Wednesday, September 18, 2013

Cameron Highlands : Perkampungan Orang Asli Sungai Ubi

Perjalanan kembara kami di hujung minggu diteruskan lagi kali ini kami menjelajah kawasan penempatan orang Asli di Kampung Sungai Ubi, sebagai sebahagian laluan kembara kami ke ladang teh. 

Kampung ini pertama kali saya sampai adalah sekitar 3 tahun yang lalu. 

Namun sekadar melalui kawasan jalan utama tanpa berhenti kerana kesuntukkan masa ditambah dengan hujan dan saya sebenarnya berazam untuk kembali ke kampung ini kemudian.

Cuma 3 tahun telah berlalu, tidak kesampaian langsung niat saya dan azam saya itu.

Kali ini peluangnya datang bila di waktu pagi Sabtu yang lalu apabila anak-anak bertanya untuk "jungle trekking" dan "jalan pagi", satu kelaziman kami sekeluarga di hujung minggu. 


Buntu seketika memikirkan lokasi seterusnya. Untuk mengelakkan rasa bosan dengan trek yang sama saya cuba mencari lokasi yang berbeza.

Akhirnya idea ke kampung ini datang dan kami melakukan sedikit persiapan awal iaitu "membeli belah' yang akan saya kisahkan dalam catatan seterusnya.

Kembali ke Kampung Sungai Ubi ini, ianya terletak sekitar 5 kmi dari pekan Tanah Rata. Malah dari kawasan hentian teh Bharat anda boleh melihat sebahagian kampung ini. 

Kami hanya berkereta biasa ke kampung ini kerana laluannya bertar sepenuhnya dari jalan masuk sehinggalah ke penghujung kampung. 

Perjalanan dari pekan Tanah Rata sekitar 10 minit sahaja untuk sampai ke kampung ini.

Melalui kawasan hutan kecil sekitar 1 km anda akan menempuh kawasan kebun sayur di selekoh yang tajam sebelum menuruni bukit yang agak panjang sebelum sampai ke kampung ini.

Apabila sampai kami melihat papan tanda perkampungan ini tetapi kehadapan sedikit terdapat sebuah bangunan yang dinamakan sebagai Rumah Ibadah Kg Bharat yang menjadikan kami muskhil di mana sebenarnya Kampung Sungai Ubi.

Namun tidak mengapa, asalkan kampung orang asli sebagai tujuan kami. 

Kampung ini amat besar berbanding dengan kampung Orang Asli yang lain pernah saya kunjungi. 

Malah dari bahagian atas permatang ladang teh, saya melihat ianya seolah-olah terbentuk dengan empat bahagian. 


Kedudukan rumahnya terbahagia kepada dua iaitu tersusun dan tidak tersusun. 

Manakala senibina dan material bahan bangunan rumahnya juga agak bercampur. Masih terdapat rumah tradisional Orang Asli dibahagian penempatan yang bersempadanan dengan ladang teh.


Manakala terdapat rumah binaan papan yang kemas juga dibina di bahagian ini mungkin sekitar 1990 an tahun pembinaanya. 


Di bahagian bawah, lereng dan atas perkampungan ini pula kelihatan binaan batu bata yang saya amat pasti hasil binaan dibawah projek pembangunan semula oleh kerajaan.


Jumlah rumahnya amat banyak dan malah hitungan kasar saya mendekati angka 70 buah secara kasar.


Kehadiran kami disambut oleh kanak-kanak yang tertanya-tanya pada awalnya.

Namun kemudiannya berubah bilamana kami bertanya khabar dan beberapa soalan yang ringkas. 

Malah mereka mula datang dekat dengan kami untuk melihat persiapan kami untuk mendaki ke ladang teh. 


Ada yang mengenali Isteri saya yang mengajar di sekolah menengah di Tanah Rata. Nyata amat memudahkan urusan persiapan kami.

Melalui kawasan penempatan ini, kami melihat bagaimana kanak-kanak bebas bermain-main dan ayam kampung juga bebas bergerak ke sana sini. 

Jelas terasa seperti berada di kampung. Cuma suasana kampung berubah sedikit bilamana ada yang membela anjing. Benarlah ..ini kampung Orang Asli ,...bukan kampung Melayu. 

Cuma jika berjalan ke celahan rumah ini kalau boleh ketika sampai ke kawasan bilik air yang diluar itu, jangan cepat menjengah kerana ada yang sedang membasuh dan anda boleh bayangkan pakaian mereka ketika membasuh baju. 

Anda terperanjat malah mereka amat terperanjat dan menjadi tidak selesa. 

Juga bukan semua yang ramah bersembang malah ada yang malu-malu. Bagi kanak-kanak pula janganlah pula mengambil gambar anak-anak kecil yang terlanjang. Kurang sopan pula rasanya.

Kami menegur beberapa penghuni tua dan mereka amat mesra dengan kami sebelum memohon izin melalui kawasan belakang rumah mereka untuk ke lokasi seterusnya.


Biarpun hanya sebahagian kecil kawasan kampung ini kami jelajahi namun sudah cukup untuk memberi pengalaman yang amat berharga dan berbeza. 

Minggu yang seterusnya, saya bercadang membawa keluarga ke kawasan perkampungan Orang Asli di Boh Estate dan juga menjelajahi kawasan ladang teh Farlie yang amat cantik. Insyallah dipermudahkan... 

Klik gambar kami yang lain di sini... Klik

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.