Kali ini saya nak kongsikan berkenaan dengan salah satu aktiviti rekreasi ringkas yang boleh anda lakukan di sini iaitu mendaki bukit dan gunung.
Namun ia kedengaran agak extrem pula percutian anda jika itu yang anda nak lakukan. Bukan percutian santai-santai seperti berjalan-jalan bersama keluarga dan juga anak-anak. Malah kalau ada yang membawa orang tua dan juga OKU ini bukalah jenis aktiviti yang sesuai untuk tujuan percutian anda ini.
Yang saya nak kongsikan ini bukan pendakian extrem atau terlalu lasak tetapi lebih kepada santai. Perkongsian ini jua sekadar pengalaman kami sekeluarga di hujung minggu sahaja.
Kami mendaki BUKIT KARANG atau lebih dikenali sebagai CORAL HILL malah ada yang mengelarkan ROCK GARDEN.
Di mana lokasi CORAL HILL...
Lokasinya di Sungai Burung Brinchang atau saya gunakan Time Tunnel Museum sebagai landmark terdekatnya yang mudah dikenali.
Dari Pekan Brinchang kalau tidak ada kesesakan jalan, hanya 3 minit diperlukan sahaja manakala musim cuti terpulang kepada situasi pada masa tersebut.
Saya rasa CORAL HILL ini tidak berada di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana tidak disenaraikan sebagai kawasan yang memerlukan permit memasuki hutan simpanan kekal untuk aktiviti pendakian dan rekreasi.
Keberadaan CORAL HILL ini mulanya hanyalah dibawah pengetahuan orang tempatan dengan gelaran panggilan ''Bukit Putih'' di sini yang menjadikan lokasi pendakian zaman kecil mereka namun dijenamakan semula selepas penutupan Mossy Forest di Gunung Brinchang suatu masa dahulu akibat kerosakan jalan dan musim tengkujuh.
Maka pengendali travel agensi tempatan terpaksa mencari alternatif lain untuk membawa pelancong dan mereka menjenamakan semula CORAL HILL ini sebagai Rock Garden Mossy Forest demi kelangsungan mereka dan untuk memastikan kegiatan pendakian berkonsepkan hutan lumut dapat diteruskan ekoran dari permintaan pelancong.
Baguslah kerana mudah untuk kita mengunjungi lokasi ini namun harap-harap tiada mangkuk hayun yang akan memanjangkan pelan rancangan pembangunan di kawasa bukit ini dengan projek pembangunan seperti di Gunung Perdah.
Pendakian kami...
Selepas hampir 15 tahun saya menetap di Cameron Highlands, inilah kali pertama saya sempat mendaki CORAL HILL ini selepas beberapa kali merancang. Akhirnya tanpa ada perancangan awal, pagi tadi saya mengajak anak-anak untuk ke sini manakala isteri saya tidak dapat mengikuti pendakian kali ini kerana ada kelas onlinenya.
Untuk memulakan pendakian ini kami memutuskan menggunakan Kuarter JKR Sungai Burung sebagai denai pendakian kami. Terdapat 1 lagi denai pendakian yang boleh digunakan untuk mendaki CORAL HILL ini iaitu selepas stor sayur di Jalan Sungai Burung dan saya akan kongsikan kedua-dua denai pendakian ini dalam dua catatan yang berbeza untuk lebih perinciannya.
Saya memilih Denai Pendakian Kuarter JKR Sungai Burung kerana ianya lebih dekat dan mudah untuk mendaki. Pagi tadi saya beserta anak-anak lelaki saya yang berumur 14 tahun dan 7 tahun mula mendaki pada pukul 10.30 pagi.
Trek pendakian kami melalui sebelah Surau di kuarteri ini. Namun sebelum itu anda letaklah kereta anda di kawasan yang ada dengan baik dan tidak menghalang laluan penduduk kuarter di sini. Adat menumpang di tanah orang, kenalah hargainya. Percuma pula tu.....
Lebih kurang 100 meter pertama akan melalui kebun sayur dengan sedikit pendakian ringkas dan mudah kerana sudah terdapat laluan jalan kaki di kebun sayur di situ. Jika anda sedang melalui denai ini dan musim sayur-sayur ditanam, usahlah melakukan apa-apa aktivti seperti memetik sayur, memijak batas tanaman dan sebagainya. Ambilah gambar tanpa perlu merosakan apa-apa di sana ya.
Selepas itu kami melalui denai hutan yang juga masih mudah dan di sini kami melalui pokok-pokok yang berlumut dan pastinya berhenti banyak kali untuk mengambil gambar. Keadaan denai agak berlumut dan lembut seperti span dan juga berlumpur. Jika di waktu hujan ianya pasti licin namun mujurlah cuaca panas ketika pendakian kami.
Di Puncak CORAL HILL...
Di Puncak CORAL HILL ini kami menemui jajaran atau permatang batu putih sepanjang 50 meter. Lebarnya sedikit sempit sekitar 2 hingga 3 meter sahaja malah ada yang lebih kecil. Batuannya juga ada yang agak rapuh bila dipijak tetapi masih terasa selamat. Hanya ikut laluan yang telah terhasil oleh pendaki sebelum ini sahaja.
Batuannya yang bewarna putih dan kelabu serta agak rapuh inilah yang memungkinkan ia digelar CORAL HILL atau BUKIT KARANG.
Aras ketinggian di puncak ini rupanya adalah 1,612 meter dari aras laut selepas saya mencari dalam google.
Pokok-pokok di puncak ini agak renek dan berbentuk bonsai. Menarik rupabentuk pokok-pokok ini dan sebelah bawah baik kiri atau kanan permatang CORAL HILL jugak kelihatan pokok-pokok yang tumbuh juga renek dan berwarna merah dan kuning.
Jajaran permatang ini sedikit kering dan tidak berlumut kerana mungkin kedudukan di sebelah barat di mana cahaya matahari sudah terik di bahagian sisi ini berbanding di bahagian denai kedua yang lebih berlumut dan akan saya kongsikan kelak.
Tips mudah jika berada di dalam hutan terutamanya di atas bukit adalah melihat kepada bahagian lumut yang tumbuh jika ingin mengeetahui arah timur dan barat.
Memandangkann saya membawa anak kecil yang berusia 7 tahun, maka saya tidaklah boleh terlalu bebas ke sana sini kerana perlu sentiasa membantu anak saya untuk bergerak dan juga soal keselamatannya manakala anak saya yang 14 tahun laju sahaja ke depan. Seringkali saya berteriak untuk dia memperlahankan pergerakanya dan sentiasa berhati-hati.
Pemandangan di sini adalah 360 darjah dengan laluan utama Brinchang ke Kea Farm dapat dilihat dengan jelas dan di bahagian belakangnya pula adalah hutan yang juga jelas kelihatan. Puncak Gunung Brinchang juga dapat dilihat dengan jelas. Tiupan angin juga agak kuat di sini.
Kami menghabiskan sekitar 30 minit di bahagian permatang puncak CORAL HILL sebelum ke arah belakangnya untuk turun ke bawah melalui denai kedua.
Jadi catatan bahagian pertama ini saya kongsikan suasana di puncak permatang CORAL HILL sahaja dahulu manakala catatan kedua lebih menarik sebenarnya bagi denai pendakian kedua untuk ke CORAL HILL.
Selebihnya saya kongsikan gambar kami di bahagian yang pertama puncak Coral Hill di bawah ini dahulu.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.