TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, November 15, 2013

Cameron Highlands: Jalan Pahang (Tapah) terkini...

Catatan ini saje-saje dibuat. Saya menerima 4 soalan mengenai keselamatan mendaki atau melalui laluan Tapah ataupun nama sebenarnya Jalan Pahang ini dalam masa seminggu. Maklumlah, cuti sekolah akan bermula esok.
 
 
Nak kata semuanya sempurna tidak boleh sebab sebelum semalam, saya kali terakhir melaluinya pada cuti hari raya haji yang lalu.
 
Namun semalam, saya melaluinya kembali sendiri kerana perlu menghadiri tugasan di Kuala Lumpur.
 
Saya bertolak seawal 5.15 pagi semalam dengan sedikit hujan renyai mengiringi saya dan pulang juga seawal waktu yang sama pagi tadi.
 
Dan saya rasa saya lebih baik berkongsikan pengalaman naik kerana akan dilalui oleh anda dari arah yang sama kelak jika menggunakan jalan ini.
 
Seawal 5.16 pagi saya melepasi Tol Tapah dari Kelana Jaya dengan bayaran sebanyak RM 19.20. Jajaran yang pertama adalah melalui kawasan Kampung Pahang dan ketika awal sebegini tiada kenderaan yang banyak membolehkan saya memecut sekitar purata kelajuan 90-110 km.
 
Selalunya, saya setiap kali mengunakan jalan ini akan meletakan sasaran masa untuk sampai ke Ringlet sekitar kurang sejam mengikut keadaan laluan dan jumlah kenderaan. Untuk memastikan saya dalam lingkungan masa tersebut saya menetapkan sasaran dari satu tempat ke tempat yang lain.
 
Contohnya saya menetapkan masa perjalanan ke Kedai Runcit Kumar dalam tempoh 10 minit. Dan dengan kelajuan yang diatas saya berjaya sampai dalam tempoh 8 minit pagi tadi.
 
Sebelum sampai ke Kedai Runcit Kumar, anda boleh melihat Kampung Kuala Woh yang sebenarnya mempunyai daya tarikan.

Apa dia ? Klik sini untuk catatan saya terdahulu.
 
 
Selepas anda melalui persimpangan ke Kg Kuala Woh ini, laluan berliku bermula namun masih di peringkat awal. Ketika di sini kelajuan saya berkurangan sekitar 60-80 km/jam.
 
Sasaran masa saya yang kedua adalah Lata Iskandar yang juga pernah saya kongsikan kisahkan.
 
Klik sini untuk catatan awal saya mengenainya. Saya selalunya menetapkan sekitar 25 minit dari Pondok Tol untuk sampai ke sini dan pagi tadi saya sampai selepas 23 minit.
 
Jarak di sini ke Tanah Rata adalah 24 km seperti tertera di papan tanda sebelum sampai ke lata ini.
 
Di Lata Iskandar, anda boleh berhenti seketika dan menikmati pemandangan di air terjun ini atau lebih ekstreem mandi manda di sini.
 
 
Namun yang selalunya membantutkan kami berhenti adalah kerana tiada tempat meletak kereta yang selamat dan selalunya perlu jauh di tepi jalan sebelum berjalan ke sini. Jadi, tepuk dada tanya selera.
 
Mungkin berbaloi untuk mencuba singgah di sini biarpun sekadar mengambil gambar kenangan.  
 
Sasaran masa ketiga adalah empangan di batu 17 yang saya tetapkan sekitar 3 minit sebelum lagi 4 minit untuk sampai ke Empangan Sultan Yusoff dan sekitar 5 minit lagi sampai pula ke Jambatan panjang.
 
Jambatan Panjang ini dikatakan menandakan separuh perjalanan anda dari pondok Tol ke Tanah Rata.
 
Biasanya selepas Lata Iskandar, laluan selekohnya bertambah tajam dan sempit dan saya sekadar bergerak dalam kelajuan purata 50-70 km sejam sahaja.
 
Seterusnya terdapat sasaran perkampungan asli yang saya tetapkan dalam tempoh 8 minit.
 
Di 3 km terakhir pendakian, anda perlu berhati-hati kerana terdapat 3 buah selekoh yang berkeadaan merbahaya kerana ada lintasan air dan tanah ketika hujan serta permukaan jalan agak tidak rata.
 
Bagaimana nak tahu 3 km terakhir? Jika anda lihat Petanda jarak mengatakan Tanah Rata 16 km, anda tolak sahaja 13 km untuk jarak ke Ringlet. 
 
Saya selamat sampai di Pekan Ringlet pada pukul 6.10 minit pagi dan berjaya mengekalkan sasaran masa dibawah satu jam.
 
Saya sampai di Tanah Rata pada 6.25 pagi dengan selamat. Alhamdulillah.

Namun sasaran pemanduan saya ini terpakai hanya ketika saya memandu berseorangan sahaja. Kalau dengan keluarga biasanya kami akan lebih perlahan dan santai. 
 
Secara keseluruhan, laluan ini selamat. Masih selesa biarpun terdapat beberapa lokasi terutama selepas Lata Iskandar yang sedang giat dibaik pulih kerana tanah runtuh atau mendap.
 
Malah pihak JKR telah menaik taraf longkang di sisi jalan bagi mengelakan air melintasi laluan ini ketika hujan dan ada jajaran yang dibina tembok ruble wall untuk mengukuhkan tebing bukit.
 
Bagi anda yang tidak biasa dengan laluan ini, saya mencadangkan anda lebih santai memandu. Tidak terburu-buru dan sentiasa berhati-hati. Hayati kembara asli yang boleh anda temui di sepanjang laluan ini,catatanya anda klik sini.
 
 
Cabaran pemanduan di sini selain laluan selekohnya adalah ketika berselisih dengan lori sayur yang besar dan panjang. Selalunya mereka sedikit laju menuruni bukit ini untuk menghantar sayur ke pasar utama.
 
