TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, September 29, 2014

Pulau Perhentian ... snorkeling at Pantai Penyu

Sambungan dari Catatan kedua;

Untuk berkongsikan pengalaman kami melakukan snorkeling di sekitar Pulau Perhentian Besar, saya akan kongsikan secara lokasi yang kami pergi. 


Lebih menarik untuk anda melihat sendiri keunikan setiap lokasi yang telah kami pergi dan mungkin di masa akan datang jika anda ke sana anda boleh memilih lokasi yan anda suka. 

Apapun saya mulakan dengan sedikit catatan mengenai snorkeling itu sendiri. 

Apakah itu snorkeling:

Selaman separa badan di permukaan air. 

Badan masih terapung di permukaan air manakala muka dan sebahagian bawah badan akan menghadap dasar air untuk melihat batu karang, ikan-ikan dan apa juga di dasarnya. 


Anda akan bernafas melalui tiub pernafasan yang akan berada di atas permukaan air melalui pernafasan mulut anda. 


Peralatan Snorkeling?

Yang lengkap adalah snorkel itu sendiri iaitu topeng muka dengan menutup hidung dan alat penafasan yang akan menyalurkan udara terus ke mulut anda untuk bernafas. 

Alat saluran penafasan atau tiub biasanya berukuran lebih 30 cm panjang dan perlu dipastikan sentiasa berada di dalam mulut dengan mengigitnya dan tube pernafasan melebihi paras air ketika melakukan selaman ini.


Lebih lengkap adalah dengan memakai fin iaitu selipar itik untuk memudah pergerakan tetapi bukan keperluan utama. 

Lebih selamat pula memakai jaket keselamatan yang akan memberikan apungan kepada badan anda terutama yang masih belum mahir untuk berenang sendirian. 


Siapa yang boleh melakukan snorkeling?

Sesiapa sahaja asalkan ada keberanian dan ingin melihat khazanah laut. 


Untuk anak-anak kecil, jika anda yakin kebolehan anak anda untuk melakukan snorkeling ini anda boleh membenarkan dan sangat disyorkan dibawah pengawasan anda sepenuhnya dan memilih lokasi yang sesuai yakni tidak terlalu dalam.

Percayalah, mereka akan lebih teruja berbanding anda sendiri. 


Waktu yang sesuai untuk melakukan snorkeling:

Waktu pagi dan petang malah sepanjang hari asalkan lautan tidak berombak ataupun sedang hujan.


Lebih selesa untuk menghayati keindahan dasar lautan tanpa perlu berenang melawan arus atau menghadapi risikonya. 

Waktu air surut lebih mendekatkan anda ke dasar lautan dan dapat melihat secara jelas batu karang kerana airnya cetek berbanding air pasang.


Apa yang perlu dibawa ketika snorkeling?

Saya mencadangkan anda memakai 'sunburn lotion' kerana anda akan berada di bawah panas matahari yang terik tanpa anda sedari kerana seronok melakukan snorkeling ini. 

Bawa bersama air masak yang cukup untuk menghilangkan dahaga dan sedikit snek ringan terutama yang membawa anak kecil kerana mereka mungkin lapar di pertengahan aktiviti ini.


Untuk menarik perhatian ikan-ikan kecil bawa bersama roti atau biskut kerana anda pasti gemar melihat ikan mengerumuni anda atau anak anda dengan begitu jinak dan banyak.

Dan jika anda mampu bawa bersama kamera kalis air untuk menangkap gambar batu karang dan ikan. 

Jika tiada tanya pemandu bot samada ada yang menawarkan perkhidamatan sewa kamera untuk jenis berkenaan seperti yang saya lakukan. 


Tips Keselamatan:

Saya mencadangkan anda mengambil pakej yang disediakan kerana pemandu bot akan memantau keselamatan anda sepanjang masa. 


Jangan bergerak sendirian dan melebihi kawasan yang dibenarkan dan di Taman Laut Pulau Perhentian terdapat pagar boya putih yang dipasang sebagai sempadan keselamatan untuk melakukan snorkeling serta kawasan larangan kepada bot-bot.

Untuk siri pertama ini kerana kami amatur, maka kami di bawa ke Pantai Penyu di Perhentian Besar untuk latihan asas. 


Memandangkan hampir 70% di antara kami adalah mahir dalam snorkeling ini maka hanya saya dan keluarga yang memerlukan latihan asas ini manakala yang lain sudah laju melakukan snorkeling. 

Pantai ini di namakan Pantai Penyu kerana di sinilah tempat pendaratan penyu-penyu untuk bertelur di waktu malam. 


Tempatnya amat sesuai kerana cetek di waktu air surut dan batu karang dan ikan kecil jelas kelihatan dan sangat cantik kawasan teluk ini. 

Malah sebaik sahaja bot kami menghampiri pantai ini, semuanya teruja kerana kecantikan dan keindahan pantai ini. 


Anak saya pula sibuk bermain ombak yang tidaklah besar tetapi baginya amat menyeronokan manakala si adik pula sibuk bermain pasir pula. 


Pantai ini juga amat jernih airnya dan dari atas batuan di hujung tanjung kelihatan bewarna hijau dan kebiruan. 

Koleksi gambar kami di Pantai Penyu saya kongsikan. Untuk koleksi batu karang saya akan kongsikan dalam siri catatan seterusnya. 

Saya sebenarnya membawa kamera dalam air saya ke sini tetapi malangnya tidak berfungsi seperti biasa. 

Esoknya saya kembali ke sini dengan menyewa sebuah kamera dalam air. 



No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock