Tuesday, July 12, 2011

Harga revolusi di Mesir

Mesir antara negara yang terlibat dengan kebangkitan rakyatnya. Mereka menuntut perubahan regim pemerintahan yang dilihat tidak menyebelahi mereka atau menguntungkan mereka setelah puluhan tahun Presiden Hosni Mubarak memerintah. Ini bukan negara yang pertama dan pastinya bukan yang  terakhir yang menyaksikan kebangkitan rakyatnya atas dasar ingin perubahan. 

Magribi, Syiria dan terlebih dahulu di Iraq oleh penjajahan Tentera Marin USA yang mendapat sokongan rakyat dan Libya yang juga berantakan di atas alasan yang sama. 

Minggu lepas kita menyaksikan seolah-olah senario ini cuba direplikakan di negara kita melalui perhimpunan sebahagian rakyat yang kononnya menuntut keadilan dalam pilihanraya. Anehnya dengan sistem yang sama mereka melangkaui sejarah terdahulu dalam kemenangan di 5 buah negeri. Dengan sistem pilihanraya yang sama juga meyaksikan sebuah negeri ditadbir melebihi 20 tahun melalui 4 pusingan piliharaya. Dan kini mereka menyatakan ianya tidak adil , perlu dibersihkan dan dalam kata lain , jatuhkan kerajaan melalui jalan ketiga. Jalan kedua telah menemui kegagalan melalui perancangan lompat parti dikalangan Ahli Parlimen yang akhirnya menikam diri mereka. 

Mujurnya, tidak semua senada dan sekeinginan dengan niat dan impian mereka. Mujurnya juga, terdapat rasional pemikiran yang masih utuh dikalangan lebihan majariti rakyat negara ini yang tidak menyokongi idea pintu ketiga ini. 

Berkongsi semula kepada cara yang dihalalkan oleh impian mencapai matlamat, BERNAMA hari ini merungkai nasib negara Mesir yang menyaksikan hampir lebih 12, 000 pelajar Malaysia terpaksa dimisikan  bawa pulang ketika berlakunya kebangkitan rakyat.  

NAMPAKNYA Mesir terpaksa membayar harga yang amat tinggi selepas sekumpulan besar rakyatnya melancarkan revolusi untuk menggulingkan rejim Hosni Mubarak.

Revolusi rakyat yang mengguling Presiden Hosni Mubarak
 menyebabkan Mesir kini berhadapan dengan krisis ekonomi.
Memang benar mereka mencapai matlamat menyingkirkan Mubarak tetapi tuntutan atas nama demokrasi itu nyata tidak membawa perubahan ketara terhadap rakyat dan negara yang kaya dengan ketamadunan ini.

Rakyatnya dilihat berdepan dengan kepayahan yang lebih hebat berbanding sebelum revolusi itu dan Mesir pula dihimpit dengan kesukaran untuk memulihkan ekonominya berikutan ketidakyakinan pelabur asing.

Laporan agensi asing menyatakan revolusi 18 hari itu, bermula pada 28 Januari lalu menyebabkan pertumbuhan tahunan Mesir menyusut kepada kurang daripada dua peratus berbanding unjuran lima peratus sebelum ini selain nilai mata wangnya mengecil sebanyak 25 peratus.

Mesir, yang menjadikan pelancongan sebagai antara penjana pendapatannya, juga terpaksa akur dengan kemerosotan industri itu sehingga 40 peratus akibat revolusi itu.Ketika berkunjung ke Mesir bersama-sama Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta ) baru-baru ini, didapati negara yang terkenal dengan Piramid dan Sphinx itu mungkin memerlukan masa yang amat panjang untuk memulihkan ekonominya selain kembali memperkasa sektor pendidikan, perumahan dan kesihatan untuk rakyatnya.

Melihat kepada keadaan di ibu negaranya, yang padat dengan 22 juta penduduk, sudah cukup menggambarkan keadaan di Mesir boleh diumpama marahkan nyamuk, kelambu dibakar.Kerana individu bernama Hosni Mubarak, banyak sekali vandalisme dilakukan rakyatnya ketika revolusi itu. Bangunan-bangunan yang sepatutnya menjadi penunjuk pembangunan negara ini dibakar dan dirosakkan kerana amarah terhadap Mubarak.Ini termasuk bangunan ibu pejabat National Democratic Party (NDP) pimpinan Mubarak di Dataran Tahrir yang musnah dibakar dalam revolusi itu.

Mujur, Muzium Mesir yang terletak bersebelahan bangunan NDP tidak dibakar walaupun mengalami kerosakan akibat beberapa cubaan mencuri artifak. Selain itu, banyak projek perumahan yang terbengkalai akibat revolusi yang memaksa pembelinya memasuki rumah yang belum siap itu ekoran sudah mengambil pinjaman bank.

Menurut pemandu pelancong, harga seunit pangsapuri dua bilik di pinggir Kaherah ialah kira-kira 95,000 pound Mesir manakala tiga bilik berharga 150,000 pound dengan kadar faedah tinggi dan tempoh bayaran balik yang singkat.

Seorang penuntut dari Singapura yang hanya dikenali sebagai Zakiah berkata beliau terpaksa membayar sewa tinggi untuk seunit pangsapuri dua bilik di pinggir Kaherah.

"Sebagai langkah berjimat-cermat, saya memasak di rumah, ada kalanya saya melakukan kerja sampingan," kata pelajar jurusan pelancongan ini.

Lebih mengejutkan ramai penduduk Kaheran kini menjadikan kawasan perkuburan sebagai tempat tinggal akibat kemiskinan.Beberapa rakyat Mesir yang ditemui mengakui kesukaran yang dihadapi mereka selepas memilih untuk menyokong revolusi itu.

Mohamed Hasan, 35, berkata beliau mahukan Mesir yang aman dan diterajui pemimpin adil dan bijak.
"Itulah tujuan kami melakukan revolusi. Tetapi, nampaknya keadaan semakin sukar selepas itu.
"Saya bersyukur kerana masih bekerja. Ketika revolusi, hotel kami tidak menerima tetamu langsung. Tempahan yang dibuat juga dibatalkan," katanya yang bekerja di sebuah hotel di 6th October City.

6th October City, kira-kira sejam perjalanan dari Kaherah, menampilkan sisi berbeza apabila dilihat lebih membangun dengan deretan banglo mewah yang berharga jutaan pound Mesir, hotel-hotel bertaraf lima bintang, gudang beli-belah dan berdekatan dengan Bandar Pintar, yang menempatkan hampir 100 syarikat ICT dan kewangan terkemuka.
Mohamed berkata ramai rakannya diberhentikan kerja semasa revolusi itu.
"Keadaan sudah pasti sukar bagi mereka," katanya yang mengakui taraf pendidikan tinggi memain peranan dalam mendapatkan pekerjaan di negara yang mempunyai 80 juta penduduk ini.

Khalid Abdul Fatah, 29, juga mengakui keadaan yang sukar bagi rakyat Mesir selepas revolusi itu.
Khalid, yang fasih berbahasa Melayu setelah pernah bekerja lima tahun di Malaysia, berkata rakyat Mesir perlu memikirkan soal masa depan dan bekerja lebih keras untuk kembali membantu memulihkan ekonomi Mesir.

"Sekarang, usaha perlu tertumpu kepada langkah memulih dan membangunkan ekonomi Mesir. Lihat sahaja Malaysia, bagaimana negara anda membangun dengan pesat selepas merdeka. Yang penting, ia diterajui pemimpin yang bijak dan adil," katanya yang bertugas dalam sektor pengangkutan.
Itulah harga revolusi era moden di Mesir. — BERNAMA


No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.