkini untuk anda yang mungkin mencari lebih maklumat untuk memilih sisi yang berbeza dengan berkhemah di Cameron Highlands ini kelak...
Apabila keluarga saya tiba, selain menikmati sarapan, selalunya kerenah anak kecil saya untuk bermain air di Sungai Pauh lebih mengisi masa kami di sini ...
Perjalanan pulang selalunya kami isi pula dengan singgah di kiosk straweberry yang terdapat di Taman Sedia..
Kiranya aktivti berbasikal dan bersama keluarga ini mungkin boleh dijadikan sedikit panduan kepada anda jika ingin berbasikal santai di Tanah Rata.
Perjalanan dengan masa untuk bergambar sana sini sekitar 2 jam mengikut kelajuaan masing-masing.
Saya masih di peringkat "sebelum " pengayuh amatur, yang memerlukan lebih banyak masa untuk berhenti dan berehat.
Untuk catatan yang lain, saya akan cuba kongsikan catatan kayuhan santai melalui Jalan Tengkolok ke Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil dan kembali ke Padang Golf.
Cuma masanya entah bila saya nak kembali berkayuh ke sana...
Gambaran lebih banyak dengan koleksi gambar di Santai Pagi @ Cameron Highlands.. di sini..
No comments:
Post a Comment