Tuesday, January 31, 2012

Under Renovation


Blog mrkumai.blogspot.com akan mengalami sedikit pengubahsuaian dalam masa terdekat.
Jika anda mendapati sukar untuk membuka laman blog ini, harap maaf didahulukan.

Terima kasih diatas sokongan dan persinggahan anda di sini ..

Saya sekadar menulis, ikut rasa, ikut hati sendiri, bukan mengejar nama, pangkat apatah lagi kedudukan .

Tips Melawat Cameron Highland: Cabaran Gunung-gunung

Selalunya, bila aku bercerita atau teman-teman mengetahui aku menetap di Cameron Highlands, mereka selalu mengelarkan aku sebagai Orang Gunung. 


Kadang-kadang kalau tak sempat nak menyertai program mereka seperti reunion, kenduri kahwin atau minum teh ke, mereka akan mengatakan aku tengah bertapa di Gunung-ganang dan banang di sini.

Hakikatnya selepas hampir 5 tahun aku menetap di sini, tak pernah sekalipun aku mendaki gunung di sini kecuali berkereta ke Puncak Gunung Brinchang. (Update catatan 22 April 2012, saya telah mendaki Gunung Brinchang, Catatan mengenainya di SINI dan DISINI).


Manakala Gunung Irau pula pernah aku daki pada tahun 2000 iaitu menjelang tahun baru 2001 dan memang buat rekod mendaki sambil berlari kerana baru lepas keluar latihan perladangan selama 8 bulan dan rutin harianya adalah berlari 2.4 km setiap hari dalam masa kurang 7 minit. Terpaksa la katakan.

Berbalik pada kisah gunung-ganang di sini, sememangnya adalah syurga bagi mereka yang suka mendaki gunung. 

Pertamanya kerana mereka boleh mendaki beberapa gunung dalam tempoh 3 hari kerana trek pendakian yang singkat. Ok bayangkan, anda mendaki gunung di tempat lain di mana anda perlu bermula dari bawah sekitar ketinggian 200 meter dari paras laut untuk mencecah puncak gunung sekitar 1500 meter tingginya. 

Tetapi di Cameron Highlands, anda boleh mendaki dari permulaan ketinggian 2,000 meter untuk sampai ke baki puncaknya yang rata-rata sekitar 2,100-2,400 meter dari paras laut kerana Cameron Highlands sendiri sudah sekitar ketinggian ini. 

Kedua: Tidak penat ataupun cepat 'letih' kerana cuacanya yang sejuk sepanjang hari tetapi awas jika musim hujan kerana ianya amat menyeksakan...

Ketiga : Trek laluan yang seringkali digunakan memudahkan anda mendaki malah  jangan terperanjat jika anda akan keluar dekat dengan rumah orang, tokong dan pejabat kerajaan. Malah seperti catatan terdahulu mengenai Gunung Brinchang, anda boleh berkereta sehingga ke puncaknya. 

Kita tinjau sedikit mengenai gunung ganang di sini. 

Gunung Irau: 
Jika anda mendaki gunung ini, anda akan mencapai puncak tertinggi di Cameron Higlands iaitu 6923 kaki dari aras laut. Kedudukanya sejajar dengan rabung puncak Gunung Brinchang. Laluan treknya amat unit. Pengalaman peribadi saya sekitar penghujung tahun 2000, anda perlu melalui celahan hutan lumut ataupun Mossy Forest yang amat mengangumkan. Anda boleh menonton filem Puteri Gunung Ledang yang menggunakan sebahagian laluan berlumut ini sebagai 'Puncak Gunung Ledang'.

Kini laluan ini telah dinaiktaraf dengan laluan berkayu bagi menjaga keadaannya dan memberi peluang kepada orang lain untuk mengunjungi dengan lebih mudah. Anda boleh membaca catatan saya di SINI dan terbarunya pula di SINI

Terdapat dua kawasan perkhemahan disini iaitu di pintu masuk Mossy Forest dan satu lagi sebelum tiba ke Puncaknya. Manakala puncaknya agak kecil dan tidak mampu menampung ramai pendaki.

Gunung Berembun:
Letaknya hanyalah di kawasan Tanah Rata. Kalau anda ke Station Mardi Tanah Rata atau ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom, anda akan boleh melihat puncak gunung ini disebelahnya.  Terdapat dua laluan ke Puncak gunung ini iaitu melalui Denai yang bermula di Kem Sungai Pauh atau anda gunakan laluan pintas melalui Stesen Mardi. Satu lagi pendakian anda boleh menggunakan laluan denai 9A melalui Robinson Fall tetapi amat mencabar. 

Saya belum mendaki gunung ini tetapi selalu juga menghantar atau menunjuk arah permulaan denai yang saya maksudkan kepada pendaki. Malah saya setiap hari berada di kaki gunung ini!!!  

Lupa pula saya mengenai ketinggian puncak iaitu 6817 kaki dari aras laut. Saya mati-mati ingat Gunung Brinchang gunung yang kedua tinggi. Bagus juga membuat catatan ini.

Gunung Brinchang: 
Setinggi 6664 kaki dari aras laut. Merupakan gunung yang ketiga tertinggi. Anda boleh baca catatan saya mengenai puncaknya di SINI. 

Gunung Sweetenham:
Setinggi 6434, saya perlu akui kurang pasti dimana arahnya. Biarpun saya dapat meneka puncaknya tapi rasanya elok bagi saya untuk lebih mengkaji mengenai puncak gunung ini sebelum meneruskan ceritanya... tunggu ... 

Gunung Jasar: 
Gunung Jasar ini juga terletak di Tanah Rata malah jika anda singgah di Bharat Tea Centre, anda akan dapat melihat puncaknya di bahagian atas penempatan orang asli dihujungnya. 

Trek pendakiannya melalui Oly Apartment dan sedikit mencabar dan sebahagian puncaknya dijadikan menara TNB. Saya belum mencuba mendaki ke sini tetapi Insyallah jika diizinkan.  Ketingggianya adalah 5565 kaki dari aras laut. 

Malah terdapat sebuah flat yang dinamakan sebagai Flat Jasar dan sebatang jalan juga dinamakan sebagai Jalan Jasar Valley. Anda boleh singgah sebentar di Perkampungan Orang Asli di sini. 

Gunung Perdah: 
Melalui Puncak Gunung Jasar, anda boleh melalui sebahagian rabungnya untuk ke Gunung Perdah setinggi 5173 kaki dari paras laut sebelum menuruni di Kampung Sungai Ruil. 

Teman-teman yang mengusahakan tour guide untuk pendakian selalu mengajak saya untuk naik ke puncaknya untuk melihat pemandangan matahari terbit yang dikatakan lebih strategik dan cantik di sini. 

Saya rasa sekadar ini catatan saya dan saya ingin sekali memanjangkan info yang amat menarik disulami dengan penceritaan yang lebih simple dan ringkas oleh Saudara Adiman di laman webnya berdasarkan pengalamanan beliau berserta rakan mendaki kesemua gunung ganang ini. 

Malah anda pasti terpukau dengan kecantikan gambar yang disertakan... 

Klik di SINI.


Gambar akan saya 'update' lagi nanti. Nak pinjam gambar orang segan la pulak .. 

* Kalau ada mana-mana kumpulan yang bercadang untuk mendaki dan membuka peluang kepada saya untuk menyertai anda, saya amat menantikan pelawaan anda. Maklumlah , orang sini bukan nak pandang sangat mendaki ini sebab dah lali. 

Bersendirian mendaki bukanlah sesuatu yang bijak dan menyeronokkan .... saya tunggu pelawaan anda... 

Wednesday, January 25, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Puncak Gunung Brinchang

Puncak Gunung Brinchang merupakan puncak gunung tertinggi di Cameron Highlands malah di Malaysia yang boleh dikunjungi dengan memandu kereta anda kerana kemudahan jalan raya yang amat baik memandangkan di puncaknya ini terdapat menara telekomunikasi oleh Telekom Malaysia. 

Malah lebih menarik di sini adalah terdapatnya menara tinjau yang dianggarkan setinggi 20 meter dan selamat untuk dipanjat oleh lapisan umur tetapi berwaspadalah bagi kanak-kanak dan warga emas. Terlupa pula saya untuk mengambil gambar menara tinjau ini. Nanti akan saya masukan jika koleksi April saya yang lalu ditemui kembali.

Dengan kemudahan percuma ini, anda dapat melihat pemandangan yang amat indah terutamanya ketika matahari terbit ataupun terbenam. Malah anda boleh melihat kawasan pekan sekitar Cameron Highlands dan jika cuaca yang amat baik, Bandaraya Ipoh juga boleh dilihat dari puncak menara ini. 


Saya sekali lagi mengunjungi puncak gunung ini pada Isnin yang lalu setelah lawatan terakhir pada sekitar April tahun lalu. Kali ini menemani saya adalah Peter dan isterinya Yana dari Republic Chech yang saya tumpangkan di awal pagi. 

Nak pergi seorang diri pun kena fikirkan juga keselamatan dan bonus menumpangkan orang adalah kita mendapat kawan baharu dan saya mendapat bonus berganda kerana mereka juga pengemar fotografi dan banyak tips dan tunjuk ajar yang diberikan biarpun singkat.

