Saya tidak terlibat dengan sebarang acara lawatan TPM ke Cameron Highlands semalam. Yang saya ikuti ialah koleksi 9 buah helikopter yang mendarat iaitu 5 buah di Tanah Rata dan 3 buah di Padang Golf serta sebuah di Padang Habu.
Seronok pula anak-anak melihat koleksi helikopter ini.
Utusan Online yang saya petik ini pula menceritakan intipati lawatan TPM ini.
Cuma kalau nak menyelit kisah, kebun yang dilawati oleh TPM tu di tepi jalan sahaja. Masa banjir tahun 2013, pemiliknya baharu sahaja menolak dan memotong bukit sehingga ke gigi air.
Berhenti dua tiga hari masa kes tengah panas dan sambung kembali dan kini siap terdiri rumah plastik.
Nak berhenti ? Tidak sekali !!!! Bagus juga, paling kurang ada contoh ditepi jalan yang senang dilihat sepanjang masa.
Katanya keluasan TOL sekadar 0.4 ha tetapi keluasan sebenar 0.8 ha..
Itu maklumat dari TV3 semalam.
CAMERON HIGHLANDS 24 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelan tindakan jangka panjang untuk menyelamatkan Cameron Highlands daripada penerokaan tanah haram dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurut beliau, antara langkah segera ialah agensi berkenaan perlu menguatkuasakan undang-undang dengan tegas dan berterusan.
Selain itu, beliau mengarahkan Jabatan Perancang Bandar dan Desa meneliti semula pelan pembangunan yang telah diluluskan di kawasan tanah tinggi itu sama ada perlu diperbaiki atau disesuaikan untuk memastikan tiada projek yang memberi kesan terhadap alam sekitar.
“Kita akan terus menempatkan agensi penguat kuasa di sini sehingga masalah ini selesai. Kita mahu masyarakat melihat betapa seriusnya kerajaan mengatasi isu-isu di sini.
“Kita tidak mahu operasi di sini hanya sementara dan apabila kita (penguat kuasa) balik, penyangak-penyangak ini akan datang semua, PATI kembali membanjiri kawasan ini.
“Matlamat pelan ini adalah untuk Cameron Highlands kembali ke zaman kegemilangannya sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat dan Tanah Runtuh di Cameron Highlands, di sini hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Dr. Maximus Ongkili.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.
Menurut Muhyiddin, semua agensi Persekutuan, negeri dan daerah perlu bertindak tegas mengatasi penerokaan tanah haram dan kebanjiran PATI tanpa kompromi.
Beliau berkata, menurut maklumat Pejabat Peguam Negara, tiada masalah untuk mengambil tindakan mengikut perundangan dalam soal tanah, PATI, penerokaan tanah haram dan alam sekitar.
“Semua instrumen undang-undang sudah cukup, yang penting adalah penguatkuasaan...penguatkuasaan... penguatkuasaan.
“Agensi berkaitan perlu menjalankan tugas. Jika ada kesukaran untuk menjalankan tugas seperti ada ancaman, pegawai yang berkenaan kena membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, selepas mesyuarat tersebut, Muhyiddin menyampaikan bantuan kepada 10 mangsa banjir kilat dan tanah runtuh di Ringlet pada 5 November lalu.
Beliau turut melawat kawasan bencana, meninjau Empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lembah Bertam.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.