TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, April 16, 2011

Felda Kumai, Triang Pahang

Pengenalan:

Buat yang pertama kali membaca dan menyebut nama Felda Kumai, ianya terletak 29 km dari Bandar Simpang Kerayong yang kini menjadi pusat pentadbiran bagi Daerah Bera. 

Berkeluasan sekitar 2300 hektar dengan tanaman kelapa sawit menjadi tempat rezeki kepada 530 buah keluarga dan perkembangannya berlaku dengan tiga peringkat pengambilan peneroka pada penghujung 1979 dan awal 1980.

Felda Kumai merupakan sebahagian penempatan peneroka dengan tanaman kelapa sawit pada awal 1980an dan kini telah ditanam semula dengan tanaman yang sama selepas melebihi 25 tahun sekitar 2004 dan mula mengeluarkan hasil bagi generasi kelapa sawit yang kedua.

Lokasi:

Ingin ke Felda Kumai, pilihan laluan anda.
Terletak di antara salah satu penempatan felda di kawasan Gugusan Bera, Triang, Pahang.

Dengan perjalanan satu jam 32 minit daripada Bandar Temerloh, Pahang atau 28.4 km jarak perjalanan dari Bandar Triang. Bersempadan dengan Felda Mayam di sebelah Timur  dan Felda Rentam di sebelah selatan serta bersempanan dengan Hutan Simpanan Chini di sebelah Tenggara.

Felda Kumai boleh dikunjungi melalui berapa jalan darat samada dari Kuala Lumpur, Kuantan mahupun dari Melaka atau Negeri Sembilan.
  • Jarak dari Kuala Lumpur  melalui Jalan Duta - Lebuh Raya Karak - Jalan Utama Bera sejauh 187 km, 3 jam 13 minit.
  • Seremban Kuala Piliah- Triang- Felda Kumai 151 km , 2 jam 45 minit
  • Kuantan ke Temerloh ke Felda Kumai , 197 km, 3 jam 19 minit 
  • Kuantan - Muadzam- Bera , 193 , 1 jam 8 minit
  • Felda Kumai - Felda Mayam , 8.3 km, 11 minit
  • Felda Kumai- Felda Rentam ,7.7 km , 10- minit
  • Felda Kumai- Tasik Bera, 29.6 km, 34 minit
  • Felda Kumai- Simpang Bera, 28.4 , 33 minit
  • Felda Kumai - Temerloh , 57.9 km, 1 jam 32 minit

Terdapat jalan pintasan melalui Chenor iaitu melalui jambatan baru Chenor ke Seberang Chenor dan memasuki jalan ladang kelapa sawit ke Felda Purun. Anda akan melalui perkampungan tradisional Pahang di sekitar Chenor.


Awal Pembukaan:

Felda Kumai dibuka pada tahun 1974 dengan penerokaan hutan dan ladang serta mula menerima  penempatan peneroka pada penghujung 1979 dan awal 1980 dengan pengambilan peneroka dari seluruh negara.

Terdapat peneroka yang berasal dari Perlis hinggalah ke Johor malah turut melibatkan Terengganu dan juga Kelantan dan menjadikan ianya unik dengan percampuran adat tradisi bangsa melayu berbilang negeri.

Berkisar dengan 3 pengambilan peneroka iaitu peringkat pertama, kedua dan ketiga secara berperingkat sehinggalah berjumlah 530 keluarga secara keseluruhannya. Malah terdapat blok Bakal Calon Peneroka atau dikenali sebagai BCP sebelum diserapkan sepenuhnya sebagai peneroka Felda Kumai.

Seawal penempatan peneroka, setiap peneroka akan diserahkan kebun yang telah ditanam dengan kelapa sawit seluas 10 ekar atau 40,000 meter persegi dan 0.25 ekar atau 1,000 meter persegi untuk kediaman dan kemudahan pembangunan dan nilainya dibayar secara ansuran oleh Peneroka selama 15 tahun.

Pada tahun 2004, peneroka Felda Kumai telah menerima penyerahan geran ladang dan tapak rumah secara individu daripada Kerajaan Negeri Pahang.


