Sejarah Kemerdekaan - Rundingan Damai Baling Yang Gagal
Pada 29 Disember 1955 Rundingan Damai Baling berakhir tanpa mencapai apa-apa kejayaan. Rundingan damai di antara Kerajaan dengan pihak komunis ini bertujuan untuk menamatkan darurat berikutan dengan tawaran pengampunan beramai-ramai kepada anggota-anggota Parti Komunis Malaya yang telah dibuat pada 9 September 1955.
Rundingan damai ini telah diadakan di Sekolah Inggeris Baling, Kedah dan berlangsung didalam empat sesi bermula pada Disember 1955. Pihak Kerajaan diwakili oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Singapura, En. David Marshall, serta Dato' Sir Tan Cheng Lock. Manakala di pihak komunis pula diwakili oleh Ching Peng, Chen Tian dan Abdul Rashid Maidin.
Dalam Rundingan itu Tunku Abdul Rahman telah menerangkan syarat-syarat berkaitan dengan pengampunan bcramai-ramai dan tentang pergolakan politik negara ini. Beliau menyakinkan pihak Komunis bahawa Tanah Melayu sedang dalam perjalanan kearah mencapai kemerdekaan dan dengan demikian mereka mestilah menghentikan keganasan.
Mengenai pengampunan beramai-ramai, mereka yang berbuat demikian tidak akan didakwa di atas apa-apa kesalahan bersabit dengan darurat yang dilakukan sebelum pengisytiharan pengampunan. Walau bagaimanapun Kerajaan akan membuat penyiasatan ke atas mereka yang menyerah diri.
Mereka yang menunjukkan taat setia kepada kerajaan dan berhenti daripada sebarang aktiviti berkaitan dengan haluan komunis akan dibantu bagi mendapatkan kembali taraf dan kedudukan asal mereka di dalam masyarakat serta untuk berdamping semula dengan keluarga mereka. Bagi yang lain pula kebebasan terhad akan dikenakan, akan tetapi jika ada di antara mereka yang ingin pergi ke China, permohonan mereka akan diberi pertimbangan yang wajar.
Setelah 2 hari berunding, wakil-wakil menyedari bahawa komunis berminat untuk mendapatkan kebebasan berpolitik tanpa sekatan untuk mencapai cita-cita mereka. Maka dengan itu pada 29 Dis. 1955 runding perdamaian di Baling ini ditamatkan tanpa mendapat persetujuan dari pihak komunis.
Sesungguhnya kegagalan rundingan itu walaupun mendukacitakan namun dapat menunjukkan sejelas-jelasnya bahaya yang akan diperolehi seandainya kerajaan mahu berkompromi dengan pihak komunis.
(Sumber bahan : FB VAT 69 KLIK)
(Sumber bahan : FB VAT 69 KLIK)
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.