Wednesday, September 12, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Kanak-kanak Orang Asli

Seronok pula bercerita mengenai masyarakat Orang Asli di sini. Dari sekadar kisah mereka, rasanya boleh pula saya kelaskan untuk beberapa catatan yang berkaitan dengan mereka. 

Jika catatan terdahulu adalah mengenai wajah-wajah istimewa masyarakat Orang Asli yang dewasa, untuk catatan kali ini rasanya ingin pula saya kongsikan wajah-wajah generasi mereka yang masih sama istimewanya malah inilah masa hadapan masyarakat ini kelak. 

Untuk koleksi ini, saya sekadar merakamkannya dari jauh sahaja. 

Malah ada yang diambil ketika dalam perjalanan dan dari kenderaan. 

Ada juga gambar yang sempat saya rakamkan ketika melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan di perkampungan mereka. 

Keletah mereka begitu berbagai ragam tatkala ingin dirakamkan gambar mereka. Mereka riang berposing untuk kita dengan senyuman dan reaksi wajah yang jarang dapat kita lihat.

Pakaian mereka sedikit kusam dengan sebilangan besar berkaki ayam dan bermain pasir dan lecak tanpa menghiraukan kotor dan panas. 

Rambut mereka pula ada yang lurus dan ikal mayang tetapi sebahagian besarnya berkerinting tanpa disikat rapi. 

Mimik muka mereka berbagai rupa. Ada yang takut dan keliru, ada yang riang dan tidak sabar beraksi dan ada juga yang tiada reaksi sambil terus bermain. 

Anda boleh meminta mereka senyum dan ketawa untuk aksi yang mengembirakan. 

Ingin juga sebenarnya membuat profil wajah-wajah mereka tetapi belum kesampaian pula. 

Apapun akan saya kongsikan juga dari koleksi gambar daripada rakan-rakan saya yang sebenarnya begitu rapat dengan masyarakat Orang Asli ini khasnya kanak-kanak. 

Mereka saban hari mendambakan diri mereka dengan kanak-kanak ini tanpa jemu dan kekok.

Mereka menjauhkan diri  dari kesenangan dan kenikmatan hidup di bandar bukan kerana terpaksa tetapi lebih kepada tuntutan tanggungjawab yang begitu mulia serta dilaksanakan dengan begitu ikhlas. 

Mereka yang saya maksudkan adalah guru-guru yang ditempatkan bertugas di kawasan pendalaman dan perkampungan Orang Asli. 

Insyalllah juga akan saya kongsikan mengenai mereka di catatan yang berasingan mungkin bertemakan cabaran menuntut ilmu oleh masyarakat Orang Asli. 

Berbalik kepada usaha merakamkan gambar si cilik ini,  mungkin tidaklah terlalu sukar kerana mereka sememangnya suka dirakamkan berbanding dengan golongan dewasa yang lebih pemalu. 

Sebaik-baiknya anda beramah mesra dengan mereka terlebih dahulu seperti berbual-bual dan berkongsikan cerita, bertanya khabar, kisah di sekolah dan apa jua yang mampu merapatkan anda dan mereka dalam serba ringkas. 








Jangan sesekali anda mengeji dan menghina mereka diatas apa yang mereka lakukan seperti bermain pasir, sedikit kotor dan mungkin ada yang beranggapan selekeh. 

Itu adalah sebahagian dari resam harian mereka yang mungkin berbeza dengan resam anda suatu ketika dahulu. Maklumlah, lain padang lain pula jenis belalangnya. 

Jika ada ibu bapa mereka berdekatan mohon izin untuk merakamkan gambar anak-anak mereka. Malah berkenalan terlebih dahulu dengan mereka dan pastinya tidak akan rugi anda melakukan sebegitu. 




Ada ibu bapa yang tidak begitu gemar untuk anak-anak mereka dirakamkan dan mungkin mereka juga bimbang dengan faktor keselamatan kerana anda adalah orang luar yang datang ke kawasan perkampungan mereka. Sewajarnya mereka berpendirian sebegini dan pastinya anda juga akan melakukan tindakan yang sama. 



Tidak salah juga jika anda membawa buah tangan seperti makanan ringan samada gula-gula mahupun jajan atau sekotak dua pencil ataupun alat tulis untuk dihadiahkan kepada mereka. Ini bukannya rasuah tetapi lebih kepada sedikit sumbangan ikhlas kepada mereka. 

Jangan pula anda berniat serong pula dengan memberi hadiah ini. 



Gunakan gambar mereka dengan niat yang baik dan jangan dikormesialkan atau dipublisitikan untuk tujuan yang tidak baik. 

Sebaiknya selepas bergambar kongsikan hasilnya dengan mereka biarpun di skrin kamera anda yang kecil itu dan lebih mudah pula untuk anda merakamkan gambar seterusnya.

Selebihnya, koleksi gambar-gambar kanak-kanak Orang Asli ini saya kongsikan untuk anda sekadar dari lensa kamera saya yang amatur. 


Selamat bergambar... mereka adalah insan istimewa...
Update 14 September: Saya akan menambah satu lagi catatan khas untuk koleksi wajah-wajah cilik istimewa ini di siri ke 2... jangan lupa klik untuk melihatnya... 

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.