Saya kongsikan kisah pengusaha strawberry Melayu pertama di Cameron Highlands.
Kisahnya saya ambil dari laman facebook Saji dan bukan artikel atau catatan saya ya.
Sumber Catatan : Sajionline
Khairani Mohamad,
Ketika krew SAJI ke Kampung Taman Sedia yang terletak di Cameron Highlands, kami dipertemukan dengan orang Melayu pertama yang mengusahakan ladang strawberi di sini. Khairani Mohamad, merupakan anak jati Cameron Highlands, dan antara pelopor tanaman strawberi di kalangan Bumiputera secara serius sejak 20 tahun yang lalu. Menurut Khairani, minatnya bermula dengan menanam kubis dan tomato untuk pasaran setempat.
Memandangkan permintaan yang tinggi terhadap strawberi, Khairani cuba beralih arah. Meskipun terpaksa bersaing dan menghadapi pelbagai kesukaran, tetapi dia tidak pernah putus harapan dalam merencanakan setiap usahanya itu. Apatah lagi, keberaniannya ketika itu untuk mengusahakan tanaman strawberi yang sebelum ini banyak dimonopoli oleh bangsa asing.
Kesungguhan Khairani dalam mengusahakan ladang strawberi, turut mendapat sokongan dan bimbingan dari pihak MARDI, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Bukan mudah untuk kita bersaing dengan bangsa asing, saya sentiasa bekerja keras dan memastikan strawberi yang dihasilkan di ladang kami, antara yang terbaik. Saya ingin membuktikan bahawa orang Melayu juga boleh berjaya,” ujar Khairani yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pertanian ini.
PRODUK HILIRAN KHM
Di atas usahanya itu, maka lahirlah KHM Strawberries & Jam iaitu syarikat miliknya yang bertanggungjawab, menguruskan hal ehwal pengurusan penanaman strawberi. Syarikatnya itu, bukan sekadar mengusahakan ladang strawberi semata-mata, malah turut membekalkan strawberi berkualiti tinggi dan menghasilkan produk-produk hiliran berasaskan strawberi.
Antara produk yang dihasilkan seperti, kordial strawberi, topping strawberi, halwa strawberi, jem strawberi dan acar strawberi.
Tegas Khairani, sebagai pekebun kita perlu ada ilmu tentang cara penanaman, pembajaan serta penjagaan. Ia bukan semudah yang dilihat. Teknik penanaman strawberi secara fertigasi adalah yang terbaik kerana ia tidak memerlukan tahap kesuburan tanah serta kawasan yang luas. Beriklim sederhana bersuhu antara 10°C hingga 20°C antara faktor, strawberi hidup subur di bumi Cameron.
Menurut Khairani, untuk pasaran Giant & Cold Storage sahaja, dia memerlukan sebanyak 200kg hingga 400kg strawberi sehari. Manakala bagi memenuhi permintaan pasaran luar, Khairani memerlukan lebih kurang 5 tan hingga 10 tan strawberi sebulan. Memandangkan ladang miliknya, hanya mampu mengeluarkan sekitar 2 tan setengah strawberi sebulan, Khairani terpaksa mendapatkan bekalan strawberi dari pengusaha-pengusaha lain. Permintaan terhadap strawberi kini sangat tinggi dan sentiasa tidak mencukupi untuk menampung permintaan pasaran.
Jelas Khairani, dia lebih selesa memilih konsep dari ladang terus ke dapur. Di mana sebaik proses memetik strawberi selesai, buah segar ini akan terus di hantar ke dapur untuk diproses.
Kualiti produk merupakan keutamaan syarikatnya. Jem strawberi misalnya, penggunaan 60% puri strawberi ternyata menghasilkan jem yang sangat enak menepati cita rasa dan terjamin keaslianya.
Jika ingin ke Cameron Highlands, jangan lupa singgah ke ladang KHM Strawberies & Jam yang terletak di Kampung Taman Sedia. Di sini terdapat kafe di bawah pengurusan KHM Strawberies yang menghidangkan pelbagai produk berasaskan strawberi.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.