Sunday, September 28, 2014

Pulau Perhentian, Besut, Terengganu ...

Terengganu sememangnya unik dengan koleksi pulau-pulaunya.

Selepas kami singgah semalaman di Pulau Kapas awal September 2014, si anak-anak asyik mengulang cerita betapa seronoknya mereka bermain air dan "bersnorkeling" biarpun singkat.

Malah si abang sulung asyik mengayakan renangannya biarpun sebenarnya berada di atas puncak gunung ganang di Cameron Highlands.

Maka menjelang cuti sekolah, saya mula merancangkan kejutan kepada mereka.

Kejutan hari lahir si abang dan Mama yang jatuh pada hampir serentak dalam bulan september.

Saya mula mencari maklumat antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian biarpun si mama sekadar mahu kembali ke Pulau Marang setelah ditanya selepas ke Pulau Kapas dahulu.  

Akhirnya saya memilih Pulau Perhentian setelah mendapati ianya lebih bersesuaian untuk aktiviti ringan keluarga dan mempunyai banyak pilihan aktiviti.

Saya menempah hotel melalui dalam talian namun tarikh pilihan sudah penuh kerana cuti sekolah dan terpaksa memilih tarikh lain.

Pulau Perhentian:

Pulau Perhentian mempunyai koleksi dua pulau iaitu Perhentian Kecil dan Besar yang terletak bersebelahan.

Terletak di 10 batu nautika atau 19 km dari Jeti Kuala Besut yang mengambil masa 30-45 minit perjalanan menaiki bot laju.


Juga jaraknya terletak bersebelahan sempadan peraiaran Kelantan dan Terengganu malah hanya 64 km dari sempadan perairan Thailand.

Pulau Perhentian ini dilengkapi dengan beberapa buah pulau sekitarnya seperti Pulau Susu Dara, Serenggeh dan Rawa.

Sesuai dengan namanya perhentian bermaksud tempat berhenti terutamanya kepada pelayar laut ataupun nelayan.


Malah dalam catatan peta sekitar abad ke 19 lagi ianya dikenali sebagai "The Station Islands" ketika di bawah Penjajahan British.

Kini, Pulau Perhentian dimasukkan dalam Rangkaian Taman Laut Pulau Redang dibawah Jabatan Laut dan Taman Negara.

Ini menjadikan sebarang aktivti memancing, menangkap ikan, mengalih dan mengambil batu karang dan pembangunan di pulau ini dikawal selia sepenuhnya dan menjadi larangan kepada umum.

Perjalanan Kami:

Kami bertolak dari Cameron Highlands selepas Zohor melalui Lojing dan Gua Musang.

Singgah semalaman di Gua Musang kerana dalam jadual perjalanan kami sengaja memilih untuk singgah di Tasik Kenyir terlebih dahulu yang akan saya kongsikan catatannya.
Dari Cameron Highlands, laluan terdekat adalah melalui Lojing dan Gua Musang sebelum menghala ke Kuala Krai dan Machang.

Kemudian di Machang anda perlu ke Jerteh untuk ke Kuala Besut atau melalui jalan dalam ke Tok Bali bagi mereka yang ingin  bersantai dahulu seperti kami.


Jarak di antara  Cameron Highlands ke Jeti Kuala Besut melalui laluan Machang dan Jerteh adalah 311 km dengan anggaran masa selama 4 jam 56 minit.



Tips dari kami, bertolak awal dan rancangkan dalam perjalanan anda untuk berehat atau singgah di kawasan perlancongan supaya perjalanan anda lebih terisi dan berbaloi ibarat sambil menyelam sambil minum air atau melontas batu kepada dua ekor burung sekaligus.  

Hari Pertama di Jeti Kuala Besut:

Sebenarnya ketika tarikh kami ini hotel pilihan kami penuh jadi terpaksalah untuk lewatkan sehari.




Bagi mereka yang ingin ke Pulau Perhentian jangan tunggu sehingga waktu boleh masuk hotel sebaliknya cubalah ke sana seawal trip pertama lagi kerana boleh mengisi waktu tersebut dengan pelbagai aktiviti.

Jadi kami memilih untuk tidur di Hotel Samudera bersebelahan jeti untuk bergerak awal ke Pulau keesokannya.

Selepas sarapan pagi di warung di tepi jalan di hadapan Pejabat Jabatan Laut, kami bergerak ke kawasan jeti untuk menurunkan bag.


Saya di sapa oleh beberapa orang yang menawarkan perkhidmatan meletak kenderaan dan akhirnya saya memilih abang kepada pemilik warung sarapan pagi kami.

Caj dikenakan sekitar RM 8-10 sehari. Mereka akan menghantar dan mengambil pemandu iaitu saya selepas dan sesudah sampai kelak. Ini memang berlaku.

Di jeti, kami tidak perlu gusar memilih perkhidmatan bot kerana dibawah tempahan hotel kami sudah dicaj perkhidmatan tersebut.


Hanya perlu pergi ke pejabat Kuala Besut Travel untuk melapor diri dan menunggu bot sampai.

Di jeti ini adalah hentian terakhir untuk anda membeli peralatan dan juga bekalan makanan ringan dengan harga darat kerana sebaik sahaja anda sampai di Pulau harganya sudah melambung tinggi bezanya.


Contohnya air mineral besar di sini hanya sekitar RM 1.50 tetapi di pulau sekitar RM 4 hingga 6 sebotol.


Juga jika anda ingin membeli cenderahati dan juga makan tengahari juga terdapat di sini. Manakala kemudahan tandasnya amat selesa dan bersih.

Untuk masuk ke kawasan menaiki bot anda perlu membeli tiket Taman Laut yang berharga RM 5 seorang dewasa dan percuma untuk kanak-kanak seperti anak saya.

Tanpa tiket ini anda tidak akan dibenarkan masuk menaiki bot.

Ianya bertujuan sebagai menampung kos pemuliharaan taman laut oleh Jabatan Laut dan juga keperluan berkaitannya.


Insyallah akan saya sambung pengalaman kami dalam catatan berikutnya. 


No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.