Kalau catatan terdahulu saya berkongsikan mengenai snorkeling di Pantai Penyu sebelum melihat sendiri penyu di Turtle Point sekitar di Teluk Pauh, kali ini saya ingin berkongsikan pula mengenai gambar penyu yang dirakamkan sendiri di kawasan ini.
Sebenarnya saya merakamkan sekitar 4 keping gambar di bawah ini sahaja dan selebihnya dirakamkan oleh pemandu bot yang kami ambil pakej untuk snorkeling ini.
Mereka lebih cekap dan mahir berenang ke dasar dan mempunyai daya ketahanan pernafasan yang panjang.
Manakala saya tercungap-cungap mencari udara biarpun baru setengah minit menyelam ke dasar.
Keduanya mereka memakai tapak kaki atau fin yang membolehkan mereka pantas menyaingi penyu yang berenang di dasar ini.
Apapun jangan menyeksa diri untuk mengikut penyu berenang kerana dah kerjanya dan cara hidupnya berenang sebegitu.
Jadi saya berada di permukaan air untuk melihat penyu ini mendiamkan diri di dasar.
Rupanya penyu tersebut bukan mendiamkan diri tetapi mereka memakan sesuatu dari celahan pasir-pasir dasar.
Kemudian saya bertanya kenapa penyu ini berada di kawasan pengairan ini sahaja dan jawapan yang diterima adalah di sini adalah kawasan sumber makanan yang paling sesuai dan banyak untuk penyu.
Jarak antara dasar lautan dan juga permukaan juga tidak terlalu dalam kerana penyu perlu naik ke permukaan untuk bernafas sebelum turun semula ke dasar.
Saya sedikit terganggu dengan sikap beberapa penyelam dari bot yang lain kerana mereka begitu ghairah untuk memegang penyu malah aksi mereka mengejar penyu juga amat menjengkelkan kerana mendatangkan ketakutan kepada si penyu.
Apalah salahnya jika mereka sekadar berenang dengan sedikit jarak yang memberi keselesaan ataupun tidak membentuk ancaman kepada penyu-penyu ini.
Kalau penyu-penyu ini merasakan pergerakan mereka terbatas dan terganggu maka mungkin suatu hari nanti mereka akan meninggalkan kawasan ini untuk mencari kawasan yang lebih selesa tanpa gangguan manusia.
Ibarat pesanan dari pemandu bot kami "tak payah pegang penyu, anda tak masuk dalam buku rekod dunia pun...."
No comments:
Post a Comment