Thursday, May 31, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Jalan Shum Yip Leong - Race Horse Spelling Station

Jalan Shum Yip Leong sememangnya menyimpan antara kisah sejarah terawal Cameron Highlands suatu masa dahulu. Selain dari Golden Mountain Tea oleh Ladang Tea Shum Yip Leong, terdapat sebuah pusat rawatan bagi haiwan yakni Kuda yang terawal dibina.
Mungkin anda sedia maklum bahawa semasa awal penjajahan oleh Bristih, penjajah dan peladang Bristih bukan sekadar datang ke sini untuk mentadbir dan menguruskan perniagaan seperti bijih timah, getah, kelapa sawit dan rempah tetapi juga membawa budaya dan cara hidup mereka supaya terasa dekat dengan tanah tumpah kelahiran mereka.

Maka tidak hairanlah jika kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Frasser Hill ataupun Maxwell Hill ( Bukit Larut) menjadi tumpuan mereka untuk beristirehat dan menikmati cuaca musim sejuk seperti di negara mereka. Manakala di bandar-bandar pula mereka memperkenalkan cara hidup rekreasi serta sukan mereka seperti kriket, hoki, badminton dan lumba kuda.
Bercakap mengenai lumba kuda, terdapat tiga Lapangan Lumba Kuda di Malaysia iaitu Penang Race, Ipoh Race dan Selangor Race selain Singapore Race yang anda kalau perhatikan kalendar tahunan yang biasanya diberikan oleh perniaga Cina akan mengandungi minggu pusingan lumba kuda tersebut.

Namun bukannya lumba kuda yang saya nak kongsikan di sini tetapi jika berbalik kepada Jalan Shum Yip Leong ini telah terdapat sebuah Race Horse Spelling Station yang dibina seawal tahun 1930 bagi merawat kuda-kuda lumba yang kepenatan dan tercedera.

Perkembangan stesen rawatan ini berterusan sehingga kini yang menjangkau 80 tahun lamanya biarpun silih berganti pemiliknya sekitar 1970 dan 1995.

Kuda-kuda ini dibawa ke sini untuk diberi rawatan, direhatkan dan diberi latihan asas bagi memulihkan tenaganya. Dikatakan lebih 50% kuda-kuda yang pernah di rawat di sini telah memenangi perlumbaan sebaik sahaja kembali ke lapangan lumba.

Namun stesen ini amat ketat kawalannya dari segi keselamatan dan juga kesihatan demi memastikan kuda-kuda di sini mendapat rawatan yang terbaik dan bebas dari potensi serangan penyakit.

Tidak dibuka kepada umum dan pemerhatian saya mendapati kenderaan pekerja mereka sendiripun diletakkan dibahagian luar dan hadapan pintu masuk sahaja.

Namun saya memetik beberapa gambar dari laman web mereka di SINI  untuk gambar-gambar di dalamnya.
 





Empat gambar diatas adalah dipetik dari laman web mereka manakala selebihnya sempat saya ambik dari jauh.

Wednesday, May 30, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands; Jalan Tapah - Ringlet- Lata Iskandar


Catatan kedua mengenai Jalan Tapah ke Cameron Highlands ini adalah mengenai satu lagi tempat yang menarik untuk disinggahi oleh pengunjung iaitu Lata Iskandar.

Terletak lebih kurang 24 km dari Tapah atau 35 minit pemanduan, lokasi air terjun ini mudah dikunjungi kerana terletak bersebelahan jalan.
Namun antara yang menyulitkan adalah ruang letak kenderaan yang amat terhad serta berada di sebelah laluan yang sibuk dan selekoh merbahaya.

Berdasarkan permerhatian saya ini bukanlah halangan kepada pengunjung untuk singgah dan berehat seketika selepas mengharungi laluan berselekoh samada mahu naik ataupun turun dari Cameron Highlands.
Selain itu terdapat juga gerai jualan seperti makanan, buah-buahan dan peralatan hasil kraftangan seperti ukiran, tongkat, tudung salji, sumpit serta pelbagai lagi. 

Malah jika kena pada musimnya terdapat juga jualan hasil hutan oleh penduduk Orang Asli seperti petai, rebung mentah, akar kayu serta pelbagai lagi khazanah hutan.

Bercerita mengenai Lata Iskandar ini, terdapat sebuah lata atau air terjun sekitar 20 meter hingga 40 meter yang menuruni permukaan batu dan terdapat sebuah kolam yang tidak begitu dalam dibawahnya untuk bermandi manda.

Alurnya bawahnya pula amat cetek dan jernih serta amat bersesuaian untuk kanak-kanak mandi manda.

Kemudahan laluan mendaki untuk ke puncaknya juga tersedia dengan terbinanya tangga berpagar untuk ke bahagian atas.

Namun utamakan keselamatan anda jika berada di bahagian alur atas ini kerana permukaan batunya mungkin licin dan jika tergelincior kebawah pasti bukanya satu pengalaman yang anda inginkan jika berada di sini.

Manakala terdapat beberapa pondok rehat dengan pemandangan yang cantik dan terus ke air terjunnya.

Kawasan Lata Iskandar ini berhampiran dengan penempatan Orang Asli dan tidak hairanlah jika anda dapat melihat kelibat Orang Asli mundur mandir di kawasan sekitarnya.  
 

Berhati-hati meniti batu batu di sini...

Tips Melawat Cameron Highlands: Jalan Tapah - Ringlet .. Hutan Lipur Kuala Woh

Kali ini catatan mengenai Tips Melawat Cameron Highlands menjangkau ke luar sempadan sedikit namun masih lagi ada kena mengena dengan Cameron Highlands. Bagi mereka yang biasa ke sini  dalam catatan terdahulu saya ada menceritakan bagaimana dan apakah pilihan laluan untuk sampai ke sini.

Kali ini, saya ingin berkongsikan beberapa catatan mengenai Jalan Tapah ke Ringlet iaitu sejauh 64 km dengan 270 liku selekoh antaranya yang terfikir untuk saya coretkan nanti adalah catatan mengenai Lata Iskandar, Kisah Si Penjual Petai, Kampung-kampung Orang Asli dan buat permulaan adalah Catatan Mengenai Hutan Lipur Kuala Woh.

Tetapi sebelum itu, tahukah anda, laluan menuju ke sini sebenarnya hampir 98% adalah di Daerah Batang Padang, Perak dan hanya di kilometer terakhirnya anda akan sampai ke Daerah Cameron Highlands.
Laluan ini adalah laluan asal ke Cameron Highlands sedari 1920 an di mana selepas penemuan dataran tanah tinggi ini oleh William Cameron, jurukur kerajaan British 1885, tetapi hanya mula diterokai setelah Sir Maxwell mengambil inisiatif untuk membuka laluan ini secara rasmi sebagai pusat penyelidikan pertanian khasnya teh di Tanah Tinggi. 
Jika William Cameron dalam proses pemetaan sempadan Negeri Pahang dan Perak memilih ekspidsinya melalui alur hulu Sungai Kinta untuk menjejaki dan merekodkan yakni dipercayai melalui laluan perghunungan bermula dari Simpang Pulai, Sir Maxwell pula memilih laluan alur sungai di Tapah untuk ke tanah tinggi ini yang dirasakan lebih mudah, dekat dan sesuai untuk pembinaan jalan raya.
Hasilnya, laluan Tapah ke Cameron Highlands yang asalnya diusahakan oleh 100% tanaga buruh secara manual berjaya di bina sehinggalah masih digunakan kini.
Berbalik kepada laluan Tapah ini terdapat banyak keistimewaan yang kisahnya yang boleh diterokai dan menarik untuk dikongsi.

Antaranya penempatan Orang Asli, Hutan Simpannanya, Stesen Janakuasa Elektrik TNB yang terawal dibina dan keindahan alam semulajadinya seperti air panas, air terjun, alur sungai dan pelbagai flora dan fauna.
Untuk yang pertama, aku ingin berkongsikan mengenai Hutan Lipur Kuala Woh yang terdapat di kaki bukit Jalan Tapah ini.

Secara jujur saya ingin menyatakan sepanjang lebih 5 tahun berulang alik ke Cameron Highlands melalui laluan ini, baharu hari Isnin yang lalu sempat singgah menjengok apakah yang terdapat di sini dan amat berguna untuk saya kongsikan bersama anda.

Hutan Lipur Kuala Woh ini juga dikenali dengan nama kawasan perkelahan Batu Tujuh dan terletak kira-kira 13 km dari Pekan Tapah

Dibuka dan dirasmikan pada 27 September 1983 oleh DYMM Almarhum Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ketika itu.

Berada bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Daerah Tapah, Hutan Lipur Kuala Woh ini menjanjikan satulagi pilihan rekreasi yang amat sesuai untuk keluarga dan juga organisasi yang ingin melakukan kursus motivasi.

Kemudahan meletak keretanya amat luas dan sungguh redup malah selalu menjadi pilihan bagi mereka yang berkelana dengan karavan kerana kemudahan asas yang lengkap di sediakan.

Bagi kunjungan harian pastinya pilihan untuk berkelah dan santai akan menjadi keutamaan manakala bagi mereka yang ingin lari dari kesesakan dan juga kepenatan, kemudahan penginapan seperti Chalet dan Rumah berkembar juga disediakan.

Tarikan utamanya adalah alur sungai yang cetek, tebing yang landai dan airnya jernih sepanjang tahun menjadikannya amat sesuai untuk aktiviti perkelahan.

Sepanjang alur sungainya terdapat beberapa lokasi mandi dengan jeram air yang tidak terlalu ganas dan dalam.

Namun bagi kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun masih perlukan iringan keluarga yang dewasa untuk keselamatan yang perlu ditanggung sendiri.
 
Terdapat juga sumber air panas dibeberapa bahagian tebing sungai malah terdapat satu kolam air panas asli yang dinaiktaraf pembinaan strukturnya di sini namun ketika kunjungan saya nampaknya tidak berfungsi biarpun airnya masih terasa panas.

Saya percaya Jabatan Perhutanan mempunyai perancangan untuk membaik pulih kawasan ini.
 
Antara kemudahan asas yang lain tersedia di sini adalah seperti dewan terbuka dengan kadar sewaan RM 30, Chalet dengan pilihan variasi  seperti 1 unit Chalet VIP pada kadar RM 40 semalam, 2 buah unit Chalet Berkembar RM 40 semalam/seunit,  7 unit Chalet Jenis A pada kadar  RM 15 semalam, surau, kemudahan sewaan padang seluas 3600 kaki persegi pada kadar RM200 sehari.

Bagi mereka yang ingin berkhemah, terdapat kemudahan tapak khemah untuk disewa pada kadar RM 5 bagi orang awam dan RM 2 bagi pelajar.

Pemerhatian saya terdapat 3 tapak perkhemahan yang berasingan disediakan disini dan tidaklah begitu hampir dengan gigi air bagi menjamin keselamatan terutamanya jika berlaku 'kepala air'.

Kepala air bermaksud air deras yang mungkin membawa sisa hutan dan boleh berlaku secara tiba-tiba jika terdapat perubahan cuaca terutamanya hujan lebat di bahagian hulu sungai ini.

Namun saya mendapati terdapat papan tanda amaran dan panduan untuk menghadapi 'kepala air' ini termasuk sistem amaran yang dipasang.

Manakala terdapat sebatang jambatan gantung yang membolehkan anda ke seberang sungai dimana terletaknya Pusat Sumber Jabatan Perhutanan namun ketika kunjungan saya ini pusat ini tidak dibuka dan agaknya terabai dari segi pengurusan dan pemerhatian saya terdapat kerja-kerja yang berkaitan untuk membangunkan kawasan seberang sungai ini untuk lebih menarik perhatian pengunjung di masa hadapan.

Selain itu terdapat kemudahan kembara alam yang disediakan dimana terdapat hampir lebih 20 checkpoint penerangan bagi setiap sudut hutan lipur ini untuk kita terokai dan saksikan sendiri.

Penerangannya kembara alam ini meliputi maklumat dari penemuan saintifik dan mitos dari penduduk setempat khasnya Orang Asli.
 
Bagi mereka yang sangat sukakan cabaran pendakian atau menerokai alam, terdapat panduan bagi membolehkan anda melakukan aksi dan cabaran lasak ini.
 
Antaranya pendakian ke Puncak Gunung Batu Putih yang merupakan gunung ke 8 tertinggi di Malaysia dan ketiga di Negeri Perak ini yakni setinggi 2145 m atau 7037 dari paras laut.
 
Terletak di kompartmenn 70 Hutan Simpan Bukit Tapah, hutan ini meliputi hutan jenis Dipterkarp Bukit, Hutan Dipterokarp Atas, Hutan MONTANE oAK dan Hutan Ericaceous.
 
Antara yang menarik dalam cabaran mendaki gunung ini adalah jarak pendakian sekitar 3-5 jam yang akan melalui Empangan Dalam di Kuala Woh selepas melalui beberapa perkampungan Orang Asli, merentasi jeram berarus dan dalam serta menyeberangi beberapa anak sungai dan akan menemui Sebuah Gua yang digelar Gua Azan sebelum perlu mendaki puncak curam sekitar 70-80 darjah sebelum ke puncaknya.
 
Puncak Gunung  ini boleh menempatkan sekitar 20-30 pendaki untuk berkhemah dan menikmati pemandangan indah gunung ganang yang berbalam-balam sambil dilitupi angin dingin di puncaknya.
 
