Catatan saya di Puncak 1,500 ini adalah berdasarkan pengalaman saya sekeluarga di hujung minggu sahaja. Ini sekadar santai-santai selepas sarapan pagi di hari Ahad di mana biasanya anak-anak nak berjalan-jalan ambil angin pagi. Jadi kenalah cari lokasi baru untuk dicuba dan saya teringatkan Jungle Walk Peak 1500 ini.
PEAK 1500
Terletak di Brinchang atau lebih tepat di Golden Hill di mana lokasi Pasar Malam Cameron beroperasi. Terdapat 2 pintu masuk ke laluan trek bertangga ini yang terletak bersebelahan dengan Somersquare atau lebih tepat lagi Jalan Golden Hill 9.
Kenapa Peak 1500 namanya... ?
Mudah sahaja untuk difahami iaitu ia dibina pada paras ketinggian 1500 meter dari aras laut atau hampir 5,000 kaki di bahagian puncak laluan trek ini.
Trek santai ini sebenarnya adalah laluan trek konkrit yang dibina oleh pihak pemaju Golden Hills untuk tujuan rekreasi penghuni di sini. Ianya dibuka secara percuma kepada semua sehingga pukul 8 malam setiap hari.
Laluannya banyak bertangga dan ada yang agak curam sebelum landai di beberapa bahagian. Ini menjadikan trek ini tidak sesuai bagi warga emas, OKU serta kanak-kanak yang baru belajar berjalan sendiri tanpa pengawasan orang dewasa.
Trek konkrit ini dibina dengan melalui cerun bukit dan juga celahan pokok hutan yang tidak diusik semasa pembangunan di sini. Treknya ringkas tetapi menarik dengan kelembapan sekelilingnya yang tinggi dan ia mula membentuk lumut-lumut semulajadi di kawasan trek santai ini.
err ke mana pengakhiran trek ini?
Tak jauh mana, saya sekitar 356 anak tangga sahaja kita akan keluar di Gate No 2 di jalan utama Golden Hill 9 di Somerhome dan SommerMansion.
Selain itu juga kalau anda bersantai di trek ini, anda sebenarnya masuk dari arah Brinchang namun anda akan melalui Tanah Rata dan keluar semula ke Brinchang kerana ianya terletak di antara sempadan dua pekan. Anda boleh Google Map untuk melihat garis sempadan ini.
Pendakian kami...
Selepas bersarapan nasi lemak pandan di Brinchang, kami menujuk ke Pintu 1 Jungle Walk ini di Sommersquare Golden Hill ini. Tempat letak keretanya adalah percuma sahaja.
Di pintu masuk Jungle Walk Peak 1500 ini sesuai untuk bergambar terlebih dahulu. Anak-anak saya memgayakan pelbagai aksi untuk dirakamkan.
Sebelum memulakan langkahan dan pendakian, kami memanaskan badan dengan senaman ringkas. Maklumlah perut dah kenyang dengan sarapan pagi maka kenalah otot-otot bersedia untuk membawa bebanan tambahan kelak.
Sebaik mendaki, laluannya dimulakan tangga yang menegak dan berlumut baik di bahagian atas konkrit malah dengan kawasan pemegang tangan. Kena lebih berhati-hati di sini namun macam biasa anak-anak terlebih pantas ke hadapan mendaki tanpa rasa penat dan takut. Kami yang tua ini sekadar santai sahaja di belakang.
Suasana semasa pendakian agak sejuk dengan kabus dan juga hujan yang turun rintik-rintik sahaja. Kalau bukan hujan mungkin juga air embun yang masih belum kering kerana kelembapan yang tinggi. Jadi kenalah memakai pakaian seperti wind breaker yang kalis air tapi ringan.
Angin juga bertiup lemah di beberapa kawasan yang terbuka. Semua ini bagaikan lengkap dalam memberikan pengalaman dan suasana rekreasi santai kami ketika itu.
Tak lama kami sampai dibahagian yang landai tetapi melingkar juga laluannya kerana mengikut kontur cerun bukit. Kami berehat dahulu mengambil nafas sebelum meneruskan perjalanan santai ini.
No comments:
Post a Comment