Lori ini biasanya akan menggunakan laluan bertentangan atau istilah 'makan jalan" setiap kali di selekoh tajam. Apa yang boleh anda lakukan perlahan dan kalau perlu berikan laluan. Anda ibarat kancil dan mereka adalah gajah.
 
Juga cabaran yang lain adalah penumpang yang akan mabuk dan muntah. Jika berhenti, pilih tempat yang sesuai dan jangan di selekoh tajam dan terselindung. Juga pastikan kanak-kanak tidak keluar dan berada di tepi jalan kerana laluan yang sempit menambah risiko untuk dilanggar.
 
Selainya kalau memandu di dalam hujan perhatikan jarak kenderaan anda dan juga kemungkinan tanah runtuh di hadapan. Jangan bergerak laju.

Juga kalau ingin mengisi minyak, stesen minyak terdekat selepas Tapah atau R&R Tapah adalah di Ringlet sekitar 64 km jaraknya dan ditutup seawal 10.30 malam.  Bersedia lebih awal.
 
Selamat mencuba laluan ini. Saya sukakannya...

Wednesday, November 13, 2013

Cameron Highlands : Drama Terukir di Bintang berlatarkan Cameron

Saya bukan wartawan atau blogger hiburan tetapi kali ini pertama kali saya nak kongsikan drama di TV3 yang sedang ditayangkan iaitu Terukir Di Bintang.
 
Yang nak datang ke Cameron Highlands, yang nak tahu kampung Taman Sedia, Ros Chalet, Strawberry serta lokasi lain, drama ini menggunakan lokasi sekitar Cameron Highlands.
 
Jadi anda boleh menonton drama dan melihat lokasi menarik di Cameron Highlands.
 
Cuma.... best ke tidak ceritanya saya tak tahu. Tak mahu menilai dan tidak mahu meletakkan cadangan...  
 
Samarinda TERUKIR DI BINTANG sebanyak 15 episod mulai 6 November 2013, setiap hari Isnin hingga Rabu jam 10.00 malam di TV3.
nikkhazami.blogspot.com

 

Sinopsis Drama Terukir Di Bintang. Pengorbanan Sebuah Cinta Yang Tidak Kesampaian

Adam (Wan Elyas) seorang chef muda yang bekerja di sebuah hotel 5 bintang di Cameron Highland, bercita-cita tinggi untuk mendapat tempat dalam pertandingan memasak di peringkat antarabangsa. Peluang untuk ke pertandingan tersebut terbentang luas bila Adam mendapat perhatian daripada Ketua Chef di tempat kerjanya tetapi Adam perlu melalui beberapa pertandingan sesama chef ditempat kerjanya untuk maju ke pertandingan tersebut.
 
Dalam masa yang sama, Adam berkawan baik sejak kecil dengan Jee (Shiha Mentor), seorang gadis yang berperwatakan kasar. Jee berkerja bersama keluarganya yang membuka perusahan ladang Strawberry di mana Jee menghantar bekalan buah Strawbery kepada hotel Adam setiap pagi. Dalam diam, sebenarnya Jee menaruh hati terhadap Adam tetapi tidak meluahkannya manakala Adam pula hanya menganggap Jee sebagai teman biasa.
 
Dalam kesibukan Adam berkerja sambil menyiapkan diri bertanding dengan sekutu chef mudanya Rizman di hotel tempatnya bekerja, tiba-tiba muncul Asmara (Tasha Shilla), seorang gadis dari Kuala Lumpur menginap di Hotel dimana Adam bekerja. Adam sangkakan Asmara ialah seorang pengintip dari hotel lain untuk mengorek rahsia resepinya bagi pertandingan memasak tetapi sangkaan Adam meleset apabila mendapat tahu bahawa Asmara adalah seorang pengkritik makanan malahan Adam menjadi bertambah mesra dengan Asmara apabila Asmara membantunya dalam membuat persiapan untuk pertandingan tersebut. Adam telah jatuh hati terhadap Asmara dan mengetahuinya tetapi menganggap Adam sebagai teman baik sahaja.
 
Sebenarnya Asmara telah bertunang dengan Zen tetapi tanpa pengetahuan keluarga dan tunangnya, Asmara telah berhenti kerja dan melarikan diri ke Cameren Highland bila mengetahui dirinya menghidap radang hati. Jee lalu memgambil keputusan untuk menjadi kawan rapat kepada Asmara dengan harapan dapat mencungkil rahsia siapa diri Asmara sebenarnya tetapi akhirnya Jee terlepas cakap bahawa dia sebenarnya mencintai Adam.

Cameron Highlands : Jalan mana ke sini yang lebih sesuai

Menjelang cuti sekolah ini, saya diajukan soalan-soalan berkaitan bercuti di sini antaranya jalan manakah yang paling sesuai, selamat dan selesa...

Saya tiada jawapan kerana bergantung kepada anda. Jika saya laluan Tapah menjadi kegemaran kami tetapi pastinya tidak menepati anda pula nanti.. jadi saya kongsikan catatan saya mengenai laluan ke sini untuk anda baca dan buat perbandingan serta pilihan kelak...

Laluan Simpang Pulai - Kg Raja, Cameron Highlands:


Laluan ke Cameron Highlands selain laluan Jalan Pahang (Tapah) dan JalanPos Betau yang pernah saya kongsikan dahulu adalah laluan Simpang Pulai ke Tanah Rata. Laluan yang kedua dibina selepas Jalan Pahang pada tahun 2000 ini amat popular kepada pelancong yang mahu ke tanah tinggi ini.