Namun untuk membolehkan anda memasuki kawasan pendakian dan hutan simpan ini, anda perlu mendapatkan permit memasuki kawasan hutan simpan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak Cawangan Tapah sebanyak RM 10 seorang selaras dengan Akta Perhutanan Negara 1984.
 
Selain itu terdapat beberapa jenis serangga dan rama-rama yang mudah di lihat dan boleh didekati seperti pepatung yang bermain permukaan air, rama-rama seperti Rajah Brooke yang merupakan Raja Rama-rama dan pelbagai lagi.
 
Daerah Batang Padang ini dan alur sungainya amat terkenal dengan pelbagai jenis rama-rama dan jika anda bertanyakan kepada penduduk setempat khasnya Orang Asli, rama-rama mudah ditemui di alur sungai yang berbatu-batu.
 
Malah ada diantara mereka yang menjadikan aktiviti menangkap rama-rama sebagai sumber pendapatan di mana dibekalkan kepada taman rama-rama ataupun zoo di Malaysia. Kisahnya pernah disiarkan oleh Majalah 3 oleh Abdullah Sidek Majin sekitar 2 tahun yang lalu.
 
Jika anda ingin singgah di sini dan mungkin ada yang melakukan aktiviti riadah yang lebih lama seperti menginap, berkhemah dan melalukan pendakian anda boleh mendapatkan maklumat lanjut dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak Cawangan Tapah di talian 054011216.
 
Maklumat di atas saya perolehi dari Pejabat Informasi Hutan Lipur Kuala Woh. 

Thursday, May 24, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Jalan Shum Yip Leong...

Kisah kali ini menyelit beberapa lokasi di sepanjang laluan Jalan Shum Yip Leong yang terletak di batu 33 di antara Jalan Ringlet ke Tanah Rata. 

Jika Jalan Boh menyimpan pelbagai lokasi menarik untuk dikunjungi, Jalan Shum Yip Leong ini pula membawa kisah yang sama yakni ladang teh yang terawal di Cameron iaitu Golden Moutain Tea tetapi malangnya telah tidak beroperasi.


Nampak seperti kelazimanan di sepanjang laluan di Cameron Highlands tetapi sangat menarik bagi anda jika ingin menyelusuri kawasan sedikit pendalaman tetapi amat lama dan menyimpan kisah sejarah bagi Cameron Highlands.

Antaranya adalah laluan ini adalah laluan utama untuk ke Ladang Teh Shum Yip Leong yang suatu ketika dahulu amat popular selepas BOH dan Bharat serta ladang teh ini melengkapi sejarah yang telah terpadam iaitu Blue Valley Tea.

Keduanya terdapat sebuah 'Spelling Station' iaitu sebuah ladang kuda yang masih kekal sehingga kini yang bertujuan untuk merawat dan membiakkan kuda. Kisahnya akan saya buat di catatan yang lain. Klik SINI

   

Di laluan ini anda akan menemui Kebun atau Ladang Bunga Kekwa yang mungkin sekadar bunga hiasan bagi sebahagian dari kita dan biasanya di tanam di hadapan rumah dan pembahagi jalan.

Namun tahukah anda di Cameron Highlands, bungka kekwa atau lebih terkenal dengan nama Chrysanthemum merupakan satu industri dan bahan komoditi yang amat bernilai selain bunga ros.


Jika anda melalui jalan ini anda akan temui deretan rumah plastik yang berada di sepanjang jalan yang sempit ini dengan tanaman chrisantemum. 

Sungguh menarik untuk dikunjungi terutama ketika di penghujung musim iaitu bunga sudah sedia untuk di tuai. 

Hamparan bunga chrisanthemum yang pelbagai warna cukup cantik dan pasti mengoda anda untuk berhenti.

Tetapi saya mencadangkan anda berhenti di kawasan kebun yang mempunyai pekerja dan minta kebenaran pekerja terlebih dahulu sebelum untuk mengambil gambar secara dekat. 

Koleksi gambar di catatan khas mengenai bunga ini diambil hanya setelah mendapat kebenaran pekerja dan ketika saya asyik mengambil gambar, pemiliknya turut datang dan sempat berbual-bual mengenai tanaman ini.  Klik SINI.

Cantikkan ?... kalau melihatnya sendiri lebih bermakna... tetapi sebelum itu, jika anda tiba waktu pagi, nikmati sarapan di Gerai Sinar Pagi yang amat popular di jalan masuknya kepada masyarakat setempat dan aneka pilihan kuih muih yang banyak untuk dipilih.

Wednesday, May 23, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Jalan Habu... Bee Farm

Antara tarikan di Jalan BOH, Habu adalah Bee Farm yang terletak tidak jauh ke dalam jalan ini. Dibina dengan serba ringkas bertujuan untuk menternak lebah bagi tujuan madu lebah secara kormesial.

Di sini sarang atau kotak lebah diletakkan di lereng bukit dan lebahnya bebas menghirup madu bunga-bunga sekitarnya yang sememangnya ditanam.

Seawal kunjungan saya 4 tahun lepas, ladang lebah ini telah dibuka kepada kunjungan pengunjung dan kini dipelbagaikan dengan tanaman strawberry dan bunga-bungaan yang boleh anda beli.

Juga kalau dahulu hanya terdapat lebah dari Itali yang diternak kini mereka menambah pula dengan lebah jenis trigano yang dikatakan lebih berkhasiat dan mendapat sambutan bagi orang kampung.

Antara produk jualan pastinya madu lebah tetapi terdapat pelbagai perisa tambahan seperti cuka, herba, madu tua, propolis dan sarang lebah. Jika anda tidak berkesempatan ke Bee Farm ini, anda boleh membeli jualan madunya di pasar malam Brinchang tetapi suasananya pasti tidak sama dengan melihat sendiri lebah-lebah berterbangan.

Anda boleh memasuki ladang lebah ini dan melihat sendiri lebah yang sedang bebas berterbangan tetapi awas, risikonya adalah tanggungjawab sendiri.

Masuk adalah percuma dan rasanya dibuka setiap hari.  











Selamat mencuba tetapi berhati hati.

Monday, May 21, 2012

Tips Melawat Cameron Highalands: Jalan Habu .. Boh Tea Plantation

Menyelusuri Jalan Boh ini pastinya tidak akan lengkap tanpa menghabiskan perjalanan anda sejauh 6 km dengan memasuki dan mengunjungi Ladang Teh Boh Habu yang mula-mula sekali dibuka seawal 1929 oleh J.A Russel.


Ladang teh ini merupakan ladang teh yang pertama milik Boh sebelum Farlie Estate dan juga Sungei Palas Estate yang pernah saya kongsikan sebelum ini melalui catatan ini. Klik disini.

Cuma untuk catatan ini saya dahulukan dengan beberapa keping gambar di sekitar Tea Centre mereka yang pertama. Ini merupakan tea centre terawal dibina bagi syarikat ini untuk kunjungan pelancong malah saya masih ingat lagi pernah ke sini pada tahun 2000.

Namun setelah laluan baru Simpang Pulai dibuka, pusat teh ini mula kurang dikunjungi dan pihak Boh Estate membina pula Pusat Tea di Sungei Palas Estate mereka sebagai tarikan baru. Saya ada mendengar sesuatu sedang diusahakan oleh pihak mereka untuk mempopularkan semula bahagian ladang teh ini dengan projek yang lebih menarik.

Terdapat sebuah kilang teh yang masih kekal dengan keaslian peralatan dan kaedah pemprosesan disamping terdapat dua buah bangunan berbentuk 'niseen hut' yang berbentuk separa 'iglu' yang memaparkan sejarah lama dan produk jualan teh milik Boh ini.

Apabila anda singgah di sini anda akan berpeluang melawat keseluruhan bahagian bangunan kilang ini dengan diiringi jurucakap mereka yang berkongsikan mengenai bagaimana teh diproses secara percuma. Keramahan jurucakap mereka ini dalam beberapa bahasa seperti Melayu, Inggeris dan India memudahkan anda memahami cara teh dihasilkan.

Bercerita mengenai bentuk bangunan ini pula, jika anda memiliki buku mengenai Sejarah Cameron Highlands, anda akan dikongsikan bagaimana bentuk bangunan ini menjadi popular ketika zaman pendudukan British samada sebagai kem askar, sekolah, bilik rehat dan juga asrama.

Kini hanya terdapat dua lokasi yang boleh anda kunjungi untuk melihat bangunan ini iaitu di Ladang Teh Boh Habu dan juga Father Guest House.

Untuk siri seterusnya, saya akan berkongsikan pula bagaimana keadaan sepenuhnya Ladang Teh Habu dan Farlie ini dengan menjengah ke bahagian dalam dan kalaulah diberi kesempatan dan peluang untuk ke Chalet MNS dan juga lapangan terbang Boh. 


Cuma masanya bila dapat saya kongsikan masih belum dipastikan kerana saya pun masih merancang untuk menyelitkan dalam di antara jadual harian saya.