Wednesday, March 8, 2023

Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands

Saya tertarik dengan Program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang iaitu Ekpedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi di Hutan MOssy Forest ini. Semoga apa jua hasil penemuan dan kedapatan dari ekpedisi ini boleh menjadi rujukan dan nilai tambah yang boleh dikongsikan kepada semua. 

Semoga dapat dikongsikan penemuan-penemuan yang hebat dan didokumentasikan untuk rujukan......

errr.. bab populasi burung masuk tak dalam ekpedisi ini? itu yang lebih nak tahu sebenarnya ... menumpang maklumat untuk memudahkan ekpedisi solo sendiri memburung gambar-gambar burung di sana..... 

selamat berekpedisi yang semua.. saya tidak terlibat apa-apa pun ya dalam program ini.. teruja nak tahu penemuan aje..khasnya burung-burungan .......

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah memilih Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands, Pahang sebagai lokasi penganjuran Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands pada 10 hingga 14 Mac 2023 ini. 

Ia terletak dalam Hutan Simpan Batu Gangan Tambahan yang berkeluasan 539.3 hektar. TER Mossy Forest juga berada pada ketinggian 2,031 meter dari aras laut dan terletak 12km dari bandar Brinchang. TER Mossy juga dikategorikan sebagai Hutan Gunung dan merupakan hutan semulajadi yang berlumut dan lembap sepanjang tahun.


Penganjuran ekspedisi ini melibatkan pelbagai disiplin yang merentas sempadan seperti aspek fizikal ekosistem hutan, kepelbagaian biologi flora dan fauna, eko-pelancongan, ekologi, rekreasi, geologi, arkeologi dan sosio-ekonomi. 

Ekspedisi saintifik yang dianjurkan ini disertai oleh para saintis dan penyelidik daripada pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Badan-Badan Bukan Kerajaan serta individu yang mempunyai minat khusus terhadap bidang pengurusan hutan serta kepelbagaian biologi hutan.

Objektif ekspedisi ini antaranya adalah untuk menyediakan platform kepada kumpulan pakar dan penyelidik membentang dan membincangkan hasil penemuan kajian dalam aspek fizikal kawasan, sumber biodiversiti dan produk eko-pelancongan yang diperolehi di TER Mossy Forest, Cameron Highlands, Pahang.

Selain itu dapat memperkaya dan mengemaskini gedung ilmu dan pendokumentasian tentang biodiversiti yang masih banyak tersimpan dan belum diterokai di dalam TER Mossy Forest.

Sumber info;  Facebook Jabatan Perhutanan Negeri Pahang

Mossy Forest tutup sementara .. 3 hari aje

 NOTIS PENUTUPAN SEMENTARA TAMAN EKORIMBA MOSSY FOREST




Untuk makluman semua, keseluruhan kawasan TER Mossy Forest akan ditutup sementara bermula pada 10 hingga 13 Mac 2023 bagi memberikan laluan kepada Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands Pahang yang berlangsung pada 10-14 Mac 2023.

Sekian, terima kasih

sumber : facebook Jabatan Perhutanan Negeri Pahang

Saturday, March 4, 2023

Mendaki Gunung Perdah

Selepas kami mendaki PEAK 1500 yang hanya mengambil masa selama 40 minit, kami meneruskan aktiviti hujung minggu kami dengan mendaki pula Gunung Perdah. Jauh ke lokasi dari Peak 1500 ? Tidak hanya 650 meter sahaja dari Gate 2. Catatannya boleh dibaca di SINI


Gunung Perdah.

Gunung Perdah ini dahulu terletak di dalam kawasan Tanah Rata sering dipasangkan dengan Gunung Jasar kerana menjadi pilihan pendaki untuk melakukan dua puncak gunung serentak samada dari Gunung Jasar ke Gunung Perdah atau sebaliknya. Kedua gunung ini terletak bersebelahan sahaja di mana jarak di antaranya tidaklah jauh. 

Namun sejak 5 tahun lepas ekoran dari pembangunan Golden Hills, menyaksikan Gunung Perdah hanya tinggal puncak gunungnya sahaja dengan pembangunan perumahan hampir ke puncaknya. Tiada lagi trek pendakian asal melalui Stesen Mateorologi atau dari Kampung Orang Asli Sungai Ruil. 

Kini sampai ke bawah puncaknya sahaja terdapat tangki air bagi kawasan Somermansion Golden Hill. Untuk mendaki ke puncak Gunung Perdah ini hanya perlu mendaki longkang cerun setinggi 30 meter sahaja sebelum sampai ke puncak. 

Kenapa boleh dibangunkan kawasan puncak ini?

Jawapan yang mudah adalah kawasan Gunung Perdah ini tidak terletak di dalam kawasan hutan simpan kekal di mana pembangunan boleh dilaksanakan.


Pendakian kami..

Kami secara santai bergerak dari Gate 2 Peak 1500 ke kawasan Sommer Mansion sebelum singgah di kawasan bersebelahan tebing yang boleh melihat pemandangan Golden Hill dan juga Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil .

Jika anda ingin melihat perkampungan moden orang asli, Kampung Orang Asli ini adalah antara termoden di Malaysia. Namun pembangunannya hanya selepas peristiwa tanah runtuh yang mengorbankan beberapa orang penduduk pada 5 tahun yang lalu. 

Kawasan ini cantik untuk bersantai dan saya terbayangkan kalau boleh memacak khemah di sini, namun difahamkan kini memang telah ada syarikat yang membuat khidmat tapak perkhemahan mewah beserta dengan caravan di kawasan ini.

Berbalik dengan pendakian kami ini, trek pendakian sebenar sangat mudah. Saya boleh memandu kereta terus ke tangki air di hampir di puncak gunung ini dan hanya perlu mendaki longkang cerun untuk ke puncaknya dengan masa sekitar 10 minit sahaja. 

Namun itu bukan pilihan kami kerana mahukan lebih cabaran ataupun sedikit kelainan ataupun nak merasa sehampir mungkin pengalaman mendaki gunung secara dekat dengan cabaran alamnya. 

Jadi kami memilih untuk bermula dengan denai ringkas dari Kampung Orang Asli Sungai Ruil. Nampaklah dan rasa lebih menarik sikit bagi anak-anak.


Selepas denai tersebut, kami tiada pilihan dengan mendaki kawasan longkang cerun yang lebih panjang untuk ke puncaknya. Lebih mencabar juga kerana masih perlu mendaki di celahan longkang cerun yang ditutupi semak samun. 

Kadang-kala kami menyimpang masuk ke belukar yang nampak ada denai untuk lebih mencabar diri dan lebih nak seronok sahaja. Anak-anak pun suka menyelit sana sini di celahan belukar tersebut.

Selepas mendaki longkang cerun ini, kami sampai ke permatang Gunung Jasar. Cuma agak kecewa juga kerana hampir rata kawasan ini oleh jentera tanah yang membuat cerun bukit untuk tangki air. 

Puncak Gunung Jasar hanyalah sekitar 30 meter sahaja dan kami mudah sangat sampai ke sana. Puncak Gunung Jasar ini adalah pada aras ketinggian 1564 meter. 

Pemandangan di Puncak Gunung Perdah ini adalah kawasan hutan dan gunung ganang di bahagian baratnya manakala di bahagian timur adalah kawasan pembangunan Golden Hill.

Ketika kami mendaki tidaklah hujan namun selepas 10 minit dipuncaknya hujan mulai turun dengan sedikit lebat. Nak turun dah tak selamat ketika ini kerana longkang cerun akan dipenuh dengan aliran air maka kami mengambil keputusan untuk kekal di puncaknya. 

Mujur ada tinggalan plastik khemah lama yang ditinggalkan oleh pendaki terdahulu untuk kami berlindung. Seronok pula anak-anak kerana macam berkhemah pula.

Selepas 30 minit hujan turun, kami berpeluang untuk balik walaupun dalam renyai-renyai sebelum berhenti sepenuhnya. Untuk turun, kami memilih untuk menggunakan laluan termudah iaitu di tangki air. 

Perjalanan turun tidaklah mengambil masa yang lama namun kena berhati-hati juga sebab baru selepas hujan dan longkang cerun yang licin. 

Secara keseluruhanya kami mengambil masa 2 jam untuk mendaki ke Gunung Perdah ini dengan 30 minit terperangkap dalam hujan.

Friday, March 3, 2023

CAMRUN 2023

Tengah Malam esok 5 march 2023, akan berlangsung Larian Malam Cameron atau dikenali sebagai CAMRUN 2023.

Di kala anda mungkin sedang tidur malam ini, tepat pukul 12.30 pagi, pelari-pelari akan mencabar diri masing-masing dalam ketegori pilihan mereka membelah kedinginan malam di sini untuk menduga ketahanan diri mereka menghabiskan jarak larian. 

Kategori yang dipertandingkan adalah 21 km, 10 km dan fun run 5 km.

Uniknya tahun ini adalah tempat perlepasan dan penamat adalah di Padang MDCH yang telah diserikan dengan hiasan lampu di Jalan Kuda sebelahnya. 

Dimaklumkan, seramai 2,900 peserta telah mendaftar untuk acara larian pada tahun ini.

Bagi diri saya, penyertaan pada acara 5 km pada CAMRUN edisi pertama dahulu masih terasa kemeriahannya. 

PEAK 1500 di Brinchang ...

Catatan saya di Puncak 1,500 ini adalah berdasarkan pengalaman saya sekeluarga di hujung minggu sahaja.  Ini sekadar santai-santai selepas sarapan pagi di hari Ahad di mana biasanya anak-anak nak berjalan-jalan ambil angin pagi. Jadi kenalah cari lokasi baru untuk dicuba dan saya teringatkan Jungle Walk Peak 1500 ini.  


PEAK 1500

Terletak di Brinchang atau lebih tepat di Golden Hill di mana lokasi Pasar Malam Cameron beroperasi. Terdapat 2 pintu masuk ke laluan trek bertangga ini yang terletak bersebelahan dengan Somersquare atau lebih tepat lagi Jalan Golden Hill 9.

Kenapa Peak 1500 namanya... ?

Mudah sahaja untuk difahami iaitu ia dibina pada paras ketinggian 1500 meter dari aras laut atau hampir 5,000 kaki di bahagian puncak laluan trek ini.

Trek santai ini sebenarnya adalah laluan trek konkrit yang dibina oleh pihak pemaju Golden Hills untuk tujuan rekreasi penghuni di sini. Ianya dibuka secara percuma kepada semua sehingga pukul 8 malam setiap hari.

Laluannya banyak bertangga dan ada yang agak curam sebelum landai di beberapa bahagian. Ini menjadikan trek ini tidak sesuai bagi warga emas, OKU serta kanak-kanak yang baru belajar  berjalan sendiri tanpa pengawasan orang dewasa.

Trek konkrit ini dibina dengan melalui cerun bukit dan juga celahan pokok hutan yang tidak diusik semasa pembangunan di sini. Treknya ringkas tetapi menarik dengan kelembapan sekelilingnya yang tinggi dan ia mula membentuk lumut-lumut semulajadi di kawasan trek santai ini.

err ke mana pengakhiran trek ini? 

Tak jauh mana, saya sekitar 356 anak tangga sahaja kita akan keluar di Gate No 2 di jalan utama Golden Hill 9 di Somerhome dan SommerMansion.

Selain itu juga kalau anda bersantai di trek ini, anda sebenarnya masuk dari arah Brinchang namun anda akan melalui Tanah Rata dan keluar semula ke Brinchang kerana ianya terletak di antara sempadan dua pekan. Anda boleh Google Map untuk melihat garis sempadan ini. 


Pendakian kami...

Selepas bersarapan nasi lemak pandan di Brinchang, kami menujuk ke Pintu 1 Jungle Walk ini di Sommersquare Golden Hill ini. Tempat letak keretanya adalah percuma sahaja. 

Di pintu masuk Jungle Walk Peak 1500 ini sesuai untuk bergambar terlebih dahulu. Anak-anak saya memgayakan pelbagai aksi untuk dirakamkan. 

Sebelum memulakan langkahan dan pendakian, kami memanaskan badan dengan senaman ringkas. Maklumlah perut dah kenyang dengan sarapan pagi maka kenalah otot-otot bersedia untuk membawa bebanan tambahan kelak.

Sebaik mendaki, laluannya dimulakan tangga yang menegak dan berlumut baik di bahagian atas konkrit malah dengan kawasan pemegang tangan. Kena lebih berhati-hati di sini namun macam biasa anak-anak terlebih pantas ke hadapan mendaki tanpa rasa penat dan takut. Kami yang tua ini sekadar santai sahaja di belakang.

Suasana semasa pendakian agak sejuk dengan kabus dan juga hujan yang turun rintik-rintik sahaja. Kalau bukan hujan mungkin juga air embun yang masih belum kering kerana kelembapan yang tinggi. Jadi kenalah memakai pakaian seperti wind breaker yang kalis air tapi ringan.  

Angin juga bertiup lemah di beberapa kawasan yang terbuka. Semua ini bagaikan lengkap dalam memberikan pengalaman dan suasana rekreasi santai kami ketika itu.

Tak lama kami sampai dibahagian yang landai tetapi melingkar juga laluannya kerana mengikut kontur cerun bukit. Kami berehat dahulu mengambil nafas sebelum meneruskan perjalanan santai ini.


Tumbuhan yang ada disekeliling semua masih basah dan berlumut nipis. Namun di laluan santai ini terdapat sedikit runtuhan kecil yang menghalang trek namun masih mudah untuk dilaluan. 

Halangan kecil sebegini sebenarnya menambah rencah keseronokkan yang sedikit memberikan cabaran kepada pendakian santai terutama kepada anak bongsu kami yang riuh meminta tolong dan berusaha untuk melepasi halangan tersebut tanpa mengotorkan kasutnya... Buat kecoh sahaja kan...


Kami akhirnya sampai di Puncak 1500 ini. Landmarknya mudah iaitu terdapat tangga yang menuju ke bahagian atas di mana terletaknya kawasan lantai rata yang menandakan kawasan tertinggi dalam trek pendakian ini.  Namun ketika ini terdapat pokok yang rebah di laluan masuk platform tersebut. 


Terdapat beberapa sudut pandangan yang menarik dari celahan pokok di sini kerana ianya berkabus. Terasa kita di atas kabus yang tebal. Juga kelihatan pokok-pokok yang unik di kawasan puncak ini. 


Selepas kawasan ini kami mula menuruni kawasan berbukit dan jangkaan kami meleset kerana rupanya ada lagi satu bahagian pendakian sebelum menuruni ke kaki bukit. 



Kami mengambil masa sekitar 40  minit sahaja untuk pendakian santai di sini. Selebihnya banyak berhenti untuk mengambil gambar sahaja. 

Trek ini memang santai namun seperti mana saya katakan awal tadi ianya tidak sesuai untuk warga emas, OKU dan juga kanak-kanak di bawah 4 tahun yang masih belum kuat berjalan. Kalau nak berdukung selalu nampaknya mak ayahnya perlu kuat sepanjang pendakian ringkas ini... 


Di pintu 2 ini kami kembali ke Brinchang selepas bersantai-santai di puncaknya yang berada di dalamm kawasan Tanah Rata.


40 minit tak meletihkan kami..... maklumlah baru lepas sarapan... maka kami memutuskan untuk menyambung cabaran rekreasi kami ke Gunung Perdah pula ..... 

Nanti saya kongsikan catatannya... Klik di SINI

Wednesday, March 1, 2023

Pasar Malam Cameron HIghlands semasa Cuti Sekolah bulan Februari 2023

Akhirnya saya pergi ke Pasar Malam Cameron Highlands setelah kali terakhir selepas PKP 1 dahulu. Memang lama tak ke sana sebab selalunya malas nak melayan jem. 

Cuma kali ini saya pergi seorang sahaja tanpa ahli keluarga sebab mereka bercuti di kampung manakala saya bekerja. Tapi kalau mereka ada pun kalau diajak ke sini memang susah mereka nak ikut jugak. Kalau ikut pun mereka nak duduk dalam kereta sahaja.

Jumlah pengunjung ...

Catatan saya ini harus adil dengan waktu yang saya pergi adalah hari selasa dan di tengah minggu di mana memang akan kurang jumlah pelancong berbanding dengan hujung minggu. Jadi saya tidaklah boleh katakan yang negatig sangat seperti kekurangan sambutan dan seri kerana waktunya pun bukanlah tepat. 

Jalan pun langsung tidak sesak dah mudah mencari parkir percuma di hadapan Barrington Square tanpa perlu ke parkir yang berbayar yang disediakan oleh pihak MDCH  dengan caj parkir RM 3 sekali masuk. 

Dan sememangnya benar suasana pasar malam ini agak lengang tidak terlalu ramai pelancong yang datang membeli belah. Malah hari Selasa juga selalunya hari yang dipilih oleh peniaga untuk bercuti berniaga memandangkan mereka telah bertungkus lumus di hari hujung minggu sehingga Isnin. 

Untuk makluman, untuk setiap kali cuti sekolah, pasar malam ini akan beroperasi setiap malam bermula pukul 4 petang hingga 10 malam. 

Jumlah pelancong yang sedikit kurang ini bagaikan satu fenomena sama  bagi hampir semua destinasi perlancongan yang popular seperti di Port Dickson, Kuala Terengganu, Genting Highlands, Langkawi dan kawasan yang lain juga. 

Mungkin bajet rumah kali ini lebih mengutamakan untuk sambutan bulan puasa, hari raya dan juga persiapan untuk buka sekolah yang hampir serentak pada bulan tiga ini. 

Suasana pasar malam ....

Berbalik kepada kisah pasar malam ini, saya mendapati ianya seakan masih sama aturannya sebelum ini iaitu kembali dibuka gerai jualan baju-baju, cenderahati dan juga sayuran kerana semasa PKP dan selepas PKP dahulu hanya peniaga makanan sahaja yang dibenarkan beroperasi dan jarak antara khemah dijauhkan sebagai memenuhi SOP yang ditetapkan.

Mungkin juga ini sudah lama dikembalikan seperti asal sebaik sahaja PKP 2, namun macam saya katakan tadi kali terakhir saya ke sini selepas PKP 1.... lama tu ... jadi saya tak pasti apakah ini suasana selepas PKP 2... 

Dengan kembalinya gerai-gerai jualan pelbagai ini, ianya lebih meriah sebenarnya sebab bukan sekadar barangan makanan yang boleh dibeli.  

Barangan jualan makanan nampaknya masih tetap sama dan tiada penambahan yang ketara dari segi menu. Manakala bagi jualan pelbagai seperti sayur-sayuran dan buah-buahan saya mendapati trend baru iaitu strawberry frozen banyak dijual. Juga buah-buahan seperti pelbagai jenis anggur dan juga avacado juga dijual kali ini. Cuma kalau tanya adakah dari Cameron Highlands, jawapannya anda sendiri boleh agak asal barangan tersebut...  Tapi sedap juga si anggur ini. 

Saya sekadar membeli makanan dari 'rakan senior' yang berniaga. Katanya pelancong masih ada ke pasar malam ini namun kuasa membeli atau keinginan mereka nak membeli sangat kurang di mana hanya membeli jualan yang benar-benar hendak dimakan sahaja berbanding dahulu lebih ingin mencuba semua menu yang dilihat menarik. 

Meninjau kepada harga yang ditawarkan saya lihat tidaklah terlalu berubah berbanding dahulu namun melihat angkat seperti RM 10, RM 15 dan RM 20 bagi longgokan sayur, jagung atau strawberry terasa sedikit besar kali ini nilainya. 


Saya mudah untuk faham kenapa suasana sebegini berlaku ekoran faktor ekonomi yang sedikit perlahan dan juga kuasa membeli yang kurang kerana inflasi dan keperluan yang lain. 

Objektif utama buat masa ini sekadar pergi bercuti dengan perbelanjaan yang minima dan terhad. Yang penting membawa ahli keluarga menikmati suasana dan pemandangan yang berbeza. 

Kesimpulannya..

Pasar malam ini masih beroperasi seperti biasa namun suasananya tidaklah semeriah dahulu yang penuh dan sesak dengan pengunjung serta para penjual terutamanya di waktu cuti persekolahan.

Namun ini sebenarnya berita baik bagi mereka yang ingin bersantai, yang tidak sukakan kesesakan dan juga membawa ahli keluarga dengan lebih selesa. 


Cuma nasihat saya, sediakan payung sebelum hujan ... sebab memang musim hujan sejak dua tiga hari ini....  

Apapun saya kongsikan sahaja gambar-gambar saya ke sini semalam....