Tuesday, July 31, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Cactus di Cameron Highlands

Antara tarikan pelancong untuk membeli-belah di Cameron Highlands adalah pelbagai jenis sayuran, strawberry, jagung dan tidak ketinggalan adalah Kaktus.

Kaktus yang sinonim hidup di kawasan kering atau pun bersuhu panas turut menjadi antara 'trademark' di kalangan pengusaha tapak semaian kerana permintaan tinggi dek 'mood melancong' pengunjung ketika di Cameron Highlands ini.

Sebenarnya kaktus boleh dibeli dan ditanam di kawasan bersuhu panas seperti di bawah tanpa perlu membeli di Cameron Highlands.

Namun terdapat banyak pusat jualan kaktus tumbuh di sini dek permintaan dari pelancong. Malah boleh dikatakan, dimana dijual bunga, akan dijual juga kaktus di situ.


Antaranya adalah Kaktus Valley di Brinchang yang pernah saya kongsikan catatannya di SINI dan juga Cactus Point berhampiran Kea Farm. Tidak ketinggalan jika anda ke Stesen Mardi di Tanah Rata atau anda singgah sahaja di Big Strawberry Farm (klik SINI) yang bersebelahan Cactus Valley di Brinchang.


Jika tidak anda boleh singgah di Arked Peladang dan Uncle Sam yang terletak di Sungai Burung, iaitu di antara Brinchang dan Kea Farm atau singgah ke Frangnce Nursery yang berhampirannya.


Banyak kan? Masih sukar mendapatkan Kactus? Susah-susah anda pergi sahaja ke Pasar Malam Brinchang. Pasti anda akan menemui gerai yang menjual kaktus atau ke Kea Farm.

Pendek kata, ianya ada di mana-mana... cuma jika ingin melihat lanskap kaktus yang cantik, saya mengesyorkan anda ke Cactus Valley atau Cactus Point.


Selebihnya, koleksi gambar kaktus di atas dan di bawah menjadi panduan anda untuk membelinya kelak... saya pun rakamkan di beberapa lokasi tempat jualan bunga sekitar Cameron Highlands ketika 'melancong' bersama keluarga hujung minggu.


Harganya? Biasanya yang bersaiz kecil sekitar RM 2 satu atau RM 5 untuk 3 jenis atau RM 10 untuk 6 jenis.

Untuk yang bersaiz sedang ada yang berharga RM 4 setiap satu atau RM10 untuk 3 jenis.

Yang sedikit besar RM 6 untuk satu atau RM 10 untuk 2 jenis. Malah yang bersaiz lebih besar sekitar RM 8 - RM 15 setiap satu.


Yang terlebih besar mengikut harga penjualnya... Selamat berkaktus..  yang atas ni bukan pekerja atau buruh kanak-kanak nurseri ini tetapi pekerja 'volunteer' sementara...

Tips Melawat Cameron Highlands: Orkid Siri 2..

Dari siri pertama, saya berkongsikan mengenai beberapa jenis tanaman orkid yang boleh anda beli jika berkunjung ke Cameron Highlands, siri ke dua ini saya memuatkan beberapa lagi gambar kuntuman bunga orkid yang begitu mengasyikan.

Jika anda ke Cameron Highlands, terdapat banyak nurseri jualan tanaman yang mempunyai koleksi orkid antaranya Stesen Mardi di Tanah Rata yang mempunyai sudut khas Orkid Liar bersebelahan dengan Taman Enggerisnya. 

Saya mempunyai koleksi gambar-gambarnya tetapi akan saya gabungkan nanti dibawah tajuk orkid liar di Cameron Highlands. Insyallah .. 

Manakala di pusat jualan berpasunya juga terdapat koleksi orkid hibrid yang dijual kepada pengunjung yang berminat.



Bagi mereka yang ingin membiakkan orkid milik sendiri, terdapat dua cara yang boleh digunakan. Untuk cara pertama agak rumit dan memerlukan lebih latihan yakni dengan mengkacukan orkid jenis Dendrobium dengan spesis orkid yang lain. Biji benih yang matang hasil kacukan ini akan disemai untuk mendapatkan pokok dan bunga yang baru. 

Proses penyemaian ini biasanya dilakukan di dalam makmal kerana memerlukan persekitaran yang bersih.  Selain itu bagi pengusaha kormesial, teknik tisu kultur sering menajdi pilihan utama kerana boleh dihasilkan dengan jumlah yang banyak dalam satu masa. 



Bagi penanam orkid yang secara hobi, pembiaan orkid boleh dilakukan dengan cara membahagi dan membelah rumpun orkid dan ditanam di dalam pasu yang baru.

Caranya cukup mudah, jika anda mempunyai anak pokok orkid yang baru dan telah terkeluar akar dari pasunya, anda boleh memindahkan ke pasu yang lebih besar dan membahagikan kepada beberapa bahagian rizomnya untuk mendapatkan pokok-pokok yang baru. 



Pasu-pasu kecil direndam dahulu sekitar sejam. 

Kemudian keluarkan anak pokok dan buangkan medium tanaman yang melekat pada akar. 
Isikan pasu baru sepenuh denga serpihan arang dan bata lama mengikut kesesuaian pasu anda. 



Letakkan anak pokok di tengah pasu dan masukan serpihan medium ke dalam pasu sehingga 70% penuh sebelum anda boleh menyusunkan pasu-pasu itu dibawah naungan redup sekotar 50%.

Penyiraman pokok orkid boleh dilakukan dengan kekerapan 2 kali sehari dengan air yang bersih. 



Pembajaannya pula sekadar memerlukan baja yang seimbang untuk tumbuh subur seperti baja Gaviota 63 atau 67 atau Nirtophoska 14:10:14:+Te. Susah sangat anda tanyakan sahaja di nurseri semaian untuk baja bagi tanaman orkid. Pasti terdapat pelbagai pilihan.



Penyakit yang biasanya menyerang tanaman orkid seperti bintik berpusar, reput jemala, reput pangkal dan akr atau reput daun. Panduan rawatan boleh menggunakan racun semburan yang boleh diperolehi di pasaran seperti mancozeb, zineb, maneb, propined , carbadenzim, thiram , matlaxyls, benomyl dan pelbagai lagi. 



Pening memilih apa kata anda dapatkan panduan di gerai nurseri semaian sahaja. Mudah tetapi berhati-hati ketika menggunakannya.



Serangan serangga perosak pula selalunya seperti teritip, koya ulat bulu, belalang atau kumbang. Juga terdapat racun serangga yang boleh mengawal serangan perosak ini dan dapatkan syor dan panduan yang sebaiknya dari mereka yang berpengalaman. 


Semoga berpuas hati dan dapat membantu anda dalam mencari orkid idaman anda bila melancong ke sini kelak.

Tips Melawat Cameron Highlands: Koleksi Orkid siri 1...

Jika dalam catatan terdahulu saya berkongsikan mengenai bunga ros dan crishanthemun serta periuk kera yang mudah anda akan temui di mana-mana pusat jualan, kali ini saya ingin berkongsikan mengenai bunga ORKID pula.

Klik sini untuk catatan koleksi bunga ros atau klik SINI untuk catatan koleksi bunga daisy atau klik SINI untuk catatan bunga Raya atau klik SINI untuk catatan periuk kera.

Bunga orkid sememangnya menjadi pilihan pengemarnya tersendiri dimana kecantikannya amat mudah memukau mata memandang.

Malah ketahanan bunga dan pokok orkid yang amat kuat terhadap perubahan cuaca serta senang di jaga amat menyokong bagi mereka yang malas untuk menjaga sepenuhnya.

Ini kerana keperluan menjaganya agak mudah, hanya perlu menyiram sekitar dua atau tiga hari sekali serta boleh diletakan di ruang yang kurang cahaya seperti balkoni dan garaj kereta.

