Wednesday, May 30, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Jalan Tapah - Ringlet .. Hutan Lipur Kuala Woh

Kali ini catatan mengenai Tips Melawat Cameron Highlands menjangkau ke luar sempadan sedikit namun masih lagi ada kena mengena dengan Cameron Highlands. Bagi mereka yang biasa ke sini  dalam catatan terdahulu saya ada menceritakan bagaimana dan apakah pilihan laluan untuk sampai ke sini.

Kali ini, saya ingin berkongsikan beberapa catatan mengenai Jalan Tapah ke Ringlet iaitu sejauh 64 km dengan 270 liku selekoh antaranya yang terfikir untuk saya coretkan nanti adalah catatan mengenai Lata Iskandar, Kisah Si Penjual Petai, Kampung-kampung Orang Asli dan buat permulaan adalah Catatan Mengenai Hutan Lipur Kuala Woh.

Tetapi sebelum itu, tahukah anda, laluan menuju ke sini sebenarnya hampir 98% adalah di Daerah Batang Padang, Perak dan hanya di kilometer terakhirnya anda akan sampai ke Daerah Cameron Highlands.
Laluan ini adalah laluan asal ke Cameron Highlands sedari 1920 an di mana selepas penemuan dataran tanah tinggi ini oleh William Cameron, jurukur kerajaan British 1885, tetapi hanya mula diterokai setelah Sir Maxwell mengambil inisiatif untuk membuka laluan ini secara rasmi sebagai pusat penyelidikan pertanian khasnya teh di Tanah Tinggi. 
Jika William Cameron dalam proses pemetaan sempadan Negeri Pahang dan Perak memilih ekspidsinya melalui alur hulu Sungai Kinta untuk menjejaki dan merekodkan yakni dipercayai melalui laluan perghunungan bermula dari Simpang Pulai, Sir Maxwell pula memilih laluan alur sungai di Tapah untuk ke tanah tinggi ini yang dirasakan lebih mudah, dekat dan sesuai untuk pembinaan jalan raya.
Hasilnya, laluan Tapah ke Cameron Highlands yang asalnya diusahakan oleh 100% tanaga buruh secara manual berjaya di bina sehinggalah masih digunakan kini.
Berbalik kepada laluan Tapah ini terdapat banyak keistimewaan yang kisahnya yang boleh diterokai dan menarik untuk dikongsi.

Antaranya penempatan Orang Asli, Hutan Simpannanya, Stesen Janakuasa Elektrik TNB yang terawal dibina dan keindahan alam semulajadinya seperti air panas, air terjun, alur sungai dan pelbagai flora dan fauna.
Untuk yang pertama, aku ingin berkongsikan mengenai Hutan Lipur Kuala Woh yang terdapat di kaki bukit Jalan Tapah ini.

Secara jujur saya ingin menyatakan sepanjang lebih 5 tahun berulang alik ke Cameron Highlands melalui laluan ini, baharu hari Isnin yang lalu sempat singgah menjengok apakah yang terdapat di sini dan amat berguna untuk saya kongsikan bersama anda.

Hutan Lipur Kuala Woh ini juga dikenali dengan nama kawasan perkelahan Batu Tujuh dan terletak kira-kira 13 km dari Pekan Tapah

Dibuka dan dirasmikan pada 27 September 1983 oleh DYMM Almarhum Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ketika itu.

Berada bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Daerah Tapah, Hutan Lipur Kuala Woh ini menjanjikan satulagi pilihan rekreasi yang amat sesuai untuk keluarga dan juga organisasi yang ingin melakukan kursus motivasi.

Kemudahan meletak keretanya amat luas dan sungguh redup malah selalu menjadi pilihan bagi mereka yang berkelana dengan karavan kerana kemudahan asas yang lengkap di sediakan.

Bagi kunjungan harian pastinya pilihan untuk berkelah dan santai akan menjadi keutamaan manakala bagi mereka yang ingin lari dari kesesakan dan juga kepenatan, kemudahan penginapan seperti Chalet dan Rumah berkembar juga disediakan.

Tarikan utamanya adalah alur sungai yang cetek, tebing yang landai dan airnya jernih sepanjang tahun menjadikannya amat sesuai untuk aktiviti perkelahan.

Sepanjang alur sungainya terdapat beberapa lokasi mandi dengan jeram air yang tidak terlalu ganas dan dalam.

Namun bagi kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun masih perlukan iringan keluarga yang dewasa untuk keselamatan yang perlu ditanggung sendiri.
 
Terdapat juga sumber air panas dibeberapa bahagian tebing sungai malah terdapat satu kolam air panas asli yang dinaiktaraf pembinaan strukturnya di sini namun ketika kunjungan saya nampaknya tidak berfungsi biarpun airnya masih terasa panas.

Saya percaya Jabatan Perhutanan mempunyai perancangan untuk membaik pulih kawasan ini.
 
Antara kemudahan asas yang lain tersedia di sini adalah seperti dewan terbuka dengan kadar sewaan RM 30, Chalet dengan pilihan variasi  seperti 1 unit Chalet VIP pada kadar RM 40 semalam, 2 buah unit Chalet Berkembar RM 40 semalam/seunit,  7 unit Chalet Jenis A pada kadar  RM 15 semalam, surau, kemudahan sewaan padang seluas 3600 kaki persegi pada kadar RM200 sehari.

Bagi mereka yang ingin berkhemah, terdapat kemudahan tapak khemah untuk disewa pada kadar RM 5 bagi orang awam dan RM 2 bagi pelajar.

Pemerhatian saya terdapat 3 tapak perkhemahan yang berasingan disediakan disini dan tidaklah begitu hampir dengan gigi air bagi menjamin keselamatan terutamanya jika berlaku 'kepala air'.

Kepala air bermaksud air deras yang mungkin membawa sisa hutan dan boleh berlaku secara tiba-tiba jika terdapat perubahan cuaca terutamanya hujan lebat di bahagian hulu sungai ini.

Namun saya mendapati terdapat papan tanda amaran dan panduan untuk menghadapi 'kepala air' ini termasuk sistem amaran yang dipasang.

Manakala terdapat sebatang jambatan gantung yang membolehkan anda ke seberang sungai dimana terletaknya Pusat Sumber Jabatan Perhutanan namun ketika kunjungan saya ini pusat ini tidak dibuka dan agaknya terabai dari segi pengurusan dan pemerhatian saya terdapat kerja-kerja yang berkaitan untuk membangunkan kawasan seberang sungai ini untuk lebih menarik perhatian pengunjung di masa hadapan.

Selain itu terdapat kemudahan kembara alam yang disediakan dimana terdapat hampir lebih 20 checkpoint penerangan bagi setiap sudut hutan lipur ini untuk kita terokai dan saksikan sendiri.

Penerangannya kembara alam ini meliputi maklumat dari penemuan saintifik dan mitos dari penduduk setempat khasnya Orang Asli.
 
Bagi mereka yang sangat sukakan cabaran pendakian atau menerokai alam, terdapat panduan bagi membolehkan anda melakukan aksi dan cabaran lasak ini.
 
Antaranya pendakian ke Puncak Gunung Batu Putih yang merupakan gunung ke 8 tertinggi di Malaysia dan ketiga di Negeri Perak ini yakni setinggi 2145 m atau 7037 dari paras laut.
 
Terletak di kompartmenn 70 Hutan Simpan Bukit Tapah, hutan ini meliputi hutan jenis Dipterkarp Bukit, Hutan Dipterokarp Atas, Hutan MONTANE oAK dan Hutan Ericaceous.
 
Antara yang menarik dalam cabaran mendaki gunung ini adalah jarak pendakian sekitar 3-5 jam yang akan melalui Empangan Dalam di Kuala Woh selepas melalui beberapa perkampungan Orang Asli, merentasi jeram berarus dan dalam serta menyeberangi beberapa anak sungai dan akan menemui Sebuah Gua yang digelar Gua Azan sebelum perlu mendaki puncak curam sekitar 70-80 darjah sebelum ke puncaknya.
 
Puncak Gunung  ini boleh menempatkan sekitar 20-30 pendaki untuk berkhemah dan menikmati pemandangan indah gunung ganang yang berbalam-balam sambil dilitupi angin dingin di puncaknya.
 
Namun untuk membolehkan anda memasuki kawasan pendakian dan hutan simpan ini, anda perlu mendapatkan permit memasuki kawasan hutan simpan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak Cawangan Tapah sebanyak RM 10 seorang selaras dengan Akta Perhutanan Negara 1984.
 
Selain itu terdapat beberapa jenis serangga dan rama-rama yang mudah di lihat dan boleh didekati seperti pepatung yang bermain permukaan air, rama-rama seperti Rajah Brooke yang merupakan Raja Rama-rama dan pelbagai lagi.
 
Daerah Batang Padang ini dan alur sungainya amat terkenal dengan pelbagai jenis rama-rama dan jika anda bertanyakan kepada penduduk setempat khasnya Orang Asli, rama-rama mudah ditemui di alur sungai yang berbatu-batu.
 
Malah ada diantara mereka yang menjadikan aktiviti menangkap rama-rama sebagai sumber pendapatan di mana dibekalkan kepada taman rama-rama ataupun zoo di Malaysia. Kisahnya pernah disiarkan oleh Majalah 3 oleh Abdullah Sidek Majin sekitar 2 tahun yang lalu.
 
Jika anda ingin singgah di sini dan mungkin ada yang melakukan aktiviti riadah yang lebih lama seperti menginap, berkhemah dan melalukan pendakian anda boleh mendapatkan maklumat lanjut dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak Cawangan Tapah di talian 054011216.
 
Maklumat di atas saya perolehi dari Pejabat Informasi Hutan Lipur Kuala Woh. 

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.