Saturday, November 17, 2018

ICERD tidak perlu diratifikasikan


KETUANAN MELAYU BUKAN TONGKAT UNTUK ORANG MELAYU SAHAJA, TETAPI ASAS PEMBINAAN NEGARA
Sila follow IG penulis di : https://instagram.com/khairiasyraf_17

ICERD tidak perlu diratifikasikan kerana 5 sebab :-

1) Apa faktor pendesak yang memerlukan ianya diratifikasi sedangkan selama ini negara ini boleh hidup aman damai sejak sekian lama. Untuk apa ja ICERD nak dibuat? Kalau ICERD tiada, kaum bukan Melayu didiskriminasikah selama ini? Jika ICERD dibuat dan tidak menyentuh peruntukan perlembagaan, maka untuk apa ia diratifikasikan memandangkan ia tiada membawa apa-apa makna?

2) Apakah Perlembagaan kita tidak cukup untuk menjamin hak setiap warganegara? Perlembagaan ada menyatakan hak samarata kecuali dalam bab agama persekutuan dan hak istimewa Melayu dalam Perkara 8. Kebebasan mengamalkan agama masing-masing dalam Perkara 11. Perkara 153 sendiri tidak menafikan hak kaum lain.

3) Apa jaminan dengan ICERD diratifikasikan, maka keadaan semakin baik? Negara yang meratifikasikan ICERD ini seperti China tetap ada masalah pembantaian etnik Uyghur, India tetap ada masalah penindasan minoriti Muslim, Amerika dan Eropah tetap ada sentimen perkauman Afrika Kulit Hitam.

4) Orang bukan Melayu di Malaysia semuanya diberikan peluang pelajaran dan pekerjaan. Bahkan Sekolah Jenis Kebangsaan juga dibiarkan ada walaupun sebenarnya ia tidak menepati kehendak Perlembagaan. Kekayaan serta ekonomi negara pun tidak dinafikan bahkan sebaliknya yang bukan Melayu lah lebih kaya dari kaum majoriti. Orang bukan Melayu bebas nak amalkan budaya dan agama masing-masing. Orang bukan Melayu jadi Menteri Kewangan, Menteri Undang-Undang, Peguam Negara, Timbalan YDP Speaker Dewan Rakyat. Jadi dimana penindasan atau diskriminasinya?

5) Kesamarataan tidak semestinya membawa Keadilan. Bahkan Kesamarataan dan Keadilan itu dua perkara berbeza. Keadilan itu adalah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Kalau nak jugak perjuangkan kesamarataan, aku nak setiap bulan akaun bank aku dimasukkan wang sama banyak sama rata dengan apa yang Menteri Kewangan dapat. Boleh?

Ketuanan Melayu bukanlah satu bentuk penindasan. Ketuanan Melayu bukanlah sebuah bentuk Supremacism. Ketuanan Melayu ini bukan tongkat untuk orang Melayu sahaja, tetapi dengan Ketuanan Melayu inilah terbinanya asas negara kita melalui penggubalan Perlembagaan, menuntut Kemerdekaan dan pemberian Kewarganegaraan kepada kaum Pendatang. Jika tongkat ini dibuang, runtuhlah seluruh institusi negara yang telah disusun sejak sekian lama lalu wujudnya kacau bilau. Sama ada ianya digelar "Ketuanan Melayu", "Kedaulatan Melayu" atau apa sahaja nama lain, hakikatnya ia bersandarkan kepada legitimasi Perlembagaan dibawah Perkara 153 yang menjamin hak istimewa orang Melayu.

Orang Melayu berjihad dengan Darah, Keringat dan Air Mata melawan penjajah bermula dari Portugis, Belanda, British, Jepun dan Komunis sejak beratus tahun lamanya. Kemudian British datang lagi ke Tanah Melayu buat kali kedua yang mahu tubuhkan Malayan Union pada 1946.

Umat Melayu bangkit menentang sekeras-kerasnya perkara tersebut. Ini kerana Malayan Union adalah satu bentuk pentadbiran yang menghapuskan takhta Raja-Raja Melayu dan British bermudah-mudah memberikan hak kewarganegara samarata kepada kaum pendatang imigran di Tanah Melayu secara Jus Soli.

Oleh itu, bagi mengelakkan British dari memandai-mandai tentukan hala tuju Tanah Melayu ini, perlembagaan baharu digubal dengan campur tangan penduduk asal negara ini sendiri iaitu umat Melayu (Prince of Soil).

Pada 1947, Jawatankuasa Perundingan diwujudkan. Oleh itu, termeterainya Kontrak Sosial 1948 sebagai asas perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Umat Melayu boleh menerima kerakyatan kaum pendatang secara Jus Soli tetapi dengan bersyarat.

Sebagai tukaran (quid pro quo) terhadap budi baik umat Melayu yang memberikan taraf kewarganegaraan kepada kaum pendatang, maka kaum pendatang perlulah mengiktiraf hak keistimewaan Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu. Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Ketertinggian Agama Islam dan Kedudukan Bahasa Melayu juga perlu diakui. Pelawaan ini menggambarkan sifat keterbukaan umat Melayu yang sanggup berkorban, tolak ansur dan rela berkongsi sebahagian hak secara toleransi dengan kaum pendatang.

Jika kaum pendatang itu tidak bersetuju dengan syarat umat Melayu selaku tuan tanah untuk tinggal di Tanah Melayu ini, maka mereka diberi dua pilihan lain iaitu sama ada untuk :-
1 ) Pulang ke negara asal, atau
2) Berpindah ke negara Asia lain di bawah jajahan British (Komanwel).

Setelah perkara ini dipersetujui, barulah rakyat Tanah Melayu bergerak menuju kearah kemerdekaan dan pemerintahan sendiri. Dalam PRU pertama pada tahun 1955, umat Melayu mendominasi kerusi pemerintahan dengan begitu besar. Jika tanpa gabungan dengan kaum bukan Melayu pun, tetap umat Melayu boleh dirikan kerajaan sendiri. Namun perkara ini tidak dilakukan oleh umat Melayu. Umat Melayu bukan sahaja memberikan hak kewarganegaraan, bahkan hak untuk mengundi dan hak untuk menyertai politik juga diberikan menandakan tiada unsur "Second Class Citizenship" diamalkan.

Setelah ada barisan kerajaan sendiri, maka pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu ini pergi ke London untuk menuntut kemerdekaan penuh bagi memerintah sendiri negara ini tanpa campur tangan British. Pada 5 Ogos 1957, Majlis Raja-Raja Melayu menandatangani "7 WASIAT RAJA MELAYU" yang merangkumi :-

1) Nama negara ini adalah Persekutuan Tanah Melayu
2) Rizab tanah 50% untuk Umat Melayu
3) Rejimen Askar Melayu untuk melindungi anak cucu dari ancaman luar dan dalam negara
4) Jaminan mengekalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu
5) Islam Agama Persekutuan (Perkara 3)
6) Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan (Perkara 152)
7) Perlindungan Kedudukan Istimewa Orang Melayu (Perkara 153)

Kemerdekaan dan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan secara rasmi pada 31 Ogos 1957. Dengan adanya kemerdekaan dan perlembagaan ini, hak setiap orang sama ada Melayu dan bukan Melayu telah dijamin. Dengan adanya persetujuan-persetujuan di atas inilah terbinanya negara ini. Kaum bukan Melayu yang asalnya imigran dipelihara haknya dan tidak dipanggil "Pendatang" lagi setelah diberi kewarganegaraan manakala kaum asal iaitu Tuan Tanah diiktiraf kedudukan istimewanya.

Jadi perlulah kita seluruh rakyat Malaysia hidup rukun damai, saling menghormati dan bersatu padu. Bersyukurlah, berterima kasihlah, berhutang budilah. Kenangkan kembali perjanjian-perjanjian ini dulu. Kita dah merdeka 60 tahun lebih dah. Perkara asas sebegini sepatutnya tak perlu diungkit kembali. Kita sekarang nak menuju ke arah Negara Maju Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan sumbangan dari seluruh warga Malaysia. Hanya dengan keamanan negara sahajalah dapat kita capai hasrat ini. Duduk baik-baiklah kerana kita sudah lama bahagia di tanah ini. Jangan minta lebih, takut apa yang sudah ada nantinya hilang semua.


No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.