Mengenai pokok atau tanaman orkid di sini, anda boleh mendapatinya dengan mudah. Terdapat dua jenis tanaman orkid iaitu orkid hibrid dan juga orkid liar yakni hutan.

Sedikit maklumat yang mungkin boleh saya kongsikan dengan anda, kebanyakan bunga orkid yang anda akan temui di sini adalah dari genus Dendrobium.  


Orkid tergolong dalam keluarga Orchidaceae yang mempunyai lebih 700 genera.  Genus Dendrobium yang saya katakan tadi termasuk dalam kumpulan orkid simpodial.

Orkid simpodial mengeluarkan jambak bunga pada hujung setiap pokok. Pengeluaran  jambak bunga seterusnya adalah dari pucuk baru yang keluar dari rizom dan pengeluaran batang baru ini menjadikan seolah-olah ianya serumpun. 


Orkid hibrid adalah dari jenis spesis yang dikembang biak menggunakan sistem pembiakan sendiri malah ada yang melakukan secara tisu culture.

Manakala orkid hutan atau liar adalah dari spesis yang dikutip dari hutan yang tumbuh diatas dahan-dahan pokok.

 
Namun saya tidak pasti mengenai peruntukan undang-undang yang mana kalau tidak salah saya adalah haram atau salah untuk memetik dan membawa keluar tanaman ini dari hutan.

Permit khas diperlukan untuk pengeluaran orkid dan biasanya hanya diberikan untuk tujuan penyelidikan sahaja.

 
Kalau anda berada di sini, belilah dari jenis hibrid yang lebih besar bunganya berbanding orkid hutan.

Jika mencari keunikan, ambilah risiko untuk membeli orkid hutan sebagai koleksi tanaman orkid anda. Cuma harganya agak mahal sekitar RM 20 sepasu malah ada sekitar RM 50 sepasu. 


Selebihnya gambar-gambar dibawah ini dikongsikan bersama anda. Koleksi yang kedua juga akan saya muatnaikan gambar selebihnya. Gambar-gambar ini dipetik dari lensa kamera saya di beberapa lokasi gerai jualan.
  





 Ikuti Orkid siri dua dengan lebih banyak gambar.

Saturday, July 28, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Taman Enggeris di Stesen Mardi

Cameron Highlands memang sinonim dengan senibina Enggeris seperti bangunan yang berekabentuk Tudor Moden dan pastinya juga koleksi tanaman yang disesuaikan dengan persekitaran Enggeris.

Antara sebab utama adalah kawasan tanah tinggi ini sememangnya diwujudkan oleh kerajaan British seawal 1900 an yang menjadikan kawasan percutian bagi peladang, askar dan juga perdagang eropah malah para mubaligh kristiannya.  

Maka tidak hairanlah jika koleksi bangunan lama seperti Smoke House (Klik sini ), Lake House (klik SINI ), Bala Chalet (klik SINI) dan banglo-banglo lama sekitar memiliki kesan senibina enggeris.

Bersesuaian dengan imej ini, Stesen Mardi yang dibangunkan sekitar tahun 1925 juga tidak terlepas dari pengaruh senibina ini. Maka jika anda ke sini terdapat sebuah taman ala enggeris diwujudkan oleh Stesen MARDI bagi memberi peluang kepada anda dan pengunjung yang lain untuk mengalami sendiri suasananya.

Taman Enggeris yang terletak bersebelahan pintu masuk utama stesen ini menawarkan senibina ringkas taman bunga enggeris dengan deretan bunga segar berwarna warni dan sedikit ros.

Begitu dengan susun atur pejalan kaki yang mana pokok melindungi struktur kayu (saya lupa istilahnya) berjuntaian di sepanjang laluan ini. Dilengkapi dengan kolam ikan dan pancuran air serta jambatan di tengahnya terasa lebih suasananya enggerisnya  dengan pemandangan sisi bangunan utama pejabat Stesen Mardi yang bercirikan senibina tudor moden.


Di penghujung taman ini dilengkapi dengan set air terjun yang boleh anda lalui di bawahnya. Seperti melengkapi taman ini terdapat 2 unit English Cottage yang ditawarkan kepada pengunjung sebagai tempat penginapan ala enggeris di Stesen Mardi ini...

Cuma ianya sekadar lanskap yang dibina seakan taman enggeris tanpa sebarang aktiviti seperti minuman teh ataupun berdiangdi waktu malam. Mesti menarik jika terdapat pakej sebegini di sini kelak..  

Tips Melawat Cameron Highlands: Tarikan kanak-kanak di Stesen Mardi

Saya dapat membayangkan antara jawapan yang mungkin anda akan perolehi dari anak-anak anda bilamana menyatakan akan melawat STESEN AGROOURISM MARDI... Pastinya mereka akan terbayangkan akan bosan dan tidak menarik untuk melawat yang berkaitan dengan pertanian semata-mata.




Mungkin saya dapat berkongsikan mengenai apa yang mungkin menarik perhatian kanak-kanak untuk berada di Stesen Mardi ini. Mungkin bukan bertaraf taman tema tetapi masih ada ruang yang mungkin boleh menarik minat mereka untuk terus berada di sini.

Yang saya sasarkan adalah kanak-kanak bawah 12 tahun bukannya remaja yang sudah pasti pandai memilih yang lebih baik. Mesti mereka tak hairan kelak.

Sebaik  sahaja anda masuk ke stesen ini mungkin plot tanaman strawberry boleh memberi minat mereka dengan tanaman strawberry dan mungkin juga menunya dikaunter jualan seperti buah strawberry segar, aiskrim strawberry, yogurt, jus strawberry strawberry coklat dan sebagainya.

Jangan lupa bergambar dengan arca strawberry yang terdapat di situ.



Keduanya penat berjalan melalui taman kejur, plot tanaman bunga atau  pusat jualan yang lebih menarik minat golongan dewasa, mungkin plot tanaman anggur, epal dan pir boleh menarik sedikit kembali minat mereka kerana jarang dapat anda temui ketiga-tiga tanaman ini dibawah. Anda boleh menunjukkan buah epal, pir dan anggur jika kena pada musimnya.


Manakala jika anda ke pusat jualan, terdapat permainan kerusi bergerak untuk kanak-kanak serta pelbagai lagi snek ringan hasil daripada usahawan naungan MARDI termasuklah aiskrim strawberry. Bagi mereka yang ingin bersolat disurau bersebelahannya, pastinya meninggalkan seketika anak-anak dengan kakak dan abang mereka yang remaja tidak membimbangkan anda.

Tidak jauhnya pula terdapat taman mini permainan untuk anda berehat seketika manakala peluang kepada anak-anak kecil bermain diabwah cuaca yang dingin dan berangin.


Sudah berehat anda boleh melalui pokok teh dan turun ke taman mini burung yang ringkas tetapi masih menarik ditambah dengan seekor iguana yang baru-baru ini dimasukkan ke dalam sangkar burung ini.


Dihadapannya pula adalah taman arnab yang boleh mereka kunjungi dan mengambil peluang untuk memberi makan kepada arnab-arnab ini. Tips yang mungkin ramai tak tahu adalah , arnab ini mudah tertarik dengan rumput berdaun lebar yang terdapat di gigi parit berdekatan.  


Ada beberapa lagi tarikan yang boleh membuat kanak-kanak berminat dengan lawatan anda di Stesen MARDI ini. Apapun selamat bergembira seisi keluarga. 

Peristiwa:Episod baharu tiga banduan

Berkongsikan artikel dari Kosmo yang menarik mengenai banduan yang mendapatkan pengampunan. Peluang kedua pastinya amat bermakna buat mereka menebus kesalahan yang lampau .




“ASSALAMUALAIKUM, Tuan. Saya Sapuan Hanin,” ujar seorang lelaki yang separuh abad usianya. Dia juga memperkenalkan dirinya mengikut kod seorang banduan.
“Kes apa yang dilakukan oleh kamu semasa kamu masuk (ke penjara),” soal Pengarah Penjara Mat Rasid Jahlih kepada lelaki bertubuh kecil yang kudung tangan kirinya dan beruban itu. Lelaki yang berkaca mata itu mengenakan baju dan seluar berwarna biru laut menjawab dengan nada perlahan: “Kes ganja, Tuan.”
“Kalau ikut waran pertama, awak dihukum di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu gantung sampai mati, tapi pada hari ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar memberi pengampunan penuh dan perintah pembebasan kepada awak,” beritahu Mat Rasid kepada Sapuan pada upacara khas pembebasan tiga banduan di Penjara Kluang baru-baru ini.
Sapuan, 58, dengan tangan terketar-ketar kemudian menurunkan lebih lapan cap jari pada sebuah buku usang yang bersaiz A2.
Sepanjang 26 tahun menjadi penghuni penjara, lelaki yang berasal dari Benut, Johor itu mempunyai gaji RM18. Namun, pegawai penjara memaklumkan Sapuan sudah membelanjakan kesemua gajinya.
“Terima kasih Tuan, terima kasih tidak terhingga, Tuan banyak menolong saya, terima kasih Tuan,” katanya sambil memberi tabik hormat kepada Mat Rasid.
Tekanan pada jiwa menyebabkan dia terlupa umurnya kini. Lelaki yang sudah menginjak usia itu sudah terlalu terpisah dengan dunia luar. Ada tembok besar yang menghalangnya, kata lelaki bujang itu.
Berputus asa
Pada 18 Julai lalu, satu sejarah tercipta apabila Sultan Ibrahim Ismail berkenan memberi pengampunan penuh dan perintah pembebasan kepada lapan orang banduan pada hari pertama umat Islam berpuasa.
Lapan banduan dibebaskan pada 1 Ramadan lalu. Seorang daripadanya ialah Sapuan. Dia merupakan banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Tujuh banduan lain yang dibebaskan berumur antara 41 hingga 63 tahun termasuk dua warga Indonesia dan seorang warga Singapura.
Mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dirujuk di bawah kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

SHAMSUDIN menurunkan cap jari sebelum dia dibebaskan dari Penjara Kluang, Kluang, Johor baru-baru ini.


Tiga banduan dari Penjara Kluang dibebaskan iaitu Sapuan, Shamsudin@Botak@Bachik Baharin, 55, dan Mohd. Ali Nordin, 63.
“Jiwa saya betul-betul terseksa. Saya pernah berputus asa untuk hidup setelah rayuan ketiga ditolak sehingga saya nekad untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga penjara,” beritahunya yang tidak menyangka berpeluang melihat matahari, bulan dan bintang selepas lebih dua dekad terkurung di dalam penjara.
Anak kelima daripada enam beradik itu bagaikan melepaskan lara yang terbuku.
“Saya memegang kad Bintang Merah iaitu kategori individu yang akan digantung sampai mati. Bilik saya terasing dengan banduan-banduan yang lain dan dekat dengan bilik gantung.
“Saya takut menjalani hukuman digantung kerana ada pihak menceritakan keadaan bahawa selepas digantung ada yang leher hampir putus dan lidah terjelir sampai saya tak lalu makan dan minum.
“Pembebasan ini bagaikan mati hidup semula dan saya rasakan saya seperti bayi baru dilahirkan apabila melangkah keluar dari pintu penjara ini,” cerita Sapuan yang menerima kunjungan kakak kedua dan anak saudaranya yang sudah terpisah lama.
Keajaiban Allah
Sapuan dipenjarakan sejak tahun 1987 atas kesalahan mengedar 6.71 kilogram kanabis di sebuah surau di Jalan Parit Ismail, Benut, Pontian.
Dia yang mesra dengan panggilan Pak Wan di Penjara Kluang menghela nafasnya. Ujar lelaki yang sedang mencongak masa depannya berkata: “Hidup ini penuh keajaiban dan Allah itu Maha Besar.”
Sapuan percaya, apabila bahagia mula menyapa dirinya, dia mampu meneruskan kehidupan yang lebih sempurna. Buat sementara waktu, Sapuan menumpang kasih di rumah anak saudara dan cucu saudaranya. Berbekalkan kemahiran yang diperoleh daripada penjara, Sapuan bercadang untuk mengusahakan perusahaan perabot.
“Saya harap masyarakat memberi ruang kepada adik saya memulakan kehidupan baru,” kata kakak kedua Sapuan yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah, 60-an.
Selain Sapuan, Shamsudin@Botak seorang warga Singapura turut dibebaskan. Dia ialah banduan yang paling lama meringkuk dalam penjara iaitu selama 37 tahun.
Shamsudin dipenjarakan sejak umurnya 19 tahun. Dia pernah menghuni Penjara Ayer Molek, Johor Bahru, Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang dan Penjara Taiping. Kata Shamsudin dengan wajah penuh keinsafan, disebabkan terlalu lama dalam penjara sejak zaman remaja, sedikit pun tidak terlintas dalam fikiran bahawa dia akan dibebaskan.
Kisah hidup lelaki yang berkepala botak itu sangat panjang.
“Selepas berhenti sekolah, saya terlibat dengan kongsi gelap, apabila dipanggil untuk Perkhidmatan Negara Singapura, saya telah berhijrah ke Johor Bahru, Johor. Di situ saya berkenalan dengan rakan dan terlibat dengan jenayah senjata api.
MOHD. ALI


“Namun, saya berjaya meloloskan diri sebanyak dua kali sehinggalah saya menyamar diri sebagai nelayan dan akhirnya ditangkap polis ketika sedang minta makanan daripada penduduk kampung,” katanya yang menjadi buruan polis Johor dan Singapura sekitar tahun 1970-an.
Shamsudin dihukum penjara seumur hidup pada umur 22 tahun dengan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Johor kerana menembak dua anggota polis iaitu Abdul Ghani Abu Bakar dan Koperal Daiman Muhammad Shah.
Ketika ditemui, lelaki yang sudah kehilangan beberapa batang gigi, rabun tetapi masih mempunyai tubuh badan yang sihat sempat menitip warkah perjalanan hidupnya. Kisah kehidupannya dicatatkan di atas tiga helai kertas. Dia juga memegang sebuah buku yang penuh dengan catatan menggunakan pen dakwat biru.
Shamsudin yang fasih berbahasa Inggeris membenarkan penulis membacanya.
Antara yang dititipkannya dalam warkah tersebut ialah: “Semasa saya di Penjara Sungai Buloh, kenangan paling indah bagi diri saya ialah dapat memotong dan menjahit baju Melayu, kebaya dan blazer untuk kontingen Malaysia ke Sukan SEA Brunei, itulah pencapaian saya yang paling tinggi dalam bidang jahitan, walaupun saya bukan warganegara Malaysia tetapi saya mampu menyumbang kemahiran yang saya pelajari di penjara ini.”
Ke mana Shamsudin selepas ini? Dia merancang untuk membuka kedai jahit di negara kelahirannya.
Walaupun tiada siapa yang menyambut Shamsudin pada hari dia dibebaskan, lelaki ini memberitahu, ada ahli keluarganya yang datang melawat dan memberitahu perkembangan Singapura kepadanya.
Tidak seperti Sapuan dan Shamsudin, perasaan seorang lagi bekas banduan, Mohd. Ali Nordin, 63, bercampur-baur. Dia berasal dari Lombok, Indonesia.
“Perasaan saya gembira bercampur sedih. Saya mahu mencari semula dua anak saya yang saya tinggalkan ketika mereka masih di tadika dan darjah satu.
“Wajah anak-anak saya sentiasa di dalam fikiran selama 22 tahun saya di penjarakan. Kini mereka dah besar dan yang pasti mereka tidak mengenali saya tapi saya tetap mahu mencari mereka,” katanya yang kerap mengalirkan air mata pada hari pembebasannya.
Berpegang pada al-Quran
SAPUAN memeluk kakaknya sebaik dibebaskan dari Penjara Kluang baru-baru ini.

Lebih menyentuh perasaan, tiada siapapun yang tahu dia sudah dibebaskan kecuali pihak kedutaan. Dia juga tidak tahu mahu tinggal di mana.
Lelaki bertubuh kurus ini juga sudah tiada ikatan perkahwinan dengan isterinya. Mohd. Ali yang berhijrah ke Malaysia pada zaman muda menjadikan al-Quran sebagai panduan hidupnya sejak hidup di penjara.
“Jangan jadi seperti saya, kerana wang, saya terperangkap dan habiskan sisa usia saya di sini,” katanya yang dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat dengan enam sebatan atas kesalahan rompakan dan menunjukkan senjata api.
Dia didakwa di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Seperti Sapuan, Mohd. Ali juga mempunyai skil kemahiran membuat perabot.
“Saya sudah memohon untuk menjadi penduduk tetap dan insya-Allah mahu membuka perniagaan perabot,” katanya yang masih mencatur kehidupan baharu.
Mohd. Ali, Sapuan atau Shamsudin, mahu ucapkan selamat tinggal selama-lamanya kepada penjara. Ketiga-tiga lelaki yang pernah hidup bersulam dosa itu enggan mengenang peristiwa hitam yang terpahat dalam ingatan.
Satu harapan mereka, agar masyarakat menerima mereka seadanya. Seperti kata Mohd. Ali: “Syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada kami untuk melihat dunia semula dan dapat berpuasa serta menyambut Aidilfitri seperti orang lain.”

Tips Melawat Cameron Highlands: Kilang Teh Tertua di Stesen Mardi

Cameron Hihglands sememangnya mempunyai pelbagai sejarah awal yang bermula seawal 1885 dan mula aktif setelag 1900 an.

Malah keputusan Kerajaan Bristish untuk menjadikan puncak peranginan ini sebagai pusat kajian pertanian tanah tinggi atau Hill Station  membuka lembaran kepada pembangunan di sini.


Antaranya adalah Stesen MARDI yang seawalnya dikenali sebagai Federal Experemental Station yang dibuka seawal 1925. Klik di SINI untuk catatan stesen ini.

Melengkapi peranannya dalam pertanian pastinya adalah tanaman teh di tanah tinggi di mana seawal 1927, tanaman teh bermula selepas biji benih pokok teh dibawa dari India.

Pada tahun 1935, kilang teh yang pertama dan kini yang tertua di Malaysia telah dibina untuk tujuan pemprosesan daun teh dari ladang yang dihasilkan. Malah kilang teh ini juga turut menerima daun teh dari Bharat Plantation untuk diproses sebelum mereka mempunyai kilang tehnya sendiri pada awal 1960 an. Klik DI SINI untuk catatan mengenai Bharat Tea. 


Selepas itu kilang teh ini dikatakan mengalami beberapa perubahan seperti produktiviti yang mengecil kerana bekalan daun teh yang kurang sebelum ditutup.

Hanya sekitar dua tahun lepas satu usaha pemuliharaan kilang teh tertua ini dilakukan dengan kos sekitar RM 2 juta dibawah peruntukan Kementerian Perlancongan untuk menjadikannya sebagai satu sumber lokasi lawatan untuk mengetahui sejarah industri teh di Malaysia.

