Thursday, February 16, 2023

Musim Durian di Cameron Highlands 2023

Sebenarnya agak kurang tepat jika saya nak katakan musim durian di Cameron Highlands sekarang. Kenapa? Kerana durian masih belum gugur setakat ini di sini. Yang ada adalah durian dari Jalan Tapah- Cameron Highlands dan Lojing Kelatan. 

Di Cameron Highlands biasanya durian adalah dari pekampungan Orang Asli yang terletak di kawasan yang lebih rendah dari pekan utama di Cameron Highlands baik Tanah Rata, Brinchang atau sekitarnya. 

Perkampungan Orang Asli yang selalu menjadi sumber durian Cameron Highlands adalah seperti Sungai Kabuk, Sungai Tiang, Leryar, Teji, Terisu, Kuala Boh, Pangan, Rantau, Susu dan pelbagai lagi yang terletak di laluan Jalan Ringlet ke Sungai Koyan. 

Setakat apa yang saya tahu hanya durian di Kampung Lemoi yang sudah mulai gugur. Selalunya saya membeli durian dari rakan-rakan orang asli dari LERYAR yang selalu ditemui setiap hari. Mereka akan membawa dalam raga motor untuk dijual kepada saya dan rakan-rakan di tempat kerja. Kalau banyak kami ke rumah mereka di sana. 

Apapun saya  nak kongsikan kali ini apa yang selalu kami sekeluarga lakukan iaitu jika musim durian di Jalan Tapah Cameron Highlands, biasanya kami akan turun singgah ke laluan ini untuk makan durian di tepi jalan sahaja. 

Selalunya bermula dari Batu 22 hinggalah ke Ringlet. Gerai tepi jalan ini biasanya diusahakan oleh orang asli sendiri yang memungut durian dari dusun mereka. Kalau ditanya berapa usia pokok ada yang mengatakan sudah 20-30 tahun  malah ada yang kata hampir 50 tahun kerana diwarisi dari orang tua mereka. 

Jenis durian adalah durian bukit atau kampung tanpa ada mana-mana varieti baru baik D24 atau Musang King. Biasa-biasa sahaja... Tapi bagi saya rasanya sangat berbeza...

Durian pada musim ini dijual secara timbang kilo sekitar RM 6 hingga 12 sekilo. Tak payah berkira kerana selalunya sekitar RM 50 sahaja mampu dimakan terus di tepi jalan. Isinya bergantung nasib ada yang kuning dan ada yang biasa sahaja. 

Cuma kalau ditanya kepada saya, saya gemarkan durian dari Batu 22 ke atas kerana lebih rasa pahit dan manis sebab lebih tinggi kawasan tersebut. Orang kata durian bukit. Lebih terasa sedap berbanding durian di bahagian bawah. 

Juga selepas kawasan ini, sudah tiada durian di kawasan tanah tinggi seeprti di Ringlet, Tanah Rata ataupun Brinchang. Mungkin terlalu sejuk dan terlalu banyak air. 

Bawa bersama air mineral untuk membasuh tangan kerana ada gerai yang tidak menyediakan air basuh tangan dan untuk diminum jugak..

Selain durian, mereka juga kadangkala menjual petai, cempedak dan buah-buah hutan mengikut musim yang ada. Boleh anda mencuba buah-buah hutan jika ada. 

1 comment:

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.