Wednesday, September 3, 2014

Pantai Teluk Chempedak, Kuantan Pahang

Kunjungan dan 'hubungan' saya dan Pantai Teluk Chempedak ataupun lebih dikenali sebagai 'TC' ini bukanlah kisah baharu. 
 
Semuanya bermula sekitar 1991 bila saya mula menjadi penduduk Kuantan setelah berpeluang menetap di salah sebuah asrama untuk sekolah menengah. 

 
Maka menjadi kebiasaan saya untuk ke Pantai TC ini setiap bulan walaupun tidak dibenarkan mandi oleh pihak asrama atas langkah keselamatan.

Malah kunjungan saya ke sini lebih kerap berbanding rakan-rakan seasrama yang lain kerana penglibatan saya dalam sukan olahraga setahun kemudiannya.   
 
 
Ini adalah lokasi latihan kepada saya dan rakan-rakan sepasukan saya yang lain di hujung minggu khasnya selepas mendapat jadual latihan ketahanan (endurance test). 
 
Maka laluan masuk ke Pantai ini yang berbukit menjadi trek larian kami dengan keadaan berjaket berat plate besi  dan kaki yang berbalut juga dengan pemberat besi.

 
Tidak cukup dengan itu, kami biasanya akan berlari di atas pantai yang landai dan bersambungan dengan Telok Tongkang dan kadangkala meniti batuan dan bukit untuk ke Telok Babi yang bersebelahan.  
 
Tambahan lagi ketika itu jurulatih kami dari Belarus sangat suka berenang dan selalunya sesi latihan kami ditamatkan dengan acara berenang. 
 

Bukan sekadar di tepian pantai malah melebihi kawasan boya keselamatan yang menjadi had untuk berenang di pantai ini. 
 
Kadangkala pengawal pantai akan meniup wisel menegah kami berlama di sekitar boya keselamatan tersebut.  
 
Kepada penduduk Kuantan sekitar 1993-1995, Kejohanan Larian Pantai yang bermula dari Taman Gelora dan melalui Pantai Teluk Chempedak, Pantai Bukit Pelindung, Pantai Beserah, Pantai Batu Hitam, Pantai Sungai Karang sebelum tamat di Pantai Balok sekitar 20 km pastinya menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
 

Malah cabaran larian di sini sangat berbeza kerana seawal 7.30 pagi kami mula berlari dan menyelit di setiap liku dan pelbagai permukaan seperti jalan bertanah, akar pokok, pasir pantai dan muara sungai yang kecil dan bertemankan bahang panas laut namun tiupan udara laut sangat menyamankan kami.  
 
Dahulu di Pantai Teluk Chempedak ini lantai pantainya agak landai dan kini semakin tinggi selepas ditambak semula untuk pemuliharaan dan kelihatan amat bersih dengan hamparan pasir yang memutih. 
 
 
Manakala sisi kanannya pula dahulu kami perlu meniti jambatan kayu dan kemudian mendaki tangga-tangga kecil yang dibina secara berselirat mengikut akar pokok untuk ke telok sebelahnya. 
 
Yang berani dan mencabar diri sendiri pastinya akan berusaha memanjat batu-batuan yang terdapat di pinggiran bukit dan gigi air terutama ketika air surut.
 
Kini semua berubah. Semua peringkat umur boleh melalui jambatan kayu yang dibina di pinggiran bukit dengan begitu selesa. 

Manakala di Telok Babi (yang kami gelarkan) dahulu biasanya adalah untuk berkelah dan berkhemah secara berpasukan juga kini dilengkapi dengan kemudahan tandas dan juga tempat berlindung dari hujan dan juga kemudahan berkhemah yang lebih baik.
 
Manakala di sebelah kanan adalah pantai Telok Tongkang (juga sekadar panggilan kami) yang berhadapan dengan hotel besar seperti dahulunya Merlin tetapi kini Hyatt. 

 
Untuk ke bahagian pantai ini sebenarnya boleh dilakukan dengan menggunakan laluan denai dari Taman Teruntum melalui hutan lipurnya sebelum ke Tanjong Tembeling di hujung kawasan pantai ini. 

Kemudahan di sini sangat baik.

Namun tiada lagi ruang meletak kereta di hadapan kedai atau gerai jualan dan ini memberikan lebih ruang untuk aktiviti yang lain seperti di waktu malam lebih banyak tarikan seperti persembahan busker, jualan gerai dan juga kadangkala pertunjukan jalanan melibatkan badut, orang emas dan sebagainya. 

Manakala Risiko dan bahayanya masih tetap sama. 
 
Kejadian lemas bukannylah asing malah saban tahun pasti ada yang terkorban.  
 

Malah sebulan dua yang lalu Pantai TC ini meragut dua nyawa dalam selang tempoh 3 minggu sahaja. 

Namun saya sendiri masih berbangga mengatakan Pantai Teluk Chempedak ini masih antara pantai yang terbaik pernah saya kunjungi selama ini....   

(Lebih banyak koleksi gambar di laman Fb mrkumai.blogspot. Susunan gambar di atas adalah secara rawak).

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.