Rasanya saya pernah membuat catatan mengenai zaman komunis berada di Cameron Highlands dan ketika itu Malaya di dalam keadaan darurat. Namun sedikit sangat maklumat bagaimana pergerakan komunis di Cameron Highlands yang dapat saya perolehi maklumatnya khasnya semasa era darurat tahun 1948 hingga 1956 selepas Jepun menyerah kalah.
Dalam catatan awal saya, saya ada memetik Catatan Phil Khempster pada tahun 1952, beliau mengambarkan bagaimana suasana ancaman komunis ketika itu di Cameron Highlands. Pasukan Konvoi Tentera dan awam dari Ipoh dan Tapah akan didahului oleh unit infrateri mereka yang akan menembak kawasan belukar dan selekoh sepanjang perjalanan mendaki ke Cameron Highlands bagi memastikan tiada serang hendap dari pasukan komunis.
Kem Tentera British di Tanah Rata |
Malah ketika mendapatkan rawatan di British Military Hospital di Tanah Rata, Khempster mengatakan terdapat pasukan tentera yang akan menembar mortar setiap pagi dan petang dari kem tentera hadapan British Hospital Military ke arah hutan bagi memberi amaran kepada komunis.
Catatan mengenai kisah Khemspter di Cameron Highlands ada saya kongsikan tahun lepas di SINI.
Manakala jika anda ke BOH Tea Centre di Ladang Habu, anda akan mendapati dua unit Niesen Hut yang kini dijadikan tea shop mereka di mana disitulah pasukan tentera British akan menjadikan markas sementara dan melepaskan mortar dan meriah ke arah hutan bagi menghapuskan amaran serta ancaman komunis dan menjaga aset dan perniagaan warga British iaitu A.J Russel di Ladang Teh Habu pada tahun 1949.
Nissen Hut bekas penempatan sementara askar British di Ladang BOH |
Dari lisan sembang-sembang dengan orang lama sini, Ringlet pernah menjadi kawasan larangan dan perintah berkurung selepas pukul 5 petang.
Kata mereka, selepas pukul 5 hingga 6 pagi keesokannya, Kawasan Lembah Bertam diistiharkan kawasan hitam oleh pihak British kerana didapati kawasan yang mempunyai pengaruh komunis yang kuat perintah larangan ini masih berkuatkuasa sehingga tahun 1989. (Kalau salah minta betulkan).
Dari rujukan yang saya perolehi dari Arkib Negara menyatakan kawasan Cameron Highlands telah diistiharkan sebagai kawasan putih pada 8 March 1959. Parti Komunis Malaya atau PKM hanya menyerah dan mengantung senjata sepenuhnya pada tahun 1989. Barangkali ia bebas dari pengaruh komunis tetapi masih dalam pengawasan pihak keselamatan.
Dari rujukan yang saya perolehi dari Arkib Negara menyatakan kawasan Cameron Highlands telah diistiharkan sebagai kawasan putih pada 8 March 1959. Parti Komunis Malaya atau PKM hanya menyerah dan mengantung senjata sepenuhnya pada tahun 1989. Barangkali ia bebas dari pengaruh komunis tetapi masih dalam pengawasan pihak keselamatan.
Jika ada yang masih berada di kawasan tersebut, pihak tentera yang ketika itu mempunyai Kem di Empangan Abu Bakar akan menahan dan menyoal siasat serta akan mengambil tindakan kerana engkar kepada perintah berkurung. Pas kebenaran keluar dan melebihi waktu yang ditetapkan perlu diperolehi dari Balai Polis terlebih dahulu.
Harapan saya ada Orang Lama Cameron Highlands yang boleh menambah cerita mengenai zaman komunis di Cameron Highlands. Saya memperolehi kisah lisan ini dari En. Zul , Abg Azmi dan Kak Mah masa santai-santai pekena laksa Kak Mah.
Dan dari laman Facebook VAT 69- Perjuangan Semalam, saya membaca dan menghayati peristiwa pergerakan komunis sekitar Oktober 1973 yang melibatkan Daerah Cameron Highlands dan Pekan Ringlet menjadi kawasan pergerakan mereka dari darah utara.
Jom baca....
****************************************************************************
Ops Setia V - Memburu Chong Chor (1)
Chong Chor atau nama sebenar Chung Thian Thye (juga mempunyai 33 nama samaran) merupakan antara ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang paling kejam dan licik, dan amat dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia. Dia yang mengetuai Unit Penggempur ke-5 PKM dan kemudiannya Unit Penggempur ke-6 PKM di Pahang, telah terbabit hampir 50 tahun dalam kegiatan komunis sejak menyertai PKM pada usia 13 tahun. Dia dilahirkan di Canton (kini Guangzhou) dan mengikut keluarganya berhijrah ke Tronoh, Malaya pada tahun 1929 ketika berusia 7 tahun.
Pada penghujung bulan Oktober 1973, Special Branch (SB) menerima laporan yang sekumpulan pengganas komunis telah bermalam di kawasan Ringlet untuk beberapa hari. Ini merupakan petanda pertama yang mereka telah aktif di negeri Pahang.
Dua patrol VAT 69 yang diarahkan menjejak mereka telah melaporkan pasukan komunis tersebut dianggarkan berkekuatan 50 anggota berdasarkan kesan tinggalan mereka yang telah berusia 12 hari. (setiap satu patrol VAT 69 mengandungi 6 anggota yang memiliki pelbagai kepakaran seperti komunikasi, letupan dan perubatan). Untuk memburu pasukan musuh yang besar ini dan meliputi kawasan operasi yang besar, sebagai tambahan 4 patrol dimasukkan dari arah selatan (Tanjung Malim) dan 5 lagi patrol dimasukkan dari arah utara (Cameron Highlands).
Setelah beberapa ketika, 9 pasukan patrol yang dimasukkan dari Tanjung Malim dan Cameron Highland telah dikeluarkan dan diletakkan dalam keadaan "stand by" kerana mereka tidak menemui sebarang jejak dari pasukan komunis tersebut. Dua patrol/ronda yang awal masih meneruskan pemburuan, dan dengan jumlah anggota yang sedikit, VAT 69 mampu bergerak dengan lebih pantas dan menghampiri pasukan pengganas komunis. Pada 10 November 1973, pasukan ronda itu menemui tempat rehat musuh di Lembah Bertam.
Kemudian pada 20 November 1973, iaitu hari ke-12 operasi, mereka telah menemui 10 tempat rehat, dan mendapati musuh masih bergerak dalam kumpulan yang besar (kira-kira 50 orang) dan tidak berpecah kepada kumpulan kecil. Jika ini berlaku, usaha penjejakan menjadi lebih rumit.
Dalam penjejakan seterusnya, pasukan ronda VAT 69 menemui botol-botol kosong vitamin buatan Thai, barangan yg telah rosak atau lusuh seperti kasut getah, topi, uniform dan juga sarung pistol. Kebiasaanya, pengganas komunis tidak begitu cuai dalam meninggalkan kesan dalam pergerakan mereka, tetapi mungkin kali ini mereka "over confident" yang pasukan mereka tidak diikuti memandangkan bentuk mukabumi yang mereka lalui begitu rumit dan mencabar fizikal dan mental.
Untuk membuat ulang-bekal (resupply) kepada pasukan ronda VAT 69, mereka tidak menggunakan helikopter kerana bunyi yang bising akan menarik perhatian pengganas komunis itu. Sebaliknya, ulang-bekal dilakukan oleh "runners" untuk menghantar rangsum. Selain itu, runners tersebut akan membawa pulang dokumen yang ditemui di kawasan rehat musuh untuk diteliti oleh Special Branch. Ulang-bekal dilakukan setiap 10 hari untuk tempoh sepanjang operasi tersebut.
Pada 21 November 1973, pasukan ronda menemui tanda-tanda minyak gris (grease) pada pokok yang menunjukkan musuh membawa kotak-kotak yang berat, berkemungkinan kotak yang mengandungi senjata-senjata baru.
Pada satu lokasi, di sebuah jurang selebar 6 meter dan 120 meter dalam, musuh telah menumbangkan pokok yang besar untuk dijadikan titi. Bagaimanapun musuh berjaya melintasi jurang itu sambil membawa peralatan yang berat itu bersama mereka. Sembilan hari kemudian (30 November 1973), mereka telah berada 5 hari dibelakang musuh.
Ketika tiba di satu perkampungan orang asli, pada mulanya mereka enggan berkerjasama dan memberi maklumat kepada pasukan ronda VAT 69. Setelah Special Branch dipanggil, dan soal-siasat dijalankan, ketua orang asli memberitahu mereka telah menjual seekor kambing, beberapa ekor ayam, sayuran dan beras kepada pengganas komunis. Beliau mengesahkan yang Chong Chor berada dalam kumpulan tersebut, berdasarkan gambar yang ditunjukkan oleh Special Branch.
Pasukan keselamatan berusaha mencantumkan beberapa "puzzles", antaranya mengapa Chong Chor yang merupakan Komander bagi Unit Penggempur ke-5 PKM di negeri Perak, kini berada di Pahang? Mengapa sepasukan kecil (5 orang) pengganas komunis telah bergerak di kawasan tersebut 3 bulan sebelumnya, dan tempat rehat mereka serta laluan turut digunakan oleh pasukan yang menyusul kemudian?
Tidak lama kemudian, Tentera Darat yang juga mengikuti perkembangan ini telah mengaturgerak pasukan komando dengan memasukkan mereka ke kawasan operasi dengan cara "abseiling" dari helikopter. Bagaimanapun, pasukan ini kemudiannya telah ditarik keluar ke Fort Betau, dan penjejakan seterusnya hanya dilakukan oleh VAT 69.
Pada petang 8 Disember 1973, pasukan ronda VAT 69 hanya berada 4 jam dibelakang pasukan musuh. Mereka mengambil keputusan untuk berehat sehari, bagaimanapun pada tengah malam itu, mereka terdengar bunyi enjin lori berhampiran, datang dan berlalu pergi. Mereka khuatir terdapat kemungkinan lori balak tersebut telah mengangkut pasukan musuh ke kawasan lain.
Setelah hari cerah keesokkannya, pasukan ronda meneruskan penjejakan. Setelah 3 jam berjalan pantas dan berlari, mereka menemui kesan tayar lori membuat pusingan. Di situ juga kesan tapak kaki musuh telah hilang, menandakan mereka telah lolos dengan menaiki lori balak itu. Perancangan licik ini telah dirangka oleh pergerakan bawah-tanah pasukan komunis.
VAT 69 kecewa kerana terlepas peluang untuk bertempur dengan musuh pada saat-saat akhir walaupun telah mengekori mereka selama 31 hari, tanpa disedari oleh musuh. Kawasan pembalakan di hutan Pahang merupakan bukan kawasan terkawal kerana jauh ke pendalaman. Bagi kawasan pembalakan terkawal, biasanya tiada pergerakan atau aktiviti dibenarkan antara jam 6 petang hingga 6 pagi.
Pada 18 Mar 1974, seorang pengganas komunis wanita bernama See Hong, yang telah menyerah diri menceritakan terdapat 52 anggota komunis didalam pasukan tersebut. Dia turut menceritakan bagaimana pasukannya telah tersesat selama dua hari sebelum melintasi cerun yang dalam dengan membuat titi dari pokok yang ditumbangkan.
Mereka mengambil masa lebih sejam untuk memikul kotak senjata dan melepasi titi yang licin tersebut. Risikonya, mereka boleh terjatuh ke cerun sedalam lebih 100 meter. Dia tutut menerangkan pasukan kecil yang mendahului 3 bulan awal telah melakukan tinjauan dan menandakan 24 tempat rehat yg sesuai. Kedatangan pasukan Chong Chor dengan 50 anggota juga telah diketahui awal oleh ketua orang asli disitu.
Dengan berkomunikasi secara sulit, mereka berjaya mengaturkan sebuah lori membawa mereka keluar ke pinggir hutan sebelum mereka meneruskan berjalan kaki ke Jerkoh di Kuala Lipis. Bagi pasukan ronda VAT 69, keupayaan mereka mengekori musuh selama 31 hari tanpa disedari menunjukkan keupayaan dan kemahiran mereka bergerak di dalam hutan. Walaupun hanya dengan 12 anggota, jauh lebih kecil dari pasukan musuh, tetap meneruskan pemburuan tanpa mengenal erti kalah.
Bersambung .... BAHAGIAN 2
Sumber : Facebook VAT 69 PERJUANGAN SEMALAM
Catatan berkaitan Komunis di Cameron Highlands :
- Komunis di Cameron Highlands 1973
- Komunis di Cameron Highlands 1973 ..2
- Cameron Highlands diistiharkan sebagai kawasan putih 1959
- Sejarah wujudnya 'Fort' di Cameron Highlands
- Fort Brooke di 'Cameron Highlands'
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment