Tuesday, July 12, 2011

Krisis kemanusiaan terburuk dunia

Aku syukur dilahirkan di Malaysia, dibesarkan di Malaysia, membesarkan anak-anak dan keluarga di Malaysia dan segalanya yang menjadikan aku rakyat Malaysia. Aku bukan sekadar bertuah, bernasib baik tetapi merasakan antara yang terpilih kerana mendapat semuanya di Malaysia. 

Kenapa? Dan apakah yang menyebabkan aku merasai semuanya ini. Ini mudah sebabnya aku tidak pernah menyesal atau sering kali menepuk dahi dan meja bilamana aku menceritakan betapa beruntungya aku. 


Mungkin orang lain makan tidaklah seselera aku, ataupun fikirannya sentiasa dengan keluh kesah dan akhirnya mencanangkan kemarahan dan kebencian. Memberontak dan melepaskan kemarahan adalah jalan terbaik dan istilah kebebasan, kebangkitan, reformasi  dan pelbagai lagi pastinya digunakan.  

Tiada apa yang boleh menyebabkan aku marah dan keluh kesah. Yang pertamanya , aku sentiasa syukur dengan apa yang ada. Keduanya percaya akan rezeki yang datang adalah anugerahnya dan usaha diperlukan untuk memperolehinya.


Dan kalaulah kerana kuasa atau inginkan kedudukan, ternyata ianya tidak menyelit dalam nafsu dunia aku ataupun lebih tepat tidak teruja dan teruji pula ketika dan semasa catatan ini. 

Maka bilamana aku mendapat kesenangan dan kesusahan seringkali aku bandingkan sebagai peringatan kepada diri aku tentang nasib mereka yang lain. Kalau tiada yang dekat, maka yang jauh menjadi ingatan dan keinsafan kerana setakat ini semana daif dan susahnya kita di negara ini tidaklah sesusah malah lebih baik kualitinya jika dibandingkan yang baik di sana.

Kita di sini masih terbaik dan dikalangan terbaik dan berusahalah untuk mengekalkan semuanya dan pada masa yang sama berusaha memperbaikinya dan jika jalan yang dihulurkan oleh anda kepada aku dengan konsep 'runtuh dan bina' semula, pasti aku akan tolak dan tidak bersetuju malah akulah antara yang kuat akan menentang konsep itu. 


Pastinya pendapat kita akan berbeza dan tidak akan mendapat garisan yang sama malah mungkin akan menyasar jauh garisan linear ini. Malah ada yang gembira melihat pemisahan dan jurang ini diantara kita semua. 

Tepuk dada tanya selera.. Rom terbina dari ratusan tahun tetapi ia runtuh dalam sehari dan sehingga kini tidak dapat kembali ke zaman kegemilangannya...

Petikan dari Utusan Online , Oleh AZNAN BAKAR

Setiap hari 60 orang bayi mati akibat kekurangan
makanan di wilayah-wilayah di timur Afrika. - AFP
BANGKAI binatang ternakan bergelimpangan, bekalan air semakin meruncing dan makanan semakin sukar didapati.
Ini merupakan senario yang berlaku di wilayah timur Afrika menyebabkan jutaan penduduknya kini diancam kebuluran. Senario ini juga bakal mencetuskan malapetaka dan krisis kemanusiaan yang terburuk dunia.

Setiap hari kira-kira 60 orang bayi mati akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan. Dalam tempoh 24 jam lebih 3,000 orang yang keletihan dan kekurangan makanan tiba di kem-kem bantuan.

Mereka ini semuanya merupakan mangsa musim kering dan panas berpanjangan di timur Afrika.

Kehidupan kira-kira setengah juta kanak-kanak kini terancam. Keseluruhannya, tidak kurang daripada 12 juta penduduk wilayah itu kini diancam kebuluran. Saban hari kehidupan mereka semakin nazak. Ini dapat dilihat pada keadaan fizikal setiap kanak-kanak yang tiba di kem-kem pelarian. Semua mereka kurus kering dan lesu.Ada yang berjalan selama 20 hari dalam keadaan cuaca panas mencecah 50 darjah celsius sebelum sampai ke kem-kem yang menyediakan makanan untuk mereka.

Menurut Pengarah agensi bantuan perubatan British, Merlin di Kenya dan Somalia, Louise Paterson, situasi sekarang lebih teruk daripada apa yang berlaku di Ethiopia pada 1980-an.
Negara yang teruk diancam kebuluran ketika ini ialah Sudan, Kenya, Ethiopia, Djibouti dan Somalia.

mereka hanya mampu meminta dan meminta...
Dalam usaha mencari makanan, beberapa keluarga sanggup jalan berkaki ayam berhari-hari merentasi padang pasir yang panas dan kering. Tidak semua daripada mereka yang berjaya. Ada antaranya terutama kanak-kanak mati ketika dalam usaha mencari makanan itu.

Kemarau yang paling teruk dalam tempoh 60 tahun itu bukan sahaja memusnahkan tanaman, tetapi turut mengorbankan haiwan ternakan.Akibatnya harga makanan melambung tinggi dan di luar kemampuan penduduk. 

Wajah kanak-kanak yang kurus kering kerana kekurangan zat makanan kini merupakan pemandangan biasa.
Jurucakap Unicef, Marixie Mercado berkata, terdapat dua juta kanak-kanak di wilayah tersebut berhadapan dengan krisis kekurangan makanan.

"Setengah juta daripada mereka kini dalam keadaan kritikal yang mengancam nyawa," katanya.

Di kem Dadaab di timur Kenya yang kini merupakan kem pelarian terbesar dunia, kira-kira 382,000 orang berhimpit-himpit dalam kemudahan yang hanya sesuai untuk 90,000 orang.Sekitar 1,400 orang dalam keadaan terdesak dan kelaparan yang kebanyakannya kanak-kanak tiba di kem itu setiap hari.
aku tak sanggup tengok gambar ini...
Di kem yang terdapat di Ethiopia pula, setiap hari terdapat 1,700 penghuni baru tiba. 

Suruhanjaya Bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan kerajaan Ethiopia telah menyediakan kem di Dolo Ado bagi memenuhi kebanjiran pelarian yang kebuluran.Kem yang terdapat di beberapa bandar itu kini dipenuhi hampir 100,000 dan PBB mewujudkan beberapa lagi kem untuk keperluan 120,000 orang.

Ketua UNHCR, Antonio Guterres berkata, ini merupakan malapetaka kemanusiaan yang paling teruk dihadapi dunia.Di Somalia sahaja satu perempat daripada 7.5 juta orang telah dipindahkan atau menjadi pelarian. Malah ketua kumpulan militan utama di negara itu turut meminta pertolongan daripada agensi-agensi bantuan yang selama ini di larang masuk ke kawasan mereka.

Bagi penduduk yang kelaparan, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan seteguk air dan sesuap makanan.Ada yang sanggup berjalan berhari-hari untuk ke kem-kem pelarian yang menyediakan makanan dan ubatan.

Mangsa peperangan dan perebutan kuasa
tanpa kesudahan.
Di Somalia, ramai penduduk luar bandar yang kelaparan dan kepenatan membanjiri ibu negara, Mogadishu dengan harapan ada pihak akan membantu mereka.Tetapi ramai yang hampa dan ada pula yang meneruskan perjalanan ke Kenya.

Di Sudan Selatan, negara yang baru mencapai kemerdekaan, turut dilanda krisis makanan. Satu daripada sembilan kanak-kanaknya mati sebelum berusia lima tahun.Krisis yang melanda wilayah timur Afrika itu bakal meragut jutaan nyawa jika bantuan dunia tidak disalurkan segera secara sistematik.

Kerajaan British telah berjanji akan menyalurkan 38 juta pound kepada Program Makanan Dunia (WFP). Jumlah itu hanya cukup untuk memberi makan kepada 1.3 juta orang untuk tempoh tiga bulan.

Suruhanjaya Eropah pula telah menghantar AS$8 juta sebagai bantuan kecemasan ke Dadaab.
Pada Jumaat lalu, Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC) iaitu organisasi yang menaungi 14 agensi bantuan British telah melancarkan rayuan bagi menangani situasi di timur Afrika itu. Ia termasuk rayuan di radio dan televisyen yang berjaya mendapat sumbangan 6 juta pound.

berapa lama agaknya mereka akan bertahan
atau akan gugur dipertengahan 
WFP turut menganggarkan 3.5 juta di Kenya, 3.2 juta di Ethiopia, 2.5 juta di Somalia, lebih setengah juta di Uganda dan lebih 100,000 di Dijbouti kini terdesak memerlukan bantuan makanan.
Walaupun penduduk di wilayah tersebut sebenar biasa dengan kemarau yang panjang, tetapi situasi kali ini agak berbeza daripada biasa.Kajian perubahan iklim tahun ini mendapati keadaan kering di Timur Afrika dijangka berterusan.

"Suhu global dijangka terus meningkat dan kami menjangka purata hujan di Kenya dan Ethiopia akan terus menurun atau kekal di bawah paras terendah dalam sejarah."Malah langsung tiada hujan pada Mac hingga Jun yang sepatutnya merupakan musim hujan," kata saintis Chris Funk.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.