Tuesday, July 17, 2012

Felda : Menjadi peneroka ...


Aku membaca beberapa artikel mengenai Felda dan peneroka. Aku membaca coretan dari Facebook yang berkaitan dengan Felda.

Aku membaca kisah Politik mengenai Felda dan semua diceritakan mengenai Felda baik yang baik ataupun buruk.

Ada yang memuji dan ramai juga mengeji. Ada yang kata-kata dari kalangan peneroka dan generasinya dan ada yang tiada kaitan sejarah dan hubungannya.

Entah siapa yang betul dan siapa yang salah. Siapa hero dan siapa penjenayah.


Penempatan Felda - gambar pinjam
Namun, aku mempunyai kisah yang lain untuk dikongsi. Kisah dari pengalaman ingat-ingat lupa aku mengenai melapor diri sebagai peneroka cuma bukan pengalaman ayah dan mak aku kerana semasa melapor diri ke Felda Kumai, aku masih dalam umur bulan lagi bukannya tahun.

Pengalaman melapor diri ini adalah kisah benar yang di antara 'ingat-ingat lupa' aku mengenai Keluarga Pak Cik aku pada tahun 1985 kalau tak silap aku.

Mungkin bagi generasi kedua Felda yang lebih berusia mengingati bagaimana pengalaman keluarga mereka melapor diri dan mungkin boleh bertanya mengenainya daripada orang tua masing-masing.

Dari Kampung ke Tanah Rancangan:

Ayah aku merupakan anak sulong dari keluarganya dan mempunyai 3 adik yakni Mak Lang Endon, Pak Cik Nor dan Chu Ani. Ayah mula merantau keluar dari Kuala Sungai Rambutan, Sungai Bayor, Selama Perak sejak berkahwin dan melata perginya sebagai buruh binaan samada di Melaka, Bentong, Kuala Lumpur sebelum mendapat peluang tawaran sebagai peneroka Felda di Felda Kumai, Triang Pahang.

Pada penghujung tahun 1979, ayah membawa keluarga kami yang ketika itu, mak, Kak Lina, Piza-abang dan Eda-kakak serta aku yang baru berusia sekitar 6 bulan ketika itu.

Manakala Pak Cik Nor mempunyai 4 orang anak iaitu 3 lelaki dan seorang lelaki. Yang perempuan melebihi umur aku ketika itu.

Kesulitan hidup di Kampung di Selama Perak memang agak terpancar kerana sumber hanyalah menoreh getah dan bersawah malah terpaksa berkongsi dengan adik-adik yang lain.


Ayah yang selalu balik ke kampung bersama kami setiap tahun akhirnya tekad membawa pak cik sekeluarga ke Felda Kumai untuk kehidupan yang lebih baik pada masa yang sama memohon penempatan Felda.

Hidup di Felda bersama kami nampaknya lebih baik biarpun rumah kami kecil untuk menampung dua keluarga.

Akhirnya ayah membina kedai di kawasan perniagaan dan pak cik sekeluarga berpindah ke sana. Anak-anaknya bersekolah sama seperti kami dan menjalani kehidupan sebagai anak Felda yang lain.

Sinar bercahaya cerah menjelang tahun 1985 atau 1986 bilamana Pak Cik mendapat tawaran penempatan peneroka Felda iaitu di Keratong 8 Muadzam Shah iaitu sejauh 120 km jauhnya dari Felda kami.

Aku tak pasti apa perasaan mereka sekeluarga tetapi bagi aku melihat kegembiraan ayah yang berusaha mendapatkan penempatan untuk adiknya itu jelas terpancar.  Aku pasti ayah aku yakin dengan kehidupan di Felda biarpun perit pada awalnya.

Beliaulah yang ke sana sini membawa Pak Cik Nor bertemu pihak yang berkenaan. Dari Temerloh, ke Bentong dan ke Kuantan untuk memohon penempatan di FELDA.

Melapor Diri:

Tok Wan dijemput dari Selama Perak untuk sama-sama menghantar keluarga pak cik melapor diri. Malah bukan sekadar keluarga mereka tetapi turut serta kami sekeluarga.

Aku teringat ketika itu kereta ayah 'Datsun Tonggek' penuh sendat dengan keluarga besar kami bersama sebuah lagi 'Datsun Tonggek' yang dimiliki dan dipandu oleh jiran kami Pak Ngah Lan  manakala Pak Cik Nor menaiki motor bersama Pak Cik Zaitong, juga merupakan jiran tetangga kami di Felda Kumai.

Melalui Kerayong ke Felda Serting untuk ke Jalan Segamat terasa amat jauh kerana kali pertama melaluinya. Malah motor mereka rosak dipertengahan jalan memaksa kami melencong seketika ke sebuah ladang getah untuk dibaiki.

Hampir tengahari, barulah kami sampai ke Pejabat Felda Keratong 8 dan kami yang kecil ini hanya menanti di luar manakala urusan melapor diri diuruskan oleh Ayah, Pak Cik  dan juga Arwah Tok wan.

Aku difahamkan taklimat ringkas diberikan mengenai cara hidup di Felda sebelum undian rumah dilakukan. Ayah dan rakan-rakan jiran tetangga, Pak Ngah Lan dan Pak Cik Zaitong yang sudah berpengalaman membantu adiknya segala keperluan.

Akhirnya kami bergerak mengikuti motor kakitangan Felda tadi ke rumah yang telah diundi oleh Pak Cik. Melalui jalan tanah merah adalah situasi biasa cuma melewati kawasan rumah-rumah yang sudah dan belum berpenghuni dengan rumput dan lalang di bahagian laman depan dan belakang.

Rumah Felda Asal- gambar pinjam
Kami tiba di rumah baru yang bakal dihuni oleh keluarga Pak Cik Nor. Biarpun kedudukan di atas bukit dan halaman depan dan belakang penuh belukar lalang, kami semuanya begitu gembira dan sangat bersyukur menjejaki tangga rumah yang bernombor 300 di blok 13 itu.

Pada masa yang sama jiran-jiran tetangga yang lebih awal menghuni di sekitarnya mula datang dan meraikan kedatangan keluarga jiran yang baru. Rata-rata berusia 30 an dan datang dari pelbagai ceruk di Malaysia. Bersalaman dan mengucapkan selamat datang seraya berkenalan nama dan asalnya.

Arwah Tok Wan membaca doa kesyukuran di tangga rumah dalam kepenatan mendaki bukit serta menabur beras kunyit sebagai simbolik acara membuka rumah mengikut adat. Pintu rumah dibuka dan kami masuk ke dalamnya dengan gembira.

Susun atur rumah sama seperti rumah felda yang lain. Berasaskan papan dan kayu dengan satu bilik, ruang tamu, dapur dan bilik mandi. Manakala tandas jauh kebelakang. Bekalan air ketika itu masih tiada dan pastinya bekalan elektrik jauh sekali.

Kedudukan rumah pak cik di atas puncak bukit memberikan pemandangan yang amat jelas mengenai penempatan rumah Felda di Keratong 8 ini. Sambil mengemas ruang rumah, bekalan nasi dibuka dan menjamu selera sesama ahli keluarga di rumah yang baru.

Kami pulang lewat petang dengan meninggalkan keluarga pak cik di rumah mereka yang baru serta tempat yang baru. Kami meninggalkan mereka dengan lalang dan belukar yang hanya direntas sebagai laluannya untuk ke rumah tetapi percaya ianya juga simbolik merentas kehidupan baru yang lebih menjanjikan nasib yang lebih baik.

Arwah Tok Wan dalam kepenatan juga tak henti-henti mengucapkan rasa syukur.

Sebagai abang, ayah selalu membawa kami melawat keluarga pak cik di Keratong. Kunjungan kedua kami menyaksikan laman rumah terang benderang tanpa sehelai lalang tinggal.

Bekalan air diperolehi dari kawasan paya dibelakang rumah yang dikandar pulang oleh Pak Cik setiap pagi dan petang.

Kunjungan kami yang ketiga pula membawa keratan-keratan pokok bunga seperti pokok puding untuk ditanam. Lebih menarik, keratan pokok bunga ini disumbangkan juga oleh jiran tetangga di blok 13 Felda Kumai. Keratan pokok bunga bukan hanya untuk Pak Cik sekeluarga tetapi juga dikongsi jiran tetangga mereka agar ruang laman yang kosong akan terhias indah dengan tanaman bunga.

Kunjungan kami seterusnya kadangkala bersama jiran-jiran yang ingin melihat sendiri rumah baru dan penempatan felda di Keratong 8 serta berjumpa semula keluarga Pak Cik yang pernah bersama mereka suatu ketika dahulu.

Perubahan demi perubahan aku dapat lihat bagi keluarga Pak Cik.

Alhamdulillah .. syukur....

1 comment:

  1. salam.. maklong adalah peneroka felda keratong 8 juga.. cuma dah lama tinggal di Selayang.. jadi lupa2 ingat nama pakcik awak ni.. maklong blok 11.. alhamdulillah.. sekarang rata2 peneroka dah mampu hidup senang..

    ReplyDelete

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.