Pada hari ini 30.8.1957, upacara menurunkan bendera 'Union Jack' telah berlangsung di Padang Bandar Hilir Melaka jam 6.30 petang.
Upacara itu lebih awal dari tempoh berakhirnya pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu iaitu jam 12.00 tengah malam. Upacara tersebut telah disaksikan oleh Encik H.G. Hammett, Resident Commissioner di Melaka.
Sementara itu di Kuala Lumpur bertempat di Padang Kelab Selangor bendera Union Jack telah diturunkan tepat jam 12.00 tengah malam dan jam 12.01 minit tengah malam bendera Persekutuan Tanah Melayu lambang tanah pusaka yang merdeka telah dinaikkan.
Dengan ini bermulalah era baru bagi negara iaitu era kemerdekaan dan pengisiannya. Perjuangan menuntut kemerdekaan telah menempuhi pelbagai peristiwa suka, duka dan pengorbanan.
Daripada siri penentangan bersenjata, perarakan bantahan, memulau sidang hingga kepada perjuangan menerusi politik demokrasi akhirnya negara telah mencapai kemerdekaan dengan bendera negara kini berkibar megah.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang berjalur merah putih sebanyak sebelas jalur melambangkan perikatan sebelas buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, begitu juga dengan lambang bintang adalah warna diraja yang menandakan kedaulatan sultan dan raja-raja. Lambang bulan adalah agama rasmi Persekutuan iaitu Islam dan jalur merah melambangkan semangat gagah berani manakala jalur putih melambangkan hasrat rakyat yang suci murni.
Dengan penurunan bendera Union Jack pada hari ini dalam tahun 1957, berakhirlah sudah penguasaan Inggeris di bumi Malaya yang telah lama terjajah.
Bermula dari itu, seluruh rakyat di negara ini dapat menikmati kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar.
|
Sent from my BlackBerry 10 smartphone.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.