Istimewanya, saya memilih selepas matahari terbit ketika sampai di puncaknya sekitar 7.50 pagi berbanding kunjungan terdahulu yang lebih ke tengahari ataupun petang, dan hasilnya masih kelihatan rona warna matahari terbit biarpun singkat dan agak cerah. Cukup berbaloi!!..

Malah kabus berawan di sekitar puncaknya menaikan suasana yang amat indah. Dengan dibantu cuaca yang agak cerah sehari sebelumnya , saya dapat melihat dengan jelas puncak Gunung Irau dan nampak kelompok bangunan yang dipercayai sebahagian Bandaraya Ipoh, Perak.



 
Puncak Gunung Irau setinggi 2400 meter dari aras laut (6666 kaki) dan gunung tertinggi di Cameron Highlands
Tips ke sini: 
  1. Anda boleh memilih untuk memandu sendiri kenderaan anda malahan kereta jenis kancil pun boleh melepasinya cuma mudah ataupun susah sahaja. Jalannya adalah jenis Tar dan pemanduan mendaki tidaklah sukar.
  2. Anda boleh memilih syarikat perlancongan seperti TJ Travel, Kang Traveller dan pelbagai lagi yang terdapat gerainya di sekitar Tanah Rata di mana mereka menawarkan pakej melihat matahari terbit atau pun digelar 'Morning Sickness" dengan bayaran sekitar RM 45-80 seorang dan pastinya seawal pagi anda akan di jemput di hotel anda untuk dibawa ke beberapa lokasi seperti matahari terbit, puncak gunung, Mossy Forest, melihat pekerja teh memetik pucuk teh dan menikmati sarapan di Boh Tea Centre sebagai penamat.
  3. Anda boleh memilih untuk menangkap gambar di lokasi matahari terbit yang pertama dan kemudiannya mendaki pula ke puncak gunung ini untuk menikmati permandangan seterusnya. Tetapkan masa yang sesuai di kedua-dua lokasi ini kerana waktu yang singkat untuk matahari terbit.
  4. Jarak diantara kedua-dua lokasi ini memerlukan sekitar 10 minit pemanduan.  
  5. Menara tinjau ini agak kecil dan sesuai sekitar 4-6 orang sahaja dan jika anda terlambat, kemungkinan terdapat pengunjung lain yang sudah bersedia di puncak menara untuk menikmati pemandangan yang indah ini. 
  6. Anda boleh melakukan perbuatan 'gila' dengan berkhemah di puncak gunung ini semata-mata untuk menikmati pemandangan indahnya. 
  7. Tamatkan perjalanan anda dengan singgah di Mossy Forest ketika pulang.
  8. Jika kunjungan anda pada hari bekerja atau Sabtu, anda akan berpeluang untuk melihat pemetik daun teh melakukan kerja memetik daun teh dan peluang untuk anda mengambil gambar. 
Sekitar pukul 7.50 pagi



Peter dengan 70-200 mm 2.8 Canon

 Selamat menikmati pemandangan indah ini ... Subhanallah ... 

Tips Melawat cameron Highlands : Matahari Terbit ...

Bagi pengemar fotografi, suasana detik matahari terbit pasti menjadi buruan anda dan jika anda datang ke Cameron Highlands, melawan kedinginan pagi semata-mata memburu detik ini bukanlah penghalang.

Saya terasa ingin sekali lagi ke sini pada hari Isnin yang lalu setelah kali terakhir sekitar bulan Ogos 2011 dan kali ini saya menumpangkan Peter dan Yana dari Republic Chech  untuk bersama-sama mengambil detik matahari terbit. 

Saya bertolak dari rumah sekitar 6.40 pagi dan mereka dari pekan Tanah Rata menggunakan bas pada pukul 6.30 pagi. Sampai di jalan masuk Tea Centre pada pukul 6.45 pagi dan mereka ingin menumpang kenderaan dan kami terus ke lokasi yang pertama.

Laluan ke lokasi boleh dilalui oleh kenderaan biasa, cuma anda perlu mengetahui lokasi yang tepat dan datang pada waktu yang tepat untuk mendapatkan hasil yang baik. 

Bagi peralatan fotografi dan 'setting'nya, tidaklah perlu saya ulas dan menokok tambah kerana kepakaran masing-masing pastinya telah tersedia dari awal meminati hobi ini. Saya sekadar pre amatur dalam bidang ini . 

Tips bagi penggemar fotografi di kala matahari terbit : 

Lokasi  Pertama Ladang Teh Sungei Palas di Kea Farm. Anda perlu memandu masuk ke ladang teh ini dan memilih selekoh perhentian yang pertama untuk mendapatkan pemandangan  yang cantik seperti kabus dicelahan cerun dan pokok teh, rumah pekerja dan Tea Centre. 
Lokasi Kedua: Anda boleh memandu puncak gunung Brinchang dan memanjat menara tinjau yang tersedia dan pastinya suasana permandangan amat luas dan mengagumkan. Saya tidak berkesempatan lagi setakat ini untuk menangkap gambar matahari terbit sepenuhnya di sini kerana biasanya saya akan ke lokasi yang pertama dahulu  kerana selalunya keseorangan sebelum memanjat ke puncak bila matahari sudah terang. 

