Seronok pula membaca Kosmo online ini berkenaan dengan Cameron Highlands, terdapat pelbagai rencana menarik yang kadang kala aku sebagai penduduk di sini sendiri tidak sedar dan begitu teliti dengan keadaan persekitaran sebab sudah setiap hari melalui benda yang sama.
Contohnya penulis artikel ini sendiri mengupas laluan menuju ke Puncak penempatan ini dan aku kira menarik untuk dikongsi...
Namun jika anda mencari catatan mengenai Jalan Pos Betau ke Ringlet atau Jalan Pahang atau lebih dikenali dengan Jalan Tapah, saya ada membuat catatan mengenainya dengan klik SINI atau Di SINI atau DI SINI...
Untuk laluan Gua Musang dan Simpang Pulai, saya masih belum sempat menulisnya... Insyaallah nanti.
Namun jika anda mencari catatan mengenai Jalan Pos Betau ke Ringlet atau Jalan Pahang atau lebih dikenali dengan Jalan Tapah, saya ada membuat catatan mengenainya dengan klik SINI atau Di SINI atau DI SINI...
Untuk laluan Gua Musang dan Simpang Pulai, saya masih belum sempat menulisnya... Insyaallah nanti.
KEMALANGAN ngeri bas di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang mengorbankan 27 nyawa, termasuk 25 orang pelancong warga Thailand Isnin lalu mendedahkan betapa jalan raya berliku di tanah tinggi itu berupaya menjadi perangkap maut.
Laluan baru sejauh 95 kilometer itu sebenarnya lebih mudah dan selesa berbanding Jalan Tapah-Cameron Highlands yang lebih sempit dan dipenuhi dengan selekoh berbahaya.
Sememangnya kesempatan menyusuri jalan yang sempit dan penuh selekoh dari Tapah menuju ke tanah tinggi itu baru-baru ini memberi pengalaman berbeza kepada kru Jurnal.
Laluan bengkang-bengkok bermula sebaik sahaja kenderaan memasuki Kampung Orang Asli Kuala Woh di Batu 8, kira-kira 10 minit pemanduan dari Plaza Tol Tapah.
Berdasarkan jumlah kenderaan yang bertali-arus mendaki dan menuruni bukit, ternyata tanah tinggi itu masih menjadi tumpuan orang ramai pada cuti hujung minggu.
Dengan kelajuan kenderaan di antara 40 hingga 50 kilometer sejam, fizikal jalan raya yang sempit dan berselekoh tajam pasti menuntut lebih tumpuan.
Laluan dua hala itu semakin mengecil, kira-kira 200 meter dari Taman Rekreasi Lata Iskandar. Selain deburan air terjun yang boleh dinikmati dari bahu jalan, gerai makanan, hasil kraf dan pakaian menarik ramai pengunjung untuk berhenti berehat di situ.
Perjalanan kami diteruskan lagi. Jalan yang tadi lurus bertukar sebaliknya. Selekoh tajam berbentuk S, U dan Z semakin kerap dilalui.
"Jika melalui jalan sempit dengan selekoh tajam begini, hon perlu dibunyikan untuk memberitahu pemandu di laluan bertentangan tentang kehadiran kita. Ini dapat membantu mereka supaya memperlahankan kenderaan," ujar seorang pemandu dikenali sebagai Karu, 45.
Hon
Sesekali di sebelah kanan jalan, terdapat deretan penempatan Orang Asli. Mereka juga mendirikan gerai menjual hasil hutan seperti orkid liar, rebung, petai, akar kayu dan madu lebah.
Ada juga hasil kraf yang dijual, antaranya sumpit, tudung saji dan bakul mengkuang.
Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat Orang Asli yang masih memakai cawat menggalas bakul mencari hasil hutan.
Tidak lama kemudian, hujan lebat tiba-tiba turun di tanah tinggi yang boleh mencecah suhu serendah 14 darjah Celcius itu.
Selepas satu jam setengah perjalanan, kami memasuki persinggahan pertama iaitu pekan Ringlet. Di sini laluannya lebih lebar dan cuaca dingin semakin dirasai.
Kira-kira 40 minit selepas itu, kami tiba di Tanah Rata yang menjadi tumpuan pelancong.
Kawasan yang menempatkan pejabat pentadbiran, hotel mewah, taman bunga, medan selera serta kedai cenderahati ini merupakan hentian utama bagi kebanyakan pengunjung ke Cameron Highlands.
"Kunjungan anda ke Cameron Highlands tidak sah jika tidak sampai ke Tanah Rata.
"Di sini, selain taman bunga, deretan kedai cenderahati dan medan selera, pelancong juga tertarik untuk mengunjungi pusat pameran dan jualan teh yang dihasilkan di Cameron Highlands," ujar seorang penduduk tempatan, Haniza Sharif, 25.
Mengimbas sejarah Cameron Highlands, nama itu diberikan sempena seorang juruukur Inggeris iaitu William Cameron yang menemui tanah tinggi tersebut ketika sedang membuat tinjauan pemetaan pada tahun 1885.
Jip
Selain ladang teh, sayur dan buah, Gunung Beremban, Gunung Jasar, Gunung Perdah dan Air Terjun Robinson turut menjadi tarikan tanah tinggi ini.
Melepasi Tanah Rata, pendakian diteruskan ke Ladang Teh Bharat, ladang strawberi, kaktus dan bunga- bungaan seperti bunga ros dan kekwa yang ada di sepanjang jalan.
Brinchang pula terkenal sebagai lokasi pasar malam yang diadakan pada setiap hari. Kawasan ini bertambah padat selepas pukul 4 petang.
Terdapat begitu banyak gerai di sini. Paling jelas, buah strawberi yang menjadi ikon Cameron Highlands dapat dilihat di mana-mana sahaja, daripada bantal, pakaian, rantai kunci hingga ke selipar.
Berada pada ketinggian 1,829 meter dari aras laut, tanah tinggi yang berkeluasan 712 kilometer persegi ini terkenal sebagai hub hasil pertanian utama negara.
Justeru, kunjungan ke Tringkap, Kea Farm dan Kampung Raja tidak perlu dilepaskan kerana sayuran dan buah-buahan segar di sini dijual pada harga yang sangat berpatutan.
Bentuk muka bumi yang berbukit-bukau, penggunaan jip dianggap lebih praktikal terutama bagi peladang dan peraih yang mahu membawa sayur ke gerai jualan.
Namun, sikap pemandunya yang didakwa memandu dengan laju dan berbahaya mengundang rasa tidak selesa kepada pengguna jalan raya yang lain.
Ini diakui sendiri oleh pemandu bas henti-henti dari Tapah ke Tanah Rata, R. Sellakumar, 63.
Beliau yang sudah 15 tahun memandu di kawasan itu berkata, masalah utama yang sering dihadapi ketika mengendalikan bas ialah pemandu jip dan lori sayur.
"Saya belum pernah berjumpa dengan pemandu jip sayur yang memandu perlahan. Semuanya mahu cepat hantar sayur ke pasar tanpa mempedulikan kenderaan lain.
"Jalan yang sempit seperti laluan dari Ringlet ke Batu 19 juga banyak menguji kecekapan saya memandu.
"Jika berselisih dengan bas atau lori, saya perlu beri laluan kepada mereka kerana kenderaan mereka lebih besar.
"Jalan juga sudah banyak yang rosak. Kini, pemandu perlu lebih berhati-hati, tidak seperti 10 tahun dulu. Ketika itu, kenderaan pun tidak begitu banyak seperti sekarang," katanya.
Memotong
Bagi Mat Kazar Mohd. Noh, 43, pula, keadaan jalan sempit dan rosak menjadikannya lebih berhati-hati ketika memandu.
Beliau yang menetap di Gua Musang, Kelantan, sering berkunjung ke Cameron Highlands bersama keluarganya.
"Jalan semakin kurang elok dan sikap pemandu jip sayur juga kian teruk.
"Bila bertembung dengan jip sayur atau mereka memandu dibelakang saya, memang ada perasaan bimbang kerana tindakan mereka memotong dan memandu tidak boleh dijangka," katanya.
Secara keseluruhan, perjalanan dari Tapah ke Blue Valley iaitu destinasi terakhir di Cameron Highlands perlu melalui lebih 270 selekoh tajam.
Jika anda berasa 'terseksa' melalui jalan itu, bayangkan bagaimana susahnya jalan itu dibina pada tahun 1925.
Mengikut catatan sejarah, pekerja-pekerja bukan sahaja terpaksa bekerja dalam cuaca sejuk bahkan berhadapan terkena penyakit malaria. Jalan itu siap sepenuhnya menjelang tahun 1931.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S K Devamany menyifatkan jalan di tanah tinggi itu sebagai berbahaya dan dipenuhi selekoh tajam.
"Saya sendiri pernah terlibat dengan empat kemalangan dalam tempoh tujuh tahun menjadi Ahli Parlimen," katanya.
Kru Jurnal memilih Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai sebagai laluan pulang ke Kuala Lumpur. Pemanduan terasa sedikit selesa dengan jalan lebih lebar.
Begitupun, pemandu masih tidak boleh leka kerana jalan tersebut tetap berliku apatah lagi jika memandu pada waktu malam.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.