Monday, June 1, 2015

Limpahan air dan lumpur di Jalan Lembah Bertam terkini.

(Dikongsikan aduan yang dibuat kepada Majlis Daerah Cameron Highlands melalui email mereka).

Salam satu Malaysia, 

Saya memanjangkan kembali aduan saya melibatkan kejadian air lumpur dan tanah setiap kali hujan melintasi Jalan Pekan Lembah Bertam. 


Aduan ini telah dihantar dua atau tiga bulan yang lalu dan telah  dibalas oleh pihak MDCH dengan mengatakan di luar bidang kuasa kerana punca air dan lumpur dari kebun sayur dibawah kawalan seliaan Jabatan Pertanian.


Saya sebagai rakyat biasa yang tiada sebarang perhubungan dengan mana-mana pihak agensi ingin sekali lagi memohon jasa baik pihak MDCH untuk berbincang dengan pihak agensi yang berkaitan supaya masalah ini dapat di selesaikan. 

Saya percaya semangat untuk berkhidmat di antara agensi sedia ada akan mampu menyelesaikan masalah ini tanpa bertangguh atau saling tuduh menuduh selaras dengan konsep strategi  lautan biru yang dilancarkan oleh perdana menteri setahun dua ini.


Cuma saya berharap tidaklah terlalu lama untuk diselesaikan seperti kes ‎penutup 'main hole' di hadapan Kay Poy Insuran Jalan Besar Tanah Rata, yang pernah saya adukan namun dimaklumkan oleh pihak MDCH ianya di bawah kuasa JKR namun sehingga lebih 3 bulan tanpa tindakan dan "kudos" kepada pihak Alam Flora kerana tong sampah mereka menjadi tanda amaran lubang main hole reput kepada pelancong tempatan dan luar negara yang melaluinya. 

Saya sertakan gambar ketika dan selepas hujan untuk rujukan pihak pasukan penilai yang akan dilantik pihak MDCH untuk melihat sendiri risiko keselamatan dilaluan tersebut. 


Mohon kerjasama pihak MDCH mengambil tindakan segera sementelahan lagi ramai pelancong datang ke Cameron Highlands di musim cuti sekolah bermula kelmarin. 

Takkanlah tergamak kita nak sambut pelancong di laluan pintu masuk dari bumi Pahang sendiri dengan limpahan air lumpur dan merisikokan keselamatan semua pengguna jalan raya. 


Terima kasih. 

(Aduan ini saya turut muatnaikan di laman blog mrkumai.blogspot.com sebagai amaran keselamatan kepada pengguna jalan tersebut).

Juga tambahan, mohon MDCH menimbangkan kewajaran meletak tanda amaran kepada pengguna jalan raya sebelum tiba di lokasi tersebut. 

Sehingga kini masih tiada langsung papan tanda amaran keselamatan yang diletakkan di situ.

Terima kasih didahulukan sepertimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" walaupun ada yang mengatakan semata retorik sahaja dari peringkat atasan tanpa sahutan perlaksanaan di peringkat bawahan. 

*****************************
Insyallah, akan saya kemaskini maklumat tindakan pihak yang berwajib atas isu ini.

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.