Wednesday, February 12, 2014

Pulau Orang Utan @ Bukit Merah Laketown Resort

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, saya kembali untuk berkongsikan kisah-kisah percutian saya sekeluarga ke beberapa destinasi perlancongan.

Bukan untuk meninggi diri menunjuk-nunjuk yang saya ke sana sini tetapi lebih kepada niat saya untuk berkongsikan mengenai sesuatu lokasi tumpuan perlancongan yang mungkin anda juga tercari-cari maklumat untuk ke sini.

Cuma seperti biasa.. catatan ini berdasarkan dari pandangan kaca mata saya semata. Lain orang mungkin lain pendapat dan citarasanya.

Ok saya mulakan kisah tahun lepas . Rasanya tak terlewat sangat untuk berkongsikan kisah di Pulau Orang Utan , antara tarikan yang terdapat di Bukit Merah Laketown Resort di Daerah Kerian, Perak.


(Terdapat ralat dalam sambungan dan paparan gambar, klik ke FB album saya untuk koleksi gambar tersebut) 

Jika anda ingin melihat Orang Utan di habitat yang sehampir dengan suasana asalnya, anda boleh ke Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok di Sabah...

Jauh sangat? pergi ke Zoo- zoo utama di sekitar tempat anda antaranya Zoo Negara, Zoo Melaka ataupun Zoo Taiping yang turut mempunyai koleksi spesis primate unik ini.

Apa? terlalu sedikit dan dalam kurungan?

Ok saya cadangkan anda ke Pulau Orang Utan di Bukit Merah Lake Resort yang mempunyai keunikan tersendiri.

1. Terletak di tengah tasik dan anda perlu menaiki bot ke sana. Terhad. Dengan bayaran sebanyak RM 35 seorang dewasa kalau tak silap saya.


Kami berdua suami isteri dewasa manakala anak-anak saya percuma. Menaiki bot ke sini yang berjadual memang menyeronokan kerana keluasan tasik merah ini sekitar 7,000 ekar menjadikan perjalan sekitar 15 minit agak menarik dan mengembirakan anak-anak kecil kami.

Namun utamakan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan yang disediakan. Malang tak berbau ...

2. Pulau yang dibangunkan dari asal pulau terbiar menjadi habitat terbuka Orang Utan.Pintu masuknya sudah seperti ala-ala Jurasic Park yang menarik juga biarpun ringkas.

Terdapat laluan berbentuk kurungan bagi menjamin keselamatan pengunjung ke sini ketika memasuki kawasan orang utan dengan bantuan Renjer yang bertugas sepanjang perjalanan anda ini.

Sebaik sampai, ikut kumpulan lawatan yang diaturkan kerana maklumat dan aktiviti yang disusun membolehkan anda mengetahui lebih lanjut mengenai spesis ini.

Jangan ikut suka hati sebab anda akan rugi. Bergambar tu kemudian.

3. Terdapat maklumat yang padat mengenai spesis ini dengan paparan yang menarik dan jelas sepanjang laluan berkurung selain penerangan dan sesi memberi makan kepada orang utan oleh penjaga mereka.


Banyak rupanya jenis-jenis spesis orang utan yang mungkin selama ini tidak kita ketahui dan membaca papan info ini kadangkala menyebabkan kita agak ketingalan daripada kumpulan kita.

Jangan risau anda boleh membacanya dengan lebih terperinci dalam perjalanan pulang yang juga menggunakan laluan yang sama kerana anda tidak perlu mengikut renjer tersebut dan bebas untuk melihat lebih lama dan bergambarlah sepuasnya ketika ini.

4. Terdapat lebih 10 ekor orang utan yang hidup bebas bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain dan tetapi mesra dengan pelancong.


Malah mereka berada amat dekat dengan kita dan anak-anak saya amat teruja. Cuma perhatikan mereka sepanjang masa untuk keselamatan mereka. Tapi dah nama budak-budak puas kita melarang itu juga yang dia nak buat.



Koleksi orang utan di sini ada yang masih muda dan nakal dan ada yang sudah tua dan agak pasif di atas pokok.


Aksi-aksi mereka kadangkala amat melucukan terutama bila kita berada dekat dengan mereka. Mereka beraksi manja dengan anda.


Ketahui nama mereka dari renjer untuk anda memanggil mereka dekat dengan kurungan anda.


5. Terdapat pusat rawatan untuk Orang Utan yang sakit atau masih bayi yang boleh anda dekati dengan begitu dekat dan mudah. Mereka juga beraksi sakan dengan kehadiran anda.


Anak-anak saya amat teruja kerana keletah anak orang utan yang begitu dekat dengan mereka yang hanya dipisahkan dengan cermin sahaja.

Biarkan anak anda bergerak bebas di sini kerana mereka amat rapat dengan bayi orang utan yang amat manja.

6. Mudah untuk anda pergi. Hanya perlu menggunakan PLUS Highway ke sana dan exit Bukit Merah / Selama.

Dan pastinya Pulau Orang Utan ini adalah sebahagian aktiviti anda di sini kerana terdapat pelbagai lagi aktiviti lain yang boleh dibuat.

Dengan hanya RM 35 seorang saya berasa amat berbaloi. Jangan terlalu tergesa-gesa. Santai dan biarkan bot berlalu pergi dan usah risau kerana kekerapan bot sekitar 30 minit hingga 45 minit.

Selainnya, anda saksikan koleksi gambar saya sekeluarga di sana di sana sekitar 1 jam dengan mengklik di SINI .

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.