Thursday, February 20, 2014

Kembara @ Gua Tempurung ... Pakej Golden FlowStone...

Gua Tempurung.. saya mendengar namanya bukan setahun dua tetapi dari seawal tahun 1997 tahun dan setelah lebih 17 tahun saya berkesempatan buat pertama kali singgah dan memasuki kawasannya guanya..
 
Setelah kami sekeluarga ke Kellie's Castle seperti yang saya kongsikan dalam catatan sebelum ini, kami mula bergerak ke arah Gopeng Perak untuk ke kawasan perlancongan Gua Tempurung ini ...
 
 
Mudah dicari kerana jalan masuknya jelas bertanda dan agak selesa pemanduannya ke sini.
 
Tiba di kaki gua, saya rasa agak lewat kerana tiba sekitar 3.45 petang. Dari pintu masuk gua, saya dan anak-anak menghampiri kaunter tiket dan dimaklumkan hanya pakej satu iaitu Golden Flowstone yang masih dibuka untuk kunjungan kerana waktu yang sudah lewat untuk ke pakej seterusnya. 
 
Saya terpaksa akur dan melupakan pakej kedua , ketiga dan keempat yang akan saya kongsikan dalam catatan seterusnya.
 
 
Pakej Golden Flowstone ini melibatkan laluan kering yang selesa dengan menggunakan laluan bertangga dan jambatan yang telah disediakan.
 
Tetapi sebelum itu, rasanya terlalu cepat pula untuk saya berkongsikan kisah kami menerokai pakej ini tanpa berkongsikan sedikit maklumat mengenai Gua Tempurung ini...

Maklumat ini juga saya petik dari laman web yang lain .. kali ni wikipedia versi bahasa melayu pilihan saya:
 
Gua Tempurung terdiri daripada lima kubah besar yang silingnya menyerupai tempurung kelapa, dengan setiap kubah mempunyai bentuk stalagmit dan stalaktit yang berbeza. Selain itu, setiap kubah berbeza dari segi suhu, aras air, dan kandungan batu kapur dan marmar.
 
 
Gua Tempurung merupakan salah satu gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia.
 
Gua Tempurung merupakan sebuah gua yang menjadi tumpuan pelancong yang merentasi satu kilometer dari Sungai Siput sehingga Kuala Dipang dan terdiri daripada lima siling kubah yang berbentuk tempurung.
 
Gua Tempurung terletak di Gopeng, sekitar 24 kilometer selatan bandar Ipoh. ia juga hanya 15 minit memandu dari Sungai Kampar yang juga merupakan tumpuan para pelancong untuk aktiviti berkayak atau berakit merentasi jeram.
 
Dipertengahan gua ini terdapat satu stalagmit yang berbentuk seperti gergasi.
 
Memandangkan gua ini menjadi tumpuan pelancong, kerajaan negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih menarik dan mesra pelancong.
 
Gua gua kini dilengkapi lampu , tangga dan titi serta kemudahan awam lain turut disediakan. Bagi mereka yang suka aktiviti lasak, acara meredah sungai dalam gua turut diadakan.
 
 
Selain menyimpan khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah Malaysia. Gua ini menjadi tempat persembunyian komunis pada masa dahulu daripada 1950 hingga 1960. Manakala semenjak daripada tahun 1970, Gua Tempurung telah dijadikan lombong bijih timah.
 
Ok? Cukup? Kita berbalik kepada kisah kami pula.
 
Untuk masuk ke sini, tiket berharga RM 6 untuk dewasa dikenakan bagi setiap pengunjung.
Manakala kanak-kanak pula RM 2.50 seorang dan akan diberikan stiker berwarna jingga untuk ditampal di baju.
 
Bolehkan kanak-kanak masuk ke dalam gua ini? Untuk pakej ini dan pakej dua tiada masalah.
 
 
Saya sendiri membawa anak berusia 4 tahun dan 6 tahun malah ketika di dalam gua terdapat kanak-kanak yang lebih muda dari anak saya malah saya juga berselisih dengan seorang bapa yang membawa bayinya ke dalam yang pada pandangan saya berusia setahun lebih sahaja.
Namun utamakan keselamatan baik yang fizikal mahupun yang rohani dan jasmani. Kita masuk ke dalam gua bang ooi... bukannya pasaraya...
 
Melalui kawasan permulaan pintu gua masih terdapat cahaya matahari yang menyelit masuk tetapi sebaik mendaki tangga yang pertama, kawasan semakin gelap tetapi usah risau, gua ini diterangi oleh lampu-lampu yang menyuluh kawasan tumpuan dan hasilnya amat cantik.
 
 
Pakej Golden Flowstone melibatkan laluan kering sekitar 40 minit sehinggalah ke kawasan pemerhatian batu-batuan yang unik dan bewarna keemasan dengan limpahan lampu yang dipasang.
 
Laluan ini tidaklah begitu tinggi tetapi masih perlu mendaki tangga-tangga untuk ke bahagian atasnya.
 
 
Uniknya di sini adalah bentuk batuan yang menarik di dinding gua yang amat luas dan besar baik di kiri ataupun kanan.
 
Dinding-dinding gua ini menampilkan corak batuan yang pelbagai akibat dari hakisan air dan angin ratusan tahun yang membentuk laluan gua ini sendiri.
 
 
Saya membawa kamera tanpa tripod dan hasilnya menangkap gambar dalam suasana yang kurang cahaya memang mengecewakan hasilnya namun boleh lah untuk dikongsi di sini .
 
Lain kali saya akan membawa tripod dan lebihkan masa untuk meninjau di sisi kerana untuk kunjungan ini saya lebih banyak mengejar anak-anak saya yang seronok mendaki dan melalui jambatan ke kawasan dalam gua tanpa rasa penat dan risaukan keselamatan mereka.
 
 
Pakej kami memberikan kami peluang melihat beberapa lokasi yang amat cantik dan kami memilih untuk menerokai sendiri gua ini tanpa mengikuti pemandu arah yang disediakan.
 
Sebenarnya dengan pakej yang anda bayar itu, anda diberikan sekali pemandu arah yang akan bergerak dalam waktu yang ditetapkan dengan jumlah pengunjung sekitar 15 sekumpulan.
 
 
Saya menemui kumpulan-kumpulan yang mengikuti pemandu arah ini yang berhenti di beberapa lokasi untuk menerangkan setiap sudut gua dan jenis batuan yang ada.
 
Rugi sebenarnya tidak mengikuti pemandu arah yang sarat dengan maklumat dan info mengenai sudut-sudut gua ini.

Insyallah lain kali kerana saya sebenarnya kesuntukan untuk berlama-lama di sini.
 
Untuk pakej satu ini saya menghabiskan masa untuk 20 minit untuk sampai ke Check Point Golden Flowstone dan sepatutnya berpatah balik selepas sampai di sini namun.... 
 
 
sebaliknya kami diberi peluang untuk menyambung pula ke Top Of The World yang merupakan pakej kedua sebenarnya... terima kasih ...
 
itu akan saya kongsikan kisahnya dalam catatan yang lain ...
 
Untuk koleksi gambar yang lain .. klik di sini ...

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.