Monday, September 30, 2013

Cameron Highlands: Thompson Trail MTB Funride 2013

Saya melihat sukan berbasikal khasnya basikal bukit mula bercambah sambutannya di Malaysia.
 
Di Cameron Highlands, minat ke arah sukan berbasikal ini juga kelihatan biarpun hanya kecil kumpulannya.
 
Namun di hujung minggu, kelihatan jumlah yang mengayuh basikal bertambah-tambah dari seluruh Malaysia yang datang ke Cameron Highlands dan ingin mencuba laluan berbukit-bukau di sini di samping cuaca yang dingin.

Laluan treknya memang berbeza terutama bagi mereka yang memilih untuk melalui ladang teh yang menghijau, memasuki kawasan kebun sayur yang mencabar laluannya sehinggalah singgah mempelajari budaya berbeza masyarakat Orang Asli.
 
Bagi saya ini adalah perkembangan yang amat sihat kerana Cameron Highlands menjadi lokasi percutian sukan yang digemari.

Mungkin pihak majlis tempatan dan Jabatan Belia dan Sukan boleh mempromosikan lokasi menarik ini kepada peminat sukat lasak ini.
 
Untuk bulan Oktober, sepasukan kumpulan berbasikal Cameron Highlands yang mengelarkan diri mereka sebagai Cameron Rider akan menganjurkan Thomson Trail Fun Ride yang akan melalui 45 km laluan berbukit bukau yang mengambil nama  Jim Thompson.

Kisah mengenai Jim Thompson pernah saya kongsikan di sini terdahulu dan Insyaallah esok atau lusa akan saya kongsikan peluang anda untuk menginap di Cottage beliau.

Cover PhotoSaya tidak pasti di manakah laluan sebenarnya cuma jika dilihat dari laluan trek yang sebelum ini dinamakan serupa, anda akan melalui kawasan kebun sayur di Habu dan memasuki kawasan ladang Teh milik Boh Plantation bermula dari Ladang Habu, Central sehinggalah ke Farlie.

Laluan yang biasa ini tidak akan lengkap jika tidak memasuki perkampungan Orang Asli Kuala Boh sehinggalah ke Pos Mensoon. 

Ini sekadar telahan saya semata. Apapun yang ingin menyertai fun ride ini... hubungi pihak penganjur dibawah:
  
TARIKH: 26/10/13(SABTU)
TARIKH TUTUP PENDAFTARAN: 10/10/13(KHAMIS)

TAPAK PELEPASAN: TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS
JARAK KAYUHAN: 45+-...

ANJURAN: CAMERON RIDERS
BERSAMA-SAMA: PEJABAT KESIHATAN DAERAH CAMERON HIGHLANDS, KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN, PDRM
KATEGORI: OPEN SHJ

UNTUK PENDAFTARAN LAYARI
http://cameronriders.blogspot.com/

YURAN-RM30 SHJ(goodies+medal+t-shirt+cabutan bertuah+makan selepas kayuh)
NO ACC BANK :0810941000038305 {BSN}
CAMERON RIDERS CYCLING CLUB

*PEMBAYARAN TIDAK BOLEH DILAKUKAN SECARA CASH DEPOSIT

MEDAL AKAN DIBERIKAN KEPADA SEMUA PESERTA TIDAK KIRA SAMA ADA HABISKAN KAYUHAN ATAUPUN TIDAK MENGHABISKAN KAYUHAN.

TARIKH MENGAMBIL GOODIES: 25/10/13(JUMAAT)
MASA: 8.00A.M-12.00A.M
TEMPAT: AKAN DIMAKLUMKAN

UNTUK SEBARANG PERTANYAAN:
FB- MOHD FADZIL

DR RAJA MOHD AZIM:012-9851583
EN SHAHIDAN:013-4949558
EN LAN MD KHALID: 012-4675004
*pertanyaan drpd 8.00am-8.00pm shj
 
https://www.facebook.com/events/531261386940500

*sebarang perubahan atau penambahan akan dimaklumkan melalui FB dan BLOG

Terasa nak jadi paparazi pula pada hari tersebut... jom . Tapi ingat..jangan hubungi saya. hubungi mereka di atas...

Selamat berbasikal di sini nanti...

Cameron Highlands: Restoran Rasa Sayang @TR

Restoran ketiga yang terdapat di Marigold Square adalah Restoran Rasa Sayang yang diusahakan oleh orang tempatan.
 
 
Restoran yang baharu dibuka sekitar sebulan ini menyediakan masakan tradisional melayu untuk sarapan dan makan tengahari.
 
Untuk ala carte menu biasa untuk restoran yang lain dan tambahan pilihan untuk steamboat di waktu malam yang dingin.
 
Lokasinya bersebelahan dengan Liza Collection dan Hotel Madani.
 
 
Kawasan dalaman yang kemas dan bersih untuk pilihan anda menikmati makanan di sini.  

Cameron Highlands: Restoran Erra @ TR

KEMASKINI JAN 2016:
RESTORAN ERRA TELAH DITUTUP MULAI 2016 KERANA DIFAHAMKAN PENGUSAHANYA MENUMPUKAN PERHATIAN KEPADA PENGURUSAN RESTORAN DI SALAH SEBUAH HOTEL DI CAMERON HIGHLANDS. 



Restoran kedua di Marigold Square yang ingin saya kongsikan adalah Restoran Erra.
Restoran ini agak unik kerana menu pagi dan tengaharinya berasaskan buffet.
Jika anda bersarapan pagi di sini, terdapat pilihan menu seperti nasi lemak, mee goreng atau bihun goreng, kuih muih, air kopi atau teh atau lemon atau mangga , salad dan beberapa jenis lagi yang diselang-selikan setiap hari seperti anda menikmati sarapan di hotel penginapan.
Harganya semasa kunjungan terakhir saya baru-baru ini masih lagi RM 5 seorang dan boleh berulang kali menambahnya.
Untuk tengahari dengan konsep yang sama dengan beberapa pilihan menu utama seperti dua atau tiga jenis lauk, salad, sayur, kuih muih, buah-buah, minuman sejuk dan panas.
Semuanya menggunakan peralatan kultenari yang amat berkualiti seperti di hotel.
Harga seorang  untuk makan tengahari buffet ini adalah RM 10 sahaja.
Malamnya pula terdapat pilihan ala carte untuk dipilih samada tempatan ataupun western.
Restoran ini mendapat sambutan hangat di bulan puasa baru-baru ini kerana menu yang ditawarkan dengan hanya berharga RM 10 seorang.... seperti di bawah untuk 2 orang ... 
Amat sesuai untuk rombongan sekolah dan keluarga yang besar kerana  anda hanya perlu membayar setiap pax sahaja dengan pilihan menu yang amat memuaskan dan suasana dalaman yang selesa.

Kalau di kedai makan biasa, anda akan dikira dengan jumlah lauk yang dipilih.  
Pengusaha adalah berpengalaman dengan penyediaan makanan di hotel sebelum membuka restoran ini...
Menarik ? silakan ke sana... 

Cameron Highlands: Kedai Masakan Ala Arab.. Al-Raudah @ TR

Kali ini saya nak membawa anda ke tiga buah kedai di Marigold Square di Tanah Rata.
 
Kawasan perniagaan yang baharu dibuka sekitar setahun ini mudah ditemui kerana di tepi jalan sahaja selepas Pekan Tanah Rata jika dari arah Ringlet atau sebelum ke tiba di Tanah Rata jika dari Brinchang.
 
Namanya bukan dari jenis ais krim tetapi sejenis bunga.
 
Kedai Makan yang pertama yang nak dikongsikan adalah Al Raudah yang baharu dibuka sekitar sebulan lebih.

Terletak bersebelahan dengan Hotel Madani yang sebelum ini dikenali dengan Hotel Muslim.
 
 
Bagus juga ada kedai makanan ala Arab ini kerana sebelum ini kami sekadar mendengar menu lazat Arab sahaja di bawah sana. Nak pergi jauh sangat. Tengok di TV sahajalah sebelum ini.
 
Saya sekeluarga sempat menjamu selera beberapa kali dan Alhamdulilah, kami sangat berpuashati.

Contohnya kami menikmati pakej RM 52 untuk hidangan talam seramai 4 orang ini beserta dengan sejug air teh arab.
 
 
 
Terdapat menu ala carte dan menu pakej keluarga. Harganya sedikit mahal berbanding menu Malaysia namun untuk sekali sekala sebulan, masih berbaloi.
 
 
Bagi penginap Hotel Madani, voucer kupon diberikan cuma saya tidak pasti berapa nilainya.
 
Selamat menikmati menu masakan arab di tanah tinggi ... saya sukakan menu kambingnya kabsah...

Friday, September 27, 2013

Cameron Highlands: Waktu berkabus @ Tanah Rata

Sebenarnya tiada apa pun sangat catatan ini cuma nak kongsikan gambar berkabus di pagi jumaat iaitu hari ini di Tanah Rata. 


Biarpun sekadar 40 minit keadaan berkabus bermula sekitar pukul 9 pagi dengan suhu di tempat saya menunjukkan sekitar 19.4 darjah celcius. 

Cuma kabusnya agak tebal dan datang secara mendadak sebelum hujan renyai-renyai membawanya pergi.

Sebenarnya bukanlah musim hujan di sini dan sudah 3 hari tiada hujan di Tanah Rata kecuali pagi tadi. 


Bolehlah mengurangkan sedikit panas yang terasa sejak seminggu dua ini kecuali malam masih sejuk. 

Minggu ini dijangka ramai sedikit pelancong berbanding minggu lepas yang agak lengang kerana belum masuk gaji. Begitulah lumrahnya di sini... 


Gambar selebihnya di sini . Klik


Sunday, September 22, 2013

Isu status halal ....


Satu maklumat dan pendedahan yang betul-betul menyentap iman kita sebagai umat Islam. Bagaimana logo Halal JAKIM digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh satu jenama restoran makanan tanpa pernah mendapat pengesahan Halal dari JAKIM sendiri.

Kenapa mereka begitu berani menipu pelanggan khususnya yang beragama Islam tanpa rasa takut sedikit pun?

Restoran/produk berikut TIDAK PERNAH mendapat pengesahan halal JAKIM :
 
1) San Francisco Steakhouse
2) Chicken Rice Shop ( Secara Keseluruhan. Bagaimanapun Ada Branch/Outlet Yang Mendapat Pensijilan Halal Secara Khusus. Boleh Rujuk Di http://www.halal.gov.my/v3/index.php/ms/direktori-halal-malaysia/126-direktori-halal-malaysia )
 

3) Kiwi Express
 
Tolong sebarluaskan kepada rakan-rakan Muslim yang lain sebab ini urusan agama kita.
 
Berikut adalah beberapa maklum balas dari JAKIM tentang status halal-haram restoran dan makanan :-

1. Restoran berikut telah mendapat pengesahan halal JAKIM :

1) McDonald

2) A&W

3) Secret Recipe

Restoran berikut telah ditarik sijil pengesahan halal JAKIM kerana gagal mematuhi syarat dan piawaian halal :

1) Victoria Station

2) Kam Lun Ta

3) Lotus Family Restoran

Bagi minuman ringan keluaran syarikat F&N seperti Coke dan 100 plus telah mendapat pengesahan halal JAKIM .

Bagi kuih bulan dan kuih bakul yang telah mendapat pengesahan halal JAKIM adalah halal sebagai contoh yang dikeluarkan oleh syarikat KG Pastry atau Noraini's Cookies dan lain-lain yang ada menggunakan logo halal JAKIMkecuali kuih bulan dari Kam Lun Tai kerana telah ditarik balik pengesahan halalnya disebabkan berlaku perlanggaran syarat dan peraturan halal yang ditetapkan.

2. Ayam segar yang dibungkuskan atas nama Farmbest adalah dikeluarkan oleh Syarikat Sin Mah Sdn Bhd, syarikat ini telah mendapat pengesahan halal JAKIM

Sila semak disini :    www.halal.gov.my
 
saya sekada memetik kandungan dari laman INI. Kredit untuk pemiliknya.

Thursday, September 19, 2013

Cameron Highlands: Kisah pencari kayu api...

Kisah ini bukanlah kisah yang menyeluruh mengenai kehidupan mereka si pencari kayu api tetapi lebih kepada peluang menemui mereka di kala mencari kayu api ketika kami berada di perkampungan mereka. 

Kayu api mungkin bagi sebahagian daripada kita agak asing malah amat tersisih dari kisah kehidupan kita. 

Namun bagi mereka yang lahir dan hidup di kampung-kampung kayu api adalah nadi kepada kehidupan mereka.


Saya teringat ketika masih kecil walaupun keluarga saya ketika itu menetap di penempatan rancangan Felda yang lebih baik berbanding kampung, namun pengalaman melihat bagaimana orang-orang tua mencari kayu api, membelahnya, menyusunkan di bawah rumah dan menggunakan ketika memasak masih segar dalam ingatan saya. 

Kalau di Felda, kayu api mungkin hanya sebahagian keperluan kerana bahan bakar seperti minyak tanah dan dapur arang lebih menjadi pilihan namun masih ada yang menggunakanya dalam hidup seharian. 

Manakala di kampung tradisional seperti kampung orang tua saya di Selama Perak masih menjadi amalan keperluan mereka. 

Ketika pulang bercuti saya masih ingat mengikuti Arwah Pak Lang dan Mak Lang mencari kayu api di kebun getah yang berhampiran. 

Kayu pokok getah yang tumbang dan sudah lama mati serta kering dipilih sebelum dipotong mengikut berat yang mampu diangkat. Jaraknya sekitar 2 km meniti batas sawah untuk sampai ke rumah.

Mereka memikul pulang kayu dan di sebelah petang mereka memotong dan membelah kayu tersebut. 

Manakala abang sepupu saya pula akan menyusun kayu-kayu tersebut di bawah rumah bagi mengelakkan basah di timpa hujan. 

Apabila ingin memasak, kayu api akan dipotong kecil sekali lagi sebelum dibakar dibawah kuali, periuk dan teko air. 

Semua ini kisah yang telah berlalu bilamana era dapur minyak tanah dan kemudian dapur gas mengambil alih tempat sebelum dapur elektrik turut menyelit dalam amalan dan kegunaan di dapur. 

Namun di kampung Orang Asli yang saya kunjungi minggu lalu, amalan keperluan ini masih diamalkan biarpun bukan semua penduduk.

Mereka bersama satu keluarga yang dewasa akan keluar untuk ke hutan berhampiran dan menyeberangi kawasan ladang teh. Memanjat cerun dan permatang teh menjadi kebiasaan kepada mereka. 


Hajat hati kami ingin mengikuti mereka namun jarak lokasi yang ditunjukkan amat jauh rasanya, maka kami membatalkan niat tersebut. 

Selepas 3 jam, kami menemui mereka kembali ketika mahu pulang. Kali ini mereka tidak melenggang pulang kosong sebaliknya setiap ahli keluarga memikul bebaban kayu api baik di bahu ataupun di kepala. 


Saya menganggarkan jaraknya lebih 3 km yang mencabar permukaan laluanya. 

Namun sudah alah dengan rutin ini, maka semuanya dianggap tidak mencabar berbanding kita jika melakukannya. Mau pengsan di langkahan pertama... 

Sembang-sembang seketika bersama mereka, bekalan ini sekadar untuk seminggu dua sahaja sebelum perlu kembali mencari kayu api. 


Dapur gas juga ada di rumah mereka namun bukan semuanya di masak menggunakan dapur gas seperti air dan juga nasi. 

Lebih enak terasa juadah dengan menggunakan api dari kayu api. 

Saya teringat juga kisah dahulu kayu api juga turut dijual dan menjadi pendapatan kepada golongan miskin khasnya untuk jualan kepada pelanggan yang orang berada di kampung-kampung. 

Apapun, dunia semakin moden dan kita perlu mengetahui tidak semua akan ditelan kemodenan. Ada yang masih tegar mengamalkan cara hidup yang sederhana... 

Klik gambar selebihnya di sini.. KLIK. 16 keping semuanya...

Cameron Highlands: Kajian pendidikan di Perkampungan Orang Asli

Dah melawat kanak-kanak di Kampung Orang Asli di Sungai Ubi, saya tertarik untuk mengetahui pencapai mereka dalam pendidikan. 


Menerusi isteri saya yang juga seorang Guru di SMKSAS yang mana hampir kesemua pelajar sekolah menengah dari kampung ini belajar di sana, kualiti pelajar orang asli masih lagi ketinggalan biarpun pelbagai bantuan dan tumpuan khusus diberikan. 

Malah asrama sekolah juga khusus kepada pelajar-pelajar orang asli yang kampung mereka jauh dari sekolah bagi mengelakkan keciciran.

Namun semua tepuk dada tanya selera. Kita hanya mampu mengajak, menyeru, membantu dan menawarkan segala kemudahan yang terbaik untuk mereka belajar dan mengubah nasib keluarga mereka. 


Ada kisah-kisah anak orang Asli dari daerah ini yang berjaya menamatkan pengajian di universiti tempatan membuktikan tiada halangan untuk mereka berjaya asalkan mempunyai semangat, iltizam dan mahu berusaha untuk berubah. 

Untuk mengetahui secara keseluruhan, pasukan penyelidik UKM telah melakukan kajian mengenai "Transformasi Modal Insan melalui Peningkatan Pendidikan: Kajian Kes Komuniti Orang Asli di Cameron Highlands, Pahang" 

Saya berkongsikan laporan kajian mereka yang agak menyeluruh seperti Asbtrak Kajian mereka yang saya kongsikan dibawah:

Pendidikan merupakan elemen penting dalam peningkatan pertumbuhan ekonomi negara. Pendidikan dapat meningkatkan ilmu dan menjurus kepada peningkatan skil. Kelahiran pekerja skil rendah, skil sederhana dan skil tinggi penting dalam perekonomian yang berorientasi pembuatan dan perkhidmatan. Semakin tambahnya graduan lulusan pengajian tinggi juga dapat menigkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara. Namun demikian ternyata peningkatan pekerja berpendidikan dan berskil tidak konsisten dalam semua etnik di Malaysia. 
Etnik minoriti Orang Asli yang kebanyakannya tinggal di kawasan tanah tinggi atau di kawasan pedalaman cenderung mempunyai kadar keciciran yang tinggi dalam setiap peringkat pendidikan.
Jika usaha kerajaan untuk mentransformasi modal insan melalui pendidikan merealisasi maka kadar keciciran dalam kalangan Orang Asli perlu diturunkan. 
Kertas kerja ini berdasarkan penyelidikan lapangan yang telah dijalankan di perkampungan Orang Asli di Kg Sungai Ruil, Kg Sungai Cheros, Kg Leyer, Kg Pos Menson, Kg Kuala Boh, Kg Sg Ubi dan Kg Bertam, Cameron Highlands, Pahang. 
Kertas kerja ini akan membincangkan dapatan hasil kajian lapangan bersama dengan data sekunder yang sedia ada. 
Penulis juga menggariskan beberapa cadangan untuk meningkatkan tahap pendidikan dan skil dalam kalangan Orang Asli, khususnya di kawasan kajian Cameron Highlands.
Klik sini untuk kajian menyeluruh mereka. KLIK .

Kredit untuk pasukan penyelidik ini yang terdiri daripada:

Doris Padmini Selvaratnam
Abdul Hamid Jaafar
Norlida Hanim Mohd Salleh
Redzuan Othman
Siti Hajar Idris
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Selamat membaca... 

Wednesday, September 18, 2013

Cameron Highlands ; Bersama Kanak-kanak Orang Asli Kg. Sungai Ubi

Selepas menerokai kawasan penempatan Orang Asli Kampung Sungai Ubi, kami mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan kanak-kanak di sini. 


Sememangnya mendekati kanak-kanak ini agak sedikit sukar tetapi amat mudah jika menemui caranya. 

Seperti yang saya kisahkan dalam catatan sebelum ini iaitu apabila kami membuat keputusan ke sini, kami melakukan sedikit persiapan ringkas dengan "membeli belah".

Apa yang dibeli? Kami singgah membeli sedikit gula-gula, makanan ringan dan niat hati nak membeli sedikit alat tulis tetapi tidak menemuinya di kedai runcit biasa. 

Untuk ke Pekan Brinchang agak jauh dan berlainan arah. Insyallah di lain kali. 

Apabila mendekati mereka tidaklah sesukar mana kerana ada yang merupakan anak murid kepada isteri saya malah mereka amat mudah menghampiri kami. 


Apabila sudah mesra kami bertanya soalan ringkas sebelum menghadiahkan mereka sedikit makanan ringan. Niatnya bukan meng"gula'gulakan mereka tetapi sekadar token semata.

Kami meneruskan perjalanan ke bahagian laluan penempatan mendaki bukit dan ketika ini tiada langsung kelibat kanak-kanak kecuali yang bermain bola. 

Ketika mahu pulang, saya melihat masih ada baki-baki makanan ringan dan memanggil sepasang adik beradik untuk diberikan baki tersebut. 



Namun melihat sahaja kami memberikan makanan ringan, berpusu-pusu pula yang lain keluar dari rumah. Malah mereka menjerit-jerit memanggil yang lain untuk turut sama keluar dari rumah.

Tidak menang tangan isteri saya mengagihkan makanan ringan tersebut. 


Makin lama makin ramai yang mengerumuni isteri saya. Anak gadis saya agak terpaku dengan ke"popular"an mamanya secara tiba-tiba. 

Manakala anak sulung saya dikerumuni pula kanak-kanak untuk melihat permainan di Tabnya. 

Ada yang sekadar berkaki ayam, sekadar memakai pampers, tidak berbaju malah ada yang berbogel datang ke kami. Malah ada si abang yang berlari mengendong adik kecilnya.


Juga ada juga ibu-ibu mengendong anak kecil untuk mendapatkan makanan ringan tersebut. 

Terasa bersalah pula kerana makanan ringan tidak bagus untuk kanak-kanak tetapi dah terlanjur memberi dan mereka pula meminta, maka kami habiskan bekalan yang dibeli. 
 

Mereka gembira menerima hadiah yang tidak seberapa itu. 

Masih saya teringat kerana ada yang memangill isteri saya mak cik dan ada yang memanggil cikgu ketika mengerumuninya. 

Apapun jika anda ingin ke Kampung Orang Asli, bawakan sedikit hadiah untuk mereka. 

Saya sangat mencadangkan sedikit peralatan pendidikan seperti buku, pensil, pen dan sebagainya lebih baik berbanding makanan ringan seperti kami. 

Juga hormati mereka. Layani mereka dengan lembut biarpun mereka berasak-asak dengan anda. 

Juga jangan mengambil gambar kanak-kanak yang berbogel. 

Jom ceriakan mereka biarpun sedikit sahaja modalnya seperti kami sekitar RM 18 untuk semua makanan ringan dan gula-gula.

Kanak-kanak ini pulang dengan riang ke rumah masing-masing selepas bekalan habis diagihkan.


Nanti kami berhajat untuk memberikan kasut dan selipar lama serta pakaian lama bayi milik anak-anak kami kepada mereka jika berkesempatan ke kampung Orang Asli lagi.  

Insha Allah. Nak ikut ? Jom 

Klik di sini untuk gambar kami ketika itu Klik .

Cameron Highlands : Perkampungan Orang Asli Sungai Ubi

Perjalanan kembara kami di hujung minggu diteruskan lagi kali ini kami menjelajah kawasan penempatan orang Asli di Kampung Sungai Ubi, sebagai sebahagian laluan kembara kami ke ladang teh. 

Kampung ini pertama kali saya sampai adalah sekitar 3 tahun yang lalu. 

Namun sekadar melalui kawasan jalan utama tanpa berhenti kerana kesuntukkan masa ditambah dengan hujan dan saya sebenarnya berazam untuk kembali ke kampung ini kemudian.

Cuma 3 tahun telah berlalu, tidak kesampaian langsung niat saya dan azam saya itu.

Kali ini peluangnya datang bila di waktu pagi Sabtu yang lalu apabila anak-anak bertanya untuk "jungle trekking" dan "jalan pagi", satu kelaziman kami sekeluarga di hujung minggu. 


Buntu seketika memikirkan lokasi seterusnya. Untuk mengelakkan rasa bosan dengan trek yang sama saya cuba mencari lokasi yang berbeza.

Akhirnya idea ke kampung ini datang dan kami melakukan sedikit persiapan awal iaitu "membeli belah' yang akan saya kisahkan dalam catatan seterusnya.

Kembali ke Kampung Sungai Ubi ini, ianya terletak sekitar 5 kmi dari pekan Tanah Rata. Malah dari kawasan hentian teh Bharat anda boleh melihat sebahagian kampung ini. 

Kami hanya berkereta biasa ke kampung ini kerana laluannya bertar sepenuhnya dari jalan masuk sehinggalah ke penghujung kampung. 

Perjalanan dari pekan Tanah Rata sekitar 10 minit sahaja untuk sampai ke kampung ini.

Melalui kawasan hutan kecil sekitar 1 km anda akan menempuh kawasan kebun sayur di selekoh yang tajam sebelum menuruni bukit yang agak panjang sebelum sampai ke kampung ini.

Apabila sampai kami melihat papan tanda perkampungan ini tetapi kehadapan sedikit terdapat sebuah bangunan yang dinamakan sebagai Rumah Ibadah Kg Bharat yang menjadikan kami muskhil di mana sebenarnya Kampung Sungai Ubi.

Namun tidak mengapa, asalkan kampung orang asli sebagai tujuan kami. 

Kampung ini amat besar berbanding dengan kampung Orang Asli yang lain pernah saya kunjungi. 

Malah dari bahagian atas permatang ladang teh, saya melihat ianya seolah-olah terbentuk dengan empat bahagian. 


Kedudukan rumahnya terbahagia kepada dua iaitu tersusun dan tidak tersusun. 

Manakala senibina dan material bahan bangunan rumahnya juga agak bercampur. Masih terdapat rumah tradisional Orang Asli dibahagian penempatan yang bersempadanan dengan ladang teh.


Manakala terdapat rumah binaan papan yang kemas juga dibina di bahagian ini mungkin sekitar 1990 an tahun pembinaanya. 


Di bahagian bawah, lereng dan atas perkampungan ini pula kelihatan binaan batu bata yang saya amat pasti hasil binaan dibawah projek pembangunan semula oleh kerajaan.


Jumlah rumahnya amat banyak dan malah hitungan kasar saya mendekati angka 70 buah secara kasar.


Kehadiran kami disambut oleh kanak-kanak yang tertanya-tanya pada awalnya.

Namun kemudiannya berubah bilamana kami bertanya khabar dan beberapa soalan yang ringkas. 

Malah mereka mula datang dekat dengan kami untuk melihat persiapan kami untuk mendaki ke ladang teh. 


Ada yang mengenali Isteri saya yang mengajar di sekolah menengah di Tanah Rata. Nyata amat memudahkan urusan persiapan kami.

Melalui kawasan penempatan ini, kami melihat bagaimana kanak-kanak bebas bermain-main dan ayam kampung juga bebas bergerak ke sana sini. 

Jelas terasa seperti berada di kampung. Cuma suasana kampung berubah sedikit bilamana ada yang membela anjing. Benarlah ..ini kampung Orang Asli ,...bukan kampung Melayu. 

Cuma jika berjalan ke celahan rumah ini kalau boleh ketika sampai ke kawasan bilik air yang diluar itu, jangan cepat menjengah kerana ada yang sedang membasuh dan anda boleh bayangkan pakaian mereka ketika membasuh baju. 

Anda terperanjat malah mereka amat terperanjat dan menjadi tidak selesa. 

Juga bukan semua yang ramah bersembang malah ada yang malu-malu. Bagi kanak-kanak pula janganlah pula mengambil gambar anak-anak kecil yang terlanjang. Kurang sopan pula rasanya.

Kami menegur beberapa penghuni tua dan mereka amat mesra dengan kami sebelum memohon izin melalui kawasan belakang rumah mereka untuk ke lokasi seterusnya.


Biarpun hanya sebahagian kecil kawasan kampung ini kami jelajahi namun sudah cukup untuk memberi pengalaman yang amat berharga dan berbeza. 

Minggu yang seterusnya, saya bercadang membawa keluarga ke kawasan perkampungan Orang Asli di Boh Estate dan juga menjelajahi kawasan ladang teh Farlie yang amat cantik. Insyallah dipermudahkan... 

Klik gambar kami yang lain di sini... Klik

Cameron Highlands : Kembara Kebun Selada Air "water crest"

Lokasi ini tidak masuk dalam perancangan kami sekeluarga asalnya.

Hanya ladang teh dan juga kampung orang asli menjadi tujuan kami untuk hari minggu yang lalu. 

Namun melihatnya dari atas puncak permatang ladang teh, ianya seolah-oleh mengamit kami untuk ke sana. 

Kami membuat keputusan untuk melencongkan laluan kami ke sana.

Matahari sudah pun tegak di atas sekitar pukul 12.30 tengahari namun keiginan untuk ke sana yang ditunjukan oleh anak-anak kecil kami menafikan cabaran panas terik ini.


Menuruni kawasan tanaman teh sebelum memasuki kembali kawasan perumahan kampung Orang Asli memberi peluang kami melihat sisi yang lain.

Perjalanan kami bertambah mudah dengan melalui pula kawasan tanaman teh yang telah dipangkas.

Anak-anak berlari-lari di celahan pokok yang lebih besar berbanding tadi. 

Sampai di kebun water crest atau selada air ini, mereka cukup teruja untuk melalui pematang atau batas kolamnya. 


Manakala sungai yang mengalir di sisinya pula amat jernih dan deruannya lemah kedengaran. 

Kami memutuskan untuk berehat sambil memakan snek bekalan kami. 


Kemudian melalui kawasan permatang atau batas kolam menjadi aktiviti kami pula.

 

Anak-anak kecil teruja kerana kali ini laluanya kembara mereka amat berbeza.

Malah cukup berbeza berbanding minggu-minggu yang lalu dan sebelum ini.

Mereka akan mencuba melalui kawasan batas dan tanaman sendiri. 

Puas juga kami menjerit terutama kepada si abang yang sentiasa mendahului.


Mereka sentiasa ingin mencuba laluan yang tersedia dihadapan mereka malah setiap ceruk ladang kolam ini cuba mereka terokai sendiri. 

Sebagai ibu bapa, utamakan keselamatan mereka dan sentiasa memantau sendiri risiko keselamatan yang akan mereka hadapi. Beri bantuan sewajarnya.


klik SINI untuk gambar.

Cameron Highlands: Kajian impak perlancongan di penempatan Orang Asli Sungai Ruil

Saya tertarik membaca "Kesan Pembangunan Pelancongan Terhadap Kelestarian Kehidupan Komuniti Orang Asli Kg. Sg. Ruil, Cameron Highland".

Kajian daripada Pasukan Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Norlida Hanim Mohd Salleh (norlidahanim@gmail.com)
Redzuan Othman (redzuan@ukm.my)
Siti Hajar Idris (hajar@ukm.my)
Abdul Hamid Jaafar (ahamid@ukm.my)
Doris Padmini Selvaratnam (pegasus@ukm.my)
Pusat Pengajian Ekonomi, FEP

Universiti Kebangsaan Malaysia

Tinggal kenangan gambar ini... koleksi peribadi saya sekitar 2010.. 

Antara kajian menyeluruh mengenai kesan pembangunan pelancongan yang amat sesuai untuk dikaji dan dibaca, 

Silakan ke link UKM untuk perician kajian yang telah mereka lakukan.

klik ke laman kajian UKM di SINI

Tapi saya suka memetik antara kajian mereka :

Profil responden bagi kajian ini ditunjukkan oleh JADUAL 3. Daripada jadual didapati bilangan responden dari segi jantina adalah hampir seimbang iaitu 42.7 peratus adalah lelaki dan 57.3 adalah perempuan.

Daripada keseluruhan responden, 26.1 peratus adalah ketua isi rumah (KIR) dan 73.9 peratus  adalah ahli isi rumah (AIR). Bagaimanapun, dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan responden yang tepat, AIR yang dipilih adalah AIR yang dapat mewakili isi rumah tersebut. Majoriti mereka berumur antara 21-30 tahun (59.9 peratus), 31-40 tahun (20.0 peratus) dan 41 tahun ke atas (20.0 peratus).

Peratus dari segi status perkahwinan responden adalah seimbang iaitu 46.6 peratus belum 
berkahwin dan 45.6 peratus telah berkahwin. Selebihnya adalah dalam kumpulan balu/duda serta bercerai.

Sekitar 54.3 peratus adalah merupakan keluarga asas manakala 45.7 peratus adalah keluarga luas. 

Dari status ini, membuktikan terdapat hampir separuh ahli keluarga yang telah berumah tangga masih tinggal bersama ahli keluarga mereka.

Majoriti penduduk (87.6 peratus) merupakan penduduk asal dan selebihnya adalah penduduk dari kawasan luar yang berhijrah ke Kg. Sg. Ruil. 

Punca perpindahan adalah disebabkan oleh faktor perkahwinan (8.1 peratus) dan pekerjaan (4.3 peratus).

Majoriti penduduk beragama Kristian (35.1 peratus), diikuti Islam (33.6 peratus), agama 

Nenek-moyang (14.5 peratus), Hindu (0.8 peratus) dan lain-lain (16.0 peratus)


Harap-harap tidak diklasifikasikan sebagai Copyright Reserved bahan ilmiah ini. 

Kalau ada teguran nanti, saya keluarkan catatan ini. 

Cameron Highlands: Tea Walk @ Bharat Tea

Kisah catatan ini sekadar berkongsikan aktiviti keluarga saya di sini di hujung minggu apatah lagi cuti yang panjang sempena Hari Malaysia ke 50 tahun ini. 

Dah pening mencari kawasan untuk pergi berjalan khasny jungle trekking atau walk, saya mengambil keputusan masuk ke Ladang Teh untuk kali ini . 


Bukan kali pertama kerana sebelum ini juga kami telah ke Ladang Sungei Palas. 

Cuma kali ini kami memutuskan untuk mengikut jalan belakang iaitu melalui Perkampungan Orang Asli Sungai Ubi. 

Di mana tu?

Kampung Sungai Ubi terletak bersempadanan dengan Bharat Tea dan laluan masuknya adalah di antara hentian Tea Centre Bharat dan menghala ke Tanah Rata.

Untuk masuk ke kampung ini, dengan hanya berkereta biasa sahaja malah kami menggunakan kereta Proton Persona sahaja ke sini.  

Kampung ini agak besar saiznya dan sembang-sembang dengan salah seorang penduduknya terdapat sekitar 100 buah lebih rumah di sini. 

Saya akan kongsikan kisahnya kemudian. 

Untuk memasuki kawasan ladang teh, saya melalui kawasan rumah Orang Asli dan pastinya kedatangan kami di sambut oleh kanak-kanak mereka. 

Sempat sapa menyapa dan bilamana diajak ke atas sana, ada yang menjawab bayar RM1 sebagai upah.  


Melalui kawasan rumah mereka kami sekeluarga dapat melihat rekabentuk rumah yang unik. Terdapat rumah tradisional dan rumah moden yang dibina di sini. 

Sedikit pendakian mudah perlu dilalui untuk memasuki kawasan ladang teh. Tetapi usah bimbang tidaklah curam kerana laluan denainya sedia ada untuk dilalui.  

Anak-anak kami teruja untuk berjalan di celahan pokok teh yang separas mata mereka. 

Merekalah yang berada di depan kami sambil menyuruh supaya cepat mendaki. 


Namun bila memasuki kawasan tanaman teh, kami mendahului mereka untuk memastikan laluan selamat baik dari segi permukaan dan binatang liar yang kecil. 

Biarkan mereka melihat, menyentuh serta bertanya mengenai apa sahaja berkaitan daun teh.

Kami melalui kawasan tanaman teh dan di hujung puncak kelihatan penuai daun teh sedang melakukan kerja menuai namun agak jauh. 

Berehat di puncak dan permatang pokok teh amat mengujakan dan cuaca ketika itu tidaklah terlalu panas. 


Ketika kami berehat, datang dua keluarga orang Asli yang ingin ke hutan berhampiran untuk mencari kayu api. 

Hajat hati ingin mengikut mereka namun bila ditunjukkan arah hutan yang nun jauh dihujung sana membantutkan hasrat kami.

Kami melalui kawasan yang telah dituai daun dan pucuk teh. Ketika perjalanan pulang kami memilih laluan berlainan kerana kawasan tersebut belum dituai dan warnanya segar mata memandang. 


Dari puncak permatang, nun di bawah sana adalah kebun tanaman selada air atau water crest. Teruja pula anak-anak untuk ke sana. 

Saya sudah beberapa kali berpengalaman ke kawasan tanaman selada air ini. 

Kami mengambil keputusan untuk turun ke sana setelah menghabiskan selama sekitar 1 jam 30 mint di celahan daun teh. 


Jika anggota ekpesisi kami berusia seawal 3 tahun , 5 tahun dan awal 30a an mampu ke sini, anda boleh juga melakukanya dengan keluarga di sini. 


Nikmati pemandangan dan anggaplah sebagai salah satu senamam alam untuk anda...


Gambar kami di sini.. untuk selebihnya juga di SINI