Sunday, September 30, 2018

Sistem Parkir Berbayar dikuatkuasa 1 Oktober 2018..


Sekadar nak berkongsikan penguatkuasaan sistem parkir berbayar di Cameron Highlands oleh Majlis Daerah Cameron Highlands mulai esok.

Saya memang tak bersetuju sebab antara kelebihan menetap  di Cameron Highlands yang sering saya kongsikan tiada tol Dan tiada parkir berbayar. 

Kini satu daripadanya ditarik balik....

UNTUK MAKLUMAN

Kawasan - kawasan yang akan dikenakan bayaran tempat letak kereta bermula pada 1 Oktober 2018 

Pas Bulanan : Sebulan RM80.00 
3 bulan keatas akan menikmati potongan sehingga 25%.

- Sejam - RM0.60.
- Kupon Sehari - RM6.00.
- Kupon Bas - RM3.00
- Tempat Letak Kereta Berpusat di Medan Agro Keafarm dan Pasar Malam Golden Hills RM3.00.

Waktu Operasi : 8.00 Pagi - 6.00 Ptg (Kecuali Pasar Malam Golden Hill 4.00 Ptg - 11.00 Mlm).

Nota : Sekiranya gagal memaparkan kupon tempat letak kereta dan melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Tempat Letak Kereta, akan dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM30.00 Min - RM300.00 Max.

Status Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands

Buat mereka yang masih percaya nasihat Mak Cik Leha di Papua New Guinea atau Mak  Senah  di Nicaragua...

Dah terangkan pun mesti ada soalan susulan  tapi..... betul ke? Boleh sahkan?

Saya share yang Rasmi dari JKR.... tapi tolong baca sampai habis... baru tanya ... setakat tengok tajuk lepas tu tanya ... letih nak layan woooo


Thursday, September 27, 2018

Purple Heron

Burung Purple Heron ini saya temui di Sungai Manik, Perak. 

Ini adalah versi baru yang saya temui berbanding versi pertama di Cameron Highlands.

Di sini lebih banyak malah mudah nak jumpa dicelahan pokok padi ataupun yang telah dituai. 


Burung ini sangat 'jinak' kerana tidak lari berbanding dengan purple heron yang saya temui di lokasi lain yang akan segera terbang. 

Di Sungai Manik mereka sangat santai dan biasa dengan kehadiran manusia sekitar kawasan mereka. 

Untuk catatan awal saya mengenai Purple Heron, anda boleh klik di SINI

Selebihnya saya kongsikan gambar yang saya rakamkan semalam. Cuma ini koleksi amatur sahaja dari saya sebab saya sendiri pun sedang belajar menangkap gambar.







Macamana Cuaca di Cameron Highlands minggu ini?

Soalan yang akan berulang kali ditanya dan akan dijawab saya setiap minggu adalah keadaan cuaca dan ramalannya di hujung minggu kerana anda akan bercuti di sini.

Dan seabagaimana yang saya selalu jawab dan rujuk adalah laman web http://www.met.gov.my dan ramalan cuaca bagi kawasan pelancongan Cameron Highlands bagi esok sehingga Isnin adalah seperti dibawah:


Anda boleh klik di Link ini untuk terus ke laman web MET MALAYSIA .
http://www.met.gov.my/forecast/weather/tourist/Rc008

PECAHAN LALUAN AIR JALAN PERSEKUTUAN 185 SIMPANG PULAI KE CAMERON HIGHLANDS

Dari semalam orang tanya saya betulkah kejadian air terjun melimpah di Cameron Highlands.

Saya betulkan ia bukan berlaku di Cameron Highlands tetapi di laluan KILOMETER 42 JALAN  Persekutuan 185 Simpang Pulai ke Cameron Highlands ke Lojing.

Kilometer 42 ini terletak dalam Daerah Batu Gajah, Perak yang bersempadanan dengan Negeri Pahang dan juga Daerah Cameron Highlands. 

Bagi yang pernah melaluinya, lokasi ini memang ada alur air terjun dan terdapat penghadang konkrit yang dibina di hadapannya. 


Lokasi ini sebelum kawasan tinjau banjaran Titiwangsa di km 44 dan juga Half Tunnel di km 46. Kalau tak silap saya di km 48 anda akan sampai ke sempadan Negeri Pahang dan Perak atau sempadan Daerah Cameron Highlands dan Batu Gajah. 

Merujuk kepada rekod juga, limpahan air ini telah berlaku berapa kali sebelum ini dengan kejadian terakhir setahun dua yang lalu ketika banji kilat berlaku di Tanah Rata seketika.

Laluan ini terjejas selama dua jam akibat runtuhan konkrit pelindung namun tiada tanah runtuh berlaku dan kembali dibuka selepas itu. 

JKR yang bertanggungjawab adalah JKR Kinta Perak dan bukan di bawah JKR Cameron Highlands, Pahang.

Dapatkan fakta rasmi sebelum berkongsi apa sahaja khabar yang diterima. 


Contoh laporan adalah laporan rasmi Balai Bomba Dan Penyelamat di bawah manakala gambar dari sumber viral Facebook yang saya kumpulkan:

**********************************************************************************************************

SALAM JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA BERPRESTASI TINGGI, CEPAT DAN MESRA 

BBP CAMERON HIGHLANDS 

JENIS INSIDEN: PECAHAN LALUAN AIR  JALAN CAMERON HIGHLANDS KE SIMPANG PULAI

TARIKH: 26/09/2018

MASA: 16:00:00

MANGSA : TIADA
        
KEANGGOTAAN: 7 ORANG
BBDP CAMERON HIGHLAND
C1-48
C2-15 (EMRS)

BERLAKU PECAHAN LALUAN AIR SEHINGGA MENYEBABKAN TEMBOK TEPI TEBING PECAH DAN AIR MELIMPAH MEMASUKI KAWASAN JALAN RAYA UTAMA DAN TIDAK BERLAKU KES TANAH RUNTUH. 

TINDAKAN PASUKAN BOMBA MELAKUKAN KERJA-KERJA PEMBERSIHAN JALAN.

*************************************
Sebelum anda nak tanya keadaan terkini dan status jalan yang terlibat, jawapan anda itu boleh dibaca di 
CATATAN TERKINI SAYA : STATUS JALAN SIMPANG PULAI.

Limpahan Air Terjun di kilometer 42 Jalan Persekutuan 185 Simpang Pulai ke Cameron Highlands


Jawapan kepada yang bertanya adakah Jalan Persekutuan 185 Simpang Pulai ke Cameron Highlands dibuka semula atau ditutup. 

Jawapan dari JKR ni. Jangan nak tanya kenapa errrrr.... iye ke?? Betul ke?? Tapi mak Ngah Senah  saya kat Nicaragua cakap jalan dah runtuh... 

Nak percaya atau tidak penerangan JKR ini terpulang..... 

*LAPORAN AWAL BENCANA ALAM*

Jenis Kejadian:  Limpahan air dr atas bukit

Kategori : Persekutuan

Punca : Hujan lebat 

Tarikh  Kejadian: 26/09/2018

Masa: 3.00 pm

Daerah:  Kinta

No. Laluan: Ft185

Nama Jalan: Jalan Simpang Pulai - cameron highland

Seksyen: Seksyen 42

Length : 20m

Status Laluan: Laluan boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Catatan: Sisa runtuhan telah dibersihkan bg membuka laluan kepada kenderaan.

Wednesday, September 26, 2018

Kawasan - kawasan yang akan dikenakan bayaran tempat letak kereta

Dipetik dari Facebook Majlis Daerah Cameron Highlands mengenai kawasan yang akan dikenakan caj letak kereta.

UNTUK MAKLUMAN

Kawasan - kawasan yang akan dikenakan bayaran tempat letak kereta bermula pada 1 Oktober 2018 

Pas Bulanan : Sebulan RM80.00 
3 bulan keatas akan menikmati diskauan sehingga 25%.

- Sejam - RM0.60.
- Kupon Sehari - RM6.00.
- Kupon Bas - RM3.00
- Tempat Letak Kereta Berpusat di Medan Agro Keafarm dan Pasar Malam Golden Hills RM3.00.

Waktu Operasi : 8.00 Pagi - 6.00 Ptg (Kecuali Pasar Malam Golden Hill 4.00 Ptg - 11.00 Mlm).

Nota : Sekiranya gagal memaparkan kupon tempat letak kereta dan melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Tempat Letak Kereta, akan dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM30.00 Min - RM300.00 Max.

Monday, September 24, 2018

Gangguan Bekalan Air Berjadual di Cameron Highlands

Saya kongsikan Notis Gangguan Bekalan Air Berjadual di Cameron Highlands esok dan lusa. 


Sunday, September 23, 2018

Kuasa Marshal konvoi???


Kepada mana-mana konvoi ke Cameron Highlands baik motor, kereta, lori, basikal, sampan, kapal selam, kapal terbang dan sekufunya... 

TIADA KUASA UNTUK MENYURUH ANDA MEMBERI LALUAN/ LENCONG / HENTIKAN KENDERAAN 

Semua pengiring atau marshall TIDAK DIBENARKAN sama sekali mengawal lalu lintas sesuka hati. Penggunaan marshall dalam sesuatu pertandingan, konvoi atau apa jua program mestilah dihadiri dengan polis trafik.


Orang awam atau pengguna jalan raya boleh mengingkari perintah mashall ini sekiranya mereka melakukan tugas-tugas trafik seperti meminta anda memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan, melencongkan kenderaan anda dan pelbagai lagi.

Mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas trafik tanpa anggota trafik boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 atau Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jom share #infobersama untuk manfaat kita semua.

"Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada"

#PolisDirajaMalaysia
#RoyalMalaysiaPolice
#PDRM
#RMP
#InfoBersama

Info dari FB Polis Diraja Malaysia.

Tuesday, September 18, 2018

Homestay Taman Sedia


KEPADA YANG MAHU BOOKING HOMESTAY KG TAMAN SEDIA.

HOMESTAY DR.AYOB 

Tiny Home Butik 

ORCHID HOMESTAY 

RZ LODGE 

M& Z HOMESTAY 05-6211261

ROS CHALET STRAWBERRY FARM 

LILY HOMESTAY 
05-4911477

Azalea Muslim  Homestay 

CIKGU RAFLES HOMESTAY 

DAHLIA HOMESTAY 

NEEZA CHALET 

MARINA CHALET 05-4911295

AL-MASHOOR CHALET 05-4914204

ANGGERIK DESA CHALET 

AIZA CHALET 

ASZI HOMESTAY 

Bunga Raya Homestay WAN SHOHAIMI

Sejuk ke Cameron Highlands sekarang?

Yang tanya Cameron Highlands sejuk ke tidak minggu ni... entah la... kulit kita lain-lain....

Saya bagi gambar ni bercakap... cer teka apa dia.... 


*gambar pagi semalam....

Saturday, September 15, 2018

Tan Sri Ghazali Shafie


Saya kongsikan tanpa prejudice kepada mana-mana pihak kerana saya menumpukan ketegasan Tan Sri Ghazali dalam pengurusan krisis yang dilalui. 


MUHAMAD MAT YAKIM
8 September 2016

SEJAK tersebar gambar pertemuan Tun Mahathir dengan Datuk Seri Anwar di mahkamah, yang menunjukkan mereka buat pertama kali berjabat tangan selepas 18 tahun Anwar dipecat, saya ditanya oleh seorang rakan, adakah itu menunjukkan Mahathir kesal kerana tidak meneruskan rancangan asalnya melantik Anwar sebagai pengganti?

Saya bukanlah Mahathir, ataupun sekurang-kurangnya orang yang dekat dengan dia, maka tidaklah saya dapat menjawab soalan itu.

Apa yang saya boleh katakan adalah bukan Anwar seorang sahaja yang kita lihat berpotensi untuk jadi Perdana Menteri, sebenarnya ada beberapa orang lagi dan mereka juga seperti Anwar, ditakdirkan tidak sampai untuk duduk di kerusi No. 1 itu. Kita selama ini begitu memfokuskan kepada pengganti Mahathir.

Apabila Pak Lah dikatakan tidak memiliki kompetensi untuk terus berada di kedudukan itu dan hanya mampu bertahan enam tahun sahaja – yang secara relatif dikira singkat mengikut tempoh Malaysia tetapi tidak bagi negara lain – lalu digantikan dengan Najib, keadaan tidaklah semakin baik.

Seperti Pak Lah, Mahathir kini berkempen untuk menurunkan Najib pula. Saya tidak pernah lupa akan kata-kata seorang bekas menteri dalam Kabinet Mahathir ketika kami bertemu beberapa tahun lalu: "Lama (jadi Perdana Menteri) bagus tetapi terlalu lama, tidak bagus. Ia akan mengorbankan pemimpin lain yang juga berkebolehan."

Bantah

Selain Anwar, ramai yang anggap Tengku Razaleigh Hamzah paling layak untuk diangkat jadi Perdana Menteri, demikian juga Musa Hitam. Namun sebelum Mahathir, Ghazali Shafie @ King Ghaz juga disebut-sebut sebagai pilihan untuk menduduki kerusi itu. King Ghaz sememangnya dimahukan oleh Hussein Onn untuk jadi timbalannya apabila Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri secara mengejut sejurus selepas kematian Tun Razak di London pada 14 Januari 1976.

Dari segi keupayaan, Ghazali lebih daripada layak. Pada 1962, dia dilantik menganggotai Suruhanjaya Cobbold untuk mengkaji cadangan membentuk Persekutuan Malaysia dengan penyertaan Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Labuan, juga merangka draf perlembagaan baharu Persekutuan. Kelulusannya dalam bidang perundangan dan hubungan antarabangsa yang dilengkapkan dengan pengalaman kerjaya yang luas melayakkan dia untuk duduk di mana sahaja.

Bagaimanapun atas sebab dia bukan seorang daripada Naib Presiden Umno ketika itu, Ghazali dianggap tidak cukup syarat untuk diterima sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ura-ura pelantikannya dibantah oleh mereka yang memegang jawatan jawatan tersebut iaitu Ku Li, Ghafar Baba dan Mahathir. Mereka bertemu Hussein dan memberi kata dua kepadanya: "Lantik seorang daripada kami ataupun kami akan boikot Kabinet!"

Setelah berunding dengan Abdul Kadir Yusoff, seorang daripada anggota Kabinet yang juga rakan karibnya sejak di London, Hussein memilih Mahathir. Ku Li walaupun menduduki kerusi Naib Presiden No. 1 (berdasarkan undi terbanyak diperolehinya ketika pemilihan), memberi laluan kerana dia dijangka masih mempunyai peluang untuk mendaki hierarki tertinggi pada masa depan atas perkiraan umurnya yang lebih muda berbanding Mahathir.

Meskipun Mahathir dilantik Timbalan Perdana Menteri, hubungannya dengan Hussein tidak begitu baik. Tidak dapat dipastikan sama ada hal itu ada kaitan dengan kemahuan Hussein terhadap Ghazali yang terhalang oleh kata dua Naib Presiden Umno yang bertiga itu.

Garang

Hakikatnya, apabila Mahathir naik jadi Perdana Menteri bermula 16 Julai 1981, hayat politik Ghazali tidak bertahan lama. Ini dikatakan ada kaitan dengan tindakan Ghazali selaku Menteri Dalam Negeri menahan Siddiq Ghouse, Setiausaha Politik Mahathir bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 13 Julai 1981, tiga hari sebelum Mahathir angkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Siddiq disyaki menjadi ejen KGB, agensi perisikan Soviet Union. Dia sebelum itu telah tujuh tahun menjadi Setiausaha Politik Mahathir sejak di Kementerian Pelajaran.

Sebaik menduduki kerusi Perdana Menteri, Mahathir memindahkan Ghazali ke Kementerian Luar dan pada 30 Julai 1981, dia membebaskan 21 tahanan ISA. Posisi Ghazali di Kementerian Dalam Negeri digantikan dengan Musa Hitam yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Dalam satu dialog selepas pengkisahan pengalamannya bersama pelajar Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi (FBMK) UPM ketika saya mengikuti pengajian PJJ di universiti itu pada 2004, saya bangun bertanya kepada Ghazali, adakah dia terfikir selepas dirinya, jawatan Menteri Dalam Negeri hanya dipegang sama ada oleh Perdana Menteri sendiri ataupun timbalannya kerana mereka tidak lagi percayakan orang lain selepas melihat ketegasannya (menangkap Siddiq Ghouse)?

Saya tidak ingat apa jawapan Ghazali tetapi hakikatnya, selepas Musa, jawatan Menteri Dalam Negeri dipegang sendiri oleh Mahathir hinggalah dia bersara.

Apabila Pak Lah ambil alih sebagai Perdana Menteri, dia sendiri juga pegang jawatan itu. Hanya dalam Kabinet Najib, barulah dia mempercayakan orang lain untuk memegang jawatan tersebut iaitu kepada sepupunya, Hishammuddin Hussein dan Ahmad Zahid Hamidi.

Saya berani bangun bertanyakan Ghazali soalan itu atas kedudukan sebagai pelajar.

Jika tahu saya wartawan, dia mungkin tidak selesa atau tidak mesra untuk menjawab soalan saya kerana semua wartawan tahu betapa 'cengey' (garang) Ghazali dengan wartawan.

Apa pun, sesiapa yang mengikuti kisah hidup King Ghaz tahu dan akui bahawa dia adalah negarawan yang hebat. Terlalu banyak jasanya kepada negara jika mahu disebutkan satu persatu.

Antara yang saya masih ingat, kepada pelajar FBMK UPM malam itu, dia menceritakan pengalamannya tangani sendiri insiden Tentera Merah Jepun (JRA) yang berfahaman komunis dan mahu menghapuskan sistem pemerintahan beraja Negara Matahari Terbit itu menawan bangunan AIA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 1975.

Sebenarnya bukan itu sahaja keganasan yang pernah dicetuskan JRA. Mereka pernah menyerang Lapangan Terbang Lod Israel (sekarang LTA Ben Gurion) di Tel Aviv menyebabkan 24 terbunuh, merampas kapal terbang dan menyerang pusat rekreasi tentera Amerika Syarikat (AS) di Itali selain menyerang beberapa kedutaan di serata dunia.

Pengganas

Ertinya, JRA bukanlah sembarangan pengganas. Mereka juga anti AS dan Israel serta pro perjuangan Palestin. JRA menawan bangunan AIA dengan 53 tebusan yang termasuk beberapa diplomat asing yang beroperasi di bangunan berkenaan demi menuntut pembebasan tujuh rakan mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa Jepun.

Mereka hanya bersedia untuk membebaskan para tebusan jika rakan-rakan mereka yang ditahan itu dibebaskan dan dihantar ke Kuala Lumpur. Pada mulanya, Menteri Perhubungan, V. Manickavasagam ditugaskan untuk berunding dengan kumpulan itu, juga pihak kedutaan yang terlibat. Rundingan dikendalikan Manickavasagam bagaimanapun gagal.

Ketika itu, Ghazali berada di Jakarta untuk tugasan rasmi. Dia bergegas pulang dan diarahkan oleh Tun Razak untuk ambil alih tugasan Manickavasagam. Keberanian dan kesungguhan Ghazali mengejutkan. Dia masuk ke bangunan AIA untuk berunding. Difahamkan tiga hari dia keluar masuk bangunan itu.

Akhirnya persetujuan dicapai dengan JRA. Kerajaan Jepun pada mulanya enggan menurut tuntutan kumpulan berkenaan beralasankan maruah. Namun atas desakan Ghazali yang bertegas mahu mengelak kemungkinan lebih buruk, mereka terpaksa akur. Anggota JRA yang ditahan dibawa ke Kuala Lumpur.

Episod dibawa ke satu fasa yang masih juga tidak mudah. JRA menuntut dihantar ke negara ketiga yang sedia memberi jaminan untuk mereka tidak akan ditahan. Berbekal pengalaman dan pergaulan luas Ghazali di peringkat antarabangsa, dia berjaya mendapatkan persetujuan Libya yang dipimpin Muammar Gaddafi untuk menerima anggota kumpulan itu.

Mereka akan dihantar ke sana dari Kuala Lumpur dengan pesawat DC-8 Japanese Airlines yang dirampas JRA di Seoul, Korea Selatan.

Terhempas

Setelah persetujuan dicapai, Ghazali menuntut pembebasan kesemua tebusan. JRA bersetuju dengan syarat, tebusan harus diganti dengan empat wakil kerajaan iaitu dua dari Malaysia dan dua dari Jepun yang akan mengiringi mereka ke Tripoli.

Ghazali bersetuju.

Wakil Malaysia yang dipilih ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Ramli Omar dan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Osman Samsuddin Cassim. Jepun bagaimanapun berusaha melengah-lengahkan usaha itu dengan memberi alasan juruterbang mereka perlu berehat dahulu sebelum berlepas ke Tripoli. Sebenarnya juruterbang itu takut ditembak.

Akhirnya, juruterbang MAS, Kapten Hassan Ahmad diputuskan akan mengambil alih tugas menerbangkan mereka ke Tripoli.

"Itupun, masalah tidak selesai juga," kata Ghazali dalam nada suara tersekat-sekat (akibat uzur) ketika berkongsi pengalamannya dengan pelajar UPM, 12 tahun lalu.

"Kami hadapi masalah untuk pesawat itu turun mengisi minyak kerana tidak ada negara yang sanggup memberikan kebenaran mendarat kapal terbang yang bawa anggota JRA ini," katanya. Di sini, sekali lagi keupayaan dan kemahiran Ghazali dalam arena diplomasi antarabangsa diuji, dan dia berjaya membuktikan.

Dia hubungi Perdana Menteri Sri Lanka, Bandaranaike untuk mendapatkan persetujuan mendarat di Colombo.

Namun, itu tidaklah mudah juga. Hanya setelah beberapa lama rundingan, barulah Bandaranaike bersetuju, itupun dengan syarat, tidak ada sesiapa dibenarkan keluar ketika pesawat mengisi minyak.

"Saya diberitahu, ketika kapal terbang itu mendarat di Lapangan Terbang Colombo, berpuluh-puluh kereta kebal sudah menunggu," kata Ghazali dalam pengkisahan itu. Pada 8 Ogos 1975, pesawat yang membawa pengganas JRA dengan empat wakil kerajaan termasuk dua dari Malaysia berjaya mendarat di Tripoli.

Pada 10 Ogos 1975, Ramli dan Osman kembali ke Kuala Lumpur dalam keadaan selamat.

Keupayaannya mengendalikan krisis rampasan dan tebusan selama lima hari itu tanpa pertumpahan darah menjadi salah satu daripada petunjuk karisme dan kewibawaan King Ghaz sebagai pemimpin pada zaman itu.

Satu lagi peristiwa yang paling diingati melibatkan dirinya ialah kejadian pesawat Cessna yang dipandunya terhempas di Janda Baik, Pahang pada 10 Januari 1982.

Ghazali ketika itu dalam penerbangan ke Kuala Lipis, kawasan Parlimennya. Tragedi itu mengorbankan pengawal peribadinya, Asisten Superintendan Charon Daam dan pembantu juruterbang, Vergis Chacko.

Ghazali sendiri mulanya disangka senasib dengan mereka hingga ada akhbar yang tersalah lapor berita muka depannya dengan tajuk 'King Ghaz Dies' (King Ghaz terkorban).

Bagaimanapun esoknya, setelah mendapati apa yang mereka laporkan itu tidak benar, akhbar yang sama membuat laporan yang berbeza - We're happy Ghaz is alive! (Kami gembira Ghaz masih hidup!).

Ghazali sendiri ketika bercakap dengan wartawan selepas ditemukan selamat berkata: "Saya masih hidup dengan takdir ALLAH."

Ini kerana memanglah luar biasa untuk seseorang selamat dalam peristiwa pesawat jatuh terhempas seperti itu.

Begitulah warna-warni hidup seorang negarawan yang menyerahkan diri dan seluruh kehidupannya kepada rakyat dan negara.

Dia meninggalkan dunia pada jam 7.45 malam, 24 Januari 2010 dalam usia 88 tahun sebagai orang biasa, bukan yang kaya raya dengan harta dan kemewahan dunia meskipun setelah begitu lama berada dalam tampuk kuasa.

Kerana itulah, pemimpin seperti King Ghaz berani dan cekap untuk bertindak tegas dengan sesiapa sahaja kerana mereka tidak terikat dengan kepentingan diri. Perhatikanlah sama ada dalam barisan hadapan kepimpinan negara hari ini yang kalau pun tidak lebih, ada pemimpin yang memberikan tahap kualiti seperti itu.

Mungkin itu boleh jadi jawapan saya kepada pertanyaan rakan tadi sama ada Mahathir kesal dengan tindakannya 18 tahun lalu mengenepikan Anwar sebagai pengganti!

Terima Kasih Polis Cameron Highlands


Saya memetik dari Laman Facebook Polis Cameron Highlands mengenai tugasan kawalan trafik di musim cuti minggu ini.


Terima kasih PDRM.

PDRM Telah Mengaturkan Seramai (4) Pegawai Dan (30) Anggota Untuk Mengawal Lalu Lintas Di Cameron Highlands Yang dijangka Sesak Minggu Ini.

Friday, September 14, 2018

Rekod Kesesakan Jalan Raya terburuk di Cameron Highlands

Cuti Keputeraan Kebawah Dulu Yang Maha Mulai Yang Dipertuan Agung pada Ahad, 9 September diganti pada Isnin dan bersambung pula dengan Cuti Awal Muharam pada 10 September menjadi 4 hari berterusan.

Seperti dijangka, Cameron Highlands sesak  dengan pelancong malah dikategorikan  sebagai Rekod Paling Sesak.

Anggaran sebanyak 30,000 buah kenderaan dan 100,000 pelancong bertamu di sini dalam tempoh singkat ini 

Saya nak kongsikan rakaman  skrin keadaan kesesakan jalan raya Dan rekod kali ini sesak bermula dari sebelum Ringlet hingga ke Kampung Raja. 


Pelancong Sampah 2!!!

Semasa di Cameron Highlands, anda mungkin terperangkap dalam kesesakan dan mungkin berhenti makan.

Namun selepas kenyang jangan la mudahkan urusan anda dengan membuang sahaja sisa bebas makanan anda di tepi jalan.

Anda menyusahkan orang lain untuk membersihkannya.

Anda juga menyebabkan pemandangan di sini tidak cantik dan indah lagi.

Boleh tak? 


Pelancong Sampah!!!

kepada pelancong yang datang ke sini yakni Cameron Highlands, terutama di sudut pandang pemandangan indah ini di Ladang Teh ini, mohon jangan rosakkan suasana ini dengan membuang sampah.

Paling  mudah sampah makanan anda di sini semasa menikmati pemandangan yang indah. 

Tiada tempat lain selain di sini. Tapi anda bagaikan beruk mendapat bunga. Malah kalau anda membaca komen balas post di Facebook ini semuanya mengecam perbuatan anda.

kepada yang membaca, jangan ikut perangai haiwan ini.

Anda lihat keindahan, simpan di dalam hati dan ingatan anda keindahan tersebut. 


Cuti Hari Malaysia 2018


Jumaat dah ni.. Ada sesiapa nak merasa sesak atas jalan... tidur dalam kereta... silakan ke Cameron Highlands sempena Cuti Hari Malaysia sehingga Isnin ini.

Cuma golongan berikut diminta tidak perlu datang ke sini:

1. Sangat pandai buat anak, tapi urusan berak anak tak pandai pula. Pamper buang bawah kereta, tepi jalan, bangku taman dan pasu bunga.

2. Bawak kereta macam escort VVIP.  Mencelah sesuka hati. 

3. Beli kereta mahal tapi parkir kereta 3 ringgit liat nak bayar di Kea Farm. Parkir di tepi jalan yang dilarang. Sesak 10 km di belakang  bukan urusan aku katanya! 

4. Gang konvoi motor ke kereta ke kapal terbang dan kapal  selam yang mana ada  mamat poyo  yang pakai vest kuning ada tulis marshall ke apa ntah yang akan tahan trafik sesuka hati  untuk pergerakan konvoi  tu. Kami tak respek  malah menyampah sesangat.

5. Yang tak boleh hujan sebab nanti upload status benci hujan.

6. Yang tak reti nak check Kat waze atau Google Maps untuk status jalan atau trafik.

7. Yang tak tahu nak ke  mana lalu naik status  bagi cadangan.. anda dah tunjukan anda jenis tak merancang perjalanan anda atau harapan semuanya tersedia depan mata.

8. Yang jenis alergik dengan tong sampah. sebab tu buang sampah sesuka hati.

9. Yang alergik kereta kotor  maka sampah perlu dibuang serta merta dari kereta dengan kaedah buka tingkap dan campak aje.

10. Yang kaki petik... semua jenis bunga di taman dan simpang nak dipetik malah dicabut untuk dibawa pulang.

cukup 10 dulu... Yang 11 seterusnya pandai-pandailah di ruangan komen.

kawan2 tambah....

11. Bawak kereta menyiput betul.... bertepuk tampar.... melentok liuk manjanya sebab naik Cameron mestilah  mood honeymoon..bhai kereta bawak slow.... romantik... Yang Kat belakang pun kena ikut bontot menyiput..... laju  la sikit .... Kami Ada yang bekerja atau urusan lain ..

bukan marah... sekadar membawang.....

Cuti Hari Malaysia


IPOH – Polis meminta kerjasama semua pengguna jalan raya supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan terutama di bahu jalan di Cameron Highlands bagi mengelak kesesakan teruk sempena Cuti Hari Malaysia, pada Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Ashari bin Abu Samah berkata, ia berikutan pusat peranginan itu dijangka mengalami peningkatan berganda kenderaan yang mengakibatkan jalan padat dan sesak di kawasan berkenaan.

Beliau berkata lokasi dijangka mengalami kesesakan adalah di sekitar kawasan Kea Farm, pekan Brinchang dan pekan Tanah Rata yang merupakan kawasan tumpuan pelancong serta berhampiran jalan utama.

"Penunggang atau pemandu dinasihatkan sentiasa berhemah dan berwaspada, memerhatikan dengan cermat pengguna jalan raya lain serta tidak menjadi punca berlakunya kesesakan dan mengelak kemungkinan terlibat kemalangan.

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mematuhi had laju yang dibenarkan, tidak memotong barisan dan dilarang meletakkan kenderaan di bahu jalan terutama di kawasan yang boleh menyebabkan kesesakan. Kita juga telah membuat persediaan serta akan menambah anggota yang bertugas bagi membantu melancarkan trafik di sini. Polis akan menjalankan penguatkuasaan sepenuhnya dan toleransi sifar atas  kesalahan ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga berkata telah berlaku kesesakan teruk di Cameron Highlands pada cuti panjang minggu lepas akibat dari pertambahan kenderaan dan pelancong yang luar biasa. Dianggarkan lebih kurang 30,000 kenderaan dan hampir 100,000 pengunjung datang ke Cameron Highlands pada cuti umum minggu lepas. Pengunjung juga dinasihatkan agar merancang perjalanan mereka dan membuat tempahan penginapan terlebih dahulu agar tiada lagi kejadian pengunjung yang tidur di dalam kenderaan. 

Ashari juga berkata bagi penunggang motosikal yang berkonvoi perlu mengikut undang-undang dan tiada perkhidmatan 'marshall' dibenarkan bagi tujuan iringan atau menahan kereta.

Beliau juga meminta pengunjung yang pertama kali ke Cameron Highlands supaya peka dengan papan isyarat lalu lintas di sekitar Pekan Brinchang.

"Laluan berkenaan dijadikan laluan sehala bagi melancarkan lagi pergerakan kenderaan.

"Pelancong mahupun orang tempatan diminta mematuhi laluan sehala berkenaan dan tidak memandu atau menunggang melawan arus untuk mengelak risiko berlaku kemalangan," katanya.

Copy n paste dari tingkap sebelah 😆

Wednesday, September 12, 2018

KENAPA INDONESIA TIDAK MEMPUNYAI SULTAN?

Gambar Pinjam : Cameron Golf Resort. Tiada kena mengena.

Pinjam catatan sejarah dari catatan Facebook ;

Jam 12 malam 3 Mac 1946 merupakan detik hitam bagi orang Melayu dan kini menjadi penyesalan yang tak sudah bagi sebahagian besar warga Melayu di Sumatera Timur. Ia juga merupakan penyebab orang Melayu Semenanjung menolak untuk menyertai gagasan Indonesia.

Dalam satu malam sahaja, beberapa orang Sultan di beberapa negeri telah dibunuh dengan kejam oleh puak pro-komunis yang dibantu oleh kuli-kuli ladang dari keturunan pendatang luar.

Peristiwa bermula menjelang tahun 1946 di mana keadaan suhu politik di Sumatera Timur menjadi panas apabila kumpulan pro-komunis mula menguasai parti politik dan juga membentuk askar bersenjata di antaranya Laskar Buruh atau Parti Komunis Indonesia.

Istana Darul Aman, Tanjung Pura, milik Kesultanan Langkat, di tahun 1930an. Kini ia musnah hancur akibat fitnah puak yang melaungkan 'Ketuanan Rakyat' yang semata-mata mahukan kuasa bersama-sama berbelas-belas istana kesultanan lain di Sumatera Timur. Rakyat Sumatera Timur kini menyedari kesilapan yang telah dilakukan oleh datuk nenek mereka terdahulu.

Akibat jarak dan kegagalan Sukarno berhubungan dengan sultan-sultan Melayu di Sumatera bagi mendapatkan kepastian mereka dalam pernyataan sokongan kemerdekaan dari Belanda, Timbalan Gabenor Sumatera yang dilantik, Amir Syarifuddin (salah seorang pro-komunis) tiba di Serdang dalam negeri Asahan dari pulau Jawa dan menghasut para penyokong komunis supaya menghapuskan kuasa Sultan dan bangsawan di istana mereka di Serdang. Dia merupakan seorang penulis yang merupakan redaksi majalah Pemoeda Soematra.

Secara diam-diam, pihak komunis mempersiapkan rancangan untuk menghapuskan monarki kerajaan Melayu dan ingin mengambil alih pemerintahan kerajaan. Mereka kemudian membuat propaganda di akhbar, radio dan risalah serta isu-isu fitnah palsu untuk menghasut rakyat dengan laungan 'Daulat Rakyat' bagi melawan laungan 'Daulat Tuanku'. Selain itu, isu bahawa Raja-Raja Melayu ini mempunyai hubungan baik dengan Belanda dimainkan kononnya pihak istana memeras dan menindas rakyat.

Muslihat ini dilakukan setelah Gabenor Sumatera yang dilantik, Tengku Muhammad Hassan beserta rombongan dengan 7 buah kereta , bertolak dari Medan pada 6 Februari 1946 melalui Brastagi dan Sumatera Tengah menuju ke Sumatera Selatan, dan mengikut rancangan, akan kembali ke Medan pada 22 Mac 1946.

3 Mac 1946, tepat jam 12 malam secara serentak, orang ramai yang kebanyakan rakyat pendatang, telah dipimpin oleh orang-orang komunis kiri PKI dan mengajak bersama-sama mereka PNI dan Pesindo, menyerbu istana dan pejabat kerajaan Melayu dan mengumumkan bahawa kerajaan Melayu telah dihapuskan oleh rakyat Indonesia.

Pembunuhan terhadap kerabat-kerabat raja dilakukan secara besar-besaran dengan ada yang dibenamkan di laut, dipotong kepala mereka, ditanam hidup-hidup dan berbagai pembunuhan sadis yang lain, di lakukan oleh orang ramai yang pro-komunis yang dipimpin Parti Komunis Indonesia.

Penyerbuan itu merupakan tragedi buat Sultan Bidar Alam Syah IV di negeri Bilah, Sultan Mahmud Aman Gagar Alam Syah di negeri Panai dan Tengku Mustafa yang digelar Yang Dipertuan Besar Makmur Perkasa Alam Syah di negeri Kota Pinang, kesultanan Serdang Asahan di Tanjung Balai, Kesultanan Deli di Medan, kerajaan Melayu Yang Dipertuan Tengku Al Haji Muhammad Syah di Labuhan Batu.

Kesemua sultan ini mangkat dibunuh oleh rakyat pendatang yang bekerja di ladang-ladang Sultan yang terpengaruh dengan dakyah komunis.

Hampir separuh penduduk negeri-negeri ini terdiri dari kaum pendatang yang didatangkan sebagai kuli di ladang-ladang.

Di tempat lain, istana Sultan Langkat di Tanjung Pura dan di kota Binjai diserbu dan dirompak, di mana kerabat raja-raja Melayu Langkat ditangkap dan sebahagian besar dibunuh dengan kejam termasuk sasterawan Indonesia yang terkenal, Tengku Amir Hamzah. Lebih kejam, puteri-puteri Sultan Langkat diperkosa dan yang lebih memilukan lagi pemerkosaan dilakukan di depan mata baginda Sultan Langkat, dan putera mahkota yang masih muda hilang entah ke mana.

Kekejaman ini dilakukan oleh seorang pemimpin PKI bernama Marwan dan pengikut-pengikutnya.

Kesultanan Langkat adalah kesultanan paling kaya dan mewah di Sumatera kerana mempunyai hasil petroleum dan jika istana Sultan Langkat yang hangus dibakar itu masih berdiri, ia merupakan khazanah yang tinggi nilainya untuk orang Melayu sedunia.

Kerabat-kerabat lelaki di negeri Asahan dibunuh kesemuanya termasuk isteri Tengku Musa dan anaknya. Dalam masa beberapa hari, 140 orang yang dikenalpasti sebagai kerabat raja yang memakai nama Tengku, Wan dan Raja mati dibunuh dengan kejam di Asahan sahaja.

Mereka kemudian menangkap semua kerabat-kerabat diraja Melayu di beberapa daerah terdiri dari perempuan dan anak-anak dan dibawa ke kem tahanan di Simalungun dan Tanah Karo, disiksa, dihina dan dibunuh.
Indonesia pada waktu ini seolah-olah menyokong kekejaman ini sehinggakan dua generasi orang Melayu hampir kehilangan identiti mereka.

Mereka takut mengaku Melayu, takut memakai baju Melayu dan menambah gelaran Batak di depan nama mereka supaya boleh bersekolah atau diterima di pejabat kerajaan. Mereka menghilangkan gelaran Tengku atau Wan karena takut dicaci sebagai kerabat raja.

Akhirnya, selepas 19 tahun, pada 30 September 1965, terjadilah rampasan kuasa oleh Angkatan Bersenjata Republik Indonesia pimpinan Jenerel Suharto yang bertindak memusnahkan Parti Komunis Indonesia. Puak pro-komunis Indonesia menerima nasib yang sama dianggap sebagai balasan kepada apa yang telah mereka lakukan ke atas Sultan-sultan Melayu di Sumatera.

Hampir 2 juta puak pro-komunis Indonesia telah dibunuh oleh tentera Indonesia dan sebahagian besar pemimpin Parti Komunis Indonesia di Sumatera Timur terbabit mencetus 'Revolusi Sosial 1946' di Sumatera Timur dengan membunuh para Sultan dan kerabat diraja serta merompak istana-istana, ditangkap dan dibunuh oleh tentera dan juga rakyat.

Sinar bagi orang Melayu di Sumatera Timur kembali pada tahun 1971 apabila pemimpin masyarakat Melayu Sumatera Timur yang dilindungi oleh Panglima Komando Wilayah Sumatera, Leftenan Jeneral Ahmad Tahir, telah mengumpul dan menyatukan sebanyak 17 organisasi masyarakat Melayu dan membentuk payung organisasi bernama MAJLIS ADAT BUDAYA MELAYU INDONESIA (MABMI) .

Sehingga kini, adat budaya Melayu masih banyak yang hilang akibat terputusnya dua generasi pada masa mula revolusi sosial dan sepanjang zaman pemerintahan Sukarno. Walaupun kini telah ada yang berusaha menggali khazanah budaya Melayu Sumatera Timur tetapi itu belum cukup tanpa bantuan dari orang orang Melayu di seluruh penjuru dunia.

Para pecinta sejarah Indonesia kini menyesali keterlanjuran masyarakat yang mudah ditipu oleh pihak komunis yang kononnya pro-rakyat yang meniup fitnah demi merampas kuasa pemerintahan dengan jalan mudah.

Tengku Amir Hamzah, Pahlawan ulung wafat setelah dipenggal kepala di Kuala Kegumit. Beliau tidak lari saat nak dibunuh , beliau berkata " lari dari binjai patik pantang,Patik ialah keturunan Panglima, kalah di gelanggang sudah biasa".

*Di Malaya, bersyukurlah kita di atas kegagalan Gagasan Indonesia Raya*

*Jika tidak, belum tentu apakah nasib Islam, Melayu dan Raja-raja.*

HATI HATI DENGAN YANG NAMANYA ''PEJUANG RAKYAT''..PADAHAL MEREKALAH GUNTING DALAM LIPATAN.

Baca sejarah jatuh nya raja raja melayu di indonesia. Jangan biarkan sejarah disana jadi disini.

Saturday, September 8, 2018

Hujan tak di Cameron Highlands esok dan lusa???


Soalan ketiga popular selain jem dan Pasar Malam adalah esok lusa Cameron Highlands hujan tak? 

Saya pun jadi Nujum Pak Belalang  menjawab dengan jampian ini:


mudah kan...

Jalan sesak tak di Cameron Highlands?


Kalau anda nak tahu keadaan trafik terkini di mana-mana bahagian Cameron Highlands, cara termudah usaha sendiri adalah melalui Google Maps atau Waze di aplikasi telepon mudah alih anda yang canggih itu

Semuanya di hujung jari anda..... dan biasanya berpunca dari jumlah kenderaan yang bertambah banyak di musim cuti ini. 

Setuju ???

Friday, September 7, 2018

Pasar Malam Cameron Highlands sempena Cuti Keputeraan YDA


Yang bertanya saya mengenai Pasar Malam di waktu cuti jumaat  minggu ini hingga  ke hari Selasa depan, saya jawab berdasarkan seperti dibawah:

"Pasar Malam akan dibuka macam biasa hari ini, Jumaat Dan Sabtu. Manakala Ahad dan Isnin kelazimannya akan dibuka sebab cuti umum".

Untuk kepastian yang rasmi, sila bertanya MD Cameron atau Majlis Daerah Cameron Highlands untuk maklumkan rasmi. MDCH adalah Pihak Berkuasa Tempatan yang mana Pasar Malam di sini dibawah tadbir selia mereka. Cuba tengok laman Facebook mereka mungkin telah dikongsikan status Operasi Pasar Malam Cameron Highlands yang popular ini menjelang cuti panjang ini. Kalau belum ada makluman berkaitan rasanya dah boleh muatnaikan info tersebut memandangkan purata 24 ribu pelancong tertanya-tanya.

Maklumat dihujung jari untuk semua....

Kepada anda, selamat bercuti dan yang bertanya soalan klise perlukah bawak roti hari esok dan lusa, saya nyatakan pasti!!!!

Saya pun nak bercuti  ni tapi bukan di Cameron Highlands..... larrriiiiiiiiiiiii.......

*gambar tak de kena mengenai Pasar Malam Cameron Highlands ya....

Saturday, September 1, 2018

Buang sampah macam tu aje....



Gambar di kawasan dataran rehat depan Agrobank Tanah Rata di petang cuti Merdeka.

Memang sedap jagung Cameron Highlands tetapi janganlah sesedap hati pula buang cawannya.


Jalan sesak di musim cuti Merdeka 2018 hingga ke malam


Sumber Foto : Harun Abd Malek

Saya sekadar nak kongsikan juga suasana kesesakan jalan di sekitar kawasan tumpuan di  di Cameron Highlands di waktu malam pula kali ini,

Yang akan jadi tumpuan adalah di Brinchang dan Tanah Rata manakala kawasan lain seperti Tringkap, Kea Farm, Kampung Raja, Ringlet dan selainnya adalah ditutup.

Kenapa Brinchang dan Tanah Rata?

Alasan pertama di Brinchang dan Tanah Rata adalah kawasan perniagaan utama dan menjadi tumpuan sebab di sinilah premis pernigaan yang dibuka sehingga lewat malam. 

Kedua adalah tarikan utama di Pasar Malam Brinchang ataupun dinamakan Pasar Malam Cameron Highlands yang baharu.  Nak ke pasar malam ini? Klik PANDUAN KE PASAR MALAM CAMERON HIGHLANDS. 

Ketiga kedua pekan ini adalah lokasi majoriti penginapan baik hotel ataupun homestay ataupun apartment percutian. 

Keempat di lokasi inilah tempat  makan yang menarik dan pelbagai untuk dikunjungi.. errr menarik di sini tak boleh nak disungguhkan kesahihannya kerana macam sekadarnya sahaja di mata kami penduduk tetap.  

Jadi laluan masuk ke pekan ini akan menjadi pelahan kerana pergerakan ramai orang dan kawasan letak kereta yang terhad. 

Tiada tarikan lain yang boleh disertai di sini kecuali di waktu cuti sekolah akan ada pihak penganjur yang mengadakan ekspo jualan dan juga sebagainya. 

Apa nak buat lagi di waktu malam? Klik sini CATATAN DI WAKTU MALAM ...

Jalan sesak di musim cuti Merdeka 2018


Sumber Gambar : Facebook Harun Abd Malek 

Saya sekadar nak kongsikan suasana kesesakan jalan raya dari sumber Google Maps yang dirakamkan oleh oleh Harun Abd Malek dalam facebook group Cameron Highlands. 

Suasana pukul 1.30, 31 Ogos 2018 ini menceritakan kesesakan lalulintas kali ini berlawanan arus iaitu kelihatan laluan dari arah Tringkap ke Brinchang sesak teruk berbanding berlawanan arahnya.

Makin ramai pengunjung yang datang dari arah Simpang Pulai atau Gua Musang ke Lojing. 

Manakala dari arah Tanah Rata agak lancar kecuali memasuki Brinchang ke Kea Farm yang mana mana pergerakan trafik agak sesak.  

Keadaan sesak kelihatan dan terasa di Brinchang manakala Tanah Rata agak kurang sesak di waktu pagi tetapi tidak pada waktu malam dan pagi ini. 

Kawasan tumpuan di Tanah Rata adalah di Pekan Utamanya dan terdapat Ekspo Usahawan dijalankan di tapak letak kereta MDCH yang menjadi aktiviti di waktu malam.