Sunday, February 21, 2016

Tips Bercuti @ Cameron Highlands 19

#  Kebun Water Crest di Cameron Highlands
Catatan tips bercuti seterusnya saya kongsikan sekitar Water Crest Farm atau dalam bahasa Melayu dinamakan sebagai kebun selada air.

Jika anda ingin mencari kelainan untuk berkunjung, saya mencadangkan anda mencari Kebun Selada Air untuk dikunjungi. 

Sesuatu yang unik untuk anda terokai kerana tidak terdapat di tempat lain kecuali di Cameron Highlands. 

Saya sendiri telah berkongsikan beberapa catatan mengenai kebun selada air yang pernah saya dan keluarga saya kunjungi. Link kepada catatan tersebut boleh anda klik di akhir catatan ini. 

Jadi saya kongsikan tips untuk ke kebun selada air terlebih dahulu. 


TIPS 86: MEMASUKI KEBUN WATER CREST ... siapa yang boleh pergi


Pertama sebelum saya kongsikan lokasi kebun water crest, saya ingin nyatakan kebun water crest ini bukannya dibuka untuk kunjungan awam. Ianya tidak terbuka seperti mana-mana kiosk persinggahan yang ada di Cameon Highlands menjadikan ianya lebih asli. 

Jadi kunjungan anda adalah tidak rasmi dan sekadar singgah dan anda akan melihat secara terus bagaimana ianya diusahakan tanpa sebarang kemudahan untuk pelancong atau pelawat yang mungkin tidak sesuai untuk sebilangan pelawat.

Jadi kalau ada yang beranak kecil, maka saya syorkan anda tidak memasuki kebun water crest ini dan cukuplah sekadar bergambar di sisi tepinya sahaja kerana ianya agak berisiko kepada keselamatan anak-anak anda. 

Jika anda ingin masuk ke dalam kebun ini pastikan anda memakai pakaian yang sesuai dan untuk ke kebun sayur dan bukannya untuk ke mesyuarat cawangan atau cabang serta ranting. 

Utamakan keselamatan yang lebih utama dari keterujaan untuk berselfie dan berkongsi dalam facebook anda semata-mata.  

TIPS 87: MEMASUKI KEBUN WATER CREST 2 .. kebenaran masuk..

Dah memandangkan kebun ini tidak dibuka kepada kunjungan pelancong dan awam, anda perlu mendapatkan kebenaran dari pemilik atau pekerja yang ada untuk masuk ke dalam kebun selada air ini. 

Jangan buat macam harta anda sendiri kerana ianya jelas milik orang lain ya tanpa perlu didebatkan secara terperinci.

Kena jelaskan sebegini sebab masyarakat pelancong kita sekarang ini telah mulai mempunyai sikap yang sedikit kasar  jika dilihat dari senario yang berlaku. 

Bersopan santunlah ketika meminta biarpun yang dipinta itu dari pekerja kebun ini yang kebanyakan adalah pekerja asing yang telah diberikan amanah untuk menjaga kebun majikannya. 

Berbual dengan mereka untuk mengetahui lebih lanjut dengan kebun ini dan mohon kebenaran jika ingin berjalan dan mengambil gambar dan seperti biasa, ambil gambar sahaja bukan pokok tanaman dan juga aset dari kebun ini. 

Jangan terlalu mengikuti mereka sehingga mereka terganggu daripada membuat kerja mereka. 

TIPS 88: MEMASUKI KEBUN WATER CREST 3 ... waktu yang sesuai

Pergi awal pagi kerana biasanya mereka akan menuai daun water crest ini sekitar pukul 8-10 pagi bagi memastikan ianya segar.

Water Crest ini adalah bersifat tanaman berair dan pastinya jika lewat dituai dan dibawa keluar, akan menyebabkan ianya layu.

Kalau anda nak melihat teknik tuaian dan pembungkusan mereka yang mana saya tidak mahu jelaskan di sini sebaliknya anda sendiri melihatnya dan semuanya dilakukan awal pagi.

Pergi awal pagi juga amat selesa kerana tidak panas dan udaranya amat segar sesuai untuk berjalan dan bergambar berbanding di tengahari. 


TIPS 89: MEMASUKI KEBUN WATER CREST ... keselamatan anak-anak 

Kebun water crest ini agak unik dengan teresan kolam yang dibina bagi memastikan air dapat dialirkan dari satu kolam ke kolam secara graviti tanpa sebarang pam dan juga kerja tambahan.

Tebing kolam biasanya menjadi batas laluan untuk membawa masuk dan keluar barangan tanaman dan hasilnya.

Ada kebun water crestt yang dibina secara tradisonal dan mempunyai permukaan batas laluan yang tidak rata dan bersimpang siur dan bagi saya di sini lebih unik dan menarik untuk dikunjungi dab kebun yang sebegini amat merbahaya untuk kanak-kanak melaluinya tanpa pengawasan dewasa.

Namun ada juga kebun water crest yang saya telah pergi dibina dengan begitu kemas dan selamat digunakan seperti kunjungan saya yang terkini semalam di kebun water crest ini.

Jadi anak-anak saya dengan yakinnya saya lepaskan tanpa perlu mengikuti rapat mereka cuma perlu menegur mereka jika terlalu laju berlari..

TIPS 90: MEMASUKI KEBUN WATER CREST 4 .. 


Akhir sekali saya nak kongsikan tips di mana kebun water cress boleh anda kunjungi jika berada di Cameron Highlands.


Memandangkan kerja harian saya lebih melibatkan arah selatan Cameron Highlands iaitu Habu dan Ringlet saya menyebabkan saya lebih mengetahui lokasi kebun di kawasan ini sahaja.

Namun di Jalan Kea Farm ke Tringkap, terdapat satu restoran di tepi laluan utama yang dinamakan Water Crest kerana dibina dan dibuka bersebelahan dengan kebun water crest ini yang mana selalu dijadikan gambar hiasan di sini. 

Malangnya difahamkan restoran ini tidak halal untuk kunjungan pelanggan muslim.

Berbalik di kawasan Habu, lokasi yang mudah anda kunjungi adalah di Jalan BOH iaitu laluan masuk dari laluan utama untuk ke Ladang BOH.

Terdapat sekurang-kurangnya 5 lokasi kebun water crest di sini dan saya suka untuk berada di salah satunya di waktu rehat saya.

Manakala di Jalan Ulu Merah di Ringlet ianya lebih tradisional dengan kebun yang lebih kecil memandangkan alur sungainya tidak terlalu lebar.

Cuma patuhi tips-tips di atas jika anda ke sini.

Saya kongsikan beberapa link ke catatan awal saya mengenai kebun water Crest untuk lebih pemahaman anda.

Catatan PERTAMA , KEDUA , KETIGA, KEEMPATdan TERBAHARU .

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.