Kini Kilang Teh Stesen MARDI ini telah dibuka sebagai bahan pameran dengan keaslian peralatannya yang telah dibaikpulih. Cuma sekadar permerhatian saya, ianya tidak dibuka sepenuhnya untuk anda menerokai kawasan dalam kilang ini sebaliknya sekadar melihatnya dari luar dan cermin kaca peralatan dalaman.

Mungkin akan lebih menarik jika pihak yang berkaitan membuka kilang ini dengan laluan pelawat untuk merasai lebih dekat peralatan dalaman kilang ini dan mungkin terdapat pertunjukan video mengenai sejarahnya dan fungsinya.

Bersebelahannya adalah sedikit peninggalan kebun teh yang masih dikekalkan untuk dikunjungi. Berusia melebihi 85 tahun pokok teh ini dipangkas sepanjang masa untuk mengekalkan ketinggianya sekitar 70-80 cm dari tanah dan sesuai untuk operasi memetik pucuknya.


Anda boleh mendaki sedikit laluan bertangganya untuk ke pondok tinjau dibahagian atas kebun teh ini untuk melihat keseluruhan kawasan stesen ini disamping melalui rimbunan daun teh.

Dengan hanya tiket masuk RM 3 seorang, pastinya kunjungan anda  ke Stesen MARDI ini berbaloi kerana pakej lawatan pertanianya lengkap bagi koleksi tanah tinggi.

Tips Melawat Cameron Highlands: Pusat Jualan di Stesen Mardi

Jika anda datang ke Stesen MARDI pastinya anda akan teruja dengan ratusan jenis bunga-bungaan yang ditanam dan diipamerkan di setiap sudut. Begitu cantik, kemas dan menawan coraknya.

Ada yang gatal tangan pasti akan memetik bunga-bunga ini ibarat kumbang liar yang bebas berterbangan akhirnya meninggalkan noda pada tangkai dan pokoknya.

Jangan bimbang,Stesen MARDI juga menawarkan pokok hiasan berpasu untuk anda beli danbawa pulang.


Terdapat puluhan pilihan tanaman berpasu yang dijual kepada anda dengan harga yang amat berpatutan tetapi berharga TETAP.

Dibuka setiap hari operasi stesen ini kepada pengunjung, anda boleh memilih bunga berpasu samada kaktus, pokok berdaun, orkid dan juga media tanaman untuk dibeli. Cuma tiada pokok tanaman berbuah yang tidak dijual.

Malah jika kena pada waktunya, anda boleh membeli bunga-bungaan seperti ros dan chrisanthemun dengan memetiknya sendiri di plot tanaman mereka. Pasti seronok kerana anda boleh bebas memilih kuntuman bunga pilihan anda.


Bagaimana pula dengan sayur-sayuran? Anda juga berpeluang membelinya dengan mengunjungi pusat jualan produk pertanian yang terletak bersebelahan.

Bezanya bukan sekadar terdapat sayuran yang ditanam diplot ujikaji di sini tetapi juga pelbagai pilihan produk hiliran pertanian yang diusahakan oleh peserta atau usahawan dibawah naungan MARDI yang menggunakan teknologi MARDI dari seluruh negara.

Produk seperti jem buah-buahan, buahan kering, kerepek, sos dan pelbagai lagi menjadi pilihan anda dibawah satu bumbung.

Jika anda penat berjalan dan ingin pula berehat sebentar sambil makan tengahari ataupun pagi, terdapat sebuah kafeteria di Taman Ros yang boleh anda singgah dan ini boleh menjimatkan waktu anda.

Anda boleh memilih untuk bersarapan di sini sebaik sahaja keluar dari penginapan anda tanpa perlu ke kedai makan diluar sebelum ke sini. Begitu juga dengan makan tengahari  dimana anda tidak perlu bersesak-sesak di luar kerana menu yang disediakan juga boleh tahan dan sama harganya dengan kedai makan di luar. Lakukan 2 dalam 1 di sini untuk penjimatan waktu lawatan anda.