Tapak Perkhemahan Kem Sungai Pauh pernah saya catatkan mengenai kisahnya di catatan terdahulu dan mendapat banyak 'hits' oleh pengunjung laman Mrkumai ini samada memang mencari maklumatnya ataupun terarah ke catatan ini melalui carian mengenai Cameron Highlands. Klik di SINI
Kem Sungai Pauh merupakan satu-satunya tapak perkhemahan yang ada di Cameron Highlands dikendalikan oleh Jabatan Hutan Daerah Kecil Cameron Highlands. Saya difahamkan kepada mana-mana pendaki gunung di sekitar Cameron Highlands tidak dibenarkan oleh Jabatan Hutan untuk bermalam di puncaknya.
Saya telah bertemu dua kumpulan yang menyatakan mereka telah dinasihatkan dan diarahkan oleh pihak renjer Jabatan Hutan untuk mendaki dan pulang pada hari yang sama dan bermalam di Kem Sungai Pauh.
Maklumat ini disahkan bila saya bersembang dengan salah seorang kakitangan Jabatan Hutan di sini yang mengatakan faktor keselamatan dan juga persekitaran seperti kemudahan yang tiada ditempat lain.
Ok. Itu cerita mengenai perkhemahan di sekitar daerah ini. Namun seterusnya adalah pengalaman saya serta keluarga kecil saya berkhemah semalaman di kem ini. Kami menempah tempat perkhemahan dengan cara 'walk in' bagi orang perseorangan dan kumpulan yang kecil. Bagi perkhemahan besar dinasihatkan menempah tapak dengan lebih awal.
Kami 'menempah' tapak khemah di Pondok Pauh yakni pondok rehat berbumbung dan berdekatan dengan alur sungai serta pondok memasak seawal pukul 2 petang.
Saya tak pasti samada boleh sebenarnya menggunakan pondok rehat sebagai tapak khemah tetapi mungkin kerana kurang pengguna yang lain maka di'halalkan'.
Pondok ini antara dua pondok rehat yang lain yang terdapat di sini seperto 'Pondok Ringlet' yang menjadi target kami awalnya memandangkan dua ahli pasukan kami yang masih 'junior' benar.
Bila petang sekitar pukul 6 petang, terdapat seorang kakitangan Jabatan Hutan datang untuk mengutip bayaran atau caj perkhemahan. Kami dikenakan RM 20 bagi caj penggunaan api dan air dan RM 6 untuk caj tapak perkhemahan bagi 2 orang dewasa. Resit dikeluarkan.
Kemudahan elektrik adalah untuk lampu sahaja dimana terdapat lampu-lampu yang dipasang dibeberapa lokasi tapak dan jika anda memerlukan bekalan elektrik untuk peralatan elektrik anda, boleh membuat sambungan dari punca kuasa berdekatan surau ke tapak anda dengan kabel sambungan sendiri.
Pastikan sambungan anda selamat kerana kelembapan yang tinggi di Cameron Highlands boleh mendatangkan padah jika tidak selamat.
Bila tiba waktu malam, untuk bersolat adalah tidak menjadi masalah kerana terdapat sebuah surau yang selesa. Kemudahan tandas adalah baik seperti tapak perkhemahan bukanya bertaraf hotel.
Suasana waktu malam memang sunyi kecuali bunyi dari peserta perkhemahan yang lain. Kemudahan tempat masak berbumbung dan meja batu memudahkan urusan penyediaan makanan.
Peserta junior kami begitu seronok berehat di dalam khemah dan bermain di luar di tempat yang cerah. Namun perhatikan anak-anak anda sepanjang masa.
Bukan sekadar binatang atau haiwan kecil yang menjadi kerisauan tetapi juga 'mahkluk' yang tidak nampak di mata maklumlah dah kawasan hutan dan risikonya sememangnya begitu.
Makan malam serba ringkas menunya siap tersedia dan tanpa di sangka-sangka tidak pula mencukupi bagi kami dan juga peserta junior kami. Kalau di rumah sekadar cukup malah mungkin berlebih tetapi suasana lain di hutan ini mungkin menambah selera khasnya si Juniors.
Akhirnya saya memandu keluar ke bandar Tanah Rata sekitar 5 minit perjalan untuk membeli bekalan makanan tambahan. Menghampiri pukul 11 malam suasana bertambah sejuk dan hujan menitis lemah. Akhirnya semuanya berkampung di dalam khemah dan berada didalam selimut dan beralaskan tilam angin.
Biarpun menggunakan Pondok Pauh tapak khemah yang telah siap berbumbung, kami mendapati khemah kami yang dari jenis 'single layer' masih lagi kebasahan dek kerana titisan air yang dibawa oleh angin.
Bayangkan jika tidak berbumbung saya pasti titisan embun dan hujan mampu membasahkan bumbung khemah kami. Mungkin bagi mereka yang menggunakan khemah jenis 'Double Layer' akan lebih selesa ataupun dilain kali perlu memasang tampolin atau kanvas tambahan.
Suasana malam hingga ke pagi amat sejuk dan untuk mengambil air sembahyang juga agak mencabar berbanding di dalam rumah yang mempunyai pemanas air.
Bila peserta junior kami bangun awal dan dalam suasana kesejukan masih lagi tetap mahu turun ke gigi air. Puas dilarang namun masih tetap menghala ke sana. Selepas sarapan ringkas yang juga dibeli di Kampung Taman Sedia barulah kami membenarkan mereka bermain air dan bukannya untuk mandi manda di sini. Sejuuuuukkk...
Saya sendiri terlebih dahulu mencuba dingin airnya yang terasa sampai ke tulang sejuknya namun bukan penghalang kepada dua-dua mereka mengharungi air dan bermain batu-batu sungai yang kecil.
Bermain air di alur air Sungai Pauh tidak membimbangkan kami jika bahayanya diambil kira. Namun harus juga sentiasa berwaspada kerana malang tidak berbau.
Kami mula berkemas sekitar pukul 12 tengahari dan pulang ke rumah di Tanah Rata sejauh 5 minit berkereta. Mungkin bagi sesetengah yang lain agak 'gila' berkhemah dekat dengan rumah tetapi sebenarnya mengisi waktu bersama keluarga dengan sedikit kelainan mungkin lebih baik dari sekadar berjalan di komplek membeli belah yang terdekat iaitu di Ipoh.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.