DUA minggu lalu, Selasa 2 Januari 2012 bersamaan 8 Safar 1433 Tahun Alif (nama tahun pertama dalam daur kecil, iaitu suatu sistem kalendar kitaran tempoh masa lapan tahun, yang pernah digunakan orang Melayu Nusantara dalam penulisan manuskrip, surat dan prasasti atau batu bersurat, satu ketika dahulu) kita dikejutkan dengan kembalinya ke Rahmatullah seorang penganalisis ekonomi negara yang amat disegani, Dato' Mohd. Salleh Abdul Majid.
Sehari dua seterusnya disiarkan Belasungkawa dan kisah mengenang kembali sumbangan dicurahkan Allahyarham dalam bidang ekonomi. Saya terpanggil untuk memaparkan pengesahan Allahyarham sejak kecil lagi sebagai latar belakang dan suasana persekitaran menyediakan beliau sehingga berjaya menjadi penganalisis ekonomi yang terkenal.
Salleh dilahirkan pada Isnin, 11 Julai 1949 bersamaan 1 Ramadan 1368 Tahun Dzal (tahun kelapan daur kecil) di Ulu Klang, Selangor. Saya pula dilahirkan kira-kira setahun sebelum itu. Ayah beliau, Abdul Majid Arifin, meninggal dunia semasa Salleh baharu berusia tiga tahun.
Ayah saya meninggal dunia sebelum saya dilahirkan. Dua belas hari selepas ayah Salleh meninggal, lahir adiknya Ibrahim. Ibunya, Halijah Mohd. Jamil, ialah anak jati Ulu Klang. Salleh ialah orang Minang dan tidak ada langsung darah Jawa seperti yang dikatakan oleh rakan-rakan Allahyarham dari Institut Teknologi Mara (ITM) yang memanggil
Allahyarham dengan gelaran 'Wak Salleh' atau 'Wak' sahaja.
Setelah ayah mereka meninggal dunia, mereka dua beradik dibela oleh moyang mereka, Abdul Manan dan Fatemah. Pada masa itu, Ulu Klang adalah sebuah kampung (walaupun hanya 7½ batu sahaja dari Kuala Lumpur) yang tidak ada elektrik dan air paip. Hampir setiap rumah memiliki perigi yang digali sendiri untuk mendapatkan air. Pada malam hari kami menggunakan pelita minyak tanah ataupun lampu karbaid, dan tidak berapa lama kemudian lampu gasolin.
Di sebelah siang, rumah pasung (balai polis) di Batu 7 mengetuk bulatan besi untuk menandakan waktu pada setiap jam, sementara apabila masuk waktu sembahyang pula, kedengaran bunyi tongtong (atau ketuk-ketuk) di masjid Ulu Klang. Pada Jumaat pula kedengaran bunyi tabuh yang dipalu pada setiap jam hinggalah sampai ke waktu sembahyang Jumaat.
Sekolah Melayu Ulu Klang
Saya dan Salleh, dua orang anak yatim dari kampung ini, memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Ulu Klang pada 1955. Di sekolah inilah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berlakon sebagai Cikgu Shaari dalam filem Masam-Masam Manis. Sekolah di waktu pagi, sebelah petang kami mengaji di madrasah Ulu Klang (dekat Surau Al-Falahiah sekarang). Setiap hari, sebelum mula belajar di sekolah, kami diajar berkebun; menanam kacang botor dan pisang.
Semasa di darjah 3 (1957), kami (termasuk yang di darjah 4 dan 5) mengambil peperiksaan untuk memasuki Special Malay Class (SMC) di sekolah Inggeris, yang diadakan di Sekolah Prince's Road (kini Jalan Raja Muda), Kuala Lumpur.
Batu Road School 2
Apabila keputusan peperiksaan untuk memasuki sekolah Inggeris diumumkan, maka pada 1958 saya dan Salleh Majid terpilih untuk ke Batu Road School (2), Kelas ini merupakan kelas peralihan daripada medium bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Murid-muridnya datang dari sekitar Kuala Lumpur: Ulu Klang, Gombak, Setapak, Kampung Datuk Keramat dan Kampung Baru. Dalam kelas termasuklah Ambrin Buang (kini Tan Sri, dan Ketua Audit Negara, bekas SUK Selangor dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia). Semasa sekolah petang kami mengaji (al-Quran) pada waktu malam di rumah Lebai Abu, di sebelah rumah Salleh.
Semasa sekolah petang, oleh sebab perkhidmatan bas (Len Chee melalui Jalan Ampang) di Ulu Klang hanya tiga kali sehari maka kami terpaksa berbasikal ke Klang Gate (Genting Klang) untuk menaiki bas Len Seng pada pukul 11.30 pagi. Saya dan Salleh memiliki basikal kecil. Yang lain menaiki basikal biasa. Dari Ulu Klang kami melalui ladang getah Wardieburn (kini Taman Melawati) dan ladang getah Hawterdern (kini Taman Permata dan AU5).
Pada 1959 keseluruhan murid kelas SMC1 dinaikkan ke kelas SMC2. Pada tahun berikutnya kami dinaikkan ke darjah 6B. Tidak semua pelajar SMC2 masuk ke kelas ini, ada yang dimasukkan ke kelas 6C dan 6D, dan pelajar yang lainnya datang daripada Standard 5A dan 5B (aliran Inggeris).
Di kelas inilah mulanya kami bercampur dengan pelajar 1Malaysia, Melayu, Cina, India dan Benggali (Punjabi). Tiada seorang pun dari SMC2 ini ke darjah 6A, yang nampaknya hanya untuk pelajar dari darjah 5A sahaja, termasuklah Del Akbar Khan (Datuk, Timbalan Pesuruhjaya Polis, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur dan bekas pemain bola sepak negara).
Masa kami di darjah 6, ibu Salleh memiliki kereta baharu, Morris Minor. Saya beruntung kerana sama sekolah dengan Salleh, jadi kami sering pergi dan balik sekolah menaiki kereta itu. Ayah (tiri)nya, Pakcik Ahmad dan ibunyalah yang selalu menghantar dan mengambil kami di sekolah. Saya dan Salleh begitu rapat sekali, macam adik-beradik.
Membesar di kampung
Kami membesar seperti budak-budak kampung lain pada waktu itu. Masa itu setiap permainan ada musimnya, seperti juga musim buah-buahan. Permainan kami termasuklah main kotak, tudung lemonad, getah, spider (bukan labah-labah), guli (bénda siku), gasing, terup (3 daun, terup Keling, 21, colek, tan) dan ikan pelaga; melastik dan menjerat burung, letup-letup, dan meriam buluh. Apabila sudah dewasa sedikit, petang-petang kami main bola sepak di padang. Kadang-kala main badminton di gelanggang yang ada di rumah Salleh.
Musim buah-buahan sungguh menyeronokkan di Ulu Klang. Macam-macam buah ada. Di rumah Mohamed Yusof, Amir Shah dan Husin, kami kenyang memakan manggis, rambai, rambutan, langsat dan sentul. Semasa sekolah petang, paginya kami bermain dahulu di rumah Mohamed; main guli bénda siku. Salleh suka membuli rakan-rakan lain dalam permainan ini. Dibawanya guli lawan ke pangkal pokok yang banyak akar. Lawannya perlu menyiku guli tersebut hingga ke petak asal. Masalah timbul apabila lawannya perlu menyiku gulinya daripada akar pokok tersebut. Lalu kumpulan Salleh menang.
Salleh suka menjala dan meniruk (tiruk yang dibuatnya sendiri) ikan di sungai dengan kawan-kawan yang lain. Sungai Ulu Klang pada waktu itu kaya dengan pelbagai jenis ikan: sebarau, tengas, lampam, lemasai, selimang, terbul dan macam-macam lagi. Beliau sering juga menjala di kawasan Empangan Klang Gate bersama adik-adiknya.
Semasa datuknya tiada di rumah, Allahyarham pernah mencuba motosikal Aerial datuknya. Allahyarham meminta bantuan saya menghidupkan enjin motosikal tersebut. Sempat Allahyarham membuat satu pusingan di kawasan rumahnya. Akhirnya Allahyarham sempat juga memiliki motosikal Harley Davisonnya sendiri.
Satu malam di bulan puasa Allahyarham pernah melaungkan azan pada waktu Isyak, terperanjat kami dibuatnya. Allahyarham sering ikut sama bertadarus al-Quran.
Sekolah menengah
Dari darjah 6B Batu Road School, saya dan Salleh adalah antara yang terpilih untuk ke High Street School, Kuala Lumpur (1961). Kami ditempatkan di Tingkatan 1 Yellow. Untuk ke sekolah kami menaiki basikal ke Batu 4 Jalan Ampang (dekat Ampang Point sekarang) untuk menaiki bas Len Chee sebelum pukul 7.00 pagi. Sampai di perhentian bas Malacca Street kami berjalan kaki ke High Street (kini Jalan Tun H.S. Lee).
Kami mengikuti kelas menaip, pelajar dari kelas lain mengambil pertukangan kayu atau pertukangan besi. Agaknya kelas menaip itulah yang memberi inspirasi dan galakan kepada Allahyarham meminati bidang penulisan. Tingkatan 2 kami menumpang di St. John's Institution, sementara menunggu bangunan High School siap dibina di Air Panas, Setapak. Tingkatan 3 di High School, Setapak.
Selepas peperiksaan LCE, pada 1964 saya berpindah ke Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur dan Salleh terus di tingkatan 4 dan 5 di High School. Saya meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Teknik Pulau Pinang (1966-1967). Salleh ke Institut Teknologi MARA (ITM, kini UiTM) di Jalan Othman, Petaling Jaya, dan Mohamed Yusof (rakan dari Ulu Klang) terus di St John's Institution sehingga ke tingkatan enam.
Universiti
Salleh melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan berjaya mendapatkan ijazah Bachelor dalam bidang perniagaan dari Ohio University dan Master dari Northern Illinois University. Saya ke Universiti Malaya dan dianugerahi ijazah BSc (Hons) dalam bidang Matematik. Seterusnya saya ke United Kingdom di bawah biayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan berjaya meraih ijazah MSc dan PhD dalam bidang Matematik Tulen, yang menjadikan saya anak Ulu Klang pertama mendapat ijazah PhD, malah anak Melayu Selangor yang pertama mendapat ijazah PhD dalam bidang matematik. Mohamed juga ke Universiti Malaya untuk mendapatkan ijazah Bachelor of Economics (Hons), dan meraih ijazah Master dari Missouri University, Amerika Syarikat.
Kembali dari luar negeri kami bertiga yang berasal dari Ulu Klang ini (saya, Salleh dan Mohamed) jarang bertemu, kecuali pada Hari Raya dan sekiranya ada kenduri kahwin atau kematian di Ulu Klang. Pada Hari Raya kami sering kunjung-mengunjung bersama keluarga masing-masing. Salleh berkhidmat di ITM dan menjadi Head, Business School. Allahyarham sudah merasai pelbagai jawatan termasuk Presiden pertama BSKL. Saya berkhidmat di UKM sehingga hari ini, dan Mohamed masih berkhidmat dengan Kosas.
Pernah berlakon filem
Saya dan Salleh pernah berlakon filem semasa Merdeka Filem Studio mula-mula dibuka di Ulu Klang. Filem yang pertama dihasilkan di Merdeka Studio itu ialah filem Tun Tijah, arahan L. Krishnan. Dalam filem tersebut seniman Abdullah Chik berlakon sebagai Hang Tuah, dan seniwati Salmah Ahmad sebagai Tun Tijah. Kami hanya memegang watak 'pak pacak' sahaja yang dibayar $3 sekali pengambaran. Filem yang kedua lakonan kami ialah filem kedua keluaran Merdeka Studio, iaitu filem Abu Nawas, arahan A.R. Tompel.
Allahyarham pernah menjadi ahli Lembaga Penasihat Akademik di Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia, dan terakhir Allahyarham dilantik sebagai Felo Utama di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Fakulti Ekonomi Pengurusan, UKM dari 4 Mei 2007 hingga 3 Mei 2009. Allahyarham menghasilkan beberapa buah buku termasuklah yang berjudul Saham terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1993.
Atas sumbangan Allahyarham kepada negara amnya, dan khususnya kepada Selangor Darul Ehsan, Allahyarham dianugerahi Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Kira-kira tiga bulan sebelum Allahyarham meninggal, saya menemui Allahyarham di Masjid Ar-Ridhuan, Ulu Klang, selepas solat Jumaat. Sempat beliau mengatakan yang beliau menghidap kanser usus pada tahap kritikal.
Saya memberitahu perkara itu kepada isteri saya dan rakan kami Mohamed. Saya dan Mardzuki (suami dua pupu saya dan rakan Allahyarham di ITM) menziarahi Allahyarham di HKL pada malam Khamis 29 Disember 2011. Pada ketika itu Allahyarham masih sedar dan semasa bersalaman Allahyarham memegang erat tangan saya dan mengambil masa untuk mengingati saya.
Saya berkata kepada ibunya yang sudah berusia 80 tahun dan masih sihat: ''Malik sungguh bertuah, kerana dalam keadaan begini emaknya masih ada di sisinya."
Ibunya menyambut, "Mudah-mudahan Malik sembuh semula seperti sedia kala." Semasa mahu pulang saya memberitahu Allahyarham supaya banyak berastaghfar dan mengucap. Allahyarham sebak dan mengalirkan air mata; mungkin memberi isyarat yang kami akan berpisah.
Allahyarham tidak mahu melihat kami beredar dari katilnya. Pada tengah hari, Ahad, 1 Januari 2012, saya dan isteri menziarahinya, matanya sudah tertutup dan beliau bernafas dengan bantuan oksigen.
Saya membisikkan kalimah syahadah ke telinganya beberapa kali. Kami adalah antara yang terakhir menemuinya pada malam itu. Semoga Allah mengampunkan segala dosa Allahyarham, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan rohnya bersama-sama roh orang yang solihin, Amin.
No comments:
Post a Comment