Wednesday, February 22, 2023

Steamboat sendiri di Cameron Highlands

Antara aktiviti waktu malam yang popular di Cameron Highlands adalah menikmati Steamboat and Grill di restoran dan cafe. Ada restoran yang khusus menawarkan menu steamboat secara buffet dan ada juga restoren yang menyediakan secara pakej set. 


Harga yang dikenakan sekitar RM 28 hingga ada yang RM 35 seorang dewasa atau mungkin lebih. Maaf saya tak dapat kongsikan pakej yang terkini sebab dah lama sangat kami sekeluarga tak ke mana-mana restoran untuk steamboat dan grill ini sebab antaranya harga yang mahal kalau nak dikira 5 orang yang mencecah RM 150 sekali pergi. 

Jadi cara untuk kami menikmati steamboat adalah membuatnya sendiri dengan membeli bahan-bahan steamboat dan menyediakan sendiri di rumah. Juga rasanya ramai yang mempunyai set steamboat sendiri di rumah. 

Bagi pelancong pula, ada sesetangah homestay yang menyediakan peralatan steamboat secara percuma untuk kegunaan tetamu homestay mereka. Cuma anda kena tanya lebih awal jika mereka ada menyediakan peralatan tersebut untuk anda pula menyediakan bahan-bahan yang anda perlukan. 

Caranya mudah sahaja samada anda membawa dari rumah atau anda beli bahan-bahan tersebut di Cameron Highlands. Bab sayur memang tidak menjadi masalah kerana hampir semua gerai sayur ada menjual sayur-sayur yang sesuai untuk ber steamboat. Manakala barangan pejal pula boleh dibeli di mana-mana kedai runcit biasa seperti yang 6 in 1 atau sebagainya. Barang basah boleh dibeli dari kedai-kedai tersebut juga.

Bagi saya saya suka ke Hypermarket Billion di Centrum yang lebih mudah kerana semua ada di sana... 



Balik rumah sediakan bahan dan perap mudah dengan sos bbq yang sedia ada.... 

Nikmati di rumah dengan kos sekitar RM 30 sahaja..... jimat kan ...... 

Tapi tak salah kalau nak ke restoran .. nak kan suasana kan ... 

Centrum di waktu malam..

Centrum di waktu malam lebih menarik perhatian pengunjung yang terdiri daripada pelancong. Kenapa Centrum menjadi pilihan? Saya telah kongsikan dalam Catatan Pertama Centrum di Waktu Siang.


Mudah sahaja sebab ianya dihiasi dengan lampu-lampu yang menarik di bawah bumbung boulevard yang tinggi. Pilihan yang tepat jika di waktu malam dan musim hujan. Lebih menarik jugak Centrum mempunyai pelbagai pilihan untuk membeli belah dan makan dan minum yang lebih moden seperti di komplek membeli belah yang ada dibandar-bandar besar. 

Selain itu juga, Centrum beroperasi setiap hari dan ianya mengisi kekosongan aktiviti Pasar Malam Cameron yang hanya beroperasi di hari Jumaat dan Sabtu sahaja. Jadi pada hari biasa, Centrum menjadi pilihan ramai di Cameron Highlands untuk bersantai di waktu malam dan bergambar.

Saya kongsikan beberapa keping gambar terkini Centrum di waktu malam yang saya rakamkan kelmarin selepas ke Billion membeli barangan dapur. 









Parkir kereta boleh di buat di LG1 dengan caj per jam sekitar RM 1 sahaja. Atau masa nak keluar jika anda berbelanja RM 30 minima di Billion, anda boleh dapat rebat 2 jam pertama....

Parkir di tepi Jalan utama pun boleh dengan nilai kompoun RM 150 sekeping saman trafik... 



O KM di Cameron Highlands

September 2022 yang lalu, JKR Cameron Highlands telah memasang  papan tanda 0 km bagi menandakan permulaan kiraan jarak kilometer untuk ke semua arah. 

Jika sebelum ini 0 KM di Kuala Lipis menjadi lokasi perlancongan yang menjadi tumpuan kepada pelancong untuk bergambar, nampaknya JKR Negeri Pahang telah memperluaskan 0 KM ini ke seluruh negeri.

Baru saya tahu bahawa lokasi 0 KM adalah bermula di hadapan PEJABAT POS PERTAMA di setiap daerah. Mengambil kira perkiraan tersebut,  Pejabat Pos Tanah Rata yang dirasmikan pada tahun 1957 oleh PERDANA MENTERI MALAYSIA PERTAMA , YAM Tuanku Abd Rahman adalah pejabat pos pertama di Cameron Highlands,

Lokasi Pejabat Pos Tanah Rata masih kekal sehingga hari ini iaitu di Jalan Besar Tanah Rata berhadapan dengan Medan Selera Tanah Rata maka di sinilah 0 KM bagi daerah Cameron Highlands.

Kalau di Kuantan, 0 KM adalah di hadapan Masjid Sultan Ahmad Shah di mana di situlah lokasi pejabat pos pertama di Kuantan dahulu dan kini telah berpindah ke lokasi lain.  Namun 0 KM tetap dibina di kawasan tersebut. 

Cuma lokasi 0 KM di Cameron Highlands  yang berada di laluan yang sibuk  iaitu Jalan Persekutuan 59 dan terdapat petak meletak kereta ini menyebabkan ianya terlindung  dari pandangan umum. 

Apapun ini satu penambahbaikan yang bernilai untuk Cameron Highlands walaupun belum menjadi lokasi bergambar yang digemari oleh pelancong setakat ini,

Abaikan juga jika ada ingin mengatakan papan tanda kilometer ini tidak menepati standard sepatutnya kerana Kuala Lipis yang digunakan itu tidak boleh dijadikan jarak di mana seharusnya menggunakan lokasi pekan terdekat untuk urusan kecemasan... Malah jarak ke Kuala Lipis tertera di kedua-dua bahagian di petanda kilometer ini. 

Saya tidak arif langsung bab tersebut ....  

Apapaun terima kasih JKR ...


Sunday, February 19, 2023

Coral Hill @ Brinchang ... bahagian 2...

Kalau anda terlepas membaca catatan pertama saya mengenai pendakian kami ke Coral Hill, anda boleh membacanya dengan KLIK sahaja Catatan Coral Hill bahagian 1 ini.

Untuk catatan kedua ini saya dah janjikan untuk berkongsikan kisah Denai pendakian kedua untuk ke Coral Hill. Namun kisah yang saya kongsikan ini adalah menuruni bukan mendaki kerana kami naik mengikut denai pertama iaitu di Kuarter JKR Sungai Burung. 

Denai kedua..

Setelah 30 minit berehat dan menikmati puncak Coral Hill, kami mula menuruni bukit ini untuk pulang. Pilihan kami adalah menggunakan laluan denai kedua menuju ke Sungai Burung. 

Kenapa? Kerana denai ini lebih jauh dan jika mendaki anda akan memerlukan lebih tenaga dan masa berbanding menuruni bukit ini. Jika melalaui denai ini untuk mendaki, ia memerlukan lebih 45 minit kerana selain penat anda akan berhenti untuk mengambil gambar dengan lebih kerap. 

Denai ini amat cantik dengan lumut yang tebal tumbuh di batang dan ranting pokok-pokok yang terdapat sepanjang laluan. Malah suasana lantai denai ini adalah sangat lembut bagaikan anda berjalan di atas span basah. Ia kerana lumut dan juga daun yang sentiasa basah menyebabkan ianya begitu lembut namun jika terlalu ramai yang mendaki permukaanya agak berlumpur dan becak. 

Sesetengah kawasan yang dilalui telah menyebabkan kerosakkan pada bahagian batang dan ranting yang berlumut. Namun perhatikan tiada sampah di laluan denai ini. 

Pokok-pokoknya agak renek dan apabila semakin tinggi aras kawasan tersebut kelihatan semakin berbentuk bonsai dengan lapisan lumut yang semakin tebal. 

Kawasan denai ini pada perkiraan saya berada di kawasan timur di mana ini adalah permulaan matahari naik awal pagi menyebabkan kawasan ini masih akan lembab dan apabila sampai ke puncaknya matahari sudah tegak dan menyebabkan kawasan tersebut sentiasa kering dan kurang berlumut. 

Kami mengambil masa sekitar kurang 20 minit untuk turun dan sampai ke pintu masuk denai ini yang terletak di Jalan Kebun Sungai Burung. Kereta pula terletak jauh di Kuarter Sungai Burung iaitu 1.3 km jauhnya. Walaupun ada laluan denai melalui tepi sungai untuk kembali ke kereta, kami memilih untuk melalui jalan utama Brinchang ke Kea Farm kerana anak-anak nak membeli minuman dan juga makanan ringan di Time Tunnel Museum. Tak apalah ..layankan aje untuk menghilangkan penat mereka tu ....

Kesimpulannya , pendakian ke Coral Hill ini amat berbaloi untuk aktiviti santai dan sesuai dengan lapisan umur keluarga kecil kami. Dengan jumlah masa sekitar 2 jam setengah, saya rasa sesuai dan tidaklah terlalu memenatkan malah semuanya bagaikan hilang bilamana melihat keindahan kawasan puncak dan juga sepanjang laluan balik yang berlumut itu... Memang akan ulang semula untuk kembali mendaki ke sini kelak. 

Saya kongsikan sahaja gambar-gambar kami di Denai kedua Coral Hill ini dibawah:

Coral Hill @ Brinchang .. bahagian 1

Kali ini saya nak kongsikan berkenaan dengan salah satu aktiviti rekreasi ringkas yang boleh anda lakukan di sini iaitu mendaki bukit dan gunung. 

Namun ia kedengaran agak extrem pula percutian anda jika itu yang anda nak lakukan. Bukan percutian santai-santai seperti berjalan-jalan bersama keluarga dan juga anak-anak. Malah kalau ada yang membawa orang tua dan juga OKU ini bukalah jenis aktiviti yang sesuai untuk tujuan percutian anda ini.

Yang saya nak kongsikan ini bukan pendakian extrem atau terlalu lasak tetapi lebih kepada santai. Perkongsian ini jua sekadar pengalaman kami sekeluarga di hujung minggu sahaja. 

Kami mendaki BUKIT KARANG atau lebih dikenali sebagai CORAL HILL malah ada yang mengelarkan ROCK GARDEN


Di mana lokasi CORAL HILL...

Lokasinya di Sungai Burung Brinchang atau saya gunakan Time Tunnel Museum sebagai landmark terdekatnya yang mudah dikenali.

Dari Pekan Brinchang kalau tidak ada kesesakan jalan, hanya 3 minit diperlukan sahaja manakala musim cuti terpulang kepada situasi pada masa tersebut.

Saya rasa CORAL HILL ini tidak berada di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana tidak disenaraikan sebagai kawasan yang memerlukan permit memasuki hutan simpanan kekal untuk aktiviti pendakian dan rekreasi. 

Keberadaan CORAL HILL ini mulanya hanyalah dibawah pengetahuan orang tempatan dengan gelaran panggilan ''Bukit Putih'' di sini yang menjadikan lokasi pendakian zaman kecil mereka namun dijenamakan semula selepas penutupan Mossy Forest di Gunung Brinchang suatu masa dahulu akibat kerosakan jalan dan musim tengkujuh. 

Maka pengendali travel agensi tempatan terpaksa mencari alternatif lain untuk membawa pelancong dan mereka menjenamakan semula CORAL HILL ini sebagai Rock Garden Mossy Forest demi kelangsungan mereka dan untuk memastikan kegiatan pendakian berkonsepkan hutan lumut dapat diteruskan ekoran dari permintaan pelancong. 

Baguslah kerana mudah untuk kita mengunjungi lokasi ini namun harap-harap tiada mangkuk hayun yang akan memanjangkan pelan rancangan pembangunan di kawasa bukit ini dengan projek pembangunan seperti di Gunung Perdah.  

Pendakian kami...

Selepas hampir 15 tahun saya menetap di Cameron Highlands, inilah kali pertama saya sempat mendaki CORAL HILL ini selepas beberapa kali merancang. Akhirnya tanpa ada perancangan awal, pagi tadi saya mengajak anak-anak untuk ke sini manakala isteri saya tidak dapat mengikuti pendakian kali ini kerana ada kelas onlinenya.

Untuk memulakan pendakian ini kami memutuskan menggunakan Kuarter JKR Sungai Burung sebagai denai pendakian kami. Terdapat 1 lagi denai pendakian yang boleh digunakan untuk mendaki CORAL HILL ini iaitu selepas stor sayur di Jalan Sungai Burung dan saya akan kongsikan kedua-dua denai pendakian ini dalam dua catatan yang berbeza untuk lebih perinciannya. 

Saya memilih Denai Pendakian Kuarter JKR Sungai Burung kerana ianya lebih dekat dan mudah untuk mendaki. Pagi tadi saya beserta anak-anak lelaki saya yang berumur 14 tahun dan 7 tahun mula mendaki pada pukul 10.30 pagi. 

Trek pendakian kami melalui sebelah Surau di kuarteri ini. Namun sebelum itu anda letaklah kereta anda di kawasan yang ada dengan baik dan tidak menghalang laluan penduduk kuarter di sini. Adat menumpang di tanah orang, kenalah hargainya. Percuma pula tu..... 

Lebih kurang 100 meter pertama akan melalui kebun sayur dengan sedikit pendakian ringkas dan mudah kerana sudah terdapat laluan jalan kaki di kebun sayur di situ. Jika anda sedang melalui denai ini dan musim sayur-sayur ditanam, usahlah melakukan apa-apa aktivti seperti memetik sayur, memijak batas tanaman dan sebagainya. Ambilah gambar tanpa perlu merosakan apa-apa di sana ya. 


Selepas itu kami melalui denai hutan yang juga masih mudah dan di sini kami melalui pokok-pokok yang berlumut dan pastinya berhenti banyak kali untuk mengambil gambar. Keadaan denai agak berlumut dan lembut seperti span dan juga berlumpur. Jika di waktu hujan ianya pasti licin namun mujurlah cuaca panas ketika pendakian kami. 


Ada beberapa bahagian denai dipasang dengan tangga besi bagi memudahkan pendakian untuk ke puncak terutama dibahagian berlumut tebal.





Selepas 25 minit mendaki dan bergambar, kami sudah sampai di puncak CORAL HILL dengan selamat. Alhamdulliah.... 

Di Puncak CORAL HILL...

Di Puncak CORAL HILL ini kami menemui jajaran atau permatang batu putih sepanjang 50 meter. Lebarnya sedikit sempit sekitar 2 hingga 3 meter sahaja malah ada yang lebih kecil. Batuannya juga ada yang agak rapuh bila dipijak tetapi masih terasa selamat. Hanya ikut laluan yang telah terhasil oleh pendaki sebelum ini sahaja. 

Batuannya yang bewarna putih dan kelabu serta agak rapuh inilah yang memungkinkan ia digelar CORAL HILL atau BUKIT KARANG. 

Aras ketinggian di puncak ini rupanya adalah 1,612 meter dari aras laut selepas saya mencari dalam google. 

Pokok-pokok di puncak ini agak renek dan berbentuk bonsai. Menarik rupabentuk pokok-pokok ini dan sebelah bawah baik kiri atau kanan permatang CORAL HILL jugak kelihatan pokok-pokok yang tumbuh juga renek dan berwarna merah dan kuning. 

Jajaran permatang ini sedikit kering dan tidak berlumut kerana mungkin kedudukan di sebelah barat di mana cahaya matahari sudah terik di bahagian sisi ini berbanding di bahagian denai kedua yang lebih berlumut dan akan saya kongsikan kelak. 

Tips mudah jika berada di dalam hutan terutamanya di atas bukit adalah melihat kepada bahagian lumut yang tumbuh jika ingin mengeetahui arah timur dan barat. 

Memandangkann saya membawa anak kecil yang berusia 7 tahun, maka saya tidaklah boleh terlalu bebas ke sana sini kerana perlu sentiasa membantu anak saya untuk bergerak dan juga soal keselamatannya manakala anak saya yang 14 tahun laju sahaja ke depan. Seringkali saya berteriak untuk dia memperlahankan pergerakanya dan sentiasa berhati-hati. 

Pemandangan di sini adalah 360 darjah dengan laluan utama Brinchang ke Kea Farm dapat dilihat dengan jelas dan di bahagian belakangnya pula adalah hutan yang juga jelas kelihatan. Puncak Gunung Brinchang juga dapat dilihat dengan jelas. Tiupan angin juga agak kuat di sini. 

Kami menghabiskan sekitar 30 minit di bahagian permatang puncak CORAL HILL sebelum ke arah belakangnya untuk turun ke bawah melalui denai kedua.  

Jadi catatan bahagian pertama ini saya kongsikan suasana di puncak permatang CORAL HILL sahaja dahulu manakala catatan kedua lebih menarik sebenarnya bagi denai pendakian kedua untuk ke CORAL HILL. 

Klik Catatan Kedua Coral Hill

Selebihnya saya kongsikan gambar kami di bahagian yang pertama puncak Coral Hill di bawah ini dahulu.