Waktu yang sesuai:
Biasanya bermula seawal pukul 6 pagi sehingga 7.30 pagi malah boleh menjangkau ke pukul 8 pagi. Jika cuaca cerah , anda pasti akan mendapat pemandangan yang cantik. 

Tetapi jika hujan, amat mendukacitanya kerana berdasarkan pengalaman saya terdahulu, memang sukar menembusi kabus yang amat tebal.
Tips Tambahan:
  1. Bawa bersama payung kerana gerimis awal pagi kadang-kalanya masih lebat. 
  2. Bawa bersama lampu suluh kecil kerana suasana gelap sukar untuk memilih peralatan.
  3. Pergi awal kerana kadangkalanya ada kumpulan yang agak besar telah sampai awal, tetapi lokasinya amat luas.
  4. Kawasan letak kereta agak terhad kerana di selekoh jalan yang sempit. Kongsi kereta jika anda berkumpulan. 

Ini sebahagian koleksi gambar hari Isnin yang lalu. Maaf saya masih amat amatur dalam aktiviti fotografi ini. Sekadar menembak sana sini sahaja. 





Yana and her busband,Peter with their 70-200 mm lense .. Canon...

Selamat berjaya dan menikmati pemandangan matahari terbit ...

Tips Melawat Cameron Highlands: Lawatan terkini ke Mossy Forest

Tiga hari lepas semasa sambutan tahun baru Cina , saya berkesempatan berjalan ke Mossy Forest di laluan ke puncak Gunung Irau. 

Saya terperanjat juga kerana tidak menyangka Mossy Forest ini telah ditutup sementara untuk kerja-kerja baikpulih dan menyambung laluan baharu. 
Mossy Forest ditutup buat sementara
Jika anda membaca catatan saya ketika bulan April di SINI, laluan asalnya hanyalah sepanjang 200 meter tetapi kini Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah memanjangkan sekitar 100 meter lagi untuk kemudahan pengunjung. 

Pemerhatian saya, kerja ini memang sungguh mencabar. Bayangkan pekerja kontarktor terpaksa membawa segala peralatan dan bahan binaan mengikuti laluan asal dan membina di kawasan baru yang sememangnya amat bercerun dan menjunam laluannya. 

Malah lebih mencabar juga laluan ini dengan liku-liku cabang yang mengikuti permukaan cerun dan sekitar pokok berlumut. Di laluan sambungan ini saya suka untuk mengkategorikan sebagai MENCABAR berbanding di laluan asal iaitu PERMULAAN. 
Laluan asal yang dibaiki semula
Baiknya, anda dan saya akan lebih mudah berpeluang untuk menghabiskan lawatan kelak secara keseluruhan Mossy Forest ini tetapi yang saya sedikit bimbang cara pembinaan terpaksa mengorbankan sedikit keadaan asal. 

Rasanya lebih baik kita melihat secara positif yakni kemudahan ini akan lebih membantu ramai orang dapat mengembara di laluan Mossy Forest ini dan dapat menjaga pokok-pokok berlumut ini dari dipijak dan terpijak. 

Kunjungan saya kali ini ditemani oleh pasangan suami isteri dari Republik Chech , Peter dan Yana yang saya tumpangkan di jalan masuk ke Sungei Palas Tea Centre pada awal pagi. 

Mereka mengangumi usaha dan lanskap yang kita miliki dan minat Peter kepada fotografi membolehkan kami kekal lama di sini hanya untuk menangkap gambar sehinggakan tidak sedar hampir 2 jam.

19 Keping gambar ini mungkin boleh meceritakan lagi perjalanan saya ke sana dan buat sementara ini, Mossy Forest telah di tutup untuk kerja pembinaan . 






Laluan asal yang rosak
 

Pondok Penamat di laluan tambahan 
Trek asal ke Gunung Irau 






Peter dari Republic Checz
 

Saturday, January 21, 2012

Salleh Majid dalam kenangan


Negara Kehilangan Genius Ekonomi Melayu...Allahyarham Datuk Salleh Majid



SMC1 (1958), Batu Road School (2) Baris hadapan: Salleh Majid (kiri), Ambrin Buang (kanan) dan penulis Prof. Dr. Abdul Razak Salleh, tiga dari kanan.




DUA minggu lalu, Selasa 2 Januari 2012 bersamaan 8 Safar 1433 Tahun Alif (nama tahun pertama dalam daur kecil, iaitu suatu sistem kalendar kitaran tempoh masa lapan tahun, yang pernah digunakan orang Melayu Nusantara dalam penulisan manuskrip, surat dan prasasti atau batu bersurat, satu ketika dahulu) kita dikejutkan dengan kembalinya ke Rahmatullah seorang penganalisis ekonomi negara yang amat disegani, Dato' Mohd. Salleh Abdul Majid.


Sehari dua seterusnya disiarkan Belasungkawa dan kisah mengenang kembali sumbangan dicurahkan Allahyarham dalam bidang ekonomi. Saya terpanggil untuk memaparkan pengesahan Allahyarham sejak kecil lagi sebagai latar belakang dan suasana persekitaran menyediakan beliau sehingga berjaya menjadi penganalisis ekonomi yang terkenal.


Salleh dilahirkan pada Isnin, 11 Julai 1949 bersamaan 1 Ramadan 1368 Tahun Dzal (tahun kelapan daur kecil) di Ulu Klang, Selangor. Saya pula dilahirkan kira-kira setahun sebelum itu. Ayah beliau, Abdul Majid Arifin, meninggal dunia semasa Salleh baharu berusia tiga tahun.


Ayah saya meninggal dunia sebelum saya dilahirkan. Dua belas hari selepas ayah Salleh meninggal, lahir adiknya Ibrahim. Ibunya, Halijah Mohd. Jamil, ialah anak jati Ulu Klang. Salleh ialah orang Minang dan tidak ada langsung darah Jawa seperti yang dikatakan oleh rakan-rakan Allahyarham dari Institut Teknologi Mara (ITM) yang memanggil
Allahyarham dengan gelaran 'Wak Salleh' atau 'Wak' sahaja.


Setelah ayah mereka meninggal dunia, mereka dua beradik dibela oleh moyang mereka, Abdul Manan dan Fatemah. Pada masa itu, Ulu Klang adalah sebuah kampung (walaupun hanya 7½ batu sahaja dari Kuala Lumpur) yang tidak ada elektrik dan air paip. Hampir setiap rumah memiliki perigi yang digali sendiri untuk mendapatkan air. Pada malam hari kami menggunakan pelita minyak tanah ataupun lampu karbaid, dan tidak berapa lama kemudian lampu gasolin.


Di sebelah siang, rumah pasung (balai polis) di Batu 7 mengetuk bulatan besi untuk menandakan waktu pada setiap jam, sementara apabila masuk waktu sembahyang pula, kedengaran bunyi tongtong (atau ketuk-ketuk) di masjid Ulu Klang. Pada Jumaat pula kedengaran bunyi tabuh yang dipalu pada setiap jam hinggalah sampai ke waktu sembahyang Jumaat.


Sekolah Melayu Ulu Klang
Saya dan Salleh, dua orang anak yatim dari kampung ini, memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Ulu Klang pada 1955. Di sekolah inilah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berlakon sebagai Cikgu Shaari dalam filem Masam-Masam Manis. Sekolah di waktu pagi, sebelah petang kami mengaji di madrasah Ulu Klang (dekat Surau Al-Falahiah sekarang). Setiap hari, sebelum mula belajar di sekolah, kami diajar berkebun; menanam kacang botor dan pisang.


Semasa di darjah 3 (1957), kami (termasuk yang di darjah 4 dan 5) mengambil peperiksaan untuk memasuki Special Malay Class (SMC) di sekolah Inggeris, yang diadakan di Sekolah Prince's Road (kini Jalan Raja Muda), Kuala Lumpur.
Batu Road School 2


Apabila keputusan peperiksaan untuk memasuki sekolah Inggeris diumumkan, maka pada 1958 saya dan Salleh Majid terpilih untuk ke Batu Road School (2), Kelas ini merupakan kelas peralihan daripada medium bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Murid-muridnya datang dari sekitar Kuala Lumpur: Ulu Klang, Gombak, Setapak, Kampung Datuk Keramat dan Kampung Baru. Dalam kelas termasuklah Ambrin Buang (kini Tan Sri, dan Ketua Audit Negara, bekas SUK Selangor dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia). Semasa sekolah petang kami mengaji (al-Quran) pada waktu malam di rumah Lebai Abu, di sebelah rumah Salleh.


Semasa sekolah petang, oleh sebab perkhidmatan bas (Len Chee melalui Jalan Ampang) di Ulu Klang hanya tiga kali sehari maka kami terpaksa berbasikal ke Klang Gate (Genting Klang) untuk menaiki bas Len Seng pada pukul 11.30 pagi. Saya dan Salleh memiliki basikal kecil. Yang lain menaiki basikal biasa. Dari Ulu Klang kami melalui ladang getah Wardieburn (kini Taman Melawati) dan ladang getah Hawterdern (kini Taman Permata dan AU5).


Pada 1959 keseluruhan murid kelas SMC1 dinaikkan ke kelas SMC2. Pada tahun berikutnya kami dinaikkan ke darjah 6B. Tidak semua pelajar SMC2 masuk ke kelas ini, ada yang dimasukkan ke kelas 6C dan 6D, dan pelajar yang lainnya datang daripada Standard 5A dan 5B (aliran Inggeris).


Di kelas inilah mulanya kami bercampur dengan pelajar 1Malaysia, Melayu, Cina, India dan Benggali (Punjabi). Tiada seorang pun dari SMC2 ini ke darjah 6A, yang nampaknya hanya untuk pelajar dari darjah 5A sahaja, termasuklah Del Akbar Khan (Datuk, Timbalan Pesuruhjaya Polis, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur dan bekas pemain bola sepak negara).


Masa kami di darjah 6, ibu Salleh memiliki kereta baharu, Morris Minor. Saya beruntung kerana sama sekolah dengan Salleh, jadi kami sering pergi dan balik sekolah menaiki kereta itu. Ayah (tiri)nya, Pakcik Ahmad dan ibunyalah yang selalu menghantar dan mengambil kami di sekolah. Saya dan Salleh begitu rapat sekali, macam adik-beradik.
Membesar di kampung


Kami membesar seperti budak-budak kampung lain pada waktu itu. Masa itu setiap permainan ada musimnya, seperti juga musim buah-buahan. Permainan kami termasuklah main kotak, tudung lemonad, getah, spider (bukan labah-labah), guli (bénda siku), gasing, terup (3 daun, terup Keling, 21, colek, tan) dan ikan pelaga; melastik dan menjerat burung, letup-letup, dan meriam buluh. Apabila sudah dewasa sedikit, petang-petang kami main bola sepak di padang. Kadang-kala main badminton di gelanggang yang ada di rumah Salleh.


Musim buah-buahan sungguh menyeronokkan di Ulu Klang. Macam-macam buah ada. Di rumah Mohamed Yusof, Amir Shah dan Husin, kami kenyang memakan manggis, rambai, rambutan, langsat dan sentul. Semasa sekolah petang, paginya kami bermain dahulu di rumah Mohamed; main guli bénda siku. Salleh suka membuli rakan-rakan lain dalam permainan ini. Dibawanya guli lawan ke pangkal pokok yang banyak akar. Lawannya perlu menyiku guli tersebut hingga ke petak asal. Masalah timbul apabila lawannya perlu menyiku gulinya daripada akar pokok tersebut. Lalu kumpulan Salleh menang.


Salleh suka menjala dan meniruk (tiruk yang dibuatnya sendiri) ikan di sungai dengan kawan-kawan yang lain. Sungai Ulu Klang pada waktu itu kaya dengan pelbagai jenis ikan: sebarau, tengas, lampam, lemasai, selimang, terbul dan macam-macam lagi. Beliau sering juga menjala di kawasan Empangan Klang Gate bersama adik-adiknya.


Semasa datuknya tiada di rumah, Allahyarham pernah mencuba motosikal Aerial datuknya. Allahyarham meminta bantuan saya menghidupkan enjin motosikal tersebut. Sempat Allahyarham membuat satu pusingan di kawasan rumahnya. Akhirnya Allahyarham sempat juga memiliki motosikal Harley Davisonnya sendiri.


Satu malam di bulan puasa Allahyarham pernah melaungkan azan pada waktu Isyak, terperanjat kami dibuatnya. Allahyarham sering ikut sama bertadarus al-Quran.
Sekolah menengah


Dari darjah 6B Batu Road School, saya dan Salleh adalah antara yang terpilih untuk ke High Street School, Kuala Lumpur (1961). Kami ditempatkan di Tingkatan 1 Yellow. Untuk ke sekolah kami menaiki basikal ke Batu 4 Jalan Ampang (dekat Ampang Point sekarang) untuk menaiki bas Len Chee sebelum pukul 7.00 pagi. Sampai di perhentian bas Malacca Street kami berjalan kaki ke High Street (kini Jalan Tun H.S. Lee).


Kami mengikuti kelas menaip, pelajar dari kelas lain mengambil pertukangan kayu atau pertukangan besi. Agaknya kelas menaip itulah yang memberi inspirasi dan galakan kepada Allahyarham meminati bidang penulisan. Tingkatan 2 kami menumpang di St. John's Institution, sementara menunggu bangunan High School siap dibina di Air Panas, Setapak. Tingkatan 3 di High School, Setapak.


Selepas peperiksaan LCE, pada 1964 saya berpindah ke Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur dan Salleh terus di tingkatan 4 dan 5 di High School. Saya meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Teknik Pulau Pinang (1966-1967). Salleh ke Institut Teknologi MARA (ITM, kini UiTM) di Jalan Othman, Petaling Jaya, dan Mohamed Yusof (rakan dari Ulu Klang) terus di St John's Institution sehingga ke tingkatan enam.
Universiti


Salleh melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan berjaya mendapatkan ijazah Bachelor dalam bidang perniagaan dari Ohio University dan Master dari Northern Illinois University. Saya ke Universiti Malaya dan dianugerahi ijazah BSc (Hons) dalam bidang Matematik. Seterusnya saya ke United Kingdom di bawah biayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan berjaya meraih ijazah MSc dan PhD dalam bidang Matematik Tulen, yang menjadikan saya anak Ulu Klang pertama mendapat ijazah PhD, malah anak Melayu Selangor yang pertama mendapat ijazah PhD dalam bidang matematik. Mohamed juga ke Universiti Malaya untuk mendapatkan ijazah Bachelor of Economics (Hons), dan meraih ijazah Master dari Missouri University, Amerika Syarikat.


Kembali dari luar negeri kami bertiga yang berasal dari Ulu Klang ini (saya, Salleh dan Mohamed) jarang bertemu, kecuali pada Hari Raya dan sekiranya ada kenduri kahwin atau kematian di Ulu Klang. Pada Hari Raya kami sering kunjung-mengunjung bersama keluarga masing-masing. Salleh berkhidmat di ITM dan menjadi Head, Business School. Allahyarham sudah merasai pelbagai jawatan termasuk Presiden pertama BSKL. Saya berkhidmat di UKM sehingga hari ini, dan Mohamed masih berkhidmat dengan Kosas.


Pernah berlakon filem
Saya dan Salleh pernah berlakon filem semasa Merdeka Filem Studio mula-mula dibuka di Ulu Klang. Filem yang pertama dihasilkan di Merdeka Studio itu ialah filem Tun Tijah, arahan L. Krishnan. Dalam filem tersebut seniman Abdullah Chik berlakon sebagai Hang Tuah, dan seniwati Salmah Ahmad sebagai Tun Tijah. Kami hanya memegang watak 'pak pacak' sahaja yang dibayar $3 sekali pengambaran. Filem yang kedua lakonan kami ialah filem kedua keluaran Merdeka Studio, iaitu filem Abu Nawas, arahan A.R. Tompel.


Allahyarham pernah menjadi ahli Lembaga Penasihat Akademik di Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia, dan terakhir Allahyarham dilantik sebagai Felo Utama di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Fakulti Ekonomi Pengurusan, UKM dari 4 Mei 2007 hingga 3 Mei 2009. Allahyarham menghasilkan beberapa buah buku termasuklah yang berjudul Saham terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1993.


Atas sumbangan Allahyarham kepada negara amnya, dan khususnya kepada Selangor Darul Ehsan, Allahyarham dianugerahi Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Kira-kira tiga bulan sebelum Allahyarham meninggal, saya menemui Allahyarham di Masjid Ar-Ridhuan, Ulu Klang, selepas solat Jumaat. Sempat beliau mengatakan yang beliau menghidap kanser usus pada tahap kritikal.


Saya memberitahu perkara itu kepada isteri saya dan rakan kami Mohamed. Saya dan Mardzuki (suami dua pupu saya dan rakan Allahyarham di ITM) menziarahi Allahyarham di HKL pada malam Khamis 29 Disember 2011. Pada ketika itu Allahyarham masih sedar dan semasa bersalaman Allahyarham memegang erat tangan saya dan mengambil masa untuk mengingati saya.


Saya berkata kepada ibunya yang sudah berusia 80 tahun dan masih sihat: ''Malik sungguh bertuah, kerana dalam keadaan begini emaknya masih ada di sisinya."


Ibunya menyambut, "Mudah-mudahan Malik sembuh semula seperti sedia kala." Semasa mahu pulang saya memberitahu Allahyarham supaya banyak berastaghfar dan mengucap. Allahyarham sebak dan mengalirkan air mata; mungkin memberi isyarat yang kami akan berpisah.


Allahyarham tidak mahu melihat kami beredar dari katilnya. Pada tengah hari, Ahad, 1 Januari 2012, saya dan isteri menziarahinya, matanya sudah tertutup dan beliau bernafas dengan bantuan oksigen.


Saya membisikkan kalimah syahadah ke telinganya beberapa kali. Kami adalah antara yang terakhir menemuinya pada malam itu. Semoga Allah mengampunkan segala dosa Allahyarham, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan rohnya bersama-sama roh orang yang solihin, Amin.

Tips Melawat Cameron Highlands: Kampung Taman Sedia

Maaf , gambar kurang memuaskan, salah setting masa terbang.. 
Saya pernah berjanji untuk berkongsi mengenai kisah Kampung Taman Sedia yakni satu-satunya Kampung Melayu yang terdapat di Cameron Highlands, atau pun lebih tepat yang digazetkan oleh Kerajaan. 


Terdapat beberapa penempatan Melayu yang lain seperti Kampung Melayu Kg Raja dan juga menghala ke Sungai Ikan tetapi taraftnya terletak di dalam penempatan sementara seperti tanah Tol atau sementara.

Sejarah Awal:
Taman Sedia adalah penempatan orang Melayu yang pertama di Cameron Highlands. Dibuka secara bergotong royong oleh beberapa orang melayu pada tahun 1959 sebelum dimajukan sebagai sebuah perkampungan oleh Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pada tahun 1969.


Kampung Taman Sedia mempunyai sebanyak 48 lot yang mempunyai keluasan 0.25 ekar setiap satu dan kini masih dihuni oleh sebilangan peneroka asalnya. 
Idris Osman, 76, tidak lokek berkongsi cerita memandangkan dia merupakan antara individu pertama yang mula meneroka Kampung Taman Sedia.
Ujarnya, kawasan ini merupakan sebuah hutan belukar. Kemudian, satu jawatankuasa seramai lapan orang yang terdiri daripada ketua kadi, guru besar, ketua polis daerah dan sebagainya dibentuk untuk berbincang cara-cara untuk meneroka kawasan tersebut.
“Pada setiap Sabtu dan Ahad, kami akan turun padang untuk menebas dan menebang hutan. Akhirnya dalam tempoh setahun hutan belukar itu berjaya dibersihkan. 
“Waktu itu kedatangan ahli kumpulan bagi tujuan membersihkan belukar akan diambil pada setiap minggu. Jika tidak hadir, mereka dikehendaki membayar wang denda sebanyak RM5 sebagai ganti di atas ketidakhadiran mereka,” kata Pak Idris yang dilantik sebagai ketua jawatankuasa penerokaan kampung itu. 
Pada 11 September 1974, Kampung Taman Sedia dibuka dengan rasminya oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.
Kisah Dongeng:
Terdapat kisah lisan yang mengatakan Kampung Taman Sedia ini pada dahulu kalanyanya penuh dengan bunga-bungaan yang dimiliki golongan pari-pari (bunian). 


Dikelilingi dengan padang rumput dan pokok renek yang tumbuh dan menjalar disamping alur sungai yang amat jernih malah terdapat hidupan liar seperti rusa yang menghuni menjadikan taman ini telah tersedia dari dahulu dan namanya juga diangkat dengan KAMPUNG TAMAN SEDIA.

Lokasi:
Jarak perjalanan dari Tanah Rata hanyalah kurang dari 2 km dan berada di pertengahan jalan jika ingin ke Pekan Brinchang. Bersebelahan dengan Pejabat Hutan Daerah.


Keistimewaan:
Jika anda mencari homestay di sini, Taman Sedia antara yang menjadi pilihan utama kerana dimiliki oleng Orang Melayu di samping lokasinya. Terdapat beberapa homestay seperti Marina Chalet, Ros Chalet, MZ Homestay, Lily Homestay dan Al-Mashoor Homestay.


Insyallah saya akan buat catatan khas untuk homestay di Kampung Taman Sedia ini nanti . Namun petikan dari Kosmo dalam catatan saya terdahulu boleh anda ikuti di SINI
Kebun Strawberry: Terdapat beberapa pengusaha kebun strawberry yang berkonspkan agro perlancongan seperti KHM Strawbery Farm, Al-Mashoor Strawberry Farm, YZ Strawbery Farm , Opah Starwberry Farm dan juga Ros Strawberry Farm. Anda boleh memasuki kebun ini dan membeli hasilnya terus dari sana.
Industri Desa: Perkampungan ini terkenal dengan jolokan Satu Daerah Satu Industri dan pastinya industri berasaskan strawberry menjadi keutamaan. Dapatkan jem, ais krim, halwa , strawebery jus dan pelbagai lagi keluaran petani di sini dan anda boleh memperolehi di kebun-kebun strawberry ini.
Kebun Sayur: Anda mungkin tidak pernah melihat bagaimana kebun-kebun sayur diusahakan seperti kubis, kacang buncis, cili dan sebagainya. Jika kunjungan bertetapan dengan masanya, disini anda boleh melihat sendiri kebun-kebun sayuran ini diusahakan. 
 

Pendek kata , anda hanya perlu memandu dan singgah disini untuk merasai pengalaman anda di sini... 
antara kiosk dan kebun strawberry
Dataran Info
Persekitaran
Surau
Selamat ke Kampung Taman Sedia...