Laluan ini bermula di Simpang Pulai, Perak ataupun Ipoh ini merupakan jajaran baru yang bukan sahaja menghubungkan daerah ini tetapi kemudian dilengkapkan dengan laluan merentasi Daerah Kecil Lojing sehingga ke Daerah Gua Musang, Kelantan.
Baca seterusnya di SINI

Jalan Pahang (Tapah ke Ringlet):


Kisah mengenai Jalan Pahang ataupun dikenali juga dengan Jalan Tapah -Ringlet pastinya tidak akan lengkap tanpa mengaitkannya dengan kisah masyarakat Orang Asli yang sememangnya telah lama berada dan bertapak di jajaran jalan ini.


Malah agak unik kerana rata-rata kehidupan mereka masih berindentitikan kebudayaan asal mereka seperti kegiatan harian memburu, menuai hasil hutan dan sebagainya.

Manakala kehidupan harian juga berlatarkan perkampungan orang asli yang masih berumahkan buluh dan beratap rumbia. Bekalan air masih menggunakan air sungai hutan semulajadi.

Lokasinya masih sekitar hutan belantara samada di atas bukit, pinggir bukit ataupun tebing sungai malah menghampiri kepada empangan janakuasa elektrik milik TNB.

Klik ini untuk catatan sepenuhnya. Klik

Jalan Pos Betau (Sungai Koyan) ke Ringlet:


Dalam beberapa catatan saya terdahulu samada ditulis sendiri atau memanjangkan catatan pihak ketiga ada saya terangkan bahawa untuk sampai ke Cameron Highlands boleh melalui 4 laluan tidak termasuk laluan udara.


Pertamanya laluan lama yang menjadi nadi kepada daerah perlancongan ini iaitu Jalan Pahang ataupun lebih dikenali dengan jolokan nama Jalan Tapah- Ringlet. 


Klik sini untuk catatan sepenuhnya. Klik .

Jalan Gua Musang- Lojing - Cameron Highlands :


Catatan keempat mengenai laluan ke Tanah Tinggi Cameron ini dilengkapi dengan laluan Gua Musang - Lojing - Cameron Highlands. Laluan baru ini dibina sekitar tahun 2000 menghubungkan Negeri Kelantan dan Pahang melalui Daerah Gua Musang.

Kedudukan laluan Gua Musang- Cameron Highlands ke Simpang Pulai atau ke Tapah atau ke Raub atau ke Kuala Lipis dapat anda lihat dari cetakan Google Map ini. Semuanya menghubungi Cameron Highlands.

Pada tahun 2009, Jajahan Kecil Lojing diwujudkan bagi memisahkan pentadbirannya dengan Jajahan Gua Musang.

Laluan sejauh 121 km ini menghubungkan Gua Musang melalui laluan utaranya sebelum kembali ke arah barat ke Lojing. Laluan ini sama seperti di laluan Simpang Pulai dimana jajaran baru ini melengkapkan perhubungan di antara Negeri Kelantan dan Negeri Pahang dan Negeri Perak.

Klik untuk catatan penuh. Klik 

Jadi keempat-empat laluan ke Cameron Highlands telah anda baca dan tentunya mempunyai pilihan yang mana satu akan digunakan nanti mengikut lokasi dan arah perjalanan anda.
Berhati-hati memandu... datang dengan niat melancong bersukaria bukannya berdukacita..

Jika Anda ingin mencari penginapan percutian anda di sini, apa kata anda memilih Zahra Homestay sebagai pilihan penginapan anda 

Hubungi : 0133089717 ATAU 0136384251 untuk pertanyaan dan urusan selanjutnya. 







Cameron Highlands: Selamat atau tidak bercuti di sana ..

Dalam seminggu ini saya mendapat beberapa pertanyaan dari mereka yang membaca do blog ini tentang keselamatan untuk datang bercuti ke sini mulai minggu hadapan bersempena cuti sekolah.
 
Saya rasa ada kewajaran soalan sebegitu ditanya selepas beberapa peristiwa besar yang melibatkan alam sekitar di sekitar daerah ini.
 
Peristiwa  banjir kilat yang melanda Pekan Lembah Bertam pada 23 Oktober 2013 dan terbaru pada dua hari yang lalu melibatkan tanah runtuh di pinggiran pekan Brinchang.
 
 
Akhbar arus perdana juga banyak memaparkan beberapa isu yang relevan berkaitan dengan kemusnahan alam sekitar di sini ekoran kejadian tersebut.
 
Antaranya tajuk seperti " Ibarat Bom Jangka" seperti memberi gambaran daerah perlancongan ini tidak selamat. 
 
Jadi saya menerima soalan-soalan mengenai statusnya dari kalangan pembaca.
 
Jawapan saya :
 
Pertama : saya bukan pihak yang mempunyai kredit atau wajar untuk menyatakan selamat atau tidak. Pihak yang boleh anda ajukan soalan ini tentunya Pihak Polis DiRaja Malaysia, Pejabat Tanah Daerah atau Majlis Daerah Cameron Highlands.
 
Anda boleh melayari laman web mereka untuk mendapatkan kepastian. Mereka lebih dan pihak yang tepat untuk menyatakan status keselamatan dengan jaminan.
 
Kedua : Anda boleh membuat semakan dengan laman web Jabatan Meteorlogi Malaysia (MET) untuk mengetahui ramalan hujan dan juga cuaca di Cameron Highlands ketika tempoh kunjungan anda nanti untuk lebih bersedia.
 
Biarpun ini jawapan standard yang selalu saya berikan, masih ada yang mencuba bertanya secara peribadi pula , apa pendapat saya.
 
Jawapan saya :
 
Pertama: Kedudukan lokasi kejadian banjir lumpur di Pekan Lembah Bertam jauh dari lokasi tumpuan sekitar Tanah Rata dan ke atasnya. Jaraknya menghilir 16 km ke arah Laluan Pos Betau ke Ringlet.
 
Kedua: Tanah runtuh di pinggiran Pekan Brinchang juga tidak melibatkan kawasan perlancongan kecuali laluan ke bengkel kereta dan juga laluan keluar dari Big Strawberry Farm yang masih dibuka tanpa henti.
 
Ketiga : Tips yang boleh digunakan ketika memilih kawasan penginapan ianya mestilah selamat. Selamat maksudnya risiko rendah seperti tidak berada sebelah bukit, tebing atau laluan air.
 
Keempat : Rancang perjalanan anda kalau ke sini. Dapatkan maklumat awal dari JKR atau PDRM keadaan laluan ke sini baik dari Simpang Pulai, Tapah , Raub ataupun Lojing. Laluan ini mungkin baharu pertama kali anda menggunakannya. Jangan terlalu laju atau berkejar sesama kenderaan yang lain.
 
Kelima : Bersedia dengan ramalan cuaca seperti hujan dan tanah runtuh.
 
Kelima-lima jawapan saya adalah peribadi. Tiada sebarang liabiliti saya tawarkan diantaranya.
 
Jika anda yakin. Selamat datang ke Cameron Highlands.
 
 
Cuma jangkakan kepada kesesakan di beberapa lokasi tumpuan nanti.
 
Cuma beberapa minggu lalu selepas peristiwa banjir kilat di sini, saya menumui pengusaha kedai makan di Brinchang yang mengatakan jumlah pelancong berkurangan kerana wujud rasa "bimbang" banjir kilat tersebut akan berulang.
 
Saya akui ramai yang tidak mengetahui sebenarnya lokasi kejadian. Malah saya sendiri pada ahri kejadian dan selepas itu mendapat banyak panggilan keluarga, rakan dan juga kenalan jauh yang bertanyakan samada rumah saya terlibat atau tidak.
 
Alhamdulillah, kami jauh sangat dari lokasi kejadian... 

Monday, November 11, 2013

Cameron Highlands : Tanah Runtuh di Brinchang

Kejadian tanah runtuh semalam di Brinchang kembali hangat mengisi ruang sejuk dan dingin Cameron Highlands.
 
Setelah tidak sampai 2 minggu lebih, mata dan pandangan seluruh negara tertumpu ke daerah tinggi ini akibat banjir kilat di Lembah Bertam, perasaan ingin tahu kembali memuncak dengan kejadian tanah runtuh ini.
 
 
Selamatkah Cameron Highlands ? antara soalan yang ditujukan kepada saya melalui pesanan yang diterima di facebook saya.
 
Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa cuma anda perlu bertanya kepada diri sendiri, yakinkah anda dengan keadaan di sini.
 
Saya? secara peribadi masih yakin kerana melibatkan hanya kawasan yang tertentu sahaja setakat ini. Insyallah didoakan sentiasa selamat.
 
 
Untuk kisah semalam, saya hanya mengetahui sekitar pukul 8.30 malam melalui whatsapp rakan-rakan namun tidak tergerak untuk ke sana kerana suasana masih hujan lebat.
 
Melalui rakan saya yang rumahnya hanya 100 meter dari tempat kejadian menyatakan, mangsa yang juga pemilik bengkel kereta, Che Mat masih terperangkap namun selamat. 
 
Rakannya pula masih terperangkap tetapi mengalami kecederan kaki dan pihak Bomba dan Penyelamat masih berusaha membawanya keluar dari sisa runtuhan bengkel dan tanah runtuh. 
 
Saya sempat menjengah kawasan kejadian tengahari tadi dan melihat bagaimana kesan runtuhan yang berlaku malam tadi. 
 
 
Dari perhatian amatur saya, tanah yang runtuh melibatkan seolah-olah satu blok bahagian bukit dari keseluruhan cerun. Ianya kelihatan mengelungsur ke bawah dari ketinggian 30-40 meter dengan membawa beban pokok-pokok dan air hujan yang lebat ketika itu. 
 
Mujur juga saya melihat bagaimana arah gelunsuran tanah tersebut mengena bengkel kereta sahaja.
 
Kalau ianya berganjak sekitar 10-15 meter ke sebelah kanan, tentu tiada terbayang kerana di situlah kediaman pemilik bengkel ini bersama keluarga yang berada di dalam rumah tersebut.
 
Alhamdulillah selamat.
 
Cuma melihat kemusnahan kereta yang dihantar untuk dibaiki di bengkelnya, saya pasti Che Mat juga gusar dengan ganti rugi yang perlu ditanggungnya termasuklah keretanya miliknya sendiri yang turut terlibat.
 
 
 
Apapun kepada Che Mat dan keluarga serta rakan-rakannya yang terselamat saya sama-sama memanjatkan syukur kepada Illahi diatas peluang yang diberikannya... 
 
Gambar-gambar selebihnya di sini.. klik     

Cameron Highlands: Tanah Runtuh dan Hujan lebat 10 November 2013

Semalam hujan lebat turun di sini. Memang terasa lebatnya. Cuma berapa mm saya tak pasti pula sebab weather station saya dihantar untuk servis.
 
Apapun jika dilihat dari kesannya memang terbukti lebat.
 
Kesan yang pertama kejadian tanah dibeberapa lokasi antaranya yang terburuk adalah di laluan lama Brinchang iaitu bengkel-bengkel kereta di Jalan Sultan Abu Bakar.
 
Kejadian tanah runtuh di Bengkel Kereta di Brinchang lama,
koleksi dari Mohlis Mohd Saidi
 
Kereta yang terlibat di Bengkel Kereta Brinchang- Mohlis Mohd Saidi

Dua orang terperangkap selama lebihs ejam sebelum berjaya dibawa keluar oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.
 
Juga beberapa lokasi yang lain seperti di laluan utama ke Brinchang di hadapan Glory 78 Snack & Steamboat yang menutup sebahagian laluan utamanya.
 
Jumlah paras air jelas kelihatan memenuhi semua laluan Sungai Bertam dan jelas kelihatan dengan beberapa kepinng gambar di sekitar Kampung Taman Sedia.
 
di Taman Sedia, gambar koleksi Kak Rose
juga Sungai Bertam di Taman Sedia, koleksi FB Aidil
 
Menghadap Pejabat Jabatan Hutan CH
Manakala buat pertama kali, Taman Pertabalan Tanah Rata juga ditengelami air seluruh kawasan dan meninggalkan lumpur yang tebal.
 
Taman pertabalan TR - Hazrin
 
Sungai di Jalan Masjid sebelah Taman Pertabalan - Hazrin
 
Nampaknya buat sementara ini kanak-kanak di sini terpaksa memilih jenis riadah yang lain kerana saya pasti kerja pembersihan mengambil masa untuk disiapkan.
 
Gambar-gambar yang  saya kongsikan di atas di ambil dari laman FB rakan kenalan saya. 
 
Saya agak sibuk hari ini untuk menjengah kawasan yang terlibat kecuali taman pertabalan sahaja. Insyallah kalau berkesempatan, saya akan ke sana.

Thursday, November 7, 2013

Cameron Highlands : Perkampungan Orang Asli Pangan

Sebuah kampung orang asli yang dilalui oleh kami peserta kayuhan Thompson Trail adalah Kampung Pangan iaitu yang terletak di penghujung Ladang Teh Boh bahagian Farlie.
 
 
Namun jika mengikut laluan TT yang baharu ini, Kampung ini terletak di permulaan sebelum masuk ke kawasan ladang teh.
 
Jika dahulu kampung ini adalah kampung pertama dilalui untuk perkampungan orang asli yang lain di bahagian dalam termasuklah ke Kampung Kuala Boh, Relung, Rantau, Pos Mensun, Teji, Tiat , Cheros , Pos Telanok dan sebagainya, kini laluanya berubah menjadikan kampung mereka kampung terakhir di penempatan ini.
 
Bagaimana hendak menyebut nama kampung ini. Sebutan suku katanya adalah Pan - Gan
 
Ini adalah sebutan yang betul kerana semasa saya ditanya mengenai kampung ini oleh salah seorang rider, saya menyebut Pangan tetapi seorang kanak-kanak orang asli membetulkan sebutan saya dengan Pan - Gan.
 
Saya sempat bersembang dengan salah seorang penduduk dewasa di sini. 
 
Katanya, jumlah penduduk sekitar 250-300 orang bercampur peringkat umur. Cuma saya terlupa nak bertanyakan suku kaum mereka di sini .
 
Rasanya masih lagi suku kaum Semai yang merupakan majoriti suku kaum di Cameron Highlands.
 
Penduduknya ada yang bekerja di Ringlet, pembinaan empangan dan juga sebagai pekerja ladang teh bersebelahan perkampungan mereka.
 
Saya menemui kanak-kanak di sini. 
 
Mereka sama seperti kanak-kanak Orang Asli yang lain yang masih malu-malu tetapi berani untuk mendekati kami bila tidak diperhatikan. 
 
Mereka teruja melihat pelbagai jenis basikal yang melalui kampung mereka ini biarpun dari jauh sahaja.
 
 
Mereka juga memberikan pose yang amat menarik setiap kali lensa saya menghala ke arah mereka. 
 
Senyuman mereka, melirik manja dan sedikit reaksi takut dipamerkan secara ikhlas.
 
 
Saya kongsikan gambar yang saya rakamkan dengan mereka dan masing-masing ketawa dan seronok mengerumuni saya. 
 
 
Insyallah di lain kali saya akan mencuci gambar-gambar mereka ini sebelum kembali ke kampung mereka dan menyerahkan kepada mereka sebagai tanda kenang-kenangan. 
 
Biasanya saya akan bersama keluarga kecil saya mengunjungi kampung orang asli sebagai aktiviti di hujung minggu dan cuti . 
 
Seperti catatan saya ke Perkampungan Sungai Ubi berdekatan di Tanah Rata di sini.
 
 
Seronok sebenarnya membuat aktiviti sebegini yang sedikit berlainan.
 
Terkilan pula bila memikirkan kalau di Kg. Kuala Boh, kanak-kanak di sana diberikan sedikit cenderhati dan buah tangan dari para rider yang disediakan oleh pihak penganjur.
 
Mujurlah saya mempunyai beberapa bar coklat yang saya bawa dan dikongsikan bersama mereka biarpun sedikit.
 
 
Mengikut sembang-sembang dengan beberapa orang dewasa di sana, terdapat 4 jenis bentuk rumah bantuan yang terdapat di kampung ini.
 
Yang asalnya adalah rumah tradisional mereka. Setiap tahun, kerajaan membina beberapa unit rumah baharu secara percuma kepada penduduk dari jenis kayu seperti rumah peneroka felda sehinggalah rumah batu.
 
Bentuknya berubah-ubah mengikut tahun dan terkini adalah bentuk rumah yang dijadikan tempat rehat para rider yang kelihatan selepas melalui laluan off road.
 
Singgah di kampung ini memang melegakan bagi sesetengah rider kerana melepasi satu peringkat yang amat meletihkan mereka.
 
Untuk lagi koleksi gambar di Kampung Pangan boleh dilihat di sini
    

Cameron Highlands : Perkampungan Asli Kuala Boh

Catatan mengenai Orang Asli ini saya bawakan dari kesempatan saya bersama masyarakat orang asli di sini ketika Thompson Trail 2013 yang berlangsung baharu ini.
 
Antara kampung yang di singgahi adalah Kampung Kuala Boh.
 
 
Kali terakhir saya ke sini adalah pada tahun 2008 melalui jalan masuk utamanya ketika itu iaitu Ladang Teh Boh, Habu.
 
Ketika itu laluanya adalah berturap simen dan mempunyai beberapa bahagian yang telah rosak kerana tanah runtuh. Manakala jalan baharu Sungai Koyan ke Ringlet masih dalam fasa pembinaan.
 
Namun masih dapat dilalui kenderaan hilux saya.
 
Kesempatan kali ini arah jalan masuknya berubah dengan melalui Pos Menson. Laluannya masih yang sama cuma arahnya kini berbeza.
 
 
Perkampungan ini masih lagi seperti dahulu dalam pengamatan saya kecuali beberapa buah rumah baharu telah dibina oleh pihak kerajaan.
 
Pastinya bersama kanak-kanak masyarakat orang asli di sini menjadi tumpuan bukan sahaja kepada saya tetapi juga peserta kayuhan TT ini.
 
 
Malah saya lihat kanak-kanak juga nampaknya seronok melayan kerenah dari pelbagai ceruk rider yang datang sambil sempat bermain-main dengan basikal yang pelbagai bentuk.
 
 
Juga bersembang-sembang dengan Tok Batin beliau menyatakan seramai 350 orang penduduk masyarakat orang asli menetap di sini dan ada di antaranya bekerja di TM Salini, pembinaan empangan yang baharu berdekatan.
 
Saya kongsikan gambar kanak-kanak di sini untuk kita hargai wajah unik ini.
 
  
 
Mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pos Menson yang terletak di laluan masuk ke perkampungan mereka bagi peringakat sekolah rendah.
 
Manakala bagi peringkat sekolah menengah, mereka berulang alik ke SMK Ringlet yang terletak hampir 20 km jauhnya setiap hari.
 
Namun ada juga pelajar yang menetap di Asrama Smk Sultan Ahmad Shah tanah rata. 
 
 
Melihat wajah-wajah unik yang kalau tak silap saya dari suku kaum Semai ini memang agak tertarik.
 
Di sebalik kenaifan wajah mereka terselit sikap lucu yang dipamerkan setiap kali bersembang dengan mereka.
 
 
Juga yang pasti sikap malu tetapi ingin tahu mengenai kunjungan kami ke sana.
 
 
Apapun jika anda ke sini, bawakan sedikit kegembiraan kepada anak-anak kecil ini dengan membawa sedikit buah tangan seperti makanan ringan, peralatan menulis dan sebagainya sebagai tanda penghargaan ini kepada masyarakat mereka yang unik ini.
 
Koleksi gambar selebihnya di sini .Klik

Terima kasih.. 400,000 ribu halaman dibaca

Terima kasih.

Semalam  laman mrkumai ini telah mencecah 400,000 halaman dibaca.

Harap-harap catatan yang ada membantu anda...

Terima kasih atas sokongan.

Saya menulis bukan kerana nama..

cuma suka suki sahaja.

 
 

Wednesday, November 6, 2013

Berita Harian: Ibarat Bom Jangka

 
Mendapan, sampah perangkap maut

Cameron Highlands: Pengaliran air turut membawa bersama sampah sarap dan mendapan menyebabkan tahap kebolehtakungan air di Tasik Ringlet berkurangan dengan ketara berikutan kadar sedimentasi yang tinggi.
 
Keadaan ini menyebabkan tasik buatan manusia, yang menakung air untuk menjana elektrik di Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf, bagaikan bom jangka yang boleh meledak memusnahkan kehidupan, alam sekitar dan harta benda kerana ia sudah tidak mampu lagi menakung air seperti kapasiti asalnya.
 
Pengurus Besar Stesen-stesen Janaelektrik Cameron Highlands, Bahagian Penjanaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mustafa Hashim, berkata perkara itu dibincangkan bersama dengan agensi berkaitan dan risiko berlakunya limpahan air dari Empangan Sultan Abu Bakar boleh terjadi pada bila-bila masa.

“Selain itu, risiko juga besar bila skrin alur masuk ke terowong Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf tersumbat akibat longgokan sampah yang terlalu banyak seperti sisa tanaman, plastik dan tali antaranya,” kata Mustafa, yang bertugas di sini, sejak 2011.

Air yang mesti mengalir melalui skrin alur masuk setinggi enam meter dan lebar 12 meter sebelum ke terowong Bertam ke Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf di Batu 17, Jalan Pahang di Tapah, ada kalanya tersekat, sekaligus, menghalang penyaluran air tasik ke terowong untuk menghidupkan unit penjanaan.

Katanya, usaha pembersihan sampah di skrin alur masuk sering dilakukan tetapi hasil yang diperoleh tidak 100 peratus berjaya, ditambah pula dengan kos pembersihan yang tinggi.

Satu daripada cara pembersihan ialah ‘raking’ iaitu sistem pembersihan secara manual untuk menarik sampah daripada kawasan skrin alur masuk ke terowong apabila pihak stesen mendapati paras air yang melalui skrin menurun.

Apabila keadaan tersumbat itu menjadi semakin serius, khidmat penyelam berpengalaman diperlukan bagi menarik sampah secara manual. Kebiasaanya pembersihan skrin alur dilakukan selepas unit-unit generator tidak beroperasi pada waktu malam.

“Pengawasan skrin alur dilakukan 24 jam di bilik kawalan di Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf di Batu 19. Paras air tasik dan skrin alur masuk dipantau petugas mengikut giliran pada setiap masa,” katanya.

Selain itu, Mustafa berkata pengorekan pasir, selut dan sampah dilakukan di tiga lokasi utama iaitu di hadapan skrin alur masuk Bertam, di muara Sungai Ringlet dan muara Sungai Habu dengan Sungai Bertam.


Bina empangan kecil

Empangan kecil dan empang limpah dibina untuk menyekat mendapan dan pasir daripada memasuki tasik. Hasil pengorekan mendapan di empangan kecil dan empang limpah itu dibawa ke tempat pelupusan tetap mendapan di Sungai Jasin, tidak jauh dari kawasan tasik.

Dalam tempoh lima tahun lalu, TNB membelanjakan RM180 juta untuk kos pengorekan utama mendapan kelodak Tasik Ringlet. Sejumlah RM20 juta lagi dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan tahunan.


Keadaan sungai nazak

Tinjauan BERNAMA mendapati kerja pengorekan pasir dari dalam sungai dijalankan dan timbunannya yang membukit di tebing sungai membuktikan keadaan sungai sememangnya sudah nazak; dicemari mendapan selain warnanya menjadi sangat keruh.

Sebenarnya, jalur tanah yang bersebelahan dengan kedua-dua tebing sungai sudah diwartakan sebagai tanah rizab sungai, seperti termaktub menurut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

Jaluran tanah dirizabkan itu bertindak sebagai penampan di antara sungai dan tanah bersebelahan, bertujuan melindungi sungai daripada aktiviti tidak diingini yang boleh menjejaskan fungsi sungai.

Keluasan jaluran tanah rizab bergantung kepada kelebaran sungai yang mengalir di tengah-tengahnya.
Tanah rizab sungai itu tidak sepatutnya diduduki mahupun dibina struktur sementara atau kekal, dan ditanam dengan tanaman untuk memastikan keselamatan manusia terjamin terutamanya bila hakisan sungai dan musibah banjir melanda.

Namun, realiti di kawasan berkenaan berbeza keadaannya kerana tebing sungai sebelum kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam kerana wujud aktiviti menanam sayur dan penempatan manusia di sekitarnya.

Air Sungai Bertam yang mengalir ke dalam Tasik Ringlet sepanjang lebih 25 kilometer dari hulu ke hilir sungai dan didapati lebih enam kilometer tanah bersebelahan sungai itu berpenghuni dan terdapat aktiviti manusia.

“Air sungai di sini penuh dengan bahan yang mencemari kejernihannya dan saya rasa hanya 30 peratus kandungan sungai itu air.

“Selebihnya mendapan kelodak dan pasir. Itu sebabnya warna air sungai dan keadaannya tidak dapat dikelaskan seperti sungai lain di negara ini,” kata seorang lelaki yang bekerja tidak jauh dari Habu.

Pada malam kejadian paras air di empangan didapati hanya kurang satu meter daripada paras maksimum dan sekiranya air mencecah paras maksimum empangan, pasti ia membawa risiko lebih besar.

Menyedari masalah banjir yang boleh membawa banyak kesan buruk kepada kehidupan dan harta benda, kerajaan bertindak pantas bagi mengatasi masalah seumpamanya berulang.

Kerajaan dalam Bajet 2014, yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 Oktober lalu, meluluskan peruntukan RM40 juta bagi melebarkan dan mendalamkan Sungai Bertam. - BERNAMA
 
Sumber berita : Berita Harian Klik

Sinar Harian : Tasik Ringlet Makin tenat ...

 
CAMERON HIGHLANDS - Banjir lumpur di Lembah Bertam, yang mengorbankan empat nyawa pada 23 Oktober lalu, sewajarnya membuka mata ramai pihak terutama penduduk setempat bahawa Tasik Ringlet sudah semakin 'tenat'.
 
Tasik buatan manusia ini, yang menakung air bagi menjana elektrik di Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar, sebenarnya sudah tidak lagi dapat menampung kapasiti seperti ia mula beroperasi 50 tahun lalu.

Kelodak, pasir dan sampah sarap yang dibawa dari hulu sungai juga membuatkan tasik seluas 0.5 kilometer persegi ini hilang sebahagian fungsi keduanya, iaitu menebat banjir.

Dalam kejadian 1 pagi itu, banjir lumpur melanda Lembah Bertam, Ringlet, apabila air sungai melimpah susulan pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar. Akibat insiden itu, empat maut, termasuk seorang yang meninggal dunia kerana serangan jantung. Ia turut memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan.

Air keruh, berkeladak

Tinjauan dari udara di kawasan itu mendapati air tasik dan sungai-sungai yang mengalir ke dalamnya keruh berwarna seperti teh tarik, tanda ia penuh lumpur dan kelodak.

Selain itu, lereng-lereng bukit di sekeliling kawasan yang teruk dilanda banjir lumpur dua minggu lalu kebanyakannya ditarah secara agresif untuk pembangunan.

Tasik Ringlet makin mendap
Keadaan air empangan yang keruh seperti warna teh tarik tanda dipenuhi lumpur dan keladak
Di hulu sungai, kelihatan kebun-kebun sayur dan tanaman lain serta pembukaan tanah giat berjalan, sebahagiannya kelihatan tidak terkawal.

Dari udara juga kelihatan beberapa buah jentera di tepi sungai untuk mengeluarkan kelodak, pasir dan sampah manakala bot-bot kecil membersihkan permukaan tasik daripada sampah sarap.

Hakikatnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB), membelanjakan lebih RM180 juta sejak lima tahun lalu untuk membersihkan Tasik Ringlet dan Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar.

Kira-kira 350,000 meter padu keladak dikeluarkan dari Tasik Ringlet setiap tahun. Namun, usaha itu tidak mampu mengatasi jumlah pengumpulan mendapan di tasik berkenaan yang dianggarkan 500,000 meter padu setahun.

Sejumlah RM300,000 lagi dibelanjakan setiap tahun untuk membersihkan permukaan dan dasar tasik daripada sampah sarap yang mencecah 200 metrik tan setahun.

Sambil menelusuri kawasan tasik dan empangan itu, Bernama diberitahu bahawa dua pertiga daripada Tasik Ringlet mengandungi mendapan dan ini bermakna hampir 27 meter kedalaman tasik itu dipenuhi dengan kelodak dan pasir serta sampah sarap yang separa timbul.

Mendapan dan Sampah sarap
Menerima aliran air dari empat batang sungai iaitu Sungai Ringlet, Bertam, Habu dan Tenom, Tasik Ringlet dianggarkan berkapasiti takungan 4.6 juta meter padu air.

Namun kini tidak lebih daripada 9.0 meter sahaja ketinggiannya yang berair, bermakna kapasiti tasik itu berkurangan sehingga ke paras hampir 2.0 juta meter padu.
 
Tasik Ringlet makin mendap
Penerokaan agresif tanah didapati sumbang kenaikan mendapan lumpur dan pasir.

Penerokaan tanah untuk pembangunan dan pertanian yang giat dijalankan di Cameron Highlands terutama di lereng-lereng curam dan bukit, menyebabkan hakisan dan ini memburukkan lagi keadaan, menjadikan masalah mendapan di Tasik Ringlet semakin kritikal.

Jika dikumpulkan jumlah mendapan ini, saiznya boleh dianggarkan seluas sembilan padang bola dengan ketinggian hampir 6.0 meter bersamaan dengan kira-kira 500,000 meter padu pengumpulan mendapan kelodak setahun.

Risiko banjir

Pengurus Besar Stesen-stesen Janaelektrik Cameron Highlands, Bahagian Penjanaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mustafa Hashim berkata: “Apabila hujan turun dengan lebat, risiko limpahan air sungai dan empangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Hujan lebat berpanjangan dan mendapan kelodak, pasir serta sampah sarap menambahkan risiko.

Tasik Ringlet makin mendap
Pandangan atas kawasan perumahan dan pertanian Lembah Bertam yang terjejas akibat banjir lumpur,
bulan lalu.
“Ketika banjir baru-baru ini, keadaan diburukkan lagi oleh alur masuk terowong bawah tanah ke unit penjanaan yang tersumbat,” jelas Mustafa, yang sebelum ini bertugas di Empangan Kenyir, Terengganu.

Pada hari kejadian, paras air tasik naik dengan drastik iaitu 1.96 kaki (kira-kira 0.6 meter) sejam, dan ia adalah 13 kali ganda berbanding musim tengkujuh sebelum ini.

Akibatnya, air empangan tasik terpaksa dilepaskan secara manual melalui satu pintu alur limpah bagi mengelakkan kejadian buruk sekiranya air dilepaskan secara automatik menerusi empat pintu alur limpah.
   

Skim hidroelektrik

Skim Hidroelektrik Cameron Highlands, yang mula beroperasi pada 1959, terdiri daripada dua skim yang bercantum menjadi satu iaitu skim hidroelektrik Cameron Highlands di Pahang dan skim hidroelektrik di Batang Padang, Perak.

Menggunakan jenis sistem ‘run-of-the-river’, skim ini mendapat punca air dari alur masuk sepanjang sungai dan kawasan tadahan di Cameron Highlands dan Batang Padang.


Tasik Ringlet makin mendap
Pembukaan kawasan pertanian tanpa kawalan punca mendapan lumpur dan pasir lalu
mengalir ke anak sungai dan empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet



 Sungai-sungai utama di sepanjang skim hidroelektrik Cameron Highlands ini iaitu sungai - Pla’aur, Telom, Terla, Ikan, Kodol, Kial, Bertam, Ulu Merlah, Habu, Kilat, Ulong dan Ringlet.

Air daripada Sungai Ringlet, Bertam, Habu dan Tenom akan memenuhi Tasik Ringlet melalui terowong bawah tanah sepanjang 11.0 kilometer, memasuki alur masuk Bertam untuk disalurkan ke stesen janaelektrik Sultan Yussuf di Batu 19 Cameron Highlands.

Air berkenaan disalurkan ke Empangan Jor sebelum mengalir melalui terowong bawah tanah Menglang sejauh 14.5 kilometer sehingga ke stesen jana eletrik Sultan Idris II. Stesen terakhir ialah di stesen janaelektrik Odak di Batu 7, Cameron Highlands.
 
Kredit sumber Berita Sinar Harian : Klik

Thompson Trail 2013 : Menuju penamat ...

Penamat TT seperti edisi yang lalu masih di tempat yang sama iaitu padang milik TNB di Habu.
 
 
Lokasi ini dialui terlebih dahulu seawal pagi oleh semua Rider dan kembali semula ke sini untuk penamat dan majlis seterusnya.
 
Melihat kepada kesungguhan para rider berusaha untuk menamatkan laluan TT memang terserlah.
 
Juga melihat kepada kegembiraan mereka berkumpul selepas makan tengahari dan masih belum berganjak dari padang ini dengan masing-masing memegang tag basikal untuk cabutan nombor bertuah.
 
 
Cuaca mendung walaupun jam menunjukan pukul 12 tengahari hinggalah ke penamatnya bagaikan payung besar di samping penghawa dingin yang tidak boleh ditutup.
 
Semua puas walaupun ada kekurangan sana sini. Insyallah saya percaya pihak penganjur akan mengambil kira kelemahan dan kekurangan tersebut untuk dipertingkatkan di masa akan datang.
 
Melihat dari deretan basikal yang dikumpulkan di setiap sudut padang menceritakan berapa ramai yang menyertai TT kali ini.
 
 
Ini belum dikira dengan mereka yang masih berjuang menamatkan cabaran di dalam ladang teh untuk ke lokasi penamat ini.
 
Saya kira banyak pengalaman yang telah dikumpul oleh peserta. Pahit manis atau pun baru dan lama.  
 
Yang mendapati ianya menyeronokan pastinya kisahnya akan disebarkan kepada rakan-rakan yang lain untuk menyertainya di masa hadapan.
 
Yang serik diharapkan anda lebih berusaha gigih melakukan persiapan untuk menjadikan anda lebih bersedia di edisi yang akan datang. Jangan serik!!!
 
Kami juga amat seronok dapat menjadi tuan rumah kepada anda...
 
Yang baik datangnya dariNya dan buruk itu tentunya dari kelemahan kami sendiri..
 
Sehingga kita berjumpa lagi ... jom lihat koleksi di garisan penamat TT.. SINI

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock