Sarjan Jamil, pahlawan Melayu sejati - Datuk Seri J.J Raj
MINGGUAN: Apakah kaitan Datuk Seri dengan peristiwa Bukit Kepong?
J.J RAJ: Sebelum saya pergi lebih jauh saya mahu berikan fakta asas berhubung peristiwa ini. Peristiwa ini berlaku pada 23 Februari 1950 dan sehari sebelum itu iaitu pada 22 Februari masyarakat Cina menyambut Tahun Baru Cina. Pada masa itu saya merupakan Ketua Polis Daerah (OCPD) Pagoh. Sebagai Ketua Polis Daerah saya diberi tanggungjawab menjaga 20 balai polis dan 20 pondok polis dan Balai Polis Bukit Kepong adalah salah satu daripadanya.
Difahamkan sehari sebelum peristiwa menyayat hati itu berlaku, Datuk Seri dilapor telah melawat Balai Polis Bukit Kepong. Boleh Datuk Seri ceritakan?
J.J RAJ: Ya, pada 22 Februari (1950) saya telah melawat Balai Polis Bukit Kepong bersama 10 anggota. Kami bertolak daripada Balai Polis Daerah Pagoh menuju Balai Polis Lenga dengan cara menaiki kenderaan.
Masa yang kami ambil antara satu hingga dua jam. Pernah terjadi dalam pertengahan jalan ketika kami ke Lenga, berlaku serang hendap daripada pihak komunis. Sebab itu kita sentiasa berwaspada.
Apabila sampai di Balai Polis Bukit Kepong saya menemui Allahyarham Sarjan Jamil Mohd. Shah dan anggota-anggotanya serta tidak ketinggalan Tok Penghulu kawasan tersebut. Tok Penghulu Bukit Kepong pada masa itu bernama Penghulu Ali. Kami kemudian makan tengah hari bersama dan kemudian saya melakukan rondaan di Pekan Bukit Kepong bersama Sarjan Jamil, Penghulu Ali dan beberapa orang mata-mata dengan menggunakan basikal. Pekan Bukit Kepong tidak besar. Di sini terdapat kita-kira 30 buah kedai yang para peniaganya terdiri daripada orang Cina. Dari segi komposisi penduduk pula saya anggarkan penduduk Melayu lebih kurang 1,300 dan mereka tinggal di kampung-kampung.
Seterusnya apa yang berlaku?
J.J RAJ: Kira-kira pukul 7 malam saya tamatkan lawatan saya di Bukit Kepong dan bersedia untuk pulang semua ke Pagoh. Ketika berada di Jeti Bukit Kepong untuk pulang saya sempat meninggalkan pesan kepada Sarjan Jamil. Saya kata kepada Sarjan Jamil 'Tok Jamil jaga diri baik-baik'. Pada masa itu Tok Penghulu, Sarjan Jamil dan orang kampung turut mengiringi kepulangan saya.
Adakah itu kata-kata terakhir Datuk Seri kepada Sarjan Jamil sebelum berlaku peristiwa Bukit Kepong pada pagi esoknya?
J.J RAJ: Saya anggap begitulah. Ia umpama pesanan akhir saya kepada Sarjan Jamil dan semua anggota polis di Bukit Kepong sebelum berlakunya peristiwa serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada keesokannya.
Saya masih ingat jawapan Sarjan Jamil: "Jangan bimbang tuan OCPD, kita akan jaga, biar putih tulang jangan putih mata''. Ketika ayat ini diungkapkan saya kurang faham dan saya mula faham selepas peristiwa ini berlaku. Sebenarnya semasa kita meronda pada petang 22 Februari terdapat 180 pengganas komunis telah mula mengepong di belakang balai polis. Kita tidak nampak kerana kawasan tersebut merupakan kawasan hutan.
Peristiwa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.
Apa yang berlaku pada pagi 23 Februari 1950 di Bukit Kepong?
J.J RAJ: Tepat pukul pukul 4.30 pagi (23 Februari), pengganas komunis telah meniup trompet buat kali pertama dan mereka telah melepaskan tembakan ke arah Balai Polis Bukit Kepong. Sebaik sahaja menyedari balai telah diserang, Sarjan Jamil dan semua anggota yang kesemuanya berjumlah 20 orang mengambil tempat masing-masing di kubu di kawasan balai untuk berbalas tembakan. Tembak menembak berlaku sehingga pukul 6.30 pagi. 180 orang komunis yang melakukan serangan ini dilengkapi dengan senjata-senjata automatik berbanding 20 orang kita cuma dilengkapi dua pucuk senjata automatik dan jika hendak dibandingkan kekuatan anggota, kekuatan komunis adalah tujuh kali ganda lebih daripada kekuatan polis. Sungguhpun begitu pihak komunis masih gagal memasuki balai walaupun telah melakukan serangan selama dua jam.
Kira-kira pukul 6.30 pagi, pihak komunis telah meniup trompet untuk kali kedua dan sejurus selepas itu tembakan dihentikan serta merta. Kemudian salah seorang anggota komunis yang bernama Mat Indera dengan menggunakan pembesar suara telah meminta polis menyerah diri sekiranya mahu selamat. Mat Indera berkata demikian sebanyak tiga hingga empat kali.
Sarjan Jamil menjawab yang pihak polis tidak sesekali menyerah diri. Dia berkata, biar putih tulang tetapi jangan putih mata. Ketika itu ramai di kalangan anggota telah meninggal dunia dan ada juga yang cedera parah. Sebaik sahaja Sarjan Jamil berkata demikian, pihak komunis meniup trompet buat kali ketiga dan selepas itu berlaku serangan bertali arus daripada kumpulan pengganas itu. Kali ini serangan bukan setakat di belakang balai malah ia meliputi sekeliling balai. Walaupun begitu komunis tetap gagal memasuki kawasan bala sehinggalah mereka melakukan serangan dengan molotov cocktail hingga menyebabkan balai terbakar.
Ketika itu barulah Sarjan Jamil dan anggota-anggota yang lain lari ke kubu bersebelahan untuk menyerang balik komunis. Mereka tidak menyerah diri. Mereka terus melakukan serangan terhadap komunis. Namun begitu ada anggota yang terkorban semasa melarikan diri ke kubu lain akibat tembakan pihak komunis. Ketika itu juga komunis berjaya masuk ke kawasan balai dan membunuh saki baki anggota polis kita termasuk Sarjan Jamil.
Berdasarkan rekod kita seramai 27 orang terkorban dalam peristiwa itu. 14 anggota polis, lima anggota polis bantuan, empat isteri polis dan empat anak-anak polis. Empat lagi anggota polis mengalami cedera parah.
Pukul berapa Datuk Seri dapat tahu peristiwa serangan itu?
J.J RAJ: Saya terima laporan kejadian ini kira-kira pukul 6 pagi daripada Balai Polis Lenga. Laporan ini diterima hasil daripada maklumat orang Kampung Durian Chondong. Kampung ini terletak antara Lenga dan Bukit Kepong.
Dahulu kami adalah sebuah keluarga besar. Kami amat mengenali penghulu-penghulu di kampung-kampung berdekatan. Saya diberitahu, Penghulu Kampung Durian Chondong terkeliru sama ada bunyi tembakan yang didengar itu adakah bunyi tembakan atau mercun.
Akhirnya penghulu kampung tersebut mengambil keputusan menghantar dua orang anak buah menaiki sampan membuat laporan ke Balai Polis Lenga mengenai bunyi tembakan itu. Dari Lenga, laporan terus sampai ke pengetahuan saya di Pagoh.
Selepas menerima laporan saya serta 10 anggota lain bergegas ke Balai Polis Bukit Kepong dan perjalanan memakan masa hampir tiga jam. Sesampai di sana saya lihat balai polis sudah terbakar dan beberapa mayat anggota polis yang terkorban juga turut hangus.
Menteri Besar Johor ketika itu, Datuk Onn Jaafar turut datang melawat. Saya tabik hormat kepada Datuk Onn dan Datuk Onn terus mengarahkan saya menguruskan anak-anak buah saya terutama yang mengalami kecederaan. Empat anggota polis yang tercedera telah dihantar ke hospital dengan segera dengan menaiki bot. Hasil tinjuan saya juga mendapati bot polis milik Balai Polis Bukit Kepong juga terbakar.
Bagaimanakah penilaian Datuk Seri terhadap Sarjan Jamil dan semua anggota yang terkorban mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong.
J.J RAJ: Secara peribadi saya menyifatkan Sarjan Jamil dan semua anggota yang terkorban merupakan wira sebenar yang sepatutnya diangkat dan dihargai. Mereka bermatian-matian mempertahankan kawasan mereka daripada diceroboh daripada komunis sehingga titisan darah terakhir. Melalui pengalaman saya ada dua perkara semangat orang Melayu sampai ke kemuncak. Pertama jika isterinya diganggu dan kedua jika agamanya digugat, dan inilah yang berlaku. Sebab itu mereka begitu bersemangat mempertahankan Bukit Kepong. Mereka tidak rela Balai Polis Bukit Kepong ditawan oleh pihak komunis. Meskipun jumlah mereka sedikit mereka langsung tidak gentar melawan pengganas komunis.
Mereka sebenarnya ada peluang untuk menyerah diri atau melarikan diri dan ia boleh berlaku dalam tiga keadaan.
Pertama, polis marin yang menjaga bot di sungai bila-bila masa sahaja boleh cabut lari tetapi mereka tidak berbuat begitu. Malah mereka menjadikan bot sebagai kubu untuk menyerang komunis. Akhirnya mereka terkorban dan bot terbakar.
Kedua, apabila komunis memulakan serangan, Sarjan Jamil boleh menyerah diri tetapi beliau dan anggota-anggota yang lain melawan dengan begitu bersemangat. Orang Melayu ini lain kalau semangat sudah naik, tiada siapa yang boleh halang.
Keadaan ketiga berlaku kira-kira 6.30 pagi. Pada masa itu Mat Indera telah meminta polis serah diri tetapi Sarjan Jamil tetap tidak mahu menyerah. Pada masa itu mayat berada di sebelah kanan dan kiri Sarjan Jamil. Di berek kelamin anak dan isteri menangis ketakutan, Kalau manusia biasa tentu dia sudah serah diri tetapi semangat Sarjan Jamil begitu kental. Dia begitu berani dan istimewa. Tanpa hiraukan apa-apa, Sarjan Jamil enggan menyerah kalah. Sarjan Jamil dan anggota yang terkorban adalah wira sebenar.
Saya pernah menghantar sepucuk surat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2005 supaya kerajaan memberi pengiktirafan negara kepada kesemua mereka yang terkorban di dalam peristiwa Bukit Kepong.
Sejauh mana pengetahuan Datuk Seri mengenai penglibatan Muhammad Indera sebagai salah seorang pemimpin di dalam kumpulan ini?
J.J RAJ: Berdasarkan rekod kita, selepas tiupan trompet kali kedua Mat Indera telah keluar dan meminta polis menyerah diri dengan menggunakan pembesar suara. Orang kata Mat Indera wira, itu saya tidak tahu tetapi setahu saya dia merupakan salah seorang daripada 180 pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong. Mat Indera beri arahan kepada polis supaya serah diri. Nampaknya Mat Indera ada kuasa seolah-olah seperti pemimpin. Terpulang kepada rakyat untuk membuat pertimbangan. Saya hanya mengemukakan fakta.
Apa perasaan Datuk Seri sebaik sahaja tiba di tempat kejadian?
J.J RAJ: Ketika saya tiba, balai masih terbakar dan perkara pertama yang saya lakukan ialah menghantar segera empat anggota yang cedera parah ke hospital. Dalam masa sama, 10 anggota yang mengiringi saya meminta saya masuk ke hutan mencari komunis yang telah membunuh rakan-rakan mereka. Saya kata jangan dan katakan kepada mereka selesaikan dahulu orang kita. Pada masa ini disiplin paling mustahak. Mereka mendengar arahan saya dan lakukan apa yang saya minta. Kalau hendak ikutkan hati, saya percaya mereka boleh menembak kesemua peniaga Cina yang berada di situ untuk balas dendam. Namun itu tidak berlaku kerana mereka mempunyai disiplin yang cukup tinggi.
Bagaimana keadaan mayat Sarjan Jamil dan para anggota yang terkorban?
J.J RAJ: Pada awalnya saya sukar mengecam mereka kerana kebanyakan mayat terbakar hangus. Orang komunis memang jahat. Mereka bakar mayat-mayat anggota. Mana-mana yang tercedera dicampakkan ke dalam api bangunan balai yang sedang terbakar. Begitu juga mayat isteri dan anak anggota yang mati ditembak juga turut terbakar.
Berapa usia Datuk Seri ketika itu?
J.J RAJ: Saya berusia sekitar 27 tahun manakala Sarjan Jamil pula baru berusia sekitar 28 tahun. Namun saya harus nyatakan bagaimana keberanian dan ketabahan beliau dan anggota lain dalam perjuangan tersebut. Pada saya ketika itu orang Melayu mementingkan dua perkara pertamanya mereka akan mempertahankan agama dan kedua adalah keluarga. Ini adalah tanggungjawab yang dipertahankan orang Melayu dan ini yang diperjuangkan oleh Sarjan Jamil dan anggotanya yang terkubur. Saya mengenali Sarjan Jamil yang sangat bertanggungjawab orangnya dan beliau sebagai ketua balai sangat komited dalam menjaga keselamatan penduduk kampung di Bukit Kepong. Semua ini adalah di bawah tanggungjawab beliau dan Tok Penghulu Ali juga sangat bertanggungjawab terhadap penduduk kampungnya. Setiap malam beliau akan menghantar empat atau lima orang polis bantuan ke balai polis untuk membantu anggota di sana.
Bagaimana Datuk Seri mengenal pasti bahawa Mat Indera yang memberi arahan serangan di Balai Polis Bukit Kepong?
J.J RAJ: Saya mendapat laporan yang dikumpulkan dan sumber utama yang memberikan kami maklumat adalah dua tiga orang anggota komunis yang berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian. Salah seorang daripada mereka dikenali sebagai Ching yang menceritakan apa sebenarnya berlaku.
Adakah ramai di kalangan komunis yang terbunuh dalam kejadian itu?
J.J RAJ: Berdasarkan apa yang saya dengar, ramai di antara mereka yang mati namun tidak dapat dinyatakan jumlah mereka kerana pihak komunis membawa bersama mayat mereka yang terbunuh ke dalam hutan.
Kenapa Balai Polis Bukit Kepong yang dipilih sebagai sasaran komunis dan bukan balai polis lain?
J.J RAJ: Permulaannya pada 16 Jun 1948, pihak komunis telah menembak seorang pengurus estet di Sungai Siput. Kemudian mereka mula mengganas dengan menembak beberapa balai polis di seluruh negara tidak mengira siang atau malam. Ini termasuklah sebuah balai polis di Gua Musang yang mana 300 orang komunis menyerang balai polis tersebut serta bertindak kurang ajar menaikkan bendera komunis di sana. Tujuan mereka kurang ajar dengan menyerang dan menaikkan bendera di merata balai polis yang diserang, kemudian mengisytihar kawasan tersebut sebagai white area (milik mereka).
Namun lama kelamaan sekitar awal tahun 1950-an pasukan keselamatan dan polis semakin kuat, mengakibatkan komunis semakin lemah dan kebanyakan mereka telah ditembak mati. Namun pada 22 Januari 1950, beberapa bulan sebelum peristiwa Bukit Kepong, sekitar 22 orang anggota komunis telah ditembak mati di Labis, mengakibatkan mereka semakin lemah.
Maka untuk menaikkan semangat anggota komunis ini pihak atasan mereka telah memberi arahan supaya mencari sasaran yang lemah untuk di serang. Setelah dikenal pasti, mereka mendapati Balai Polis Bukit Kepong merupakan sasaran yang lemah kerana terletak jauh di pedalaman serta masalah kesukaran berkomunikasi. Yang ada hanya satu land line. Ini menyukarkan bantuan untuk sampai di sana.
Apakah peristiwa Bukit Kepong ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Datuk Seri?
J.J RAJ: Ia memang meninggalkan kesan yang mendalam. Saya pernah meminta supaya dibina sebuah tugu atau peringatan terhadap mereka yang terkorban dalam peperangan tersebut. Kalau boleh ia perlu di bina di Kuala Lumpur dan bukan di Bukit kepong supaya orang ramai boleh melihat bagaimana tingginya semangat dan pengorbanan mereka ini dalam mempertahankan negara. Bagi saya semangat mereka ini memang tidak ada tolak bandingnya dan saya benar-benar kagum dengan semangat mereka yang kekal berjuang tanpa mengenal erti menyerah kalah. Malah setiap kali saya berkursus di luar negara seperti di kolej polis dan kolej tentera di London dan sebagainya, saya akan menyatakan bagaimana kekentalan semangat mereka yang terkorban di Bukit Kepong. Ada pula yang bertanya kepada saya tentang kisah ini.
Antara mereka adalah seorang kenamaan yang berpangkat tinggi iaitu Lord Louis Mountbatten dan saya beritahu kepada beliau kisah berkenaan. Saya dengan bangga berkata kepada beliau, bahawa perkara yang boleh kita pelajari mengenai Sarjan Jamil dan anggotanya adalah mereka yang terlibat dalam peristiwa Bukit Kepong saya anggap sebagai pahlawan Melayu sejati, berjuang sama hebatnya seperti askar Gurkha yang berkhidmat kepada tentera British atau mungkin mereka lebih baik. Ini kerana askar Gurkha ini sangat dikenali dengan keberanian mereka dalam berperang dan ini menggerunkan pihak lawan. Mereka ini bila berperang sama sekali tidak akan menyerah diri. Kalau dilihat kepada budak-budak Melayu wira Bukit Kepong, jumlah mereka adalah sangat sedikit sekitar 20 orang. Namun semangat yang ditunjukkan mereka sangat tinggi. Pihak British yang saya jumpa menerima kenyataan ini kerana saya terangkan bahawa wira-wira ini mempunyai tiga peluang untuk menyerah kalah kepada komunis namun mereka tidak melakukannya malah tetap melawan sehingga ke akhir hayat.
Sumber - utusan.com. saya ambil dari FB VAT 69 .Klik
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.