Selepas melawat Perigi Hang Tuah, saya terlihat pelan atur Komplek Perkampungan Hang Tuah yang turut menempatkan Pusat Hang Tuah.
Berada di luar pagarnya sahaja sudah melambangkan kekaguman kepada saya. Kagum dengan saiz kompleks yang besar dan kagum kedua pula adalah kerana senibina bangunan yang bercirikan keaslian senibina Melayu dan ciri utamanya pastinya rumah-rumah tradisional Melaka.
Untuk masuk, saya dikenakan tiket berharga RM 4 kalau tak silap saya manakala anak-anak saya secara percuma.
Pintu utamanya menempatkan bangunan muzium yang besar dan dibahagian depan adalah dinding berukiran 5 pahlawan bersaudara yang terkenal, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu.
Bercirikan senibina istana dengan dua menara pengawal dibahagian pintu utama kami segera masuk bagi mengelakan hujan.
Sebaik masuk sebagaimana suasana sebuah muzium kami mula menjelajah dari satu sudut ke sudut.
Yang menarik adalah sudut seni silat di mana anak saya boleh belajar simulasi gerakan silat yang menarik.
Lebih menjadikan dia bersemangat adalah berpeluang pula memakai baju silat yang bersaiz tubuh badan mereka secara percuma sebelum bersama kanak-kanak lain masuk gelanggang.
Di sudut yang lain yang menarik perhatian saya dan anak-anak adalah tayangan hologram kisah Hang Tuah.
Selain daripada itu sudut Hikayat Hang Tuah, Istiadat Perarakan ke Majapahit dan pelbagai jenis koleksi senjata dan busana juga agak menarik.
Keluar sahaja dari dewan utama kami singgah sebentar ke ruangan auditorium yang rupanya sedang berlangsung ujibakat untuk teater Hang Tuah yang bakal dipersembahkan. Ramai juga lapisan muda yang berminat dengan seni teater ini.
Kami kemudian keluar untuk melihat kawasan sekitarnya.
Pastinya unit-unit rumah Melayu tradisional Melaka manjadi tumpuan.
Pertamanya kami ke Rumah Hang Tuah yang menampilkan suasana dalaman kehidupan berbudayakan adat dan resam Melayu.
Di hadapannya terdapat sebuah kawasan lapang yang dinamakan Gelanggang Silat sebagai gambaran kegiatan persilatan mereka.
Mengunjungi pula ke bersebelahannya adalah Rumah Hang Jebat yang menghimpunkan koleksi senjata Melayu serta kelengkapan bertempur.
Manakala kunjungan ke Rumah Hang Kasturi pula menawarkan keleksi Busana Tradisional dan anda boleh membeli juga koleksi tertentu.
Di sebelahnya adalah Rumah Hang Lekir kalau tak silap saya yang agak keberatan untuk saya masuk kerana ianya berkonsepkan alam misteri. Ini kerana saya membawa anak kecil yang sukar dijangka ketahanan mereka. Untuk memasuki rumah ini, tiket berasingan diperlukan.
Manakala dibahagian hujung adalah Rumah Hang Lekiu yang tidak sempat saya kungjungi kerana hujan mulai turun dengan lebih lebat.
Kesimpulan yang boleh saya katakan di sini, anda boleh dan perlu melawat Pusat Hang Tuah ini untuk mengetahui secara khusus mengenai sejarah silamnya yang penuh kegemilangan.
Cuma kalau boleh saya ingin mencadangkan juga diceritakan secara lebih lanjut karektar dan juga sejarah setiap saudaranya iaitu yang berempat ini supaya kita juga dapat mengenali bukan sahaja Hang Tuah tetapi yang lain juga.