Pelan penempatan Felda Kumai
Bagi anak-anak generasi ke 2 yang sempat merasai tahun-tahun awal semasa pembukaan (bagi berumur 34 tahun keatas ) pasti akan dapat berkongsi bagaimana keperitan kehidupan awal di Felda Kumai.

Ketiadaan bekalan air terawat sehingga pertengahan 1980 an bukan semata-mata cabaran tunggal di sini.

Bekalan elektrik hanya terbekal sepenuhnya oleh Lembaga Letrik Nasional pada 1990. Sekolah awalnya hanya menumpang di  Sk Felda Mayam sehingga pada 1983.

Manakala sekolah menengah pula hanya mengharap SMK Felda Purun sekitar 12 km  dan SMK Bera, Bandar 32 dan pada sekitar 1997 sebahagiannya ke Sekolah Menengah Triang 3.

Aku mungkin lahir selepas zaman-zaman awal atau masih teringat sedikit sahaja kesusahan tersebut. Cuma aku dapat catatkan beberapa perkara yang masih segar atau teringat:
  • Jalan masuk dari Simpang Kerayong sehingga tahun 1985 masih lagi bertanah merah. Satu kejadian runtuhan jalan sebelum pos Felsco (Felda Security ) simpang ke Triang 1 terpaksa di lencongankan.
  • Air minum dan mandi masih di kongsi di kepala paip di depan rumah . Kalau tak silap 10 buah rumah kongsi satu paip air.
  • Pernah gajah liar menceroboh blok 12 (Belakang rumah Pak Cik Rahim) waktu tengah malam. Dan Mergastua (Perhilitan) pernah menangkap beruang di Hutan Simpan Chini (hutan dibelakang kawasan Felda Kumai).
  • Sekolah pertama hanya dibuka awal tahun 1983 atau 84 kalau tak silap. Sebelum itu, sekolah terdekat hanyalah SK Felda Mayam melebihi 13 km jauhnya. Bagi mereka yang masih ingat Bas Sekolah Pak Cik Radhi berulang alik. Bagi sekolah menengah, kebanyakan akan ke Asrama Sekolah Menengah Felda Purun.
  • Kalau tak terlupa, dulu awal2 mak ayah kita pergi muster di pejabat ladang. Atau masa baja sampai , ramai-ramai gotong royong angkat masuk lori. Dan bergerak ke ladang menaiki pula traktor yang dibawa oleh Encik Mukhtar.
  • Sistem Ladang dulu secara berkelompok sehingga penghujung 90 an sebelum hak milik diserahkan sendiri olehMenteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob di padang awam Felda Kumai.
    Gambar diawal penempatan sumbangan Rohaya
  • SISTEM BLOK diperkenalkan untuk urusan pembahagian kawasan tanaman untuk setiap peneroka. Ada blok yang menggunakan sistem 3 ekar , 4 ekar dan 3 ekar di lokasi yang berbeza. Ada yang 4 ekar , 4 ekar dan 2 ekar bergantung dengan rupabentuk muka bumi.
  • Setiap kali 'potong buah' macam pesta dalam ladang. mak ayah bawak anak beranak potong buah. Selalunya 3 hari sahaja 'round potong buah' dan 2 kali sebulan.
  • Membaja dalam tempoh 4 bulan sekali dengan 10 bag setiap seorang atau seekar satu bag. Paling popular baja Urea atau kami panggil garam kasar.
  • Dahulu masa pertengahan tahun 1980 an terutamanya pada 1985-1987 , ketika harga sawit jatuh teruk, ada yang bapa-bapa kita yang bergaji kurang RM 1.00 malah ada yang negatif! Sungguh perit dan sengsara.
  • Dulu awal bulan 'kantin' atau kedai Kedai Niaga Felda (Tak ingat nama betul) akan penuh dan sebelum tu siap tulis barang apa nak ambik. Kemudian pakat tunggu nombor dipanggil. Bukan nombor rumah tapi no peneroka ..no. ayah aku ..1803.. aku masih ingat..
  • Masa dahulu hanya berapa kerat yang ada kereta. Selebihnya satu rumah satu motor... pergi sekolah naik basikal atau jalan kaki atau orang tua ambik.
  • Hobi bebudak masa dahulu jelas sangat bermusim, basikal , bola sepak, layang-layang dan permainan kanak-kanak malah memikat burung serindit. Manakala padang bola penuh dengan abang-abang belia bermain bola.
  • Kalau sebut bola sepak , masa tu cukup hebat sebab abang-abang kita semua remaja yang aktif malah kalau kejohanan 7 atau 9 sebelah boleh jadi karnival besar. Felda Kumai pernah menjadi johan pasukan bolasepak antara Felda Gugusan Bera pada tahun 1989 atau 1990 dibawah jurulatih Cikgu Kamaruzaman. Perlawanan akhir di Padang Felda Sebertak dan Koperasi Felda menyediakan Lori untuk mengangkut penyokong. Aku antara penyokong yang turut sama terlibat.
  • Selain daripada itu , kalau tak silap Felda Kumai pernah menjadi pentas persembahan di Padang. Yang aku ingat Ahmad B, Haslina Kamsan... sape lagi lupa...
  • Bekalan elektrik hanya diterima dibawah Lembaga Lektrik Negara nama TNB pada masa itu sekitar tahun 1990. Jalan di hadapan rumah mula diturap 'crusher run' pada tahun 1989.
  • Pekan sehari pada hari Ahad atau lebih dikenali dengan Pekan Sari (untuk jualan pasar) pada awalnya adalah sehari suntuk tetapi pertengahan 1990, pekan sari hanya beroperasi setengah hari dan Pasar Malam mula mengambil tempat pada setiap rabu malam Khamis.

Felda Kumai terkini;

Sehingga kini, Felda Kumai seperti felda-felda yang lain sentiasa berkembang dengan pembangunan samada melibatkan sosial dan juga ekonomi masyarakatnya.
TADIKA atau TABIKA seawal 1980an
Memiliki institusi pendidikan seawal usia seperti Tadika Kemas, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama Rakyat melahirkan lapisan generasi yang berjaya dalam pendidikan dan lahirnya ramai golongan profesional. 

Begitu juga dengan kemudahan telepon ke rumah pada tahun 1998 dan kini kemudahan rangkaian telepon bimbit dari semua pernyedia perkhidmatan.
Bekalan air juga tersedia namun sehingga tahun lalu masalah bekalan air yang menghantui Felda-felda sekitar Bera masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
Rumah-rumah peneroka mula berubah wajah dengan pengubahsuaian yang dilakukan oleh peneroka dari hasil ladang masing-masing. Malah konsep satu rumah satu motorsikal seawal penempatan kini mula bertukar konsep dengan deretan motorsikal dan kereta milik peneroka dan generasi keduanya. 

Rimba Rekreasi Bukit Bertangga:

Rimba Rekreasi Bukit Bertangga adalah kawasan rekreasi seperti air terjun dan latanya.
Terdapat 2 air terjun pada ketinggian 20 meter dan 30 meter setiap satunya dan lebih utama adalah laluan airnya yang jernih dan begitu sejuk.
Terdapat kemudahan seperti laluan kenderaan, tandas, tempat berkelah dan kemudahan perkhemahan yang dibina selepas tahun 2000.
Namun sebenarnya kawasan air terjun ini mula dikunjungi oleh peneroka dan keluarga semasa dan selepas kegiatan pembalakan sekitar tahun 1984-1986 di kawasan ini dengan kemudahan jalan balak yang dibina oleh syarikat ini. Ikuti catatan mengenai Rimba Rekreasi Bukit Bertangga.

Selamat berkunjung ke Felda Kumai... catatan yang lain mengenai Felda Kumai juga telah dimuatnaikan...


gambar lama dipinjam daripada Rohaya Razak, http://www.facebook.com/profile.php?id=702838051

12 comments:

Anonymous said...

salam...
rasanya sek kumai start buka mid-1981.
TNB mula beroperasi mid 1989 - masa tgh prepare nak amik SRP tuh.
zaman 86-87, ramai peneroka amik brg then jual ke kedai runcit utk dpt cash. zaman perit :(

OM

helmi adlan said...

bagus la sham buat blog ni. mmg menaikkan nama hang sebagai anak jati kumai dan memperkenalkan kumai.lagi satu kenangan zaman kecik ialah mandi kok. dulu g kok 2 kat ladang ramai2.semua lari bila gi kok.mandi ramai2 tak pun main kejar2 dalam air.sebelum main kena jentik air dulu. sape tak meletop dia jadi.tengah mandi air jadi hijau, rupanya ada lembu berak kat sebelah kok sana.haha...

Mrkumai @ Jack said...

tanpa nama:
Saya pun rasa waktu yang sama...
TNB mula masuk 1989-1990 sebab masa tu baru nak ambik UPSR... mula galak dengan kelas malam... dan hasilnya 12 org 4A tahun tu ...

Dan masa zaman pert tu.. ada yang gaji tak sampai seringgit !!! motong getah dekat bera.. kerja kontrak kat temerloh ... dan macam2... mujur masa tu org tua masih muda bertenaga..

Mrkumai @ Jack said...

Helmi ..
kita yang blok atas memang kok 2 aje la. yang blok bawah dok pegi kok 3 kat jalan besar tu ..
Bukit tangga tak da yang berani lagi masa tu ..jalan belakangumah aku pun dok hutan lagi ..

Orchid @ Nur said...

salam mrkumai...kita berjiran sekampung...saya dr jiran sebelah felda mayam :)..nice yur blog...mengingatkan kisah zaman kecik2 dolu..nostalgia sentimental value disitu...;)

Mrkumai @ Jack said...

Terima kasih Nur..Mayam dengan Kumai jaraknya 7 km rasanya.. cuma mungkin kerana faktor sekolah menengah kami di Bera dan Triang 3 bukannya di Purun menyebabkan susah nak mengenali antara satu sama lain...

Namun sejarah awal anak2 kumai di hantar belajar di sekolah Mayam sebelum sekolah rendah di Kumai dibuka sekitar 1983 kalau tak silap...

Jalan masa tu jalan tanah merah.. kakak saya pernah merasai suasana tersebut...

mengenang kembali zaman2 awal pembukaan felda dahulu memang cukup berbeza dan mungkin tidak disangka sebegitu oleh generasi sekarang..

terima kasih kerana sudi singgah di sini..

Unknown said...

saya pernah ngajar di Kumai Tahun 1989 bln Nov-Mac 1990 agak2 ada ke ank murid ingat saya ni
wan nor rahimatun..
tua dah saya skrg tapi belum pencen lagiii

Mrkumai @ Jack said...

Salam Cikgu.. saya dari tahun 86-90 di sk kumai. Jadi masa Cikgu masuk tu mungkin saya darjah 6... Cikgu ngajar pagi atau petang?

Sekarang mengajar di mana...
Jauh dan lama berpisah, tetapi say percaya masih ada kenangan di kumai...
Dan terima kasih berbakti di kumai.
Zaman tu masih belum ada elektrik atau baru ada elektrik. Cikgu pun alami kesusahan sama dengan penduduk di sana...
Terima kasih Cikgu...

msabri said...

Koi org tementi

Nur Adyha said...

Saya minta izin ambil info, terima kasih.

Razak Idris said...

Saya masuk kumai tahun 1979,sapa x kenai Pak Deris block 3.masa tu susah sgt pergi sekolah Purun naik lori buah atau traktor.La saya kerja di Johor Bahru abg anggota polis,lg 7 thn saya pencen nk blk Kumai ingat nak buat projek ternak kambing sj, sapa kenal saya boleh hubungi 0127143349 Razak Idris

glassman said...

assalaamualaiekom, gambar di beranda itu, kalau kata di Guar Napai pun saya percaya. :D

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock