TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, May 22, 2019

Pahang Berduka


Berkabung selama 40 hari.

Dalam tempoh berkabung, untuk majlis rasmi, kaum lelaki Melayu daripada orang kebanyakan memakai baju Melayu dengan bersongkok hitam yang berbelit kain putih selebar 2.5 cm. 

Lelaki daripada bangsa lain boleh berpakaian lounge suit atau baju kemeja berlengan panjang dan bertali leher hitam atau warna gelap tanpa bercorak serta memakai toha hitam selebar 8 cm di lengan kanan. 

Kaum wanita Melayu berbaju dan berkain hitam atau warna lain yang gelap dan berselendang mahupun bertudung putih. Wanita berbangsa lain juga berpakaian hitam atau gelap dan berselendang hitam. 

Untuk pakaian harian biasa ke pejabat atau majlis tidak rasmi, bersongkok hitam yang berbelit kain putih selebar 2.5 cm bagi lelaki Melayu dan bertoha hitam selebar 8 cm di lengan kanan bagi bangsa lain.

Kaum wanita bertudung atau berselendang putih atau hitam.

Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar


Alfatihah.... Raja di Hati Rakyat... 
KUANTAN - Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang mangkat hari ini, merupakan seorang raja yang sangat disegani rakyat kerana keperibadian almarhum yang merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat terutama apabila berlaku sesuatu bencana.
Almarhum yang mangkat pada usia 89 tahun memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh anakanda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu, ekoran keadaan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan.
Tanpa mengira protokol dan darjat sebagai sebagai seorang yang berdarah diraja, Sultan Ahmad Shah merupakan antara orang yang terawal akan 'menyinsing seluar' mencemar duli melawat daerah-daerah di Pahang setiap kali berlaku bencana terutama banjir, untuk menghulur bantuan dan berkongsi derita serta keluh kesah dengan rakyat.
Walaupun Pahang merupakan antara yang kerap dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh, namun baginda tidak pernah jemu untuk meranduk air, berhujan dan menaiki bot bagi membantu  mangsa dan pernah mengerah tukang masak istana memasak untuk mangsa banjir di pusat pemindahan.
Bagi Sultan Ahmad Shah, rakyat adalah keutamannya dan baginda yang lebih mesra membahasakan dirinya `saya' juga sentiasa memantau pembangunan di Pahang dan tidak teragak-agak untuk menegur pihak yang terlibat jika mendapati sesuatu projek itu boleh membawa mudarat kepada rakyat.
Ini terbukti apabila Almarhum menzahirkan kemurkaan dan rasa dukacita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di Cameron Highlands November 2014.
Begitu juga semasa kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT)pada Nov 2015, walaupun dalam keadaan keuzuran, baginda tetap turun padang melihat sendiri keadaan itu dan mengarahkan penyelesaian dicari bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.
Di kalangan pengamal media pula baginda turut disayangi dan disenangi kerana sifat mesra baginda yang tidak keberatan untuk ditemubual setiap kali ditemui disatu-satu majlis.
"Raja dan Rakyat Berpisah Tiada" itulah ungkapan yang sering diucapkan menjadi pegangan baginda sehinggalah ketika baginda mula jarang kelihatan di khalayak umum kerana gering sebelum menyerahkan jawatan itu untuk dipangku oleh anakandanya Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 28 Disember 2016.
Sultan Ahmad Shah telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930. Baginda merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dengan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah.
Almarhum menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan dan melanjutkan pelajaran menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar.
Walaupun pembelajaran baginda terganggu ekoran Perang Dunia II, namun baginda mengambil kesempatan itu untuk turut mempelajari bahasa Jepun ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.
Apabila perang Dunia ke II berakhir, baginda meneruskan pembelajaran baginda di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah.
Pada 1944, ketika berusia 14 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang apabila peperangan tamat.
Pada 1948, Sultan Haji Ahmad Shah meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Universiti Oxford dan Universiti Exeter, Devon United Kingdom dalam bidang pentadbiran tempatan.
Tuanku juga berkesempatan menjalani latihan amali di Sidmouth Urban District Council selama tiga tahun.
Sultan Ahmad Shah mengahwini Tengku Hajah Afzan Tengku Muhammad pada 22 April1954 dan dikurniakan tujuh orang anak, dua orang putera dan lima orang puteri.
Putera dan puteri baginda ialah Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Datuk Seri Muhaini, Tengku Datuk Seri Aishah Marcella, Tengku Abdullah, Tengku Abdul Rahman, Tengku Datuk Nong Fatimah dan Tengku Datuk Shahariah.
Selepas kemangkatan Tengku Afzan pada 29 Jun1988, Sultan Haji Ahmad Shah mengahwini Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac1991 dan dikurniakan seorang putera.
Tengku Fahd Mu'adzam Shah Sultan  Ahmad Shah.
Baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada usia 14 tahun dan ketika berusia 35 tahun, baginda pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpengkalan di Kem Batu 5, Mentakab Pahang.
Sultan Ahmad Shah dilantik menjadi Sultan Pahang ke-5 pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Abu Bakar dan istadat pertabalan berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar pekan setahun kemudian iaitu pada 8 Mei 1975.
Baginda kemudian dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Ke-6 dan telah melaksanakan tugas sebagai ketua negara apabila dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-7 yang memerintah negara 26 April 1979 hingga 25 April 1984.
Lain-lain jawatan yang pernah disandang baginda termasuk Ketua Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) 1 Julai 1983, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari tahun 1984 sehingga 2014. Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1994 sehingga 2002 serta dipilih menjadi  Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 2011. -
Sumber Info ; Bernama 
Gambar; Pahang FA.

Kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah

KENYATAAN MEDIA 

KDYMM PADUKA AYAHANDA SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH MANGKAT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah. 

Almarhum mangkat pada jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. 

Sehubungan itu, saya mohon rakyat-jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan moga-moga roh Almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah Subhanahu Wata'ala, serta ditempatkan bersama-sama para Syhuhada'. 

Amin.

Al Fatihah

DATO' SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang

Saturday, May 18, 2019

Pasar Ramadhan di Brinchang 2019

Pasar Ramdahan kedua dibawah anjuran Majlis Daerah Cameron Highlands adalah di Brinchang. 


Lokasinya masih di tempat yang sama setiap tahun iaitu kawasan parkir MDCH di tengah Bandar Brinchang. 

Jumlah gerai adalah sekitar 30 buah lebih dengan pilihan makanan yang juga tidak jauh berbeza tahun ini.

Bagi anda yang ingin ke sini, pastikan anda melalui kawasan tengah bandar Brinchang yakni perlu memasuki semula pekan ini jika datang dari arah Tanah Rata kerana laluan sehala.  

Pasar Ramadan di Tanah Rata 2019

Pasar Ramadhan di Tanah Rata tahun 2019 masih berlangsung di tempat yang sama iaitu parkir MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS. 


Kali ini sebanyak 86 buah gerai disediakan dengan lebih banyak pilihan menu dari penjual namun masih belum mampu menandingi menu pelik-pelik seperti di bawah. 

Tapi masih ok sebab bukan duit tebal sangat dalam poket nak membeli barangan berbuka di pasar ramadhan kaaannnnn....

Yang mencari Pasar Ramdan Tanah Rata, sila masuk ke kawasan parkir MDCH depan Starbuck atau ikut depan laluan Masuk Pejabat MDCH melalui Maybank. 

Thursday, May 9, 2019

Berpuasa di dalam kabus di Cameron Highlands

Berpuasa di Cameron Highlands hari ini, dari sahur sampai ke moreh dalam berkabusssssssssss.......

Alhamdulillah ....



 "Maka Nikmat Tuhan -mu yang manakah yang Kamu Dustakan'? Surat Ar Rahman ayat 13....

* Ini adalah suasana minggu pertama berpuasa, manakala minggu kedua sedikit panas dengan hujan yang tidak kerap namun masih sejuk. 

Monday, May 6, 2019

Pakej Berbuka Puasa di Hotel Copthorne, Kea Farm Cameron Highlands 2019


Sejak lebih 7 tahun Hotel Copthorne menawarkan pakej berbuka puasa setiap hari kecuali Isnin. 

Tahun ini mereka menawarkan pakej bermula dari RM  50 bagi dewasa dan rm 25 bagi kanak-kanak. 

Tempahan awal akan mendapat harga istimewa bermula Rm 38 seorang.


Variasi menu mereka biasa berbeza setiap hari namun saya masih belum dapat perincian pakej menu mereka. Ini amat berguna bagi orang tempatan yang ingin merancang pakej pilihan mereka. 

Untuk Makluman, Hotel Copthorne ini terletak di Kea Farm sekitar 8 km dari Brinchang dengan tawaran Hotel bertaraf 4 bintang. 

Kemaskini: 
Terdapat 3 menu harian yang berbeza setiap hari. Saya telah mencuba menu 1 dan rasanya boleh dianggap berbaloi jugak dengan harga RM 38 seorang. 
Surau terletak di tingkat 4 seperti biasa. 

Pakej Berbuka Puasa di Heritage Hotel Cameron Highlands 2019

Seperti biasa sejak 2 tahun ini, Hotel Heritage menawarkan pakej berbuka puasa setiap hari kecuali hari Selasa.

Kali ini mereka menawarkan pakej bermula RM 38 seorang dewasa dan RM 20 bagi kanak-kanak. 

Harga istimewa untuk warga Cameron Highlands dan juga tempahan awal.


Untuk makluman, Hotel Heritage terletak di Tanah Rata Dan dekat dengan lokasi penginapan sekitarnya.

Kemaskini:
Dengan tawaran harga tempatan, saya rasa masih berbaloi untuk menikmati berbuka di sini. Lebih ringkas dan tidak terlalu ramai. 

Waktu Berbuka Dan Imsak bagi Cameron Highlands 2019

Saya kongsikan waktu Berbuka Dan Imsak bagi kawasan Cameron Highlands untuk Ramadhan 2019.

Kami masih kenal sebagai Daerah berbuka puasa yang paling lewat di negeri Pahang Darul Makmur. 

Tak kisah sebab tak terasa laparnya ... 

Wednesday, May 1, 2019

10 Soalan Lazim mengenai bercuti di musim bulan puasa di Cameron Highlands 2019...

Ramadhan tiba lagi minggu hadapan. Insyallah.


Ada yang dah mula bertanya bagaimanakah sambutan Ramadhan di Cameron Highlands terutamanya adakah ianya mesra kepada pelancong muslim yang berpuasa. 

Jawapan saya agak biasa-biasa sahaja. Namun jawapan ini adalah pemerhatian biasa yang berlangsung setiap tahun sejak 5 tahun kebelakangan ini semata. 

Untuk tahun ini hanya selepas masuk minggu pertama akan saya kemaskinikan 

Soalan-soalan yang diterima adalah : 

S1 : Adakah kawasan perlancongan akan dibuka seperti biasa?
Ya. Semua dibuka seperti biasa namun ada yang akan menutup operasi mereka lebih kerap di hari bekerja kerana kekurangan pelancong. 

S2: Adakah masih ramai pelancong akan bercuti di Cameron Highland di bulan puasa?
Jumlah pelanocng merosot dengan begitu ketara kerana majoriti pelancong adalah orang Melayu. Ini membuktikan pelancong Melayu mendominasi jumlah kehadiran pelancong ke Cameron Highlands.

S3: Adakah masih dibuka kedai-kedai makan untuk berbuka puasa?
Tahun lepas beberapa gerai makan di Arked Makanan di Tanah Rata dibuka untuk berbuka puasa.  Juga beberapa restoran uang dibuka untuk pakej berbuka puasa namun terhad.Tahun ini belum dapat dipastikan lagi. 

S4; Adakah pasar malam akan dibuka ?
Tahun lepas dan tahun-tahun terdahulu masih dibuka seperti biasa pada hari Jumaat dan Sabtu. Malah dua tahun lepas semasa bulan puasa di musim cuti sekolah bulan 3 juga dibuka selama seminggu tempoh musim cuti sekolah.

Untuk kepastian ada boleh menghubungi Majlis Daerah Cameron Highlands selaku penganjur Pasar Malam Cameron Highlands.

Namun jumlah peniaga makanan akan berkurangan kerana mereka menumpukan gerai di bazar Ramadhan yang mana lebih menjadi tumpuan penduduk tempatan.

S5; Di manakah Bazar Ramadhan berlangsung?
Hanya ada 2 Bazar Ramadhan dibawah kendalian Majlis Daerah Cameron Highlands iaitu di Kawasan Letak Kerata MDCH di Tanah Rata dan Kawasan Letak Kereta di Brinchang. 

S6: Adakah hotel yang menganjurkan buffet berbuka puasa? 
Ada. Setiap tahun selalunya hanya ada dua sahaja hotel yang menganjurkan buffet berbuka puasa iaitu Hotel COPTHORNE dan HERITAGE.

Namun mereka hanya menganjurkan pada hari Selasa hingga Ahad sahaja. Tahun ini masih belum diterima flyer tawaran buffet mereka. Mungkin dalam minggu ini. Atau mungkin tiada...

akan dikemaksinikan .. agak2 harga per pax naik tak tahun ini?

S7: Seronok dan selesa tak berpuasa di Cameron Highlands?
Nak tahu seronok atau selesa berpuasa di sini adalah tanya penduduk sini yang bercuti dan balik kampung untuk berpuasa di bawah.. macam apa rasanya ... kata mereka macam cacing kena panggang... Tapi memandangkan nak bepuasa dengan mak ayah dan nak mencuba pasar ramdhan 200 meter jauhnya maka perlu dihadapi.

Untuk anda pula cuba bayangkan anda bukak tutup bukak tutup peti sejuk di waktu tengahari sebab tak tahan panas... syok kan .. nyaman kan?

Jadi seronok tu susah nak jawab tapi selesa tu Insyallah lebih terasa ..

S8: Adakah ada masjid untuk sembahyang terawih. 
Soalan ini sakit hati nak jawab. Ini Malaysia mestilah ada. setiap masjid di pekan-pekan di sini menganjurkan solat terawih.

Papua New Guinea sungguh soalan ini ..

S9; Pakej Hotel dan apartment percutian akan lebih murah di waktu bulan puasa?
Saya dengar-dengar macam tu lah. Tapi kena tanya hotel. Cuma sejak dua bulan ini saya dapati sudah ada pemilik apartment percutian menawarkan harga istimewa untuk bulan puasa kerana kekurangan permintaan. Kurang permintaan maka berlaku lebih penawaran. maka...Ekonomi 101...

Untuk hotel tawaran harga di luar musim puncak berlangsung terutama melalui di Apps mudah alih.  .

S10; Waktu berbuka puasa lambat ke?
Kalau anda dari kawasan selatan tanah air akan terasa lambat. Kalau dari Utara Tanah Air terasa cepat.. Jawapaan ini berbentuk Kemahiran Berfikir Asas Tinggi (KBAT)  untuk difahami.

Alamak lebih pulak 1 soalan ... 


S11; Kalau tak puasa Pejabat Agama tangkap tak?
Cubalah tak puasa dan makan di khalayak ramai. nanti ada bagi tau jawapannya...

Saya akan kemaskinikan status terbaru untuk suasana berpuasa tahun ini...   Yang atas ini jangkaan tahun ini berdasarkan tahun-tahun lepas.. miungkin ada perubahan. 

Nak tahu pasal tahun-tahun lepas klik sahaja catatan lama di SINI atau SINI atau SINI  atau SINI  atau SINI atau rangkuman Suasana Berpuasa di Cameron Highlands pada tahun lepas di  SINI .

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock