Friday, July 20, 2012

Felda: Kenduri perkahwinan.. kenangan 80-90an...

Minggu lepas adalah hari yang agak sibuk bagi kami sekeluarga. Sibuk kerana meraikan dan menyambut orang baru. Orang baru yang dimaksudkan bukanlah kelahiran bayi samada anak saudara, adik baru ataupun cucu baru tetapi ahli keluarga baru melalui perkahwinan.
 
 
Pendek kata adik aku kahwin dan kami mendapat adik ipar dan orang tua kami mendapat menantu dan anak-anak saudara dah boleh memanggil 'Mak Tam'.
 
 
Tetapi yang ingin dikongsikan bukanlah mengenai "mak tam" baru ini tetapi bagaimana persediaan kami dan ahli blok membantu menyediakan persiapan kenduri kahwin. Nampak dan dengar macam majlis perkahwinann biasa dan sememangnya majlis yang biasa dianjurkan dan bukan bertaraf 'wedding of the year' pun.  Yang ingin dikongsikan bagaimana mengamit kenangan seawal pembukaan felda atau tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP), menganjurkan majlis kahwin.

Catatan ini juga mungkin tidak mengambarkan keseluruhan budaya masyarakat Felda di seluruh dunia menganjurkan majlis perkahwinan dan jika tidak satu Malaysia mungkin Felda se Negeri Pahang mengamalkannya.
 
 
Jika tidak mungkin Felda di Wilayah Bera yang mengamalkan dan jika tidak sewilayah yang mengamalkan, mungkin Felda Kumai yang mengamalkan dan jika tidak semua blok di Felda Kumai yang mengamalkan. aku pasti dan amat berbangga untuk mengatakan bahawa ahli keluarga Blok 13 telah mengamalkannya dari dulu sehingga kini.
 
 
Pendek kata, lain padang ..lain belalang... 

Blok 13, Felda Kumai mempunyai 24 orang keluarga peneroka bermula dari rumah bernombor 289 hinggalah bernombor 313. Mempunyai pelbagai negeri asal baik dari Perlis sehinggalah ke Johor menambah resam budaya dan tampak meriah bilamana  iadun adat dan resamnya menjadi satu.

Persiapan Majlis Perkahwinan  seawal 1980 an- Kenduri terawal;

Kenduri yang pertama oleh rumah Pak Su Pin (Haji Pin Bin Seman), Kak Shila kalau tak silap aku. Majlis seawal 1982 atau 83 dengan serba ringkas tetapi cukup meriah. Rata-rata keluarga peneroka yang lain anak-anak mereka masih bersekolah.
 
 
Gotong Royong menjadikan majlis ini mudah dilaksanakan tetapi kemudahan pinggan mangkuk, periuk belanga, khemah dan sebagainya amat terhad dan terpaksa meminjam dari jiran-jiran tetangga. Pingan dan talam dipinjamkan, meja dan kerusi makan dibawa bersama, beras dan sumbangan duit dihulurkan oleh jiran tertangga.

Majlis berlangsung meriah. Laut kenduri di rewang bersama. Persiapan bermula seminggu dua awal. Si ibu-ibu berkampung setiap petang menyiapkan kuih muih dan juga mengoreng kerisik. Bunga telor di anyam bersama.

Pengalaman pertama yang serba kekurangan menginsafkan dan lahirnya idea mewujudkan "Syarikat Pinggam Mangkuk"atau sinonim dengan singakatan SPM di kalangan ahli blok untuk mengumpulkan duit sumbangan sesama sendiri membeli periuk belanga, pinggan mangkuk dan sebagainya.
 
 
Difahamkan antara yang pertama usaha sebegini di Felda Kumai. Dari hanya 24 buah keluarga Blok 13 bergabung, kini dianggarkan mencecah lebih 80 buah keluarga dari sebahagian blok 11,12, 14,15 ,16 malah 17 menjadi ahli SPM ini.

Pertengahan 1980 an:

Mula majlis kenduri rancak dianjurkan lantaran anak-anak menginjak usia muda dan mula berpasang-pasangan. Majlis kenduri diatur menjadi yang semeriahnya
 
 
Kemelesatan ekonomi sedikit sebanyak meragut dana kahwin namun kemuafakatan sesama ahli blok dan jiran blok membantu. Untuk mengingati senario ketika ini, aku cuba buat melalui 'point to point' dan jika ada ingin menambah masukan dalam ruangan ulasan.
  1. Majlis merisik biasanya menjemput ahli keluarga jiran terdekat sahaja. Majlis bertunang pula diadakan seringkasnya sahaja dan dijemput ahli blok. Ada juga yang tidak bertunang secara besaran sekadar bertukar cincin.
  2.  
     
  3. Bila ditetapkan tarikh kenduri, mula-mula dibuat "Mesyuarat Blok" oleh tuan rumah sebulan awal selepas Isyak diikuti bacaan yasin. Tugas-tugas kenduri diagihankan antara sesama. Ada yang  bertugas memasak, membuat air, si penagah, membasuh pingan mangkuk dan sebagainya.
  4.  
     
  5. Ahli blok menyumbang RM 5 sekeluarga dan beras dalam  2 kilo seorang. Ada yang menambah rokok dan juga gula dan sebagainya dan tuan rumah akan membalasnya bila giliran mereka pula tiba untuk berkenduri kahwin.
  6.  
     
  7. Dua atau seminggu awal pada hari sabtu majlis mendirikan khemah atau 'balai' dibuat. Antara lain mencari kayu di hutan untuk membuat khemah. Anak-anak muda dan si bapa memanjat lori usang untuk ke pinggir hutan bersisip parang di pinggang. Kayu yang lurus dicari. Manakala pokok balak tumbang di potong untuk dijadikan kayu api.
  8.  
     
  9. Si ibu pula sibuk di dapur bergotong royong memasak makanan tengahari. Ringkasnya, nasi berlauk ikan masak kari kampung dan ikan masin menjadi menu yang sangat lazat dan menyelerakan beserta sayur kangkung ataupun kubis dan sambal belacan.
  10.  
     
  11. Khemah didirikan dengan kayu hutan dan diikat dengan tali rafia sekemasnya. Ketika ini kerusi dan meja diperbuat dari papan panjang yang dipasang kemas menjadi kerusi panjang dan meja panjang untuk tetamu duduk menjamu selera kelak.
  12.  
     
  13. Seminggu atau lebih, si ibu-ibu bertandang ke rumah bakal pengantin setiap petang untuk membuat juadah kuih muih seperti bauhulu, loyang, rempenyek dan pelbagai lagi. Sebilangannya pula memotong kotak-kotak rokok (bekas kotak untuk dozen besar) empat segi dan distapler dibahagian hujungnya untuk membuat bekas telor.  Kerisek antara bahan wajib untuk disediakan sebelum kenduri. Acar limau juga dibuat awal bagi diperap rasa dan teksturnya yang lebih lembut.
  14. Sebilangan kaum bapa memotong dan membelah kayu api dan disusun dibawah rumah untuk dijadikan bahan bakar.  
  15.  
     
  16. Menjelang hari perkahwinan, semua jiran bertandang seawal pagi memasang kanvas bumbung khemah dan mula menyusun peralatan yang dibawa dari stor peralatan di sebelah rumah Arwah Pak Sahak. Petangnya si ibu pula memotong bawang, cili, mengiling cili dan sayur dan menjamu pekerja-pekerja.
  17.  
     
  18. Lembu yang ditempah disembelih menjelang Maghrib. Jika lauknya ayam, biasanya ayam hidup disembelih, dicelur dalam air panas dan dicabut bulunya satu persatu.Teringat seronoknya memanggang ayam yang disembelih untuk memastikan bulu-bulu dibakar sebelum dipotong kecil pada waktu malam kelak.
  19.  Telur ayam pula  direbus untuk dimasukan ke dalam bekas telor. Manakala ada jiran-jiran yang menyumbang bunga telor yang dibuat sendiri untuk dihiaskan di samping Pelamin  yang ringkas dibina juga melalui gotong royong.
  20.  
     
  21. Biasanya di waktu malam menjelang hari perkahwinan, akan diadakan majlis berkhatam Quran ataupun marhaban. Waktu ini corong-corong speaker dipasang untuk memeriahkan majlis. Manakala bagi sebilangan yang lain, mula melapah dan memotong daging lembu ataupun ayam yang disembelih petang tadi.
  22. Selepas marhaban atau berzanji selesai ..mulalah di pasang video ... syok ooo.. bukan semua ada video dan tv dan pastinya rancangan gusti ditayangkan!!! Hulk Hogan!!!! Lewat pagi, tentunya bersambung dengan filem hindustan seperti Sanggam dan yang lainnya. Filem Rambo juga menjadi permintaan hangat untuk ditayangkan.
  23.  
     
  24. Sambil-sambil tu ada yang masih memasak di dapur seperti pati sirap, mengukur kelapa, sup tulang dan sebagainya buat bekal awal hari esok.
  25.  
     
  26. Seawal pagi jiran bertandang selepas subuh dan terus dengan tugas masing-masing tanpa di suruh. Yang tukang masak mula nak memasak, yang tukang air mula membacuh air teh dan kopi buat sarapan, yang si ibu pula mula menanak pulut dan nasi goreng.
  27. Si muda mudi yang menjadi penagah mula menyusun kerusi dan membersihkan meja dikhemah utama.
  28. Seawal 11 pagi, bila nasi siap di tanak, lauk kawah masih mendidih. Talam dan pingan mangkuk mula disusun untuk menghidangkan jamuan.
  1. Dari jauh mula kelihatan berbondong-bondong dan berbalam-balam kaum ibu bertamu berjalan kaki dibawah perik matahari dan kelihatan si bapa pula menaiki motorsikal sama seorang atau suami isteri. Manakala kanak-kanak pula ada yang berbasikal dan berjalan kaki sama menuju ke rumah pengantin. Semua berbaju baru dan segak bergaya.
  2.  
     
  3. Pukul 12 bermula jamuan di bawa masuk ke khemah dan rumah. Tetamu lelaki mula duduk menanti juadah dihidangkan dengan 4 orang setalam. Si ibu pula masuk ke rumah dan makan bersila manakala si kanak-kanak berlari-lari berebut dalam beratur memegang pingan untuk nasi lalu ke bahagian lauk dan akhirnya air seperti nasi campur lalu duduk bercangkung di tepi dapur, tebing longkang, atas kayu api dan dibawah pokok untuk menjamu selera.
  4. Bila tetamu ingin pulang, bersalamanlah mereka dengan tuan rumah dengan istilah 'salam berkaut' dan ketika ini RM1 yang dibalut kertas tisu menjadi kebiasaan. Tanda penghargaan dari tuan rumah diberikan dengan sebiji telor rebus sebagai tanda terima kasih.
  5.  
     
  6. Selepas Zohor pengantin datang samada untuk dinikahkah di rumah ataupun di masjid. Berarak tanpa kompang dan hanya beriringan dengan bunga manggar. Biasanya pengantin lelaki segak berpakaian raja sehari dan bercermin mata hitam besar dengan keris kemas di sisi pinggan.
  7.  
     
  8. Sebelum masuk, silat pulut dipersembahkan untuk menyambut pengantin yang duduk di atas kerusi bergandingan.
  9.  
     
  10. Bersanding pula ringkas di atas pelamin tetapi penuh sesak disaksikan oleh yang lain. Kamera pula hanya satu dua buat kenangan di kemudian hari.
  11.  
     
  12. Kenduri bermula seawal pagi tetapi berakhir sekitar 5 petang dengan juadah berterusan di hidangkan.
  13. Habis kenduri, jiran tetangga setia mengemaskan peralatan khasnya pingan mangkuk. Tidak disiapkan hari yang sama, esoknya kembali bertamu membuka khemah dan balai dan sebagainya.
  14.  
     
  15. Pengantin baru dalam malu dan segan pada hari seterusnya mula mengunjungi rumah jiran tertangga untuk memperkenalkan isteri atau suami disamping mengucapkan terima kasih atas bantuan menjayakan majlis.
  16. Seminggu atau dua selepas itu biasanya tuan rumah membuat kenduri kesyukuran ataupun dipanggil Kenduri Cuci Balai sabagai tanda syukur dan ucapan terima kasih kerana menjayakan majlis kenduri yang dianjurkan. 

Ini sahaja buat masa ini yang saya terlintas mengenai Kenangan Kenduri Kahwin di Felda seawal 1980ab dan 1990 an dan saya percaya akan ditambah lagi bila teringatkan kembali.

Sesungguhnya kemuafakatan dan juga semangat bersatu padu dikalangan jiran tertangga ketika ini amat kuat dan sungguh mengagumkan.  

1